Thursday, September 11, 2014

PERANAN KAUNSELING DALAM KES-KES KEKELUARGAAN: KAJIAN DI PEJABAT AGAMA ISLAM DAERAH HULU LANGAT SELANGOR (Bhg 3)






3.9 PENELITIAN SECARA UMUM: PROSES KAUNSELING YANG DIGUNAKAN DALAM MENGURUSKAN KONFLIK RUMAHTANGGA

3.9.1 Kajian Kes

Ahmad berumur 33 tahun, seorang pengarah yang telah berkahwin dengan isterinya, Siti berumur 28 tahun, seorang pengurus dalam jenis pekerjaan yang sama dengan suaminya tetapi berbeza syarikat. Selama 2 tahun mereka berkahwin, mereka tidak mengalami masalah dalam perkahwinan kerana mereka mempunyai komitmen yang kuat terhadap kerjaya dan saling memberi sokongan kepada pasangan untuk berjaya. Dengan taraf ekonomi yang kukuh, mereka tidak mengalami krisis kewangan.

Dalam pada kebahagiaan yang dikecapi, Siti telah mendapati bahawa dirinya mengandung. Berita itu membuatkan dirinya teramat gembira dan tidak sabar untuk menantikan saat paling membahagiakan iaitu kelahiran anak sulung mereka. Perasaan gembira itu bercampur aduk dengan kebimbangan jika dirinya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada anak yang bakal lahir nanti. Justeru, tanpa kebenaran daripada Ahmad maka Siti telah membuat keputusan untuk berhenti kerja. Selain itu, tanpa disedarinya, Siti mengalami maslah kedinginan seks sejak mendapat berita yang dirinya mengandung. Situasi ini pada dasarnya telah mengundang konflik dalam rumahtangga mereka.

Keputusan Siti untuk berhenti kerja tanpa kebenaran Ahmad menyebabkan Ahmad naik darah. Ahmad mula merasa bimbang tentang kedudukan ekonomi keluarganya dan berasa tidak selesa dengan masalah kedinginan seks isterinya serta tidak bersetuju kehadiran anak baru yang menyekat hubungan sosial mereka serta membebankan mereka lagi.

Ketidakpuasan oleh Ahmad tidak disampaikan dengan saluran yang betul kepada Siti. Malah dia membuat keputusan memikulnya dengan bekerja keras lagi dalam pekerjaannya, selalu keluar malam dan balik pada lewat malam. Tingkah lakunya tidak difahami oleh Siti dan Siti berasa sedih serta marah. Namun begitu, Ahmad tidak menghiraukannya dan keluar ketika isterinya mula ingin bertelingkah dengannya.

Perang dingin ini berlanjutan selama tiga bulan. Kebimbangan Siti terhadap tingkah laku suaminya telah menyebabkannya berprasangka bahawa Ahmad mempunyai wanita lain di luar. Keadaan ini bertambah teruk apabila Siti mulai bimbang seandainya suaminya akan menceraikannya dan selalu berada dalam keadaan takut, cemas, prasangka dan sedih. Siti telah berusaha mendapatkan maklumat tentang tingkah laku suaminya di luar dan cuba menyiasat suaminya serta memeriksa dengan rapi terhadap pakaian, telefon bimbit dan beg duit suaminya.

Tingkah laku Siti telah membangkitkan lagi perasaan marah Ahmad sehinggakan mereka sentiasa bergaduh dan bertengkar. Keadaan tegang ini telah menyebabkan keadaan rumahtangga mereka porak peranda dan tiada keharmonian lagi. Kali ini Ahmad tidak tahan lagi bersabar, dan terus mengkritik, mengutk dan mengganggu keadaan mental Siti yang sedang mengandungkan anak sulung mereka. Keadaan itu akhirnya diambil oleh Siti untuk berbalas dendam dengan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri.

Akhirnya atas dasar masih sayang menyayangi antara satu sama lain dan masih ingin mengekalkan hubungan sebagai suami isteri maka mereka membuat keputusan untuk berjumpa kaunselor bagi penyelesaian yang terbaik demi memulihkan perhubungan mereka. 

3.9.2 Pendekatan Kaunseling (Individu dan Keluarga)

3.9.2.1 Pendekatan Kaunseling Individu

Terlebih dahulu, kaunseling individu diperkenalkan kepada kedua-dua suami isteri untuk meluahkan segala isi hati supaya kaunselor dapat mengumpul maklumat dengan lebih terperinci daripada kedua-dua pihak yang berkonflik. Tujuannya adalah bagi membolehkan kaunselor bersifat adil dan saksama terhadap klien dan bukan hanya mendengar perasaan dan pengalaman sebelah pihak sahaja. Langkah-langkah yang digunakan dalam sesi kaunseling ialah (menggunakan pernyataan Siti sebagai contoh):

Langkah 1: Membina Hubungan

Dalam sesi pertama, kaunselor akan menggunakan kemahiran melayan sama ada secara lisan atau bukan lisan bagi membina hubungan saling mempercayai antara klien dan juga kaunselor. Kemahiran melayan ini bertujuan meyakinkan klien untuk meluahkan perasaan hatinya tanpa menyembunyikan sesuatu. Dalam proses ini kaunselor juga akan membuat penstrukturan. Penstrukturan merupakan langkah pertama dalam proses kaunseling. Ia juga ditakrifkan sebagai satu bentuk penjelasan mengenai proses kaunseling. Penstrukturan akan membincangkan empat aspek utama iaitu memberitahu klien tentang tujuan, tanggungjawab, pemfokusan dan limitasi kaunseling. Antaranya meliputi tiga unsur masa, tingkah laku yang dikehendaki tahu peranan klien dalam proses kaunseling, peranan kaunselor, kekerapan sesi/ limitasi dan menjaga etika kerahsiaan yang dicurahkan.

Langkah 2: Penerokaan Masalah

Pada peringkat permulaan kaunseling, langkah ini bertujuan untuk mengenal pasti masalah sebenar klien dan memahami diri klien. Kamahiran-kemahiran seperti mendengar dengan aktif, empati, respon lisan, meminta penjelasan dan menggalakkan klien meneruskan cerita amat diperlukan. Dalam peringkat ini, kaunselor akan menggunakan teknik-teknik untuk meneroka maslah klien. Antaranya:

1. Teknik membuat parafrasa
Teknik ini digunakan oleh kaunselor dengan menyatakan semula pernyataan klien menggunakan ayat yang lebih ringkas tanpa menambah apa-apa idea. Sebagai contoh,

Klien: “ Setiap malam, saya tunggu dia di rumah selepas saya balik dari tempat kerja, tetapi apa yang saya dapat hanyalah seperti menunggu bilik kosong, katil kosong, semuanya kosong…”
Kaunselor: “ Anda tidak dapat tunggu dia.”

2. Teknik membias
Teknik ini seolah-olah hampir sama dengan parafrasa, tetapi membias lebih memfokus kepada konotasi perasaan atau emosi yang dibawa dalam sesuatu mesej yang disampaikan oleh klien. Teknik ini digunakan untuk memahami pengalaman klien seolah-olah dari sudut pandangan klien, menggalakkan klien meluahkan perasaan mereka dan menyedarkan klien tentang sesuatu perasaan yang dialaminya. Antara contohnya,

Klien: “ Saya dan dia selalu bertengkar, bergaduh tak habis-habis. Saya tak tahu apa nak buat lagi…saya macam putus asa… saya tak tau macam mana nak buat dengan hubungan saya…” Kaunselor: “ Anda sangat kecewa dengan pertengkaran yang tak mendatangkan sebarang hasil dan tidak tahu pula macam mana nak memperbaiki keadaan…”

3. Teknik merumus
Teknik ini pula digunakan untuk menonjolkan perkara-perkara yang penting atau tema-tema yang dibawa oleh klien semasa proses kaunseling.ia juga bertujuan untuk memudahkan usaha memfokus permasalahan supaya kaunselor boleh memberi bantuan tanpa mencari-cari apa masalah utama yang ingin diselesaikan klien. Contohnya, 

Kaunselor: “ Dalam sesi ini, kita telah berbincang tentang suami anda dan perbalahan yang berlaku antara anda dengannya. Anda mengatakan anda merasa kecewa dan juga marah. Hubungan anda dengan suami anda tidak baik..Kita juga telah membincangkan tingkah laku atau tindakan yang telah anda jalankan terhadap suami anda.”

Selain daripada teknk-teknik tersebut, masih terdapat pelbagai teknik yang sering digunakan oleh kaunselr dalam usaha membuat penerokaan. Malahan teknik-teknik itu juga akan senantiasa digunakan oleh kausnelor sepanjang proses kaunseling berlangsung. Antara teknik yang digunakan ialah seperti menyoal (soalan terbuka), interpretasi isi dan perasaan, melayan secara lisan dan bukan lisan,memberikan dorongan minimum, berempati dan sebagainya.

Langkah 3: Pencapaian matlamat

Pada peringkat penerokaan masalah, klien dibantu untuk memahami masalahnya dengan lebih jelas berdasarkan perspektif klien itu sendiri. Perspektif klien ini mungkin tidak cukup luas tetapi ia merupakan tahap permulaan untuk mengendalikan masalah itu nanti. Apa yang mustahak di sini ialah kebijaksanaan kaunselor dalam membantu klien mendapatkan ‘celik akal’ (pemahaman kendiri yang rasional) dan berfikiran positif.

Pada peringkat ini, terdapat 3 perkara yang harus dilakukan oleh kaunselor iaitu membantu klien menyusun semula semua data atau maklumat yang diperolehi pada peringkat penerokaan masalah supaya klien dapat melihatnya dari perspektif yang lebih luas; membantu klien untuk melihat masalah itu secara lebih objektif yang membolehkan klien menentukan matlamat yang sewajarnya iaitu cara mengendalikan masalah dan juga membantu klien menentukan matlamat berdasarkan pemahaman klien tentang masalahnya. Matlamat hendaklah realistik dan wajar serta boleh dilaksanakan. Keputusan tentang matlamat yang diambil mestilah berdasarkan nilai klien bukan nilai kaunselor. Cotohnya,

Klien: “ Setiap hari selepas makan, saya akan berbincang dengan suami saya tentang masalah yang kami hadapi pada hari itu.”

Langkah 4: Pemilihan strategi

Terdapat beberapa strategi yang boleh diaplikasikan oleh kaunselor dalam perihal membantu klien yang berkonflik. Strategi yang dimaksudkan di sini adalah daripada pelbagai teori kaunseling yang telah diterima pakai oleh semua pakar dalam bidang kaunseling dan psikologi. Antaranya:

1. Strategi Transferens
Dalam kes ini, strategi yang dipilih ialah transferens, kerusi kosong dan penggunaan ganti nama diri. Dalam strategi transferens yang berdasarkan Teori Keluarga Psikoanalitik, klien akan memindahkan perasaan dan pengalaman yang dirasainya dahulu kepada kaunselor yang bersikap neutral, objektif dan pasif.

Konsep ini meletakkan klien dalam satu keadaan minda bahawa kaunselor sebenarnya adalah ibu bapa atau orang yang signifikan dalam hidupnya yang lampau. Dalam proses ini, seorang klien itu akan menghidupkan semula tanpa disedari tingkah laku patogeniknya kepada kaunselor. Kaunselor cuba memahami curahan isi hati dan pengalaman ini kemudiannya mentafsirkan kepada klien dan ahli keluarganya supaya benar-benar memahami sebab-sebab mengapa ia sering bertindak secara tidak rasional. Melalui kefahaman dan celik akal sebegini bolehlah ia berkembang dengan sewajarnya dari segi intelektual dan emosi.

Sebagai contohnya, Siti akan memindahkan perasaan dan pengalamannya semasa tempoh kedinginan hubungannya dengan suami kepada kaunelor supaya kaunselor dapat membantunya memahami dan mentafsir. Kaunselor di sini akan membantu klien untuk memahami perasaannya di ketika itu dan bekerjasama dengan kaunselor dalam pentafsirannya.

2. Strategi Kerusi Kosong

Strategi kerusi kosong yang dikemukakan oleh Teori Gestalt, membenarkan klien berpeluang berlagak terkeluar daripada apa yang sepatutnya dan dia bersikap atau bercakap terhadap orang lain yang digambarkan sebagai orang sedang duduk pada kerusi yang kosong. Peranan yang dimainkan ini akan membantu klien berhubung dengan bahagian dirinya sendiri yang mana mereka sendiri tidak sedar ataupun mungkin sengaja menafikannya. Memainkan peranan ini juga membolehkan klien meraptaikan dirinya dalam satu bentuk peranan baru yang akan dicubanya di luar kaunseling nanti. Raptai ini akan menguatkan lagi keyakinan dan kepercayaan klien bahawa tingkah lakunya yang baru itu nanti memang boleh dijalankan.

Contohnya, Siti berpeluang meluahkan apa sahaja yang dia ingin sampaikan kepada suaminya dalam masa inilah dia akan dibantu untuk mengetahui bahagian yang tidak sedar diri atau dinafikan. Antaranya, dia marah terhadap suaminya yang tidak menimbangkan perasaannya ketika suaminya balik lewat, dalam keadaan tidak sedar dia amat cinta kepada suaminya sehingga ingin suaminya meluangkan lebih masa kepadanya.

3. Strategi Penggunaan Ganti Nama Diri 

Kaunselor juga menggunakan strategi penggunaan ganti nama diri dalam Teori Gestalt kepada klien, Siti. Ini kerana Siti selalu menggunakan kata dia dalam sepanjang sesi kaunseling. Penukaran ganti nama dari ‘dia’ kepada ‘saya’ amat diperlukan untuk membantu klien memiliki tingkah laku diri dan lebih bercakap mengenai diri dan bukannya orang lain.

3.9.2.2 Pendekatan Kaunseling Keluarga

Setelah kaunseling individu, dapatlah kedua-dua pasangan memahami perasaan dan pengalaman yang telah mereka hadapi selama ini. Mereka juga sedar akan bahagian-bahagian diri sendiri yang tidak sedar atau sengaja dinafikan serta lebih memberi tumpuan kepada tingkah laku atau perkara mengenai diri sendiri.

Menurut pandangan Sistem Berorinetasi Interpersonal yang dikemukakan oleh Goldenberg (1986), kaunseling akan lebih berkesan jika diberi fokus yang tinggi iaitu melibatkan kedua-dua pasangan. Kognisi mengetahui adalah keperluan bagi langkah pertama untuk mengurs semula sistem hubungan yang salah. Oleh itu, kaunselor dengan penuh hikmahnya mempersilakan mereka (Siti dan Ahmad) menyertai kaunseling keluarga untuk menyelesaikan masalah atau konflik rumahtangga mereka.

1. Teori Kaunseling Keluarga Bowen

Dalam Kaunseling Keluarga, beberapa teori digunakan untuk membantu keluarga Ahmad dan Siti dalam menyelesaikan masalah keluarga mereka. Teori Kaunseling Keluarga Bowen adalah salah satu teori yang digunakan, teknik rawatan yang digunkan ialah Pulang ke rumah semula atau ‘going home’, ‘Detriangulation’, Perhubungan individu ke individu atau ‘person to person relationship’ dan menanya soalan.

Dalam teknik rawatan pulang ke rumah semula, kedua-dua pasangan dikehendaki pulang ke rumah semula untuk mengenali keluarga dengan lebih rapat. Teknik ini memudahkan Siti dan Ahmad untuk membuat proses pembezaan dan memiliki kendiri yang stabil. Sebelum mereka pulang ke rumah, mereka telah diajar untuk banyak bertenang dan bersabar menghadapi apa jua kemungkinan yang akan berlaku. Ini bermakna Siti dan Ahmad akan kenal-mengenali semula antara satu sama lain dengan lebih rapat, di mana pertengkaran dan pergaduhan mereka akan diberhentikan atau ditukarkan dengan kesabaran dan ketenangan yang lebih.

Bagi ‘Detriangulation’ pula, melibatkan Siti dan Ahmad untuk mempunyai kontrak dan berpisah secara emosi dari kalangan ahli keluarga. Ia beroperasi pada dua tahap. Pertama Siti atau Ahmad akan menyelesaikan kebimbangannya mengenai keluarganya dan tidak membuat projeksi. Kedua, membantu Siti atau Ahmad untuk tidak memberi fokus kepada diri sendiri apabila masalah muncul dalam keluarga. Dalam hal ini, tiada siapa yang akan dilempar-salahkan.

Perhubungan individu ke individu, teknik ini melibatkan kedua-dua pasangan yang bercakap antara satu sama lain mengenai diri mereka sendiri. Mereka tidak akan bercakap tentang orang lain dan mereka tidak akan menjadi terlampau personal. Dalam keadaan ini, Siti dan Ahmad boleh menrangkan sebab-sebab atau kenapa dia bertingkah laku demikian, apakah perasaan dia, apa yang dia harap daripada pasangan dan lain-lain.

Selain itu, mereka juga boleh menanyakan soalan yang berkaitan dengan masalah akan membolehkan pasangan meluahkan perasaan untuk sama-sama difahami oleh pihak yang lain. Contoh soalan isteri tanya kepada suaminya, kenapa kamu selalu keluar malam tanpa memikirkan perasaan saya? Kenapa kamu tidak sayang saya seperti dahulu? Dengan soalan-soalan inilah dapat isteri faham jawapan kepada soalan-soalan yang tidak ada jawapan selama ini. 

2. Teori Kaunseling Keluarga Eksperiensial

Dalam Teori Kaunseling Keluarga Eksperiensial pula, teknik-teknik yang digunakan ialah modeling dan mengajar kemahiran komunikasi yang jelas, kenyataan ‘saya’, menuduh atau ‘blamer’ dan pengelak atau ‘placater’.

Bagi modeling dan mengajar kemahiran komunikasi yang jelas, dalam hal ini,beberapa teknik telah disenaraikan. Ahli keluarga seperti Siti dan Ahmad dibawa melalui mana-mana teknik berikut dalam keadaan yang lebih ‘exaggerated’ agar mereka akan sedar apa yang sedang berlaku dan apakah maklumat yang telah mereka sampaikan. Dengan ini, mereka boleh mengubah atau memilih cara komunikasi yang lebih berkesan daripada apa yang mereka amalkan selama ini.

Kenyataan ‘saya’, melibatkan luahan dalam bentuk yang lebih peribadi dan lebih bertanggungjawab. Ia boleh meninggalkan keselarasan dalam proses komunikasi. Ia akan menjadi lebih berterus-terang, tulen dan kenyataan yang sebenar dalam konteks yang lebih sesuai. Ia adalah serupa dengan penggunaan ganti nama diri dalam Teori Gestalt.

Menuduh adalah keadaan di mana seseorang yang suka menuduh akan mengalihkan fokus daripada dirinya kepada orang lain atau melepaskan dirinya daripada tanggungjawab. Manakala, pengelak akan sentiasa melakukan perkara yang tidak berkaitan dengan apa yang sering berlaku dalam konteks. Siti dan Ahmad yang selama ini berperanan sebagai penuduh dan pengelak akan ditunjukkan di dalam sesi kaunseling supaya mereka sedar lalu memilih cara komunikasi yang berkesan.

3. Teori Kaunseling Keluarga Tingkah Laku dan Tingkah Laku Kognitif

Teori Kaunseling Keluarga Tingkah Laku dan Tingkah Laku Kognitif, telah memberi fokus kepada Terapi Perkahwinan, Rawatan Ketidakfungsian Seksual, Latihan Keibubapaan dan lain-lain. Sebagai pasangan suami isteri Terapi Perkahwinan telah membantu mereka menjalankan fungsi perkahwinan dengan lebih baik. Terdapat 4 komponen iaitu,

1.     analisis tingkah laku mengenai tekanan yang dihadapi oleh pasangan berdasarkan temuduga, laporan soal-selidik dan pemerhatian tingkah laku.
2.     Mewujudkan rasa positif yang bertimbal-balik melalui teknik ‘caring days’ dan kontrak
3.     Latihan kemahiran komunikasi, berlatih menggunakan kenyataan ‘saya’, fokus kepada masalah kini dan berlatih memberi maklum balas yang positif kepada pasangan
4.     Latihan menyelesaikan masalah, melengkapkan pasangan dengan kemahiran menyelesaikan masalah yang lebih khusus terhadap apa yang mereka perlukan, berunding dan membuat kontrak.

Rawatan Ketidakfungsian Seksual, secara umumnya banyak memperlihatkan rawatan terhadap mengurangkan aras kebimbangan dalam perlakuan seksual, pendidikan seks termasuk penggunaan teknik-teknik seksual, latihan kemahiran dalam komunikasi dan kaedah mengubah sikap dan perlakuan seksual.

Ringkasnya, kaunselor bukan sahaja memberi rawatan ke atas pengalaman lampau tetapi tumpuan juga diberikan kepada masalah kini dan akan datang, supaya dapat mencegah pengulangan tingkah laku yang akan berlakunya konflik atau masalah di kalangan ahli keluarga. Contohnya, Teori Kaunseling Keluarga Bowen telah membantu klien dalam masa lampau manakala Teori Kaunseling Keluarga Tingkah Laku dan Tingkah Laku Kognitif adalah membantunya dalam masalah kini atau akan datang. Di samping itu, Teori Kaunseling Keluarga Eksperiensial digunakan untuk mengatasi masa lampau dan kini.

3.10 KESIMPULAN

Secara umumnya dapat dilihat peranan utama kaunselor dalam konteks intervensi masalah keluarga ialah bertujuan untuk membantu pasangan suami isteri dan keluarga yang bermasalah bagi mencari jalan mengeratkan hubungan kasih sayang dan kemesraan di samping mengelakkan berlakunya kes perceraian yang membawa risiko timbulnya pelbagai masalah. Justeru itu kaunseling dilihat sebagai salah satu terapi yang dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh pasangan suami isteri yang menghadapi masalah dalam rumahtangga.

Namun perlu diingatkan dan difahami di sini ialah tentang keberkesanan proses kaunseling ini tidak harus diletakkan sewenang-wenangnya di atas tanggungjawab kausnelor seorang. Keberkesanannya adalah sesuatu yang subjektif dan ianya memerlukan kerjasama daripada kedua-dua pihak yang terlibat dalam sesuatu proses kaunseling iaitu kaunselor dan klien. Perkara inilah yang perlu ditekankan secara lebih rasional kerana komitmen klien untuk menyelesaikan masalah atau konflik yang dihadapi adalah perkara yang amat penting. Tanpa kesedaran, kefahaman dan inisiatif klien untuk melaksanakan sebarang bentuk usaha penyelesaian maka sudah pastinya proses kaunseling tidak akan memberi sebarang makna. Maka dengan ini wujud peranan kaunselor dalam membantu klien mendapatkan kefahaman tentang diri dan situasi yang dialami.

Secara ringkasnya, kerjasama di antara kaunselor dan klien merupakan asas keberkesanan sesuatu sesi kaunseling dalam mencapai matlamat kaunseling tersebut. Menerusi proses kaunseling, kaunselor akan menggunakan kemahiran memerhati yang lebih sistematik, berfikir dengan lebih mendalam dan menumpukan perhatian kepada maklumat-maklumat yang disampaikan oleh klien. Dengan itu, kaunselor dapat memahami klien dan sekaligus membolehkan klien memahami dirinya.

PENUTUP

4.1 PENDAHULUAN

Dalam Bab ini, perkara yang akan diberi tumpuan ialah rumusan keseluruhan kajian, impilkasi dan cadangan kajian. Bab V ini merupakan bab penutup yang bertujuan untuk membincangkan keseluruhan hasil kajian dalam kajian ini dan ia dapat memberi satu impak yang positif kepada semua pihak ke arah penambahbaikan kualiti Unit Perundangan Keluarga Islam di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat Selangor dalam menyelesaikan konflik yang dihadapi oleh pasangan suami isteri.

4.2 RUMUSAN KESELURUHAN KAJIAN

Kajian ini merupakan satu kajian kes yang dilaksanakan di Unit Perundangan Keluarga (UPK), Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat Selangor. Dalam menjalani kehidupan berumahtangga, setiap pasangan tidak dapat lari daripada berlakunya konflik yang boleh mengakibatkan perceraian berlaku sekiranya tidak dapat ditangani dengan baik. Perceraian memberikan impak yang besar kepada keluarga, anak-anak, masyarakat dan negara. Kewujudan UPK di PAID Hulu Langat adalah salah satu tempat untuk menyelesaikan konflik yang dihadapi oleh pasangan suami isteri melalui pendekatan kaunseling yang diamalkan ketika sesi kaunseling dijalankan. Walaupun perkhidmatan kaunseling ini berjalan setiap masa, namun isu perceraian tetap meningkat. Apakah peranan kaunseling di unit ini tidak berkesan dalam menangani konflik pasangan suami isteri. Oleh itu, kajian ini lebih menjurus kepada peranan kaunseling yang digunakan di UPK, PAID Hulu Langat dalam menangani konflik rumahtangga. 

Justeru itu, beberapa objektif kajian telah digariskan untuk mencapai matlamat kajian ini. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti proses kaunseling serta perlaksanaannya di kalangan suami isteri yang bermasalah. Di samping itu, kajian ini dibuat untuk mengenalpasti ciri-ciri latarbelakang pegawai perunding keluarga yang berkhidmat sebagai kaunselor dan pasangan suami isteri yang bermasalah dalam perkahwinan yang datang mendapatkan perkhidmatan kaunseling di UPK, PAID Hulu Langat. Selain itu kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti jenis masalah yang menjadi punca konflik rumahtangga pasangan suami isteri dan faktor-faktor yang mempengaruhi kejayaan proses kaunseling di UPK, PAID Hulu Langat.

Daripada dapatan kajian yang diperolehi, satu kesimpulan umum dapat dilakukan. Dapatan kajian difokuskan kepada peranan UPK yang meliputi tugas yang dimainkan oleh pegawai perunding keluarga atau kaunselor, prosedur dan etika menunjukkan bahawa matlamat utama UPK di PAID Hulu Langat adalah untuk memberikan perkhidmatan kaunseling bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pasangan suami isteri yang bermasalah dalam rumahtangga. Dalam melaksanakan tugas ini, unit tersebut telah menubuhkan sistem pentadbiran yang teratur dan bersistematik di samping para kaunselornya yang telah mempraktikkan pendekatan amalan kaunseling yang khusus dan teratur bagi menangani konflik yang dihadapi oleh klien. Pendekatan amalan kaunseling yang digunakan adalah mengikut kepada keperluan dan matlamat klien dalam keluarga. Setiap klien yang datang mendapatkan perkhidmatan kaunseling keluarga di PAID Hulu Langat, kaunselor akan mendekati mereka dengan menggunakan kemahiran kaunseling seperti kemahiran menghadapai klien, kemahiran asas mendorong, kemahiran mendengar, kemahiran mengenalpasti masalah, kemahiran memberi nasihat dan kemahiran membuat rumusan.

Selain itu, dapatan kajian menunjukkan punca yang sering dihadapi oleh pasangan yang berumahtangga hingga boleh menyebabkan berlakunya konflik dapat dibahagikan kepada empat bahagian iaitu ekonomi, peribadi (emosi dan fizikal), seks dan sosial. Dari sudut ekonomi, masalah kewangan sering menjadi punca utama konflik rumahtangga seperti suami yang sengaja cuai memberi nafkah yang mencukupi, sikap isteri yang sentiasa meminta sesuatu yang sememangnya tidak dapat diadakan oleh suami, sikap isteri yang memeras harta suami dan jika kedua-dua suami isteri bekerja, terdapat pula sikap berkira di anatara keduanya di dalam menguruskan ekonomi rumahtangga. Dari segi peribadi pula iaitu emosi dan fizikal, masalah yang sering timbul berpunca dari sikap fizikal dan emosi seseorang suami atau isteri seperti masalah kesihatan fizikal suami isteri. Dari sudut seksual pula lazimnya masalah ini terjadi kerana ketidakseimbangan dalam aktiviti seksual sama ada suami atau isteri mempunyai keinginan seksual yang terlalu kuat atau sebaliknya. Manakala dari segi aspek sosial yang seringkali mencetuskan konflik dalam rumahtangga merangkumi hubungan sosial di kalangan ahli keluarga dan hubungan sosial dengan orang lain.

Secara umumnya, walaupun UPK menggunakan kemahiran kaunseling dalam perkhidmatan kaunseling keluarga di PAID Hulu Langat, namun kajian ini mendapati kaunseling keluarga yang dipraktikkan oleh kaunselor kepada klien tidak menggunakan sebarang teori khusus dalam kaunseling keluarga. Pendekatan amalan kaunseling yang digunakan oleh kaunselor di PAID Hulu Langat lebih merujuk kepada kebijaksanaan kaunselor itu sendiri dengan menggunakan pengetahuan dan maklumat berkaitan hukum hakam dalam perkahwinan tetapi dalam masa yang sama kaunselor juga turut menggunakan kaedah-kaedah kaunseling secara tidak langsung bagi menangani konflik rumahtangga.

Ringkasnya dapat dinyatakan disini kaunseling sebagai satu profesion amat diperlukan sebagai langkah ke arah penyelesaian masalah masa kini. Dalam konteks perkhidmatan kaunseling, kaunselor adalah orang yang bertanggungjawab membimbing klien yang bermasalah. Di mana dalam proses tersebut kaunselor cuba membantu klien untuk membuat penyesuaian peribadi, sosial dan emosi agar ia dapat berfungsi dengan lebih dinamik dan seterusnya mampu membuat persepsi masa hadapan sendiri secara yang lebih tepat selaras dengan amalan tradisi yang berteraskan agamanya.

Kesedaran tentang peri pentingnya perkhidmatan kaunseling bukan sahaja dirasakan di peringkat individu. Bahkan ia telah berkembang di kalangan masyarakat termasuk suami isteri.

Namun begitu, jangkaan dan harapan suami isteri terhadap perkhidmatan kaunseling lebih banyak bergantung kepada sejauhmana kefahaman mereka terhadap pengertian perkhidmatan itu sendiri. Terutama dari aspek peranan kaunselor, penglibatan klien, pendekatan yang digunakan dan teknik serta proses kaunseling tersebut.

Begitu juga dengan kes-kes yang dirujukkan ke unit kaunseling kebanyakannya melibatkan pasangan suami isteri yang bermasalah dan kes-kes yang dihadapi agak serius, sudah tentu ia memerlukan pendekatan yang bukan hanya dapat menyelesaikan masalah mereka tetapi apa yang penting lagi ialah pendekatan tersebut dapat menyedarkan sifat naluri yang ada pada individu ini. 

4.3 IMPLIKASI KAJIAN

Sepanjang menjalankan kajian ini, penyelidik dapat mengenalpasti beberapa implikasi terhadap peranan kaunseling di UPK dalam menangani konflik pasangan bermasalah dalam rumahtangga. PAID Hulu Langat, sebuah institusi agama yang menjalankan perkhidmatan kaunseling kepada klien atau pasangan bermasalah telah memberi sumbangan kepada masyarakat ke arah membentuk dan melahirkan masyarakat yang sejahtera di semua peringkat sama ada individu, keluarga, masyarakat mahupun negara. Implikasi kajian yang dapat dikemukakan dalam kajian ini ialah:

4.3.1       Melalui perkhidmatan kaunseling yang dijalankan, secara khususnya ia memberi kesan kepada perubahan yang positif dalam kehidupan dalam semua aspek sama ada emosi, cara berfikir, tingkah laku dan hubungan dengan masyarakat lain.
4.3.2       Melalui perubahan yang dilakukan, setiap pasangan yang mengalami masalah akan berusaha menyelesaikan konflik yang berlaku dalam rumahtangga. Mereka juga akan mengelakkan konflik yang tercetus membawa kepada keadaan yang serius sehingga menyebabkan berlaku perceraian. Ini kerana perceraian itu adalah perkara halal yang dibenci dalam Islam.
4.3.3       Kesan dari pelaksanaan kaunseling yang sistematik dan personaliti kaunselor yang baik, penerimaan klien terhadap perkhidmatan tersebut diterima dengan baik. Secara tidak langsung, ia mempengaruhi klien atau pasangan untuk berfikir secara positif dalam menentukan alternatif terhadap masalahnya agar dapat diselesaikan secara baik.
4.3.4       Prosedur yang sistematik dalam pelaksanaan kaunseling penting bagi memastikan sesuatu kes yang diberikan bantuan mencapai matlamat dan dapat diselesaikan dengan baik. Teknik dan pendekatan Islam dalam sesi kaunseling adalah penting kerana kaunseling yang dijalankan dengan cara yang dikehendaki oleh Islam akan mempengaruhi klien membuat keputusan. Tetapi tidak dinafikan bahawa pendekatan Barat juga boleh digunapakai sekiranya ia tidak bertentangan dengan syarak.
4.3.5       Masalah dalam rumahtangga seringkali berpunca dari pasangan suami isteri. Oleh itu, perkhidmatan kaunseling adalah jalan bagi membantu pasangan menangani masalah dan mencari jalan bagi mengelakkan maslah berterusan. Ia secara tidak langsung membawa pasangan berfikir dan menjalankan tanggungjawab dengan baik serta membina hidup yang bahagia.

4.4 CADANGAN

Banyak usaha daripada pelbagai aspek boleh dilakukan bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kekeluargaan di UPK. Tujuannya supaya kewujudan institusi ini mendapat pengiktirafan masyarakat sebagai salah satu alternatif di dalam mencari jalan perdamaian terhadap konflik rumahtangga yang dihadapi dan mengelakkan daripada terus berlaku penganiayaan di dalam rumahtangga terutamanya terhadap wanita. Kerjasama dan sokongan perlu diberikan oleh semua pihak bagi mencapai matlamat tersebut. Ia juga bagi mengelakkan pelbagai isu dan kritikan terhadap kaunselor seperti kurang professional, tiada kewibawaan, usia dan pengalaman yang kurang, kelewatan kes dan sebagainya daripada terus dilemparkan. 

Antara cadangan yang dikemukakan agar dapat memberi impak kepada pelbagai pihak ialah:

1.4.1       Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat seharusnya membuat pulisiti tentang kewujudan dan fungsi Unit Perunding Keluarga (UPK) sebagai unit yang boleh membantu menyelesaikan permasalahan dalam rumahtangga. Ini kerana, masih terdapat pasangan yang tidak tahu tentang kewujudan dan fungsi UPK yang memberikan perkhidmatan kaunseling dan khidmat nasihat sekiranya berlaku konflik dalam rumahtangga.
1.4.2       Salah satu cara mengembalikan keadaan rumahtangga yang mengalami konflik ialah dengan mengadakan banyak program keagamaan, kekeluargaan dan konflik dalam rumahtangga kepada pasangan yang sudah berumahtangga. Aktiviti tersebut ialah seperti ceramah, seminar atau forum sebagai langkah dan panduan kepada mereka yang sudah berkahwin tentang kepentingan membina dan menghidupkan keluarga bahagia dan harmoni.
1.4.3       Pihak PAID Hulu Langat juga boleh menyediakan teks-teks khutbah yang mengandungi nasihat ke arah pembinaan keluarga Islam yang gemilang, cemerlang dan terbilang, perihal tanggungjawab suami isteri, cara-cara mendidik anak-anak dan ke arah melahirkan rumahtangga yang berlandaskan syariat Islam. Teks-teks khutbah ini perlu diedarkan ke setiap masjid di seluruh kawasan Hulu Langat dan dibacakan oleh Imam pada setiap hari Jumaat secara berkala sekurang-kurangnya sebulan sekali. Diharapkan dengan cara ini, dapat menyedarkan para suami akan tanggungjawab mereka seterusnya dapat mengelakkan berlakunya konflik rumahtangga. 
1.4.4       Cadangan untuk kajian akan datang seharusnya menggunakan kajian berbentuk kuantitatif dan kualitatif agar dapat mengumpul lebih banyak maklumat mengenai peranan kaunseling di PAID Hulu Langat dalam kes-kes kekeluargaan. Selain itu, penyelidik berharap kajian yang akan datang dapat menyediakan maklumat mengenai statistik rundingcara keluarga. Ini kerana penyelidik tidak dapat menyediakannya di atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. 
1.4.5       Mutu dan perkhidmatan unit kaunseling perlu dipertingkatkan dengan lebih baik. Pengamal kaunseling harus mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang kaunseling di samping modul-modul pemulihan ke arah perkhidmatan yang bermutu pada masa akan datang.
1.4.6       Masyarakat perlu berfikiran lebih terbuka terhadap kaunselor dan tidak melemparkan tuduhan-tuduhan tanpa fakta-fakta yang terbukti kesahihannya. Pada masa kini terdapat pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan kemampuan kaunselor di dalam menangani permasalahan yang diajukan kepadanya sehingga ada yang mendesak supaya jawatan dan perkhidmatan ini dimansuhkan. Masyarakat diharapkan agar dapat mengemukakan cadangan-cadangan membina untuk perkhidmatan yang lebih berkesan dan memuaskan hati semua pihak, tidak hanya mengkritik atau membuat pelbagai kesimpulan sendiri. Bagi klien yang hadir untuk mendapatkan perkhidmatan pula, mereka perlu bertanggungjawab terhadap aduan yang dibuat, sama ada mahu meneruskan prosedur ataupun memberhentikannya kerana telah ada perubahan terhadap konflik yang dialaminya. Ia bagi tujuan penutupan fail secara rasmi dan aduan kes tidak tertangguh. Situasi sebegini berlaku kerana perkhidmatan yang diberikan diperolehi secara percuma, menyebabkan klien datang dan berurusan sesuka hati mereka.

Mudah-mudahan kajian yang lebih mendalam dapat menghasilkan keputusan yang lebih bernilai. Adalah dicadangkan agar kajian akan datang mengkaji persepsi masyarakat mengenai perkhidmatan kaunseling yang disediakan di UPK, PAID Hulu Langat seterusnya memperluaskan skop kajian. 

RUJUKAN
  1.  Al-Qur’an al-Karim.
  2.  Abdullah Fahim, Hassan Pahmi, Abd. Latif Ibrahim, Abd. Hamid Mohd. Salleh, Mohamad Saari, Fatimah Saad & Norkhalidah Abd Rashid. 1995. Rumahku Syurgaku. Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri.
  3.  Abdullah Hassan & Ainon Mohd. 1999. Kemahiran Menyelesaikan Krisis Rumahtangga. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
  4.  Abdul Manan Mulla Bar. 1990. Kaunseling dalam Konteks Budaya Islam. Kuala Lumpur : Nurin Enterprise. 
  5.  Abdu Rahman bin Ibrahim. 2001. Peranan Kaunseling dalam Dakwah: Kajian khusus di unit kerjaya dan kaunseling Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam. Tesis Sarjana. Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
  6.  Adawiyah Ismail. 2007. Kaunseling Islam ke arah pembentukan keluarga dinamik. Shah Alam : Karisma Publications Sdn Bhd.
  7.  Akmala Md. Amin. 2008. Proses Kaunseling di PAID Hulu Langat, Selangor. Temu bual. 15 Februari.
  8.  Ali haji Yaacob. 1995. Perkhidmatan Kaunseling: Kes di Tanah Suci. Kajang: Makruf Publisher & Distributors.
  9.  Al- Muslim,Abi al- Husayn Muslim ibn al-Hajjaj. 1412H/1991. Sahih. Jil.4. Kaherah: Dar al-Fikr.
  10.  Asmawati Baharuddin & Norhalim Ibrahim. 1996. Peranan Ibu Bapa. Kajang: Makruf Publisher & Distributors Sdn Bhd.
  11. Aziz Salleh. 1996. Kaunseling Islam Asas, Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
  12.  Fariza Md. Sham, Siti Rugayah Hj Tibek & Othman Hj Talib. 2006. Dakwah dan Kaunseling di Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
  13.  Fatiyah binti Mohamed Nor. 2007. Pendekatan Amalan Kaunseling Keluarga dalam menangani Konflik Rumahtangga di Pejabat Agama Islam Kuala Selangor. Latihan Ilmiah. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
  14.  Hassan Langgulung. 1979. Kaunseling dalam Masyarakat Islam. Kertas kerja Seminar Kaunseling Islam, Yayasan Dakwah Islam Malaysia, Kuala Lumpur.
  15.  Hushim Haji Salleh. 2000. Ibu, Oktober: 49.
  16.  Ida Hartina Ahmed Tharbe. 2006. Memimpin kaunseling kelompok. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn Bhd.
  17.  Ishamuddin Haji Ismail. 1993. Panduan Asas Kaunselor Muslim. Kajang : Aras Mega Sdn Bhd.
  18.  Kamal Abd. Manaf. 1995. Kaunseling Islam Perbandingan Antara Amalan dan Teori Kaunseling Barat. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
  19.  Kamal Abd Manaf. 2000. Kaunseling Islam: Satu Alternatif Baru di Malaysia. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
  20.  Kamus Dewan. 1998. Ed. Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
  21.  Malik Badri. 1996. Success With Islamic Counseling and Psychotherapy. Seminar Kebangsaan Kaunseling Islam IV, Kuala Lumpur, 26 Ogos.
  22.  Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim, Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali & Hanif Osman. 2006. Kaunseling dalam Islam. Nilai: Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Kolej Universiti Islam Malaysia.
  23.  Muhd Mansur Abdullah. 1984. Ke arah Sistem Tolongbantu Masa Kini: Satu Pengenalan. Kuala Lumpur : Penerbitan Tra Tra Sdn. Bhd.
  24.  Muhd Mansur Abdullah. 1986. Kaunseling: Teori,Proses dan Kaedah. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
  25.  Muhd. Mansur Abdullah & S. Nordinar Mohd Tamin. 1996. Proses Kaunseling. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
  26.  Raudhatuljannah bte Sarun. 2006. Peranan Unit Kaunseling & Rundingcara dalam menangani konflik pasangan bermasalah di Pejabat Agama Daerah Kluang Johor. Latihan Ilmiah. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
  27.  Rosnah Ismail. 2000. Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan Satu Kaedah Menangani Cabaran. Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.
  28.  Sabariah Siron. 2005. Teori Kaunseling & Psikoterapi. Petaling Jaya: Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn Bhd.
  29.  Sapora Sipon & Wan Anor Wan Sulaiman. 2002. Pengantar Kaunseling. Petaling Jaya: Prentice Hall.
  30.  Sheikh Ghazali. 2006. Penyelesaian kes-kes kekeluargaan Islam melalui manual kerja sulh. Penyt. Abdul Monir Yaacob & Siti Shamsiah Md. Supi. Manual Undang-undang Keluarga Islam. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.
  31.  Siti Fatimah Binti Hj Abdul Ghani. 2005. Perkhidmatan Kaunseling Sebagai Satu Alternatif Dalam Pengurusan Konflik Rumahtangga. Kertas Kerja Persidangan Kaunseling Universiti Malaya 2005. Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya, 28-29 November.
  32.  Siti Zalikhah Md. Nor. 1992. Kaunseling Perkahwinan Menurut Perspektif Islam. Petaling Jaya: Budaya Ilmu Sdn Bhd.
  33.  Tafsir Pimpinan Ar-Rahman. 2000. Kuala Lumpur: Darul Fikir.
  34.  Wan Abd. Kader Wan Ahmad & Ismail Abdul Ghani. 2006. Islam dan Kaunseling: Satu Penilaian Kritikal Terhadap Teori dan Pendekatan. Penyt. Fariza Md. Sham, Siti Rugayah Hj Tibek & Othman Hj Talib. Dakwah dan Kaunseling di Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
  35.   Wan Hussain Azmi Abdul Kadir. 1994. Kaunseling dan psikologi Menurut Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
  36.  Zainab Ismail. 2001. Proses Kaunseling Islam di Kalangan Pasangan yang Bermasalah: Satu Kajian Kes Di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Tesis Dr Fal. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
  37.  Zainon Mohamad.1991. Memahami Erti Kaunseling. Ummi, Oktober: 34.
  38.  Zawanah Muhammad. 1998. Perkhidmatan Kaunseling Perkahwinan di Jabatan-jabatan Agama Islam. Tesis Sarjana. Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
  39.  Zulkifli bin Yusof. 1992. Bimbingan Manusia dan Agama Perspektif Bimbingan Kaunseling. Kuala Lumpur: Arena Ilmu Sdn. Bhd.
  40.  Zuraidah Abdul Rahman. 1994. Kaunseling dalam Pengurusan. Shah Alam : Times Books International.

6 comments:

Mohamad Shuhmy Shuib said...

Tiada siapa yang tahu apa yang kita lalui, Tiada siapa yang mengerti seberat mana kita menanggung dihati,
Selagi kita bernama manusia, Selagi itu kita akan diuji, Walau kesakitannya begitu pedih sekali,
Teruslah melangkah jangan berhenti....

NURUL AKMAL said...

Sy mahukan

niyaz izazi said...

Ada bayarankah yg dikenakan untuk 1 sesi kaunseling?

mohd shahrizan said...


Assalamualaikum ustaz maaf menganggu.saya dan suami ada masalah baru2 ni kami bergaduh. Saya nak tanya ustaz,suami saya ada melafazkan cerai 'aku ceraikan kau' tanpa sengaja dan tanpa berfikir. di sebab kan die nak bermalam di rumah keluarga nya. Keluarga suami saya baru pindah ke rumah lain. Suami mengajak saya dduk sekali dengan keluarga nya. Saya tiada bantahan saya ikut saja. Tetapi kami tiada bilik untuk dduk di rumah keluarga nya kerana adik beradik suami sy ramai masing2 tidak berkahwin lagi. Suami saya anak ke 2 drpd 10 org. Yang lain mahukan bilik sendiri. Saya ajak suami balik ke rumah sewa kami. Suami dengan berat hati xnak balik. Saya balik kerja kepenatan jam 2pagi saya ajak suami balik. Saya jugak yg drive kereta suami saya tidur sebelah. Die menutup pintu kereta dengan kuat kerana berat hati nak balik ke rumah sewa kami. Kami bergaduh sampai lah suami melafazkan cerai tanpa sengaja dan tanpa berfikir. Kemudian suami saya memujuk saya semula. Adakah talak sudah jatuh ustaz?

RiZna IriNa said...

assalamualaikum..ustaz maaf nk bertanya..bkal suami masih dalam iddah..salah ke jika kami nikah khitbah dlu dari kami melakukan dosa??cdangan nikah khitbah ni dari imam putrajaya..tp keluarga sy takut lakukan nikah khitbah tersebut

RiZna IriNa said...

assalamualaikum..ustaz maaf nk bertanya..bkal suami masih dalam iddah..salah ke jika kami nikah khitbah dlu dari kami melakukan dosa??cdangan nikah khitbah ni dari imam putrajaya..tp keluarga sy takut lakukan nikah khitbah tersebut