Friday, October 9, 2015

Kesan Tekanan Rakan Sebaya Ke Atas Perubahan Cara

Berkawan adalah penting bagi kita. Walau bagaimanapun, berkawan boleh menjadi sesuatu yang memudaratkan. Kesan tekanan rakan sebaya boleh mempengaruhi perubahan cara seseorang sama ada cara bercakap, bertingkahlaku mahupun berfikir.
Ada masanya kita akan berasa rakan-rakan kita mendesak untuk berkelakuan dan berfikir secara berbahaya atau tidak boleh diterima oleh akal yang sihat. Tekanan rakan sebaya sesuatu yang lazim di kalangan rakan-rakan dan akan menjadi lebih kuat semasa zaman remaja. Mungkin gerak hati kita ingin meminta kita berhenti menghabiskan masa bersama rakan yang menjadi ‘pengaruh tidak baik’. Namun ia bukan strategi terbaik kerana ia boleh menimbulkan reaksi bertentangan yang membawa kepada rintangan tidak diingini. Penyelesaian yang lebih baik adalah melatih kita berfikir sendiri untuk menahan diri daripada tekanan rakan sebaya yang negatif itu.
Rakan sebaya dan keluarga merupakan dua dunia sosial tempat seseorang itu berkomunikasi. Apabila berada di rumah, seseorang itu akan bergaul dengan keluarganya yang terdiri daripada ibubapa dan adik beradiknya. Manakala apabila dia berada di luar rumah dia akan bergaul dengan rakan sebaya. Rakan sebaya ini terdiri daripada pelajar-pelajar atau remaja yang mempunyai umur yang hampir-hampir sama di antara satu sama lain.
Menurut kajian, di dalam hal-hal seperti tanggungjawab moral, keberanian, kejujuran, kemesraan dan lain-lain, para remaja dipengaruhi oleh pendapat dan pandangan rakan sebaya yang lebih tinggi daripada pengaruh ibubapa. Faktor ini banyak menimbulkan pergeseran di antara para remaja dan ibubapa. Para remaja merasakan ibubapa sebagai pengongkong kebebasan diri. Ibubapa pula berasa keliru dengan tingkahlaku dan tindak-tanduk remaja dan sebarang usaha untuk menegakkan identiti diri dianggap sebagai menentang.
Kekeliruan ini memburukkan lagi pergeseran dan akhirnya menimbulkan masalah. Apabila remaja menemui masalah seperti ini, ia memerlukan seorang sebagai tempat mengadu hal, mendapat panduan dan pertolongan. Kadangkala mereka merasa lebih selesa berbincang atau bercerita masalah mereka dengan rakan sebaya.
Kajian juga mendapati bahawa remaja cenderung menuruti tingkahlaku kumpulan yang mana ia berada di dalamnya. Remaja di peringkat ini akan bersungguh-sungguh mencuba bertingkahlaku seperti tingkahlaku kumpulannya. Remaja ini juga akan melakukan apa yang dilakukan oleh kumpulannya.
Menurut statistik, kebanyakan kes yang membabitkan remaja terjerumus ke dalam kegiatan tidak bermoral didapati berpunca daripada tekanan dan dorongan serta cabaran rakan sebaya. Rakan sebaya mempunyai pengaruh yang besar dalam jiwa remaja dan mereka menjadikannya tempat rujukan tanpa berjumpa kaunselor bagi mendapatkan perkhidmatan kaunseling, nasihat mahupun bimbingan menyebabkan remaja tadi tidak mendapat bimbingan terbaik, sebaliknya menjerumuskan diri dalam masalah yang mampu membinasakan antaranya, ponteng sekolah, lari dari rumah, merokok, penyalahgunaan dadah dan melakukan perbuatan tidak bermoral.
Kegiatan samseng jalan raya juga dilihat faktor pengaruh rakan sebaya di kalangan pelajar di mana kes dicatatkan meningkat. Pada 2007 sebanyak 834 kes dilaporkan, berbanding 515 kes pada 2006.
Ramai remaja mengalah kepada tekanan rakan sebaya kerana tidak tahu cara berkata ‘tidak’ kepada rakan mereka. Mereka tidak dapat berlatih menyuarakan sebarang percanggahan pendapat. Remaja perlu tunjukkan bahawa mereka mempunyai keberanian moral untuk tidak bersetuju dan katakan ‘tidak’ apabila rakan-rakan sebaya cuba mendesak untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan budaya murni dan undang-undang. Ini akan menguatkan naluri untuk melakukan apa yang dirasakan betul dan bukannya mengikut mata orang lain serta mempunyai keberanian untuk mempertahankan pandangan sendiri.
Remaja yang sentiasa berasa tidak yakin kepada diri sendiri lebih mudah mengalah kepada tekanan rakan sebaya. Sebenarnya mereka boleh membina harga diri mereka dengan mengingatkan nilai mereka sebagai seorang individu tidak bergantung pada kepopularan mereka di kalangan kawan-kawan tetapi dibina atas kualiti unik mereka sebagai manusia dan kasih sayang serta penerimaan yang tidak terhingga oleh ibubapa.
Dengan mencontohi rakan sebayanya, remaja akan dapat belajar satu tingkahlaku baru yang cuba diserap dan disesuaikan pula ke dalam personalitinya. Oleh itu pemilihan rakan sebaya adalah sangat penting. Dalam hal ini, siapa yang patut menentukan jenis rakan sebaya yang menjadi pilihan. Dalam Islam, ibubapa sendiri mengenalpasti rakan-rakan yang berakhlak mulia. Melalui rakan-rakannya yang positif ini akan wujudlah model-model positif yang boleh dikembangkan di semua peringkat. Di Malaysia, program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) telah dijalankan supaya rakan sebaya dimanfaatkan untuk membaiki disiplin di kalangan pelajar.
Dalam aspek pengaruh rakan sebaya, kajian menunjukkan bahawa pelajar akan menghisap rokok secara berkumpulan atau bersama rakan. Pelajar juga menganggap peraturan atau undang-undang sekolah sebagai sesuatu yang remeh dan tidak perlu dipatuhi. Mereka akan membentuk kumpulan tersendiri dan mengadakan peraturan tertentu dan ahli kumpulan hendaklah mematuhinya. Hal ini mula menimbulkan masalah disiplin seperti peras ugut dan pergaduhan. Biasanya, apabila ahli kumpulan dipukul, mereka akan membalas secara berkumpulan.
Dapatan kajian yang disebutkan di atas sejajar dengan dapatan kajian peringkat nasional yang dijalankan oleh Bahagian Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1993 yang menunjukkan punca salahlaku di kalangan pelajar adalah disebabkan oleh faktor diri, keluarga, persekitaran rakan sebaya dan juga sekolah. Sebagai contoh, kajian tersebut mendapati pada tahun 1993 kira-kira 81.03% punca salahlaku remaja kerana faktor kekeluargaan, 4.10% kerana pengaruh rakan sebaya dan I.24% kerana faktor persekolahan.
Kajian yang sedia ada, menunjukkan bahawa penglibatan rakan sebaya devian merupakan faktor kepada tingkahlaku delikuen. Oleh itu sangat penting kita mengkaji faktor utama remaja ini terlibat dengan remaja yang bertingkahlaku negatif. Kajian terbaru pula menunjukan bahawa penolakan daripada rakan sebaya merupakan faktor remaja terlibat dengan rakan yang bertingkahlaku devian. Data yang diperolehi daripada Oregon Youth Study menunjukkan bahawa penolakan daripada rakan sebaya sebab utama remaja terlibat dengan rakan sebaya yang bertingkahlaku negatif. Dalam kajian ini, kanak-kanak yang berumur 10 tahun yang mengalami keadaan penolakan daripada rakan sebaya mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk terlibat dengan rakan sebaya yang devian pada umur 12 tahun.
Tingkahlaku agresif mempunyai hubungan yang signifikan dengan faktor penolakan rakan sebaya di dalam masalah tingkahlaku negatif remaja. Terdapat beberapa cara penolakan rakan sebaya mempengaruhi perkembangan remaja untuk terlibat dengan rakan sebaya yang devian dan delikuen. Salah satu cara ialah, remaja yang tidak diterima oleh rakan sebaya akan mengalami masalah kekurangan kemahiran sosial dan agresif selain tingkahlaku anti-sosial yang menyebabkan mereka terlibat dengan remaja yang devian.
Kesimpulannya, tekanan rakan sebaya merupakan sesuatu yang lazim di kalangan rakan-rakan. Kebanyakkannya menjurus ke arah negatif jika tidak ditangani dengan rasional dan ianya juga boleh memberi kesan kepada perubahan cara seseorang sama ada cara bercakap, bertingkahlaku mahupun berfikir.
Rujukan:
  1. Dewan Masyarakat (1995). Tingkah Laku Delinkuen. 9 –12.
  2. Mohd Majid Konting. (1998). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur: DBP. Mohd Rodzik Abd Razak. (1998). Hubungan Gaya Didikan Ibubapa Dengan Tingkah Laku
  3. Remaja. Universiti Teknologi Malaysia. Tesis Sarjana Muda. Tidak Diterbitkan