Saturday, December 29, 2007
CARA MENGAWAL STRESS
CARA KAWAL STRESS
Masalah di tempat kerja, kesesakan lalulintas dan kesibukan melayan kerenah anak – anak di rumah amat memeningkan kepala. Kadangkala tension jadinya. Dalam erti kata lain, anda sebenarnya mengalami stress atau tekanan.
Stress merupakan penyakit emosi yang tidak dapat dipisahkan di dalam kehidupan kita. Pada umumnya, stress ialah ancaman terhadap individu. Ia lahir daripada perubahan luaran atau dalaman yang melebihi keupayaan individu untuk mengendalikannya sehingga menjejaskan kehidupan harian.
Menurut Dr. Anisah Omar dari Jabatan Psikiatri, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) ketika membentangkan kertas kerja mengenai stress dalam Program Wacana Wanita di Yayasan Dakwah Islamiah, Kuala Lumpur baru – baru ini kita tidak dapat lari dari masalah tekanan, tetapi kita perlu tahu cara mengawalnya agar tidak menjejaskan kehidupan.
TANDA – TANDA STRESS
Tanda – tanda stress boleh dibahagikan kepada empat iaitu fizikal, psikologikal, tingkah laku dan sosial.
TANDA FIZIKAL
1. Sakit kepala.
2. Cepat penat, lemah, letih, tidak bermaya dan banyak berpeluh.
3. Berdebar – debar, sakit dada, sesak nafas seolah – olah sakit jantung.
4. Cirit – birit, kerap buang air dan mudah mendapat penyakit fizikal seperti asma, sakit jantung, darah tinggi dan diabetis.
5. Penyakit kulit dan kanser. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan keadaan pesakit bergantung kepada turun naik emosi. Penyakit barah misalnya, lebih cenderung mengalami stress. Kajian juga menunjukkan sesiapa yang mengalami stress yang tinggi, mati dalam usia yang muda.
TANDA PSIKOLOGIKAL
Tension, tidak tenang, risau, resah, murung, sedih, cepat marah (moody) dan cepat bosan.
TANDA SOSIAL
1. Hubungan antara suami, isteri, jiran dan rakan sekerja yang terjejas.
2. Penyalahgunaan dadah.
3. Menghisap rokok secara berlebihan.
4. Kemalangan.
5. Selalu ponteng kerja.
6. Produktiviti merosot.
PUNCA – PUNCA STRESS
Keadaan Fizikal
1. Persekitaran yang kotor, bising, sesak sama ada di rumah atau di tempat kerja.
2. Penyakit fizikal seperti penyakit jantung.
Psikologikal
Berlakunya perubahan yang memerlukan penyesuaian seperti :
1. Perubahan tempat kerja seperti majikan, rakan atau persekitaran yang baru.
2. Memulakan alam rumahtangga.
3. Kehilangan orang yang tersayang atau harta benda.
4. Berasa tercabar atau terancam. Contohnya, lambat datang kerja menimbulkan perasaan takut dimarahi bos, bersalah terhadap dosa yang dilakukan atau gagal penuhi cita – cita.
STRESS DI TEMPAT KERJA
Kebanyakan mereka yang mengalami stress terdiri daripada golongan yang bekerja. Terdapat beberapa keadaan yang boleh menyebabkan stress. Antaranya :
1. Pekerjaan yang terdedah kepada kecederaan dan keselamatan.
2. Beban kerja terlampau banyak.
3. Bekerja dalam tempoh yang panjang.
4. Terlibat dengan oarang ramai seperti jururawat dan doktor.
5. Hubungan antara organisasi. Contohnya, tidak boleh menyesuaikan diri dengan rakan sekerja dan adakalanya bertentangan dengan peribadi, kepercayaan atau agama.
6. Konflik peranan.
7. Kekaburan tugas.
8. Sikap ketua di tempat kerja.
Namun, buakan semua orang yang menghadapi stress akan mengalami kesan yang sama. Tindak balas terhadap stress bergantung kepada personaliti seseorang itu. Antara personaliti tersebut ialah:
Personaliti A
Personaliti ini banyak dikaitkan dengan penyakit yang berkaitan dengan stress seperti jantung dan darah tinggi. Biasanya seseorang yang mempunyai personaliti A bercita – cita amat tinggi, motovasi diri yang tinggi, kuat bekerja, selalu sibuk dan cemas serta sentiasa mementingkan kerja manakal hal – hal lain adalah tidak penting.
Golongan ini banyak mneghabiskan masa untuk bekeja tanpa fikirkan keseronokan. Golongan ini juga kurang mempunyai hubungan dengan orang lain. Mereka selalunya tidak dapat menerima kegagalan.
Personaliti B
Individu yang tenang, membuat kerja satu persatu, tidak terburu – buru mempunyai ekspektasi yang realistik dan boleh menerima kegagalan. Golongan ini boleh mengendalikan stress dengan baik,
Personaliti Bimbang
Individu yang mudah risau dan tension dalam apa jua keadaan walaupun hanya melibatkan perkara kecil.
Personaliti Tidak Asertif
Individu yang berpesonaliti seperti ini biasanya tidak selesa meluahkan perasaan marah, tidak seronok atau tidak suka. Lebih suka memendam perasaan dan tidak selelsa menerima pertolongan orang lain serta menanggung segala beban sendiri. Golongan ini juga tidak boleh mengatakan tidak.
CARA MENGENDALIKAN STRESS
1. Sokongan Sosial daripada keluarga, rakan sekerja dan ketua
2. Mengubah persekitaran, tindakbalas dan persepsi. Kenal pasti tempat baru yang akan dituju agar dapat mengurung stress.
3. Menanam tabiat yang dapat meningkatkan rintangan terhadap stress. Contohnya, mengamalkan cara hidup yang sihat, pemakanan yang seimbang, mengimbangi kehidupan kita dan melakukan kerja secara tenang.
4. Ambil masalah yang dihadapi secara positif. Contohnya, anggaplah segala musibah yang datang sebagai penghapus dosa. Kesedihan, kesusahan di dunia adalah kegembiraan di akhirat.
5. Meluahkan perasaan dan berkongsi masalah.
6. Mengendalikan perasaan dan masalah secara berkesan.
7. Melakukan sesuatu untuk menghilangkan kebosanan.
8. Membentuk jaringan sokongan yang baik, pengurusan masa, perubahan persepsi dan menerima kenyataan.
9. Mengimbangi aktiviti.
10. Ubahsuai prinsip hidup.
11. Menerima stress sebahagian dari hidup.
MEMANFAATKAN MASA ANDA DENGAN SEBAIK – BAIKNYA
Anda perlu mengawal kehidupan anda kalau andamahu mengurus masa dengan berkesan. Kehidupan yang teratur menjadikan anda mempunyai masa untuk segala urusan, untuk merancang, bertindak dan membuat tindakan susulan. Masa tidak digunakan untuk menyesal, atau untuk cuba melalui kehidupan yang lalu, atau untuk menjelaskan sebab mengapa sesuatu yang diperlukan tidak dilakukan.
Pengurusan masa ialah bidang yang pesat menjadi lebih penting dalam kehidupan peribadi individu dan dalam struktur korporat, terutama berhubung dengan pengurus daripada pentadbir atasan kepada penyelia peringkat pertama. Pengurusan masa yang baik mendatangkan faedah dari segi penjimatan kos projek dan penggunaan sumber yang paling berharga dalam organisasi, iaitu manusia. Menurut Peter F. Drucker, “ Masa merupakan sumber yang paling sukar didapati dan tiada sesuatu pun yang dapat diurus kecuali masa diurus.”
Terdapat begitu banyak aspek “ sistem ” yang juga dilaksanakan bagi memperbaiki mutu penggunaan masa. Contoh sistem itu ialah: jenis meja yang anda gunakan, cara mewujudkan sistem fail yang baik, cara mengadakan sistem yang baik untuk mendapat kembali maklumat, dan menyelia begitu banyak peranti lain yang menjimatkan masa dan kerja. Walau bagaimanapun, sisem tersebut mesti diadakan mengikut tujuan dan jenis organisasi serte individu yang menggunakannya.
Tetapi jauh lebih penting daripada sebarang alat atau sistem ialah kesedaran tentang pentingnya pengurusaan masa yang baik dan matlamat serta objektif yang dapat dicapai oleh individu serta organisasi.
Penyelidikan yang dijalankan oleh penulis tentang tajuk pengurusan masa menghasilkan kesimpulan bahawa terdapat lima faktor utama yang mustahak bagi memperbaiki pengurusan masa.
Penggunaan masa mengikut kebiasaan
Sesungguhnya manusia sangat terikat dengan kebiasaan. Cara kita menghabiskan masa banyak mengikut kebiasaan. Kebanyakan orang tidak benar – benar berfikir secara sedar tentang cara mereka menghabiskan masa. Tentang penggunaan masa mengikut kebiasaan, pakar pengurusan masa Merill E. Douglass menyatakan :
Cara anda menghabiskan masa menentukan cara anda menjalani kehidupan – dan itulah diri anda sebenarnya. Hari esok berkaitan dengan hari ini sama seperti hari ini berkaitan dengan semalam.
Douglass mencabar pembacanya supaya memikirkan cara mereka menghabiskan masa mereka sekarang. “ Belajar mengawal masa anda bermakna mengubah sesetengah kebiasaan penggunaan masa anda. Tetapi anda tidak dapat mengubah kebiasaan penggunaan masa sebelum anda terlebih dahulu mengetahui kebiasaan itu ”. Douglass mencadangkan anda menyimpan rekod tentang cara anda menghabiskan masa selama seminggu dua, atau lebih jika perlu. Catat apa saja yang anda buat semasa anda melakukannya supaya anda tidak terlupa sesuatu pun. Pada setiap hujung minggu, ringkaskan apa yang anda buat dan periksa peratusan masa yang dihabiskan bagi setiap aktiviti. Kemudian periksa sebanyak mana masa itu yang benar – benar digunakan untuk aktiviti yang berorientasikan matlamat dan diberi keutamaan serta banyak mana pula aktiviti yang tanpa tujuan, berulang – ulang dan berkeutamaan rendah.
Ketika menulis sebuah lagi rencana tentang pengurusan masa, En. Rotenbury menggunakan model Norris/Gottfried untuk menunjukkan analisis tentang penggunaan masa yang harus diamalkan oleh pengurus dalam hari biasa :
Masa Hasil – 50 peratus daripada hari biasa. Dalam masa ini pengurus berfungsi dalam batas kepakaran teknikalnya sendiri. Masa ini merangkumi : keputusan yang mendatangkan faedah segera, masa penugasan, penyelesaian masalah,surat – menyurat dan membuat keputusan.
Masa Pelaburan – 25 peratusdaripada hari biasa. Menentukan program jangka panjang, merancang dan menghasilkan penyelesaian alternatif merupakan contoh masa pelaburan.
Masa Organisasi – 15 peratus daripada hari biasa. Masa ini untuk tugas pentadbiran : laporan, persidangan dan mesyuarat eksekutif.
Masa Terbuang – 10 peratus daripada hari biasa. Masa ini termasuk aktiviti tidak produktif, masalah tidak dirancang dan yang seumpamanya.
Nilai yang didapati daripada amalan merekod, menganalisis dan mengemaskinikan sistem untuk mengesan penggunaan masa amat perlu ditekankan.menurut Merill Douglass, hampir semua orang membuang masa sekurang – kurangnya dua jam setiap hari. Dengan menganalisis cara anda menggunakan masa, anda akan mempunyai lebih banyak masa budi bicara, iaitu satu – satunya masa yang sebenarnya anda kawal. Senaraikan perkara yang mesti dilakukan.perkara yang masih ada dalam senarai hari ini haruslah dipindahkan ke dalam esok kecuali sudah terlewat atau tidak begitu penting sehingga boleh digugurkan daripada senarai baru. Jangan simpan senarai sampai berhari – hari; senarai untuk ditulis semula, dibatalkan dan dikoyak. Pendek kata, buat senarai baru setiap hari dan cuba kelompokkan tugas yang serupa.
Penetapan matlamat
Sesudah membuat analisis tentang bagaiman kita kini menghabiskan masa, haruslah nyata kepada kita bagaimana kehidupan kita diimbangkan dalam kaitannya dengan pelbagai aspek kehidupan kita. Aspek tersebut termasuk kerjaya, keluarga, pembangunan sosial dan diri, dan matlamat rohaniah. Mengenai matlamat, Merill Douglass menyatakan :
Kebanyakankita tidak begitu memikirkan matlamat. Kita cuma bergerak balas atau berinteraksi terhadap tekanan daripada oarang atau benda lain. Jika anda mahu mengawal masa dan kehidupan anda sendiri, anda mestilah memutuskan matlamat anda. Orang lain tidak dapat melakukannya untuk anda. Oleh sebab kita cenderung menemui apa yang kita cari, maka kita perlu mengejar matlamat peribadi yang betul.
Rancang masa anda dengan menetapkan matlamat, iaitu matlamat tentang perkara yang ingin anda buat, yang dibahagikan kepada objektif jangka panjang dan jangka pendek. Tentukan masa yang anda cadang diuntukkan bagi setiap matlamat yang anda tetapkan. Ini melibatkan rancangan tindakan untuk sehari – hari di samping untuk matalamat sepanjang hayat.
Dalam hari anda, tekankan dua tiga perkara utama yang ingin anda laksanakan dan bukan membuat keropas – kerapis daripada segala kerja. Matlamat anda haruslah khusus, iaitu dipecahbahagikan kepada objektif yang konkrit, di samping boleh dicapai dengan munasabah.
Sebaik sahaj matlamat anda ditetapkan, anda perlu menentukan keutamaan. Nilai matlamat anda mengikut pentingnya. Selepas anda menyusun matlamat serta objektif anda mengikut sistem keutamaan, anda mesti tumpukan usaha pada matlamat serta objektif yang paling penting bagi anda.
Matlamat harus menjadi bahagian penting daripada kehidupan anda. Di samping menjadi alat untuk mengurus masa dengan lebih baik, matlamat boleh mendatangkan kesan kedua dengan mengurangkan tekanan dalam kehidupan kita seharian. Dengan menetapkan matlamat dalam ruang kehidupan perniagaan dan kehidupan peribadi, kita boleh mendapat gambran yang lebih baik tentang diri kita dan tempat yang kita tujui.
Keutamaan
Proses mnetapkan keutamaan melibatkan perancangan. Tentang perancangan, Profesor Hibbard dan Profesor Landrum berkata :
Sekalipun perancangan memakan masa pada peringkat awal, perancangan mengimbangi masa itu secara berlebihan dengan mendatangkan hasil yang lebih baik dan dengan menjimatkan masa dalam pelaksanaan sebenar aktiviti. Jadi luangkan masa untuk merancang. Jangan terlibat dalam pengurusan krisis. Supaya anda dapat merancang dan menentukan keutamaan dengan betul, manfaatkan awal atau akhir hari untuk menetapkan matlamat harian dan menyusunnya mengikut mana yang lebih penting.
Para penulis berpendapat bahawa keutamaan harus ditetapkan setiap hari. Tulis semua perkara yang anda rancang lakukan pada esok hari dan kemudiannya nilaikannya mengikut mana yang lebih penting: “A”, “B” atau “C”. Pupuk kebiasaan merancang setiap hari. Tulis matlamat dan rancangan anda dalam senarai harian dan ikut senarai itu. Ini merupakan cara yang sangat cepat untuk mengawal masa anda dengan lebih baik. Sebenarnya, anda menganalisis cara anda menggunakan masa sebelum bertindak – sewaktu anda masih dapat mengubahnya. Perancangan matlamat kecil tiap – tiap hari amat mustahak bagi mengurus masa dengan baik. Keutamaan mesti ditetapkan supaya perancangan matlamat harian menjadi lebih berkesan.
Dengan menjadualakan masa anda secara berkesan melalui penetapan keutamaan, anda belajar mengelak daripada membuat komitmen berlebihan. Mempelajari waktunya dan caranya untuk menjawab “tidak”kerana komitmen yang berlebihn mengurangkan keberkesanan diri anda. Ketidakupayaan untuk menumpukan perhatian pada matlamat penting selalunya kerana anda memberikan masa yang sedikit untuk segala urusan, bukan kerana menumpukan masa yang banyak pada beberapa perkara sahaja. Menetapkan keutamaan memaksa anda menugaskan tanggungjawab kepada orang lain kerana anda mesti menggunakan waktu perdana anda dengan sebaik – baiknya.
Lebih banyak yang dapat anda lakukan dalam masa yang ada melalui penjadualan yang berkesan. Langkah pertama adalah untuk meluangkan sedikit masa setiap hari untuk berfikir, merenung dan merancang. Ini seharusnya masa yang tenang untuk menyusun fikiran anda. Perkara ini amat penting. “Masa tenang” memastikan kesempatan untuk berfikir dan merancang. Masa tenang bukanlah idea yang baru sama sekali. Dari semasa ke semasa pengurus yang berkesan menutup pintu dan meminta setiausaha mereka atau operator telefon menjawab panggilan supaya mereka mendapat masa untuk menumpukan fikiran tanpa gangguan. Kita semua mempunyai waktu perdana, iaitu sejam dua setiap hari apabila kita dapat berfikir secara kreatif dan bekerja dengan kecekapan puncak (maksimum). Bagi sesetengah orang, masa perdananya pada awal pagi, manakal bagi yang lain, pada lewat malam. Masa inilah yang digunakan untuk menyediakan ucapan, menulis kertas kerja, atau menyiapkan yang ketinggalan dengan segera. Pengurus yang paling berkesan dapat mengatur masa budi bicara mereka supaya bertepatan dengan masa puncak. Orang yang tidak suka bangun pagi tetapi bekerja dengan lebih baik pada waktu malam boleh “menandatangani buku keluar”. Orang lain pula boleh bermula awal bagi mengelakkan gangguan. Pendek kata, anda harus menggunakan waktu perdana ntuk tugas penting, berfikir dan merancang.
Dengan menganalisis penggunaan masa, dengan menetapkan matlamat dan keutamaan, kehidupan anda mejadi teratur; anda mengatasi halangan besar kepada usaha mengurus pejabat, perniagaan atau rumahtangga dengan cekap. Dengan kehidupan yang lebih teratur di pejabat atau di rumah, anda mempunyai kefahaman yang lebih jelas tentang kerja penting yang perlu diurus dahulu. Begitu banyak masa yang terbuang setiap hari desebabkan kecelaruan yang ketara di kebanyakan pejabat perkara ini jelas sekali tergambar pada keadaan meja seseorang.
Meja seharusnya merupakan alat bagi orang yang memerlukannya untuk menjalankan kerja. Mja bukan kabinet bai menyimpan sebarang barang lama yang terkumpul. Mja anda haruslah berfungsi, bukan sekadar sedap dipandang. Laci meja harus digunakan sebagai tempat simpanan sementara bagi benda yang sentiasa diperlukan untuk menjalankan kerja. Sekiranyaanda tidak memerlukan laci, jangan gunakan meja yang berlaci kerana ini boleh menjadi tempat barang – barang berselerak.
Fail juga harus disusun bagi membolahkan maklumat diperolehi kembali dengan cepat, bukan menjadi penghalang. Fail perlu dilabel dengan baik dan diatur mengikut susunan yang mudah bagi memastikan bahan berfail dapat dicari dalam beberapa saat sahaja. Fail harus disusun mengikut kategori aktif, tidak aktif dan buangan. Hanya fail aktif perlu disimpan berdekatan dengan meja anda. Buang fail buangan dan alihkan fail tidak aktif ke ruang yang lebih endah kosnya. Sebaik sahaja ini dilakukan, teruskan amalan mengemas – kinikan fail.
Mengatur keadaan meja dan kaedah mengendalikan bahan bertulis merupakan contoh keutamaan asa dalam mana – mana jenis operasi. Proses penetapan keutamaan memastikan keperluan asas bagi mengurus pejabat atau perniagaan tidak diketepikan atau dipandang rendah
Komunikasi
Dalam satu kajian, 74 peratus daripada pengurus yang diambil sebagai sampel daripada syarikat di Amerika Syarikat, Great Britain dan Jepun mangatakan bahawa satu – satunya rintangan terbesar kepada kecemerlangan korporat ialah kegagalan komunikasi. Pernah dikatakan bahawa komunikasi pada organisasi sama seperti darah pada badan – tanpanya kedua – duanya akan mati.
Komunikasi yang berkesan akan menghasilkan kejelasan, kefahaan, komitmen dan kreativiti. Supaya kejelasan dan kefahaman diperoleh, saluran komunikasi yang menega mestilah dibuka. Orang bawahan berhak ntuk mengetahui sesuatu yang dikehendaki oleh penyelia daripada mereka. Mereka mesti diberi maklumat yang berkaitan dengan segera, dengan ringkas lagi padat dan secara lansung. Bukan sahaja komunikasi ke atas daripada orang bawahan kepada penyelia mesti juga diadakan. Komunikasi ini boleh digalakkan oleh penyelia kalau dia bersungguh – sungguh meminta maklum balas; dengan meminta, mengakui dan menghargai idea yang dikemukakan; dengan bersikap fleksibel dalam megambil kira perbaikan yang dicadangkan orang bawahan. Langkah ini akan menghasilkan komitmen dan kreativiti pada pihak orang bawahan; dan pengurusan masa tidak mungkin menjadi masalah sekiranya ada orang yang komited lagi kreatif.
Pelengahan
Pelengahan merupakan halangan besar bagi hampir semua orang yang ingin memperbaiki penggunaan masanya. Terdapat tiga sebab yang membawa kepada pelengahan : (1) kerja yang tidak menyenagkan, (2) projek yang sukar dan (3) tidak dapat membuat keputusan.
Bagi kebanyakan orang, kerja yang tidak menyenangkan menjadi satu sebab terbesar mereka berlengah – lengah. Kita cenderung menangguhkan kerja kerana membuatnya tidak menyenangkan. Dengn kata lain, kita tidak mendapat sebarang kepuasan dengan melakukan kegiatan berkenaan. Menangguhkan kerja yang tidak menyenangkan, tetapi akhirnya perlu dibuat, hanya menjadikannya lagi tidak menyenangkan. Satu penyelesaian terletak pada cara kegiatan harian dijadualkan. Kerja yang anda dapati paling tidak menyenangkan dan kerap anda tunda hendaklah dijadualkan dahulu. Dengan cara itu anda, dapar membereskannya dengan cepat, lalu anda bebas untuk menumpukan perhatian pada kerja yang selebihnya pada hari itu.
Cara lain untuk menangani kerja yang tidak menyenagkan : menganalisis kerja untuk memahami apa yang menjadikannya tidak menyenangkan; menggarap kerja yang tidak menyenangkan sedikit demi sedikit, dengan melakukannya selama lima atau sepuluh minit pada satu – satu, beklajar cara untuk mengenali beberapa aktiviti kritikal yang perlu anda buat dan menumpukan perhatian untuk melakukannya dahulu. Haris Rotenbury mengesorkan : “ Tetapkan batas waktu bagi setiap matlamat. Inilah cara yang sebaik – baiknya untuk mempercepat perlaksanaan kerja.”
Punca kedua perlengahan, iaitu kerja yang sukar, memerlukan pendekatan memecah – mecahkan kerja kepada unit yang kecil dan menumpuka perhatian pada sebahagian demi sebahagian. Ini dapat dilakukan samada dengan memecahkan unit mengikut kandungan atau mengikut masa yang dperuntukkan bagi setiap subunit. Melalui kaedah ini kerja yang rumit menjadi beberapa kerja yang lebih muda. Dengan itu, kita mendapat perspektif yang lebih baik tentang titik permulaan kerja. Sebaik sahaja kerja dimulakan, bahagian yang kecil – kecil tadi dapat diselitkan dengan lebih mudah. Selalunya kita mengelakkan kerja yang sukar semata – mata kerana kita tidak tahu diaman hendak bermula.
Punca ketiga perlengahan ialah kita tidak dapat membuat keputusan. Semua orang mahu membuat keputusan yang betul bagi mengelakkan natijah yang tidak memuaskan. Langkah yang paling baik adalah dengan mengumpulkan segala maklumat yang ada, membuat keputesan berkenaan dan kemudian beralih kepda perkara lain. Lebih – lebih lagi jangan asyik berasa risau dan berbuat kecoh atau mengolah semula masalah. Jika ada sesuatu yang tidak kena dengan keputusan anda, anda boleh menanganinya apbila masalah itu timbul.
Sarjana dalam bidang pengurusan masa mengesorkan dua cara untuk mengelakkan perlengahan. Pertama, jelaskan objektif anda, pastikan apa yang sebenarnya ingin kita lakukan. Syor yang kedua, pupuk kebiasaan merancang etiap hari. Tulis butir – butir perkara yang hendak anda siapkan setiap hari, kemudian kerjakannya bermula dengan yang paling penting dahulu. Akhirnya seperti mana – mana masalah, perlengahan dapat diatasi melalui tindakan positif.
Friday, November 30, 2007
SKIM PENCEN
SKIM PENCEN
KEFAHAMAN KEPADA SKIM PENCEN
OBJEKTIF SKIM PENCEN
a. Mengadakan satu bentuk penghargaan kepada pegawai dalam sektor awam yang telah berkhidmat dengan baik dan taat setia;
b. Mengadakan satu bentuk saran hidup kepada pegawai sektor awam selepas bersara;
c. Mengadakan satu bentuk saran hidup kepada keluarga pesara;
d. Mengadakan satu bentuk galakan supaya pegawai terus kekal berkhidmat dengan Kerajaan untuk menjamin kecekapan;
e. Mengadakan satu bentuk skim tukar ganti bagi menggantikan pegawai yang tidak produktif dengan pegawai yang produktif dan
f. Memberi perlindungan keselamatan sosial kepada pegawai sektor awam semasa menjalankan kewajipan tugas rasmi.
UNDANG-UNDANG
2.1 Skim pencen adalah satu skim saran hidup yang digubal melalui peruntukan undang-undang. Ia diberi perlindungan di bawah Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan. Di antaranya ialah, seseorang pegawai yang telah diberi suatu pengharapan yang sah di sisi undang-undang untuk diberi faedah-faedah di bawah skim pencen tidak boleh dinafikan haknya dan menikmati faedah itu jika ia telah berkelayakan. Jika undang-undang pencen dipinda, pindaan itu tidak boleh membawa kepada suatu faedah yang kurang baiknya dari faedah yang sedang disediakan.
Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan:
“undang-undang yang dipakai bagi apa-apa pencen, ganjaran atau lain-lain elaun sepertinya (dalam perkara ini disebut sebagai “ award”) yang diberi kepada seseorang anggota mana-mana perkhidmatan awam, atau kepada balunya, anaknya, orang tanggungjawabnya, atau wakil dirinya ialah undang-undang yang berkuatkuasa pada hari yang berkaitan atau apa-apa undang-undang kemudiannya yang tidak kurang bakinya kepada orang yang diberi award itu”.
2.2 Di Negara kita, terdapat beberapa undang-undang pencen yang mentadbirkan skim pencen. Ada undang-undang pencen untuk Anggota-Anggota Pentadbiran seperti Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri Kerajaan Persekutuan. Ada undang-undang pencen untuk Hakim-Hakim, Ahli-Ahli Parlimen serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan ada undang-undang pencen untuk Pasukan Angkatan Tentera.
2.3 Skim Pencen untuk pegawai dalam Perkhidmatan Awam, Badan Berkanun dan Kuasa Tempatan ditadbirkan di bawah undang-undang pencen seperti berikut:
PERKHIDMATAN
AKTA PENCEN
PERATURAN PENCEN
Perkhidmatan Awam Persekutuan dan Negeri
Akta Pencen 1980, Akta 227
Peraturan-Peraturan Pencen 1980
Badan Berkanun dan Kuasa Tempatan
Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980, Akta 239
Peraturan-Peraturan Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun Dan Tempatan 1990
3. KELAYAKAN ASAS
Pencen, ganjaran dan lain-lain faedah bukan suatu hak mutlak. Tiada mana-mana pihak layak untuk menuntut di bawah mana- mana undang-undang, untuk mendapat sebarang pampasan ke atas perkhidmatan yang telah diberikan kepada kerajaan. Ketetapan ini terkandung di bawah Seksyen 3(1) Akta 227 atau Akta 239. Cabutan dari Seksyen 3 Akta 227 adalah seperti berikut:
“Tiada seseorangpun boleh mempunyai hak mutlak untuk mendapat pampasan bagi perkhidmatan yang lepas atau untuk mendapat apa-apa pencen, ganjaran atau lain-lain faedah di bawah Akta ini”.
3.2 Walaupun faedah pencen bukan suatu hak mutlak, undang-undang di bawah Seksyen 9 Akta 227/239 memperuntukkan suatu kelayakan untuk memberi faedah-faedah itu kepada seseorang pegawai yang berkelayakan iaitu pegawai berpencen atau pekerja berpencen (pegawai/pekerja tetap yang telah diberi taraf berpencen)
3.3 Tertakluk kepada syarat-syarat tertentu, faedah-faedah itu boleh diberi kepada pegawai berpencen jika bersara atau dibersarakan dari perkhidmatannya melalui jenis-jenis persaraan yang diperuntukkan. Cabutan dari Seksyen 9 (1) Akta Pencen 1980, Akta 227 adalah seperti berikut:
“Yang Di Pertuan Agong boleh memberi pencen, ganjaran dan lain-lain faedah kepada seseorang pegawai berpencen apabila:-
(a) Dipaksa bersara di bawah Seksyen 10; dan
(b) Memilih bersara di bawah Seksyen 12 setelah genap tempoh perkhidmatan tidak kurang daripada sepuluh tahun perkhidmatan yang boleh dimasukkira; atau
(c) Bersara di bawah Seksyen 11”
3.4 Di bawah Seksyen 9 (2) Akta, faedah pencen boleh diberi kepada pegawai berpencen yang bersara di bawah Seksyen 12A (disifatkan sebagai telah bersara dari perkhidmatan apabila dilantik untuk berkhidmat dalam mana-mana organisasi yang diluluskan oleh kerajaan). Syaratnya, ia hendaklah berkhidmat secara berterusan di mana organisasi itu selama tidak kurang dari 5 tahun secara berterusan.
3.5 Jika pegawai berpencen meninggal dunia dalam perkhidmatan, tanggungan layak diberi ganjaran dan pencen terbitan atau hanya ganjaran terbitan sahaja. ( Seksyen 14 Akta 227 atau Seksyen 15 Akta 239). Jika tiada tanggungan yang berkelayakan, wakil dirinya yang sah di sisi undang-undang akan diberi ganjaran terbitan sahaja. Syaratnya, pegawai tetap itu telah disahkan dalam jawatannya. Jika dilantik pada atau selepas 12.4.91, pegawai itu telah memilih skim pencen sebelum disahkan dalam jawatannya.
4. PEGAWAI / PEKERJA BERPENCEN
Untuk mendapat taraf sebagai seorang “Pegawai / Pekerja Berpencen”, seseorang pegawai / pekerja tetap hendaklah, selepas melalui tempoh percubaan dengan jayanya, diperakukan oleh Ketua Jabatannya untuk diberi taraf berpencen kepada pihak berkuasa yang berkenaan. Selepas diluluskan oleh pihak berkuasa yang berkenaan, barulah ia boleh dipanggil sebagai “Pegawai / Pekerja Berpencen”.
KUASA MEMBERI TARAF BERPENCEN
(a) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia: Untuk memberi taraf berpencen kepada pegawai dalam perkhidmatan awam persekutuan.
(b) Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan: Untuk memberi taraf berpencen kepada pegawai dalam perkhidmatan Pendidikan.
(c) Suruhanjaya Perkhidmatan Polis: Untuk memberi taraf berpencen kepada pegawai dalam Perkhidmatan Polis.
(d) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri: Untuk memberi taraf berpencen kepada pegawai dalam perkhidmatan Awam Negeri.
(e) Pihak Berkuasa Pencen: Untuk memberi taraf berpencen kepada pekerja di Badan Berkanun dan Kuasa Tempatan. Pihak Berkuasa Pencen ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) atau mana-mana pegawai yang diberi penurunan kuasa secara bertulis mengikut peruntukan di bawah Seksyen 2 untuk melaksanakan tugas Pemberian taraf berpencen di bawah Seksyen 6 Akta 239.
5. JENIS-JENIS PERSARAAN
Faedah-faedah di bawah skim pencen hanya boleh diberi kepada pegawai berpencen yang bersara atau yang dibersarakan dari perkhidmatan melalui salah satu dari 11 jenis persaraan di bawah Seksyen 10, 11, 12, dan 12A Akta 227 atau Akta 13 Akta 239 seperti berikut:-
i. Persaraan paksa/wajib kerana mencapai umur 56 tahun.
ii. Persaraan atas sebab penghapusan jawatan
iii. Persaraan atas sebab penyusunan semula organisasi
iv. Persaraan atas sebab ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam
v. Persaraan atas sebab kesihatan
vi. Persaraan atas sebab kewarganegaraan
vii. Persaraan atas sebab memberi maklumat palsu bagi maksud perlantikan
viii. Persaraan atas sebab kepentingan negara
ix. Persaraan atas sebab kepentingan perkhidmatan awam/BBKT
x. Persaraan atas pilihan sendiri dan
xi. Persaraan setelah dilantik berkhidmat dalam mana-mana pertubuhan yang diluluskan oleh Kerajaan
6. FAEDAH-FAEDAH PERSARAAN
Ganjaran:
Suatu bentuk faedah persaraan yang dibayar sekali gus. Terdapat 2 jenis ganjaran :
Ganjaran perkhidmatan – dibayar kepada pesara
Ganjaran Terbitan – dibayar kepada tanggungan pegawai berpencen yang meninggal dunia dalam perkhidmatan
Pencen:
Suatu bentuk saran hidup yang dibayar setiap bulan. Terdapat 4 jenis pencen:
Pencen Perkhidmatan – dibayar terus kepada pesara
Pencen terbitan – dibayar kepada balu/duda dan anak-anak;
Pencen hilang upaya – dibayar kepada pesara sebagai tambahan kepada pencen perkhidmatan kepada pesara yang bersara atas sebab kesihatan yang berpunca dari mendapat bencana yang melayakkan yang bukan atas sebab kecuaian diri sendiri;
Pencen tanggungan – dibayar kepada balu, anak-anak sebagai tambahan kepada pencen terbitan apabila pegawai meninggal dunia dalam perkhidmatan yang berpunca dari mendapat bencana yang melayakkan yang bukan atas kecuaian diri sendiri;
Atau dibayar kepada balu dan anak-anak apabila pesara yang menerima pencen hilangupaya meninggal dunia dalam tempoh 7 tahun dari tarikh mendapat bencana.
Pencen tanggungan ini juga dibayar kepada ibu dalam tanggungan pesara / pegawai.
GANTIAN CUTI REHAT/GCR:
Satu lagi faedah di bawah skim pencen ialah ‘Award wang tunai gantian cuti rehat/GCR’. Di bawah peraturan 21 Peraturan-Peraturan Pencen 1980, faedah ini boleh dibayar kepada pegawai persekutuan yang gajinya dibayar dari peruntukan persekutuan. Faedah GCR adalah berbentuk award wang tunai bagi menggantikan cuti rehat yang tidak dapat diambil atas sebab kepentingan perkhidmatan. Amaun GCR adalah dihitung mengikut formula : 1/30 X cuti rehat X (gaji akhir + imbuhan tetap). Jumlah cuti rehat adalah tertakluk tidak melebihi 90 + 30 hari = 120 hari. Jumlah cuti rehat yang telah dikumpul bagi GCR sehingga 31/12/2002 diambilkira setakat 90 hari sahaja. Nilai maksimum amaun GCR adalah lebih besar dari 8 bulan pencen maksimum. (PP bil 7/2003 yang berkuatkuasa mulai 1/8/2003).
Award ini dibayar kepada pegawai pada hari terakhir sebelum tarikh bersara. Jika pegawai meninggal dunia, award wang tunai ini boleh dibayar kepada balu/anak-anak dengan segera. Prosedur memohon faedah ini adalah mengikut Pekeliling Perkhidmatan 7 tahun 2003. Permohonan dari perkhidmatan awam Persekutuan hendaklah dikemukakan dalam tempoh 3 bulan sebelum tarikh bersara wajib ke JPA Bahagian Pencen dengan mengemukakan borang JPA.BP.UMUM.B02.Pin. bersama-sama dokumen memohon faedah ganjaran dan pencen. Permohonan dari perkhidmatan lain hendaklah dikemukakan kepada pihak berkuasa masing-masing.
PENYELARASAN PENCEN
Apabila Kerajaan Persekutuan memberi penyelarasan gaji kepada pegawai dalam sektor awam, Kerajaan Persekutuan juga bertanggungan untuk memberi penyelarasan pencen kepada penerima-penerima pencen yang bermastautin di Malaysia di bawah Akta Penyelarasan Pencen 1980, Akta 238.
Hilang kelayakan penyelarasan
Penerima pencen yang tidak bermastautin di Malaysia tidak layak menerima penyelarasan pencen. Malahan, amaun pencen yang dibayar adalah dikembalikan kepada amaun pencen yang asal iaitu amaun yang diterima apabila bersara dahulu.
…….., tidak atau tidak lagi bermastautin di Malaysia, dia hendaklah dibayar atau adalah berhak dibayar pencen atau lain-lain faedah lain, jika ada, yang pada asalnya telah diberi di bawah undang-undang bertulis yang lain itu dan dia tidaklah boleh dibayar atau berhak dibayar apa-apa pencen atau faedah-faedah lain di bawah Akta ini dan……..
(seksyen 1(3) Akta Penyelarasan Pencen 1980, Akta 238)
Pengecualian taraf pemastautin:
Penerima pencen yang tidak bermastautin di Malaysia tetapi memperolehi pengecualian taraf pemastautinan di luar negeri dari pihak berkuasa pencen akan terus layak menerima penyelerasan pencen.
Pemberhentian Bayaran Pencen
Pembayaran pencen akan diberhentikan apabila seseorang penerima itu hilang kelayakan menerimanya. Di antara keadaan yang boleh menghilangkan kelayakan pembayaran pencen ialah:
a. Penerima pencen meninggal dunia.
b. Sebelum 1/1/2002, jika balu/duda berkahwin semula- Seksyen 16(1)(a) Akta 227 atau Seksyen 17 Akta 239; (mulai 1/1/2002 seksyen itu dipotong di bawah Akta Pencen(Pindaan)2002, Akta A 1171)
c. Anak, jika berkahwin atau mencapai umur 21 tahun, mengikut mana yang terdahulu- Seksyen 16(1)(b) Akta 227 atau Seksyen 17 Akta 239;
d. Anak yang sedang belajar di Institusi Pendidikan Tertinggi dan sedang menerima pencen terbitan serta kemudiannya meningkat umur 21 tahun apabila tamat pelajaran di peringkat Ijazah Pertama- Seksyen 16(1)(c) Akta 227 atau Seksyen 17 Akta 239;
e. Balu atau duda yang berkahwin selepas tarikh bersara dari perkhidmatan, setelah 12 ½ tahun dari tarikh persaraan – Seksyen 15 (1)(i);
f. Penerima pencen diistiharkan bankrap oleh Mahkamah atau dihukum penjara- Seksyen 20 atau 21 Akta 227 atau Seksyen 22 atau 23 Akta 239;
g. Penerima pencen terbitan yang tidak bermastautin di Malaysia selepas 12 ½ tahun dari tarikh persaraan atau tarikh kematian dalam perkhidmatan mengikut mana yang berkenaan- Seksyen 15(1) Akta 227;
h. Penerima pencen dilantik menjawat jawatan tetap, bayaran pencen digantung – Seksyen 23 Akta 227 atau Seksyen 26 Akta 239;
i. Balu/ibu yang menerima pencen tanggungan, jika berkelakuan tidak baik – Peraturan 19(1)(a) dan (e) Peraturan –Peraturan Pencen 1980;
j. Penerima pencen yang hilang taraf kewarganegaraan Malaysianya atau menjadi warganegara sebuah negara lain, jika dilantik pada atau selepas 16.5.86 – (Seksyen 21A Akta 227 atau Seksyen 23A Akta 239.
Kad Pesara
Penerima pencen boleh diberi kad pesara untuk pengenalan bagi melayakkan ia mendapat faedah perubatan dan lain-lain kemudahan yang ditentukan dari masa ke semasa ( Peraturan 23(1) Peraturan-Peraturan Pencen 1980).
7. Sehingga Bila Pencen Dibayar?
Pencen perkhidmatan dibayar kepada seseorang pesara seumur hidup.
Apabila pesara yang menerima pencen meninggal dunia,balu/dudanya atau anak-anaknya akan layak dibayar pencen terbitan(PT). Amaun PT sama banyak dengan amaun pencen perkhidmatan yang dibayar kepada pesara.
Contoh:
Jika pesara menerima pencen sebanyak RM 2302.46 sebulan, balu/duda dan anak-anak akan menerima pencen terbitan berjumlah yang sama iaitu RM 2302.46 sebulan. Amaun PT itu diagihkan kepada penerimanya mengikut syer seperti berikut :-
Balu/Duda mendapat 2 syer setiap seorang
Anak-anak mendapat 1 syer setiap seorang
Jika pesara tidak bermastautin di Malaysia, mereka akan terus layak menerima pencen. Walau bagaimanapun, ia tidak layak diberi penyelarasan pencen di bawah Akata Penyelarasan Pencen 1980., Akta 238 jika kerajaan Persekutuan memberi penyelarasan gaji kepada pegawai dalam perkhidmatan awam.
Kepada pesara yang dilantik ke dalam perkhidmatan awam pada atau selepas 16/5/86, jika hilang taraf kewarganegaraan Malaysianya, ia akan hilang kelayakan pembayaran pencen (seksyen 21A Akta Pencen 1980, Akta 227 dibaca bersama Akta Pencen(Pindaan) 1986, Akta A644).
8. JENIS-JENIS PERSARAAN (Akta Pencen 1980, Akta 227)
PERSARAAN PAKSA ( Seksyen 10 )
1. Persaraan wajib kerana mencapai umur 56 tahun
2. Persaraan atas sebab penghapusan jawatan
3. Persaraan atas sebab penyusunan semula organisasi
4. Persaraan atas sebab kesihatan
5. Persaraan atas sebab kepentingan perkhidmatan
6. Persaraan atas sebab kewarganegaraan
7. Persaraan atas sebab memberi maklumat palsu bagi maksud lantikan.
PERSARAAN ATAS KEHENDAK KERAJAAN ATAU MENTERI (Seksyen 11)
8. Persaraan atas kehendak negara
9. Persaraan atas sebab kepentingan perkhidmatan awam atau kepentingan pihak berkuasa berkanun atau tempatan
PERSARAAN PILIHAN (Seksyen 12)
10. Persaraan pilihan sendiri
PERSARAAN SELEPAS DILANTIK UNTUK BERKHIDMAT DALAM PERTUBUHAN (Seksyen 12A Akta 227 atau 13 Akta 239)
11. Persaraan selepas dilantik untuk berkhidmat dalam pertubuhan
8. FAKTOR GANJARAN DAN PENCEN
8.1 Faktor penghitungan ganjaran perkhidmatan dan ganjaran terbitan ialah 7.5 / 100
8.2 Faktor penghitungan pencen perkhidmatan ialah 1 / 600. Jika bersara atas sebab penghapusan jawatan atau penyusunan semula organisasi factor penghitungan pencen perkhidmatan ialah 1 / 500.
8.3 Formula ganjaran perkhidmatan ialah : 7.5 / 100 X tempoh perkhidmatan X gaji akhir. Tempoh perkhidmatan dihitung mengikut genapnya bulan berkhidmat dalam tempoh perkhidmatan yang boleh diambilkira.
8.4 Formula pencen perkhidmatan ialah : 1 / 600 X tempoh perkhidmatan X gaji akhir. Amaun pencen perkhidmatan tertakluk kepada maksimum tidak melebihi setengah dari gaji akhir.
9 LAIN-LAIN FAEDAH DI BAWAH SKIM PENCEN
Elaun tanggungan nafkah:
9.1 Penerima pencen yang diistiharkan bankrap oleh Mahkamah atau dijatuhkan hukuman penjara oleh mana-mana Mahkamah akan hilang kelayakan menerima pencen. Bayaran pencen akan dihentikan dengan serta merta.
9.2 Untuk tujuan saran, isteri akan dibayar elaun tanggungan nafkah yang amaunnya sama banyak dengan amaun pencen yang dibayar kepada pesara. Walau bagaimanapun, jika bayaran pencen diberhentikan atas sebab jatuh bankrap, elaun itu akan terlebih dahulu dipotong untuk bayaran hutang sebagaimana yang ditetapkan mengikut perintah.
9.3 Bayaran pencen kepada pesara yang jatuh bankrap akan dipulihkan semula selepas mendapat pelepasan bankrap dari Mahkamah.
------------------------------------------------------------------------------------------
Rujukan:
Akta pencen 1980, Akta 227 Akta Penyelarasan Pencen 1980,
Akta Pencen (Pindaan) 2001, Akta A 1124 P.P. Bil 4 tahun 1993
Akta Pencen (Pindaan) 2002, Akta A 1171 P.P. Bil. 7 tahun 2003
Peraturan-Peraturan Pencen 1980 Akta Pencen PBB 1980, Akta 239

PENGURUSAN PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM
PENGURUSAN PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM: KONSEP DAN PERKAEDAHAN
Muhammad Syukri Salleh
Syarahan Pelantikan Profesor Universiti Sains Malaysia
PENGENALAN
Kebangkitan semula Islam dalam tahun-tahun tujuh-puluhan telah melahirkan hasil yang pelbagai. Selain dari lahirnya satu aliran kehidupan yang lebih Islamik, lahir juga usaha penggalian kembali ilmu-ilmu berteraskan Islam yang telah lama diabaikan. Antara hasil dari penggalian kembali ini ialah lahirnya ilmu Pembangunan Berteraskan Islam .
Sebagai satu ilmu yang kembali digilapkan dan baru usianya, ianya tentulah boleh diperkemaskan lagi . Paling tidak ada dua langkah yang boleh menjadikan ilmu Pembangunan Berteraskan Islam ini menjadi lebih kemas. Pertama ialah dengan membentuknya dari perspektif yang lebih holistik. Kedua ialah dengan melengkapkannya dengan semua aspek pembangunan secara lebih menyeluruh, dari aspek-aspek teoritisnya hinggalah kepada aspek-aspek pelaksanaannya. Langkah pertama itu bermaksud mengatasi masalah eklektisme, manakala langkah kedua bermaksud mengatasi masalah superfisialiti yang dihadapi Pembangunan Berteraskan Islam .
Masalah eklektisme merujuk kepada kesan dari kurangnya cendekiawan Pembangunan Berteraskan Islam yang bersifat ensaiklopedik, yang paling tidak bukan sahaja mahir dalam bidang pembangunan, tetapi juga mahir dalam bidang Pengajian Islam. Oleh kerana kurangnya cendekiawan sebegini, maka ilmu Pembangunan Berteraskan Islam terpaksa menjalani proses pembentukannya secara eklektik - secara pilih-pilih dan berbeza-beza penekanannya. Para fuqaha menekankan kepada muamalatnya, manakala para ahli pengajian pembangunan, yang biasanya berpendidikan Barat tetapi kini telah kembali cintakan Islam, menekankan kepada aspek pembangunan. Akibatnya, kadangkala ilmu Pembangunan Berteraskan Islam itu dilayani hanya dari segi isi dan sistemnya sahaja, manakala falsafah dan kerangka pembangunan lazimnya, sama ada yang berdasarkan kepada falsafah pasca-klasikal yang melahirkan Teori Pertumbuhan dan Teori Pengagihan-Dengan-Pertumbuhan atau falsafah radikal yang melahirkan Teori Strukturalis dan Teori Pergantungan, masih tidak dirombak. Penulisan, perbincangan, hatta pelaksanaan Pembangunan Berteraskan Islam seringnya hanya dipenuhi dengan justifikasi-justifikasi al-Qur`an dan Hadith sahaja, sedangkan falsafah dan kerangkanya masih berdasarkan kepada falsafah dan kerangka pembangunan lazim.
Masalah superfisialiti pula merujuk kepada masalah ketidak-sempurnaan atau ketidak-seluruhan. Penulisan dan perbincangan tentang Pembangunan Berteraskan Islam misalnya sering menumpukan fokus kepada aspek ekonomi, padahal ekonomi hanyalah merupakan satu komponen sahaja dari banyak komponen pembangunan yang lain . Pembangunan Berteraskan Islam juga sering disebut sebagai gabungan pembangunan rohani dan jasmani, tetapi penekanan terhadap pembangunan jasmani melebihi dari penekanan terhadap pembangunan rohani. Malah di dalam kebanyakan penulisan dan perbincangan, pembangunan rohani tidak didalami dan diulasi dengan terperinci sebagaimana terperincinya ulasan tentang pembangunan jasmani. Pembangunan Berteraskan Islam juga terlibat dengan pelbagai bentuk dan aspek penyelidikan, tetapi perkaedahan penyelidikan dan ragam soal-siasatnya tetap berlandaskan kepada perkaedahan penyelidikan dan ragam soal-siasat sains sosial lazim. Begitu juga dengan kaedah pengajaran-pembelajarannya. Yang hendak diajar dan dipelajari itu ialah Pembangunan Berteraskan Islam, tetapi kaedah yang dipakai adalah dari aqal ke aqal semata-mata, tanpa menggunakan kaedah dari hati ke hati. Di dalam pelaksanaannya pula, walaupun yang hendak dilaksanakan itu ialah Pembangunan Berteraskan Islam, tetapi pengurusannya dibuat berdasarkan pengurusan lazim. Gabungan antara pembangunan yang berteraskan Islam dengan pengurusan yang tidak berteraskan Islam begini mengakibatkan kekeliruan dan ketidakberkesanan pelaksanaan Pembangunan Berteraskan Islam itu sendiri .
Makallah ini berhasrat memperkemaskan ilmu Pembangunan Berteraskan Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan permasalahan superfisialiti, khususnya yang berkaitan dengan persoalan pelaksanaan. Secara asasnya makallah ini menyarankan agar kedua-dua pembangunan dan pengurusan pembangunan mestilah berteraskan Islam, yakni bertunjangkan kepada akar umbi Islam itu sendiri. Untuk ini ia memperkenalkan satu bidang baru yang dipanggil Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam. Perbincangan tentang konsep Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam ini menjadi bahagian pertama makallah ini.
Selain itu, makallah ini juga cuba meneroka ke dalam perkaedahan Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam. Untuk ini dua bentuk perkaedahan dibincangkan. Pertama ialah perkaedahan penyelidikan dan kedua ialah perkaedahan pengajaran-pembelajaran. Perkaedahan penyelidikan dianggap penting kerana ia merupakan kaedah menggali pengetahuan tentang Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam ini. Silap perkaedahan penyelidikan maka silaplah keseluruhan pengetahuan yang didapati. Manakala perkaedahan pengajaran-pembelajaran pula penting kerana ia merupakan kaedah pengembangan dan penyebaran pengetahuan tersebut. Silap perkaedahan pengajaran-pembelajaran maka tidak berkesanlah penyebaran dan perkembangan ilmu Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam itu. Perbincangan tentang perkaedahan ini menjadi bahagian kedua makallah ini.
Ringkasnya, tujuan pertama makallah ini ialah melakar bidang Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam secara konseptual, manakala tujuan keduanya pula ialah menggariskan perkaedahan penggalian dan penyebaran pengetahuan Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam ini secara praktikal.
KONSEP PENGURUSAAN PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM
Pembangunan Berteraskan Islam merupakan satu bidang baru, tetapi Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam lebih baru dari itu. Pembangunan Berteraskan Islam lahir bersama lahirnya kebangkitan semula Islam dalam tahun-tahun tujuh-puluhan terutamanya di negara Barat, manakala Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam, sebagai kesinambungan kepada perkembangan Pembangunan Berteraskan Islam itu, lahir dalam tahun 1996 di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang . Kalau Pembangunan Berteraskan Islam berusia lebih kurang tiga dekad, Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam baru berusia lebih kurang setengah dekad.
Sejak kelahirannya, Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam telah dilentur di atas landasan tasawwur (world-view) dan epistemologi Islam. Ia berlandaskan kepada keyakinan tasawwur Islam bahawa Allah SWT adalah Pencipta manakala manusia dan alam semesta adalah makhluk. Ia juga bertunjangkan kepada epistemologi Islam, yang sumber utamanya ialah al-Qur`an dan Hadith di samping sumber sokongan ijmak dan qiyas ulamak. Ertinya, Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam bermula dari akar umbi Islam. Ia dibentuk dari dalam falsafah dan kerangka Islam sendiri.
Begitulah juga dengan Pembangunan Berteraskan Islam yang hendak diurus itu. Prinsip-prinsipnya terbentuk dari dalam tasawwur Islam. Tasawwur Islam pada asasnya adalah tapak bagi setiap aspek kehidupan manusia, manakala prinsip-prinsip Pembangunan Berteraskan Islam pula adalah tapak khusus bagi pembangunan. Prinsip-prinsip Pembangunan Berteraskan Islam ini boleh dikumpulkan menjadi enam prinsip utama. Prinsip-prinsip utama itu ialah pertama, pelakunya ialah manusia hamba dan khalifah Allah SWT; kedua, skala waktunya meliputi alam roh, alam dunia dan alam akhirat; ketiga, kerangkanya ialah ilmu Fardhu `Ain (Tauhid, Feqah dan Tasawuf); keempat, perkaedahannya ialah ibadah; kelima, peralatannya ialah sumber alam; dan keenam, matlamat akhirnya ialah keredhaan Allah SWT (mardhatillah) .
Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam yang pertama lahir dari tasawwur Islam yang meyakini bahawa manusia adalah makhluk Allah SWT. Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam yang kedua, ketiga, keempat dan keenam pula berhubung rapat dengan tasawwur Islam yang meyakini bahawa Allah SWT adalah Pencipta. Manakala Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam yang kelima pula lahir dari tasawwur Islam yang meyakini bahawa alam semesta adalah makhluk Allah SWT.
Kesemua prinsip ini mempunyai hubungan yang kuat dengan rahsia kejadian dan fungsi kehidupan manusia itu sendiri. Sebagaimana dinyatakan di dalam al-Qur`an, manusia telah naik saksi bahawa Allah SWT adalah Tuhan manakala manusia adalah hamba-Nya. Allah SWT menceritakan peristiwa penyaksian ini begini:
“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keEsaan Tuhan)” (Al-A’raaf (7): 172) .
Penyaksian ini berlaku di alam roh, alam sebelum lahirnya manusia ke dunia. Hidup manusia di dunia, di mana pembangunan berlaku, hanyalah merupakan medan untuk membuktikan penyaksian tersebut. Benar tidaknya penyaksian itu dibuktikan manusia di dunia manakala ganjarannya, sama ada baik atau buruk, akan dikurniakan di akhirat. Jadinya alam roh adalah alam penyaksian, alam dunia adalah alam pembuktian, manakala alam akhirat adalah alam ganjaran.
Menurut keyakinan yang berlandaskan tasawwur ini, pengurusan pembangunan hanyalah salah satu cara manusia membuktikan ketaatannya terhadap penyaksian mereka. Oleh kerana penyaksian itu bermaksud menjadi hamba Allah SWT, maka tujuan hidup di dunia ialah untuk membuktikan bahawa sepenuh hidupnya, pada setiap saat dan waktu, dalam apa jua aspek dan aktiviti hidupnya, adalah sebagai ibadah kepada Allah SWT . Kalau ibadah ini dapat dilaksanakan sebaiknya, manusia akan mendapat keredhaan Allah SWT (mardhatillah), dan seterusnya mendapat kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat (hasanah fid duniya wal akhirah). Ibadah melalui pengurusan pembangunan ini ternyata berhubung rapat dengan alam roh, alam dunia dan alam akhirat. Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam oleh itu mempunyai skala waktu yang cukup panjang. Ia meliputi ketiga-tiga alam roh, alam dunia dan alam akhirat. Atas sebab itu, Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam tidak lengkap disebut sebagai mencari kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat sahaja. Ia patut disebut sebagai mencari kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat melalui pelaksanaan penyaksian manusia dengan Allah SWT yang telah dibuat di alam roh. Maksudnya ia meliputi tiga alam, bukan dua alam sahaja.
Selain itu, Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam ini juga berpaksikan kepada satu lagi fungsi kehidupan manusia, yakni sebagai khalfiah Allah SWT. Malah fungsi inilah yang mempunyai hubungan langsung dengan konsep Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam sebagaimana yang akan diterangkan di bawah ini. Status ini dikurniakan Allah SWT untuk memudahkan manusia beribadah dan membuktikan penyaksiannya sebagai hamba Allah SWT itu. Allah SWT menerangkan hal ini begini:
“(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi. Maka jawab mereka: Adakah patut Engkau menjadikan di atas muka bumi orang yang berbuat bencana dan menumpahkan darah sedangkan kami bertasbih memuji Engkau dan mensucikan Engkau? Allah berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui apa-apa yang tiada kamu ketahui. Allah mengajarnya semua nama barang kemudian dibawa barang-barang itu kepada Malaikat, lalu Allah berfirman: “Khabarkanlah kepada-Ku nama-nama barang ini, jika kamu yang benar”. Jawab mereka: “Maha Suci Engkau tidaklah kami tahu sesuatu itu kecuali apa-apa yang engkau ajarkan kepada Kami, sesungguhyna Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Allah berfirman: “Hai Adam, beritahulah kepada Malaikat nama barang-barang ini” (al-Baqarah (2): 30-32).
Konsep khalifah di sini cukup memberi gambaran bahawa asal kejadian manusia memanglah sebagai pengurus sumber alam di atas dunia ini. Banyak ayat-ayat al-Qur’an yang mempamirkan hal ini. Antaranya adalah seperti berikut :
“Dan Dialah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa darjat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat siksaan-Nya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang” (Al-An`aam (6): 165).
“Dialah (Tuhan) yang menurunkan air dari langit, di antaranya untuk minuman kamu dan di antaranya untuk tumbuh-tumbuhan; di sana kamu mengembala ternakan” (al-Nahl (16): 10).
“Dialah (Tuhan) yang memberi kemudahan laut supaya kamu makan daging (ikan) yang lembut dan supaya kamu keluarkan dari dalamnya perhiasan yang kamu pakai dan engkau lihat kapal layar di laut dan supaya kamu mencari kurniaan Allah (rezeki), mudah-mudahan kamu bersyukur” (al-Nahl (16): 14).
“Dialah (Tuhan) yang menjadikan bumi itu rendah untukmu, maka berjalanlah kamu pada beberapa penjurunya dan makanlah rezeki kurniaan-Nya, dan kepada-Nyalah kamu dibangkitkan” (al-Mulk (67): 15).
Perkataan `penguasa-penguasa di bumi’, ‘mengembala’, ‘keluarkan’, `bumi itu rendah untukmu’, dan ‘berjalan dan makanlah rezeki’ di dalam ayat-ayat al-Qur`an ini cukup mempamirkan tugas-tugas kepengurusan manusia itu. Sebagai wakil Allah SWT di atas muka bumi ini, manusia adalah penguasa dan pengurus segala makhluk alam dunia. Di sinilah letaknya tunjang Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam itu. Fungsi kehidupan manusia itu sendiri mewajibkan manusia mengurus dunia ini. Segala aspek pengurusan dunia ini pula, dari aspek pengurusan luar dan dalaman diri manusia sehinggalah kepada aspek pengurusan sumber alam dan alam sejagat, terangkum di dalam pengertian pembangunan. Jadi konsep Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam itu bererti mengurus pembangunan dengan pengertian yang luas tadi berdasarkan kepada fungsi kehidupan manusia sebagaimana ditetapkan Allah SWT sendiri. Sebagai khalifah Allah SWT, manusia adalah pengurus muka bumi ini. Manakala sebagai hamba Allah SWT, manusia melaksanakan tugas kepengurusannya itu dengan penuh rasa kehambaan kepada Allah SWT. Keyakinan begini berkait langsung dengan eratnya dengan Tauhid. Mohd Affandi Hassan (1992: 56), dalam menghubungkan konsep pengurusan Islam dengan Tauhid, berkata begini:
“Management and administration, from the tawhidic approach, is the fulfilment of the primordial contract (the amanah) between God and man, in which man as servant of God, and His vicegerent on earth (khalifah) performs righteous deeds (‘amal salih) based on the principles of cooperation and consultation (shura). The purpose of management/administration is the building of a civilization based on tawhidic ethical values; thus management must, at the same time, ensure the abolishment of corruption, mischief, and injustice (al-fasad) in order to establish ‘adl (justice) both in organizations as well as in society. The ultimate objective of management is to attain al-falah (felicity).”
Definisi pengurusan tawhidic Mohd Affandi Hassan ini membawa kepada empat kesimpulan. Pertama, rangkakerja pengurusan ialah rahsia penciptaan dan fungsi kehidupan manusia yang termeterai di dalam perjanjian antara manusia dengan Allah SWT (bahawa manusia adalah hamba dan khalifah Allah SWT). Kedua, kaedah pengurusan Islam ialah kerjasama dan musyawarah yang terkandung di dalam konsep syura . Ketiga, tujuan pengurusan Islam ialah untuk melahirkan tamaddun yang adil tanpa perbuatan yang tidak diredhai Allah SWT. Keempat, matlamat akhir kepada semua ini ialah untuk mendapat kebahagian di dunia dan kebahagiaan di akhirat (al-falah). Keempat-empat kesimpulan ini jugalah yang menjadi prinsip kepada Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam.
Perbincangan setakat ini jelas menggambarkan bahawa maksud pengurusan di dalam Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam tidaklah sama dengan pengurusan lazim . Hal ini paling tidak adalah berdasarkan kepada dua hakikat berikut.
Pertama, pengurusan dalam Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam berakar umbi dari dalil-dalil naqli, yakni dalil-dalil yang didapati dari al-Qur`an dan Hadith, manakala pengurusan lazim berakar-umbi dari dalil-dalil aqli, yakni dalil-dalil dari aqal rasional. Pemikiran pengurusan dalam Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam terbentuk dari wahyu Allah SWT dan Hadith Rasulullah s.a.w., manakala pemikiran pengurusan lazim terbentuk dari aqal manusia, sama ada umpamanya dari aqal pengamal pengurusan F.W. Taylor dan Henri Fayol, atau dari aqal ahli sains sosial Max Weber, Elton Mayo dan Douglas McGregor, atau dari aqal ahli-ahli pengurusan moden Henry Mintzberg, M.E. Porter, Tom Peters dan Rosabeth Moss Kanter.
Kedua, oleh kerana ianya dari aqal, jangkauan pengurusan lazim hanya terhad kepada pencarian kecekapan dalam pencapaian matlamat organisasi sahaja, tanpa mengambilkira rahsia kejadian dan fungsi kehidupan manusia. Walaupun ada perkiraan tentang manusia di dalam teori-teori pengurusan lazim ini, terutamanya di kalangan Human Relations Theorists, Social Psychological School, Contigency Theorists dan ahli-ahli teori pengurusan moden, manusia hanyalah dilihat sebagai sumber kecekapan dan sumber produktiviti untuk mencapai matlamat organisasi secara berkesan dan memaksimakan kepuasan hati stakeholders mereka, seperti pelanggan, pembekal, pekerja, pemegang saham dan sebagainya. . Dengan perkataan lain, pengurusan bagi pengurusan lazim hanyalah berkaitan dengan satu kumpulan aktiviti yang melibatkan perancangan (planning), penganjuran (organising), penggalakan (motivating) dan pengawalan (controlling) dalam sesuatu organisasi, terutamanya organisasi yang terlibat dengan proses pengeluaran dan berhasrat memaksimakan produktiviti dan kepuasan mereka yang berkepentingan. Ia tidak berkaitan langsung dengan manusia yang cukup sebagai satu manusia, yang mempunyai aspek rohani dan jasmaninya sebagaimana terkandung di dalam rahsia kejadian dan fungsi kehidupan manusia .
Berbeza dari pengurusan lazim ini, Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam tidak terhad hanya kepada pengurusan organisasi pengeluaran. Selari dengan maksud Pembangunan Berteraskan Islam yang meliputi keseluruhan aspek hidup manusia, Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam merangkumi pengurusan setiap peringkat pembangunan, dari peringkat pembangunan rohani hinggalah kepada peringkat individu, keluarga, masyarakat, negara dan alam sejagat. Ia merangkumi semua aspek kehidupan, dari aspek kerohanian hinggalah kepada aspek sosial, ekonomi, politik dan pemerintahan . Pendeknya Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam merangkumi semua horizon kehidupan manusia, meliputi segala kegiatan yang diamalkan oleh setiap orang, sama ada untuk dirinya, keluarganya, organisasi pekerjaan, organisasi sosial, di peringkat kampung, di peringkat daerah, di peringkat negeri, di peringkat negara dan di peringkat antarabangsa.
Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam meliputi, umpamanya, usaha mengurus sifat-sifat terkeji (mazmuumah) dan sifat-sifat terpuji (mahmudah) di dalam diri sendiri. Ia juga meliputi usaha pengurusan pemerintahan, seperti Khalifah Umar Abdul Aziz membersihkan jentera kerajaan dengan menjual kenderaan-kenderaan, perhiasan-perhiasan dan peralatan-peralatan Khalifah seperti kuda-kuda, permaidani-permaidani dan tempat-tempat alas kaki dan diserahkan hasil jualannya kepada Baitul Mal, melarang Gabenor-Gabenor dan ketua-ketuanya berniaga untuk kepentingan peribadi atau kepentingan keluarga mereka tetapi menaikkan gaji mereka sehingga tiga ratus dinar agar mereka jujur dan tiada khianat dalam tugas mereka , menghapuskan sistem percukaian yang tidak adil, berkomunikasi dengan alim ulamak, misalnya dengan Salim bin Abdillah bin Umar bin Khattab dan Hasan Basri agar dengan itu dapat dibangunkan kerohanian umat, dan sebagainya . Pengurusan Pembangunan Islam juga meliputi usaha yang berkaitan dengan hal-ehwal masyarakat, seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hambal menjalankan kerja-kerja tajdid mereka tanpa bantuan pemerintah, Imam Al-Ghazali membersihkan aqidah masyarakat yang bercampur aduk, Ibnu Taimiyah menentang taqlid buta dan mempelopori ijtihad, dan Syaikh Ahmad Sirhindi membersihkan ajaran tasawwuf songsang dengan memberikan ajaran tasawwuf tulen (Yusof Ismail 1991: 5-6). Teras kepada ini semua ialah fungsi kehidupan manusia yang memang asal kejadiannya mesti mengurus bumi ini dengan penuh rasa kehambaan kepada Allah SWT .
Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam yang holistik begini tidak terhad hanya kepada pengurusan dalam sesebuah organisasi pengeluaran atau pentadbiran semata-mata, dan tidak bertunjangkan hanya kepada aqal. Oleh kerana Pembangunan Berteraskan Islam itu sendiri meliputi keseluruhan aspek hidup manusia, dari aspek-aspek rohani hinggalah kepada aspek-aspek ekonomi, sosial, politik dan sebagainya, maka Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam sebenarnya merupakan usaha mengurus keseluruhan aspek hidup manusia ini.
Ringkasnya, Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam ialah satu usaha mengurus pembangunan yang berteraskan Islam yang meliputi keseluruhan aspek kehidupan manusia dengan menggunakan kaedah Islam. Kaedah pengurusan yang hendak dipakai dan pembangunan yang hendak diuruskan itu kedua-duanya adalah berteraskan Islam. Tunjangnya ialah Tauhid manakala sumber epistemologinya ialah al-Qur`an dan Hadith, selain dari ijmak dan qiyas ulamak. Tujuannya ialah untuk membuktikan kebenaran penyaksian manusia di alam roh, agar dengan itu mereka mendapat keredhaan Allah SWT dan mencapai kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
PERKAEDAHAN PENGURUSAN PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM
Oleh kerana Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam berbeza dari pengurusan dan pembangunan lazim, maka perkaedahannya juga tentulah tidak sama. Malah konsep Pembangunan Berteraskan Islam yang hendak diurus itu sendiri pun adalah berbeza dari pembangunan lazim.
Dalam pemahaman lazim, pembangunan kebanyakannya dihubungkan dengan ukuran-ukuran kuantitatif seperti peningkatan produktiviti, peningkatan pendapatan per kapita, peningkatan keluaran negara kasar, peningkatan kadar pertumbuhan dan peningkatan penggunaan . Kalau pun ada perkiraan-perkiraan yang lebih kompleks yang menghubungkaitkan pembangunan ekonomi ini dengan unsur-unsur sosial, budaya dan politik , peningkatan taraf hidup ekonomi tetap dikatakan sebagai faktor penentu kepada pembangunan dan kesejahteraan semua bidang kehidupan masyarakat yang lain seperti pelajaran, kesihatan, kemasyarakatan, kebudayaan dan sebagainya (S. Husin Ali 1976) . Peningkatan taraf hidup ekonomi begini mendokong imej positif pembangunan . Kesan-kesan sampingan seperti hedonisme, materialisme, gejala sosial, dekadensi moral, penindasan, ketidakadilan dan sebagainya dianggap sebagai masalah-masalah biasa yang boleh diatasi.
Pembangunan Berteraskan Islam ini sebenarnya mempunyai perbezaan dengan pembangunan lazim dari akar umbinya lagi. Seperti pengurusan lazim, pembangunan lazim juga terbentuk dari dalil-dalil aqli, sama ada umpamanya dari aqal pasca-klasikal Nurske, Lewis, Brand, Buchanan dan Ellis, Lerner, Parsons, Brian Parkinson, W.W. Rostow dan sebagainya atau dari aqal radikal Raul Prebisch, Paul Baran, Dos Santos, Andre Gunder Frank, Samir Amin, Immanuel Wallerstein dan sebagainya, sedangkan Pembangunan Berteraskan Islam terbentuk dari gabungan antara dalil-dalil aqli yang berdasarkan kepada tasawwur dan epistemologi Islam dengan dalil-dalil naqli yang berpaksikan al-Qur`an dan Hadith Rasulullah s.a.w.
Selain itu, pembangunan lazim juga terikat kuat dengan falsafah dan perkaedahan sains sosial lazim, manakala Pembangunan Berteraskan Islam terikat kuat dengan falsafah dan perkaedahan Islam. Sains sosial lazim tumbuh dari teknik-teknik sains yang didasari oleh sifat-sifat saintifik , empirikal dan fakta-fakta yang dapat diamati oleh pancaindera (observable facts). Sedangkan Pembangunan Berteraskan Islam tumbuh bukan sahaja dari kaedah saintifik yang boleh dipanggil sebagai kaedah aqli, tetapi lebih penting ialah dari wahyu Allah SWT yang boleh dipanggil sebagai kaedah naqli. Bagi Pembangunan Berteraskan Islam, hal-hal saintifik dan empirikal boleh disuluh hanya dengan menggunakan ilmu yang rendah yang dipanggil ilmu daruri dan dengan dalil-dalil yang mudah yang dipanggil dalil-dalil aqli. Ilmu daruri ialah ilmu yang senang difahami tanpa memerlukan banyak hujjah atau bahasan. Umpamanya, penelitian dan bahasan yang mendalam tentulah tidak diperlukan untuk memahami bahawa satu itu adalah separuh daripada dua, atau dua itu separuh daripada empat dan sebagainya. Dalil-dalil aqli pula ialah dalil-dalil yang berdasarkan kepada aqal dan rasionaliti.
Pembangunan Berteraskan Islam jadinya tidak terhad hanya kepada hal-hal saintifik dan empirikal serta kepada ilmu daruri dan dalil-dalil aqli semata-mata. Lebih dari itu, Pembangunan Berteraskan Islam menjangkau ke dalam hal-hal ghaib dan metafizik yang boleh disuluh dengan ilmu yang lebih tinggi, yakni ilmu nadhari dan dalil-dalil naqli . Ilmu nadhari ialah ilmu yang memerlukan kepada pemikiran dan bahasan yang lebih mendalam dan abstrak berserta terutamanya dalil-dalil yang diajari Allah SWT dan Rasulullah s.a.w. sendiri. Umpamanya, tidak dapat difahami dengan senang tentang wajib wujudnya Allah SWT, atau wajib wujudnya hari Akhirat, Syurga dan Neraka, dan sebagainya, kecuali dengan bahasan yang mendalam berserta dalil-dalilnya, baik dalil-dalil aqli atau pun dalil-dalil naqli. Dalil-dalil naqli ialah dalil-dalil yang berdasarkan kepada al-Qur`an dan as-Sunnah Rasulullah s.a.w. Ia merupakan dalil-dalil utama ilmu nadhari.
Satu lagi perkara yang membezakan pembangunan lazim dengan Pembangunan Berteraskan Islam ialah sifat sains sosial lazim yang anti-dogmatis, anti-teologi dan cenderung kepada sifat bebas nilai (value free) . Pembangunan Berteraskan Islam sebaliknya bersifat dogmatis kerana terdapat di dalam Islam keyakinan yang tidak boleh dipersoalkan lagi, misalnya bahawa Allah SWT itu satu dan Maha Besar, Rasulullah s.a.w. itu pesuruh Allah SWT, manusia dan alam semesta adalah makhluk Allah SWT, dan sebagainya. Pembangunan Berteraskan Islam juga bersifat teologikal dan terikat kuat dengan nilai kerana teologi Islamlah yang menjadi kerangka dan nilai Islamlah yang menjadi panduan kepada Pembangunan Berteraskan Islam itu.
Perbezaan pembangunan lazim dengan Pembangunan Berteraskan Islam juga terdapat di dalam andaian-andaiannya. Tidak kira sama ada pembangunan lazim itu bertunjangkan kepada falsafah pasca-klasikal atau radikal, ia percaya kepada sekurang-kurangnya lima perkara berikut. Pertama, substruktur (ekonomi) menentukan superstruktur (agama, undang-undang, budaya, sosial dan sebagainya) . Kedua, kemahuan manusia tidak terhad manakala sumber-sumber alam adalah terhad. Ketiga, dalam proses pembangunan itu, masyarakat tradisi mesti dihapuskan . Keempat, pengalaman-pengalaman pembangunan di Barat adalah kaedah mutlak yang mesti diikuti oleh semua negara yang ingin membangun. Dan kelima, pembangunan adalah merupakan matlamat akhir hidup manusia.
Kelima-lima andaian ini adalah berbeza dengan keyakinan Pembangunan Berteraskan Islam. Bagi Pembangunan Berteraskan Islam, penentu kepada segala aspek kehidupan manusia ialah agama, bukan ekonomi. Kemahuan manusia pula diakui tidak terhad sekiranya manusia mempunyai nafsu jahat seperti ammarah, lawwamah atau mulhamah. Ia menjadi terhad sekiranya manusia mempunyai nafsu baik seperti mutmainnah, radhiyyah, mardhiyyah atau kamilah . Secara fizikal, sumber-sumber alam adalah terhad, tetapi dari perspektif Tauhid ianya tidak terhad. Rezeki telah ditetapkan Allah SWT, manakala kepuasan kepenggunaan adalah berdasarkan kepada tingkat barakah, bukan tingkat kuantiti. Dalam proses pembangunan, Islam tidak memusnahkan masyarakat tradisi selagi ianya tidak bercanggah dengan Islam. Pengalaman dan kaedah pembangunan negara-negara Barat bukanlah pengalaman dan kaedah mutlak yang mesti diikuti. Begitu juga, pembangunan hanyalah alat mencapai keredhaan Allah SWT, bukan matlamat akhir hidup manusia.
Perbezaan antara konsep pengurusan dan pembangunan lazim dengan konsep pengurusan dan pembangunan berteraskan Islam ini membawa kepada berbezanya keseluruhan perkaedahan Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam dari perkaedahan pengurusan dan pembangunan lazim. Bahagian ini berhasrat menumpukan perbincangan kepada perkaedahan Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam ini, khususnya kepada perkaedahan penyelidikan dan perkaedahan pengajaran-pembelajarannya. Sebagai satu bidang baru, pengetahuan tentang Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam mesti digali dan disebar-luaskan. Asas kepada penggalian pengetahuan tersebut ialah penyelidikan dan pembelajaran, manakala asas kepada penyebaran ialah pengajaran. Perbincangan terhadap perkaedahan penyelidikan dan perkaedahan pengajaran-pembelajaran Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam ini oleh itu cukup signifikan sekali.
Perkaedahan Penyelidikan Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam
Oleh kerana berbezanya dasar pengurusan dan pembangunan lazim dengan Pembangunan dan Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam, maka perkaedahan penyelidikan antara keduanya juga adalah tidak sama. Kalau pengurusan dan pembangunan lazim memakai perkaedahan penyelidikan sains sosial lazim, Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam mesti memakai kaedah penyelidikan yang berteraskan Islam.
Hujjah tidak bolehnya Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam memakai kaedah penyelidikan lazim adalah berdasarkan kepada sekurang-kurangnya tiga alasan. Pertama, pengurusan pembangunan yang berteraskan Islam tidak boleh diselidiki dengan perkaedahan yang tidak berteraskan Islam. Kedua, peralatan analisis dan ragam soal-siasat sains sosial lazim tidak mencukupi untuk mengenalpasti dan menganalisis permasalahan yang diselidiki dengan sebenarnya, apatah lagi membentuk penyelesaian yang tepat. Dan ketiga, perkaedahan sains sosial lazim itu sendiri bertentangan dengan aqidah umat Islam.
Bagi alasan pertama, adalah tidak munasabah pengurusan pembangunan yang berteraskan Islam memakai kaedah penyelidikan yang tidak berteraskan Islam, padahal kedua-duanya mempunyai tasawwur dan epistemologi yang berbeza dari akar umbi lagi. Tasawwur dan epistemologi Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam adalah berlandaskan wahyu Allah SWT manakala tasawwur dan epistemologi sains sosial lazim berlandaskan aqal dan rasional manusia. Sebagaimana kata M. Riaz Kirmani (1999: 94-106), adalah tidak dapat dielakkan bahawa sesuatu kaedah penyelidikan itu mestilah berhubungan dengan tasawwurnya sendiri. Dan bagi penyelidikan berteraskan Islam, sebagaimana kata Irfan Ahmad Khan (1996: 79), ianya mestilah terikat kuat dengan konsep manusia dan konsep alam semesta mengikut tasawwur Islam. Begitulah juga dengan kaedah penyelidikan Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam. Kalau tidak, ilmu Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam yang lahir dari hasil penyelidikan tersebut hanyalah ilmu yang dinamakan Islam tetapi selari dengan nilai dan ideal lazim yang bukan Islam (baca, Barat). Penyelidikan sebegitu akan mengesahkan bahawa apa yang baik dan buruk dari perspektif nilai dan ideal lazim (Barat) ini adalah sama dengan apa yang baik dan buruk dari perspektif Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam yang baru tersebut . Ini tidak benar di sisi Islam.
Bagi alasan kedua, kaedah saintifik sains sosial lazim tidak cukup untuk mengenalpasti permasalahan dan penyelesaian kerana ia hanya mampu mengumpul pengetahuan melalui pemerhatian, pengumpulan data/maklumat, penganalisisan sebab akibat dari interaksi angkubah-angkubah sahaja . Ia mungkin dapat menerangkan tentang realiti permasalahan dan penyelesaian perkara yang diselidiki, tetapi realiti itu tidak semestinya benar kecuali diukur dengan ilmu nadhari dan dalil-dalil naqli yang berdasarkan kepada al-Qur`an dan as-Sunnah. Sebagaimana kata Syed Muhammad Naquib al-Attas (1995: 1-2), realiti itu sebenarnya adalah haqiqah (kebenaran). Kejadian fakta (factual occurance) yang dijadikan asas kepada sesuatu realiti itu hanyalah salah satu aspek haqiqah sahaja. Kejadian fakta boleh jadi merupakan manifestasi sesuatu yang palsu (batil), padahal realiti sepatutnya mestilah merupakan manifestasi sesuatu yang benar (haqq). Cacatnya perkaedahan penyelidikan sains sosial lazim ialah kerana silapnya interpretasi terhadap realiti ini. Ia mengambil materialisme sebagai intipati realiti dan mengabaikan kerohanian dan supernatural kerana dianggapnya kerohanian dan supernatural itu tidak releven dan tidak siginifikan di dalam meneliti fenomena sosial . Walaupun kemudiannya segala realiti dan teori yang lahir dari perkaedahan sains sosial lazim itu boleh diulang-uji secara empirikal dan objektif, perkaedahan yang dipakai tetap terhad kepada perkaedahan saintifik juga, malah bebas dari pertimbangan nilai, termasuk nilai agama. Walaupun perkaedahan ini diterima umum sebagai kaedah yang sistematik dan cekap, ianya tetap bergantung semata-mata kepada logik pentakulan aqal manusia, fakta-fakta yang boleh ditanggapi oleh pancaindera, atau andaian-andaian yang dianggap munasabah oleh proses pemikiran manusia sahaja.
Di sisi Islam, perkaedahan sains sosial lazim begini hanyalah merupakan perkaedahan ilmu daruri, kaedah ilmu yang rendah yang hanya terhad kepada penggunaan aqal dan rasionaliti sahaja. Ia cuma mampu melahirkan ainul-yaqeen, yakni keyakinan yang hanya tumbuh setelah sesuatu itu dapat dibuktikan dengan fakta-fakta yang boleh diamati dengan pancaindera manusia, walaupun di sisi syariat ia belum tentu benar. Ia tidak mampu menumbuhkan haqqul-yaqeen, yakni keyakinan yang benar yang lebih tinggi darjatnya, yang berasaskan syariat dan diredhai Allah SWT, walaupun kiranya ia tidak boleh dibuktikan secara saintifik dan empirikal serta sukar diterima oleh logik aqal. Keyakinan mutlak Sayyidina Abu Bakar terhadap peristiwa israk mikraj, walaupun tidak dilihat dan dialaminya sendiri serta tidak boleh difikir secara logik aqal, adalah merupakan contoh paling jelas tentang haqqul-yaqeen ini. Sebaliknya, analisis berdasarkan fakta-fakta sepertimana pegangan sains sosial lazim adalah lemah dan bersifat tidak mutlak kerana fakta dan oleh itu ainul-yaqeen itu sendiri bersifat nisbi, atau relatif. Ia boleh berubah dari satu masa ke satu masa, dari satu zaman ke satu zaman akibat dari munculnya penemuan-penemuan baru. Dari segi ilmiah, ia mempunyai perspektif dan pandangan yang cukup terbatas .
Ini semua tidak bererti bahawa Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam menolak kaedah saintifik ini secara total. Kaedah saintifik boleh diterimapakai asal saja ia bersandarkan kepada tasawwur Islam, seperti mana boleh diterimapakai ilmu daruri dan dalil-dalil aqli, walaupun dikira sebagai ilmu yang rendah, selagi ianya berlandaskan kepada tasawwur dan epistemologi Islam. Perlunya kepada empat saksi dalam membicarakan tuduhan zina terhadap seseorang adalah contoh paling releven dengan hujjah ini. Saksi-saksi itu bukan sahaja mesti telah melihat perbuatan zina itu dengan mata kepala mereka secara jelas, tetapi juga mesti tidak fasik, yakni tidak derhaka kepada Allah SWT dan tidak melakukan dosa. Pengamatan terhadap perbuatan zina itu ialah aspek saintifik dan empirisnya, manakala tidak fasik itu ialah aspek syariatnya. Ertinya, walaupun kaedah saintifik boleh diterima pakai oleh Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam, ukurannya adalah syariat dan oleh itu berbeza landasannya dari landasan kaedah saintifik sains sosial lazim. Atas sebab itulah para cendekiawan Islam menyatakan bahawa penyelidikan di dalam Islam mestilah berlandaskan pertama-tamanya kepada al-Qur`an dan Hadith, kerana di dalam al-Qur`an dan Hadith itulah terkandungnya garis panduan tentang kebenaran dan kebatilan .
Dari penghujjahan di atas ternyata bahawa penyelidikan Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam, seperti juga dalam bidang-bidang berteraskan Islam yang lain, tidak boleh terpisah dari aspek teologikalnya dan oleh itu tidak boleh berbentuk bebas nilai. Misalnya, tidak mungkin kajian tentang pola kepenggunaan orang-orang Islam di bulan Ramadhan difahami dengan tepat sekiranya ianya hanya berdasarkan kaedah saintifik sains sosial lazim. Kaedah saintifik sains sosial lazim hanya mampu menerangkan barangkali tentang peningkatan atau penurunan kepenggunaan serta hubungannya dengan gelagat pengguna, atau tentang sebab-akibat hubungan antara satu angkubah dengan angkubah yang lain. Tetapi ia tidak mampu menerangkan hubungan antara gelagat pengguna itu dengan hakikat nafsu yang mendorong kepenggunaan manusia. Nafsu bersifat ghaib manakala kaedah saintifik hanyalah mampu mengukur hal-ehwal yang bersifat benda. Kerana ketidak-mampuan inilah maka sains sosial lazim, khususnya ekonomi pembangunan, mengandaikan bahawa kemahuan manusia itu tidak terhad. Kemahuan dianggap sebagai sedia wujud (given) dan tidak boleh diperbaiki lagi, sedangkan ilmu nadhari dan dalil-dalil naqli menceritakan bahawa kemahuan itu berkait rapat dengan nafsu. Tingkat-tingkat nafsulah yang menentukan tinggi rendah dan terhad tidaknya kemahuan seseorang. Mereka yang mempunyai nafsu di peringkat ammarah, lawwamah dan mulhamah tidak akan terhad kemahuannya, manakala mereka yang mempunyai nafsu di peringkat mutmainnah, radhiyyah, mardhiyyah dan kamilah terhadlah kemahuannya. Ertinya kemahuan boleh dihadkan apabila nafsu ditingkatkan dari nafsu ammarah, lawwamah dan mulhamah kepada nafsu mutmainnah, radhiyyah, mardhiyyah dan kamilah. Kaedah-kaedah meningkatkan nafsu ini juga diajar oleh ilmu nadhari dengan terperinci. Oleh itu, kalau penyelidikan tentang pola kepenggunaan orang-orang Islam di bulan Ramadhan didasarkan hanya kepada kaedah saintifik sains sosial lazim, ia tidak mungkin menemui permasalahan dan penyelesaian yang tepat.
Begitulah juga penyelidikan tentang kemiskinan dan kekayaan misalnya. Berdasarkan kepada ilmu nadhari dan dalil-dalil naqli, seseorang itu miskin atau kaya bukan kerana pemilikan hartanya yang diukur dengan garis kemiskinan. Ia lebih berdasarkan kepada jiwa seseorang itu. Rasulullah s.a.w. menerangkan hal ini melalui Hadith-Hadithnya yang bermaksud begini:
"Bukanlah yang dinamakan `kaya' itu, kerana berlimpah ruahnya harta, tetapi yang dinamakan `kaya' itu ialah kaya jiwa”
"Tidaklah orang itu kaya lantaran banyak benda. Sesungguhnya orang kaya itu ialah orang yang kaya jiwa” .
Ilmu nadhari juga menceritakan rahsia-rahsia untuk melepaskan diri dari kemiskinan, umpamanya dengan bertawakkal kepada Allah SWT, dengan mengutamakan akhirat, dan yakin bahawa apa yang ada di tangan Allah SWT adalah lebih utama dari apa yang ada di dalam tangannya. Nas-nas tentang perkara-perkara ini antaranya adalah seperti berikut:
“Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya” (Ath-Thalaq (65): 3).
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya” (Ali Imran (3): 159).
“Barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (Al-Anfaal (8): 49).
“Umar r.a. telah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: “Jika kamu bertawakkal kepada Allah sebagaimana yang patut kamu lakukan, Dia (Allah SWT) akan mengurniakan kamu rezeki sebagaimana Dia mengurniakan rezeki kepada burung-burung yang keluar pada waktu pagi dengan tembolok yang kosong dan pulang di waktu petang dengan tembolok yang penuh”.
"Sesiapa yang mengutamakan akhiratnya, Allah akan memelihara urusannya dan memurahkan hatinya, sehingga dunia dan kemewahannya datang bergolek tanpa dikejar. Dan sesiapa yang mengutamakan dunianya, Allah akan memporak-perandakan urusannya serta ditampakkan kepapaan di hadapan matanya, sedangkan dunia dan kemewahannya tidak akan mendatanginya, melainkan sekadar apa yang ditentukan Tuhan saja" (Riwayat Tarmizi).
"Barangsiapa yang bercita-cita hendak menjadi orang yang paling kaya, hendaklah ia meyakini bahawa apa yang ada di tangan (sisi) Tuhan itu lebih utama dari apa yang ada dalam tangannya sendiri" .
Kaedah saintifik sains sosial lazim yang berdasarkan keyakinan kepada fakta-fakta semata-mata tidak mungkin dapat memahami hakikat kemiskinan dan kekayaan serta rahsia mengatasi permasalahannya sebagaimana yang terkandung di dalam ilmu nadhari dan dalil-dalil naqli di atas . Akibatnya analisis tentang permasalahan kemiskinan menjadi tidak tepat, apatah lagi penyelesaiannya. Atas sebab itulah kaedah saintifik sains sosial lazim tidak mencukupi untuk memahami sesuatu fenomena dan permasalahan sosial secara benar. Sedangkan apa yang terkandung di dalam ilmu nadhari dan dalil-dalil naqli bukan sahaja tidak terfikir oleh aqal dan sesetengahnya di luar jangkaun fikiran manusia, tetapi juga boleh dibuktikan secara empirikal melalui penghayatan yang yakin dan sungguh-sungguh . Peristiwa bagaimana Sayyidina Ali mendapat sepuluh biji epal setelah disedekahkannya kepada orang miskin sebiji epal membuktikan perkara ini dengan jelas. Pada mulanya Sayyidina Ali menyedekahkan sebiji epal kepada seorang miskin yang meminta kerana kelaparan. Tidak lama kemudian khadam Sayyidina Ali membawa sembilan biji epal untuk Sayyidina Ali, tetapi beliau berkata dengan yakin bahawa kalau benar epal itu dari Allah SWT, ia mesti berjumlah sepuluh biji, bukan sembilan biji. Keyakinan ini adalah keyakinan bersifat haqqul-yaqeen kerana ia berdasarkan kepada janji Allah SWT yang termaktub di dalam ilmu nadhari dan dalil-dalil naqli bahawa satu kebaktian yang dilakukan akan diganjarkan Allah SWT dengan sepuluh kali ganda. Rupanya memang benar bahawa jumlah epal yang diperuntukkan kepada Sayyidina Ali ialah sepuluh biji sedangkan jumlah sembilan biji itu ialah kerana sebiji darinya telah dimakan oleh khadam itu sendiri. Bila ilmu nadhari dan dalil naqli begini dapat dibuktikan secara empirikal, bertambah yakin dan lazatlah manusia itu dalam kehidupannya.
Bagi alasan ketiga pula, bertentangannya kaedah sains sosial lazim dengan aqidah umat Islam itu ialah kerana asas pemikiran sains sosial lazim itu sendiri. Pemikiran sains sosial lazim bukan sahaja terikat dengan ragam soal siasat dan pengamatan saintifik anjuran pendekatan positivisme Auguste Comte dengan data dan fakta empiris sebagai kaedah pembuktian, tetapi juga terikat dengan tanggapan bahawa persaingan sebagai pendesak sosial yang dinamik seperti anjuran Herbert Spencer yang terpengaruh dengan Darwinisme, dengan kepercayaan wujudnya kaedah tanpa nilai dalam mengamati fenomena dan realiti sosial seperti anjuran Max Weber, dan dengan keyakinan kuat bahawa sub-struktur (ekonomi) menentukan super-struktur (agama, perundangan, pemerintahan dan sebagainya) seperti anjuran Karl Marx.
Falsafah dan kaedah ilmu sains sosial lazim begini memberikan implikasi yang cukup negatif terhadap aqidah Islam. Positivisme Auguste Comte menafikan wujudnya ilmu nadhari dan alam ghaib, persaingan dan pengaruh Darwinisme Herbert Spencer mematikan ukhwah dan menafikan Adam dan tanah sebagai asal kejadian manusia, kaedah bebas nilai Max Weber memisahkan teologi dan pengamatan realiti sosial, dan determinisme ekonomi Karl Marx menafikan agama sebagai penentu, malah sebaliknya menyifatkan ekonomi sebagai penentu segala-galanya. Kesemua ini jelas bertentangan dengan aqidah dan ajaran Islam.
Keadaan ini ditambah-burukkan lagi oleh sifat-sifat sains sosial lazim yang anti-dogmatis, anti-teologi dan cenderung kepada sifat bebas nilai (value free) sebagaimana telah disebutkan terdahulu dari ini. Sekiranya sifat anti-dogmatis diterima, maka sukarlah umat Islam meyakini dengan mutlak (qata’i) misalnya apa yang terkandung di dalam lima Rukun Islam dan enam Rukun Iman yang menjadi dogma utama mereka. Mereka boleh menyoal dan ragu tentang dua kalimah syahadah, tentang sembahyang lima waktu, tentang berpuasa di bulan Ramadhan, tentang kewajipan membayar zakat, dan tentang mengerjakan haji yang terkandung di dalam Rukun Islam. Begitu juga, mereka boleh menyoal dan ragu tentang Allah SWT, tentang Malaikat, tentang Rasul, tentang Kitab, tentang Akhirat, dan tentang Qada’ dan Qadar yang mesti dipercayai sebagaimana terkandung di dalam Rukun Iman. Ini semua bertentangan dengan aqidah Islam.
Seterusnya, sekiranya sifat anti-teologi diterimapakai, maka terjadilah pemisahan antara Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam dengan doktrin Islamnya. Yang diselidiki hanyalah yang kena mengena dengan orang-orang Islam, bukan dengan yang sesuatu berteraskan Islam. Sekiranya sifat bebas nilai sains sosial lazim itu juga dipersetujui, sukarlah umat Islam menunjangkan penyelidikannya kepada nilai-nilai Islam. Mereka mengkaji sesuatu yang dikatakan Islam, tetapi tanpa pengukur kepada penemuan-penemuan kajian itu. Begitulah juga, sekiranya substruktur (ekonomi) diterima sebagai penentu kepada segala-galanya (superstruktur), maka tidak ada lagilah fungsi Islam terhadap kehidupan manusia. Islam dicorakkan oleh ekonomi, bukan Islam yang mencorakkan ekonomi lagi. Atas sebab-sebab inilah maka perkaedahan sains sosial lazim bertentangan dengan aqidah Islam.
Ringkasnya, Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam perlu menggunakan perkaedahan penyelidikannya sendiri. Perkaedahan penyelidikan Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam menggabungkan kaedah-kaedah daruri dengan kaedah-kaedah nadhari dan antara dalil-dalil aqli dengan dalil-dalil naqli. Kesemuanya berpaksikan tasawwur dan epistemologi Islam. Tujuannya ialah untuk mencari penyelesaian terhadap permasalahan sebenar yang lahir dari keadaan sebenar di dalam kehidupan. Ia merupakan salah satu usaha dari pelbagai usaha lain untuk membina satu kehidupan Islam sebagaimana yang diredhai Allah SWT .
Perkaedahan Pengajaran-Pembelajaran Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam
Dalam bab perkaedahan pengajaran-pembelajaran pula, ilmu Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam juga mempunyai perkaedahan yang tersendiri. Ia berkait rapat dengan sifat ilmu Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam itu sendiri, yang terbina dari gabungan bersepadu antara ilmu fardhu ain dengan ilmu fardhu kifayah, antara ilmu daruri dengan ilmu nadhari, antara dalil-dalil aqli dengan dalil-dalil naqli, antara aqal dengan hati, antara ilmu dengan amal, antara hal-hal saintifik, natural dan fizikal dengan metafizik dan supernatural.
Dalam kesepaduan ilmu Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam yang komprehensif inilah tersiratnya tradisi dan rahsia tatapengajaran dan pembelajaran ilmu tersebut. Misalnya, pengajaran-pembelajaran ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah akan melahirkan kesepaduan antara ilmu dengan amal. Pengajaran-pembelajaran ilmu fardhu ain membentuk kekuatan aqidah melalui ilmu Tauhid, kefahaman syariah melalui ilmu Feqah dan kemuliaan peribadi (akhlak) melalui ilmu Tasawuf. Kekuatan-kekuatan asas ini mendorong dan menggerakkan amalan seseorang. Ia menjadi ilmu tunjak yang mengawal tatasusila pelaksanaan dan amalan ilmu Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam, sebagai ilmu fardhu kifayah.
Dalam pengajaran-pembelajaran ilmu Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam ini, dalil-dalil aqli semata-mata tidak mungkin menyempurnakan pencarian dan pemberian ilmu tersebut. Sebagaimana telah dibincangkan sebelum ini, aqal dan pancaindera yang lain mempunyai batas-batas kemampuannya. Pencarian dan pemberian ilmu Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam boleh menjadi sempurna hanya apabila dalil-dalil aqli ini digabungkan dengan dalil-dalil naqli. Dalil-dalil naqli pula tidak boleh difahami melalui ilmu daruri. Ia sebaliknya mesti difahami dengan menggunakan ilmu nadhari. Ilmu nadhari ini pula tidak boleh difahami dengan aqal, ia sebaliknya hanya boleh difahami dengan hati.
Ringkasnya, pengajaran-pembelajaran ilmu Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam ini tidak hanya tertumpu kepada penggunaan aqal, tetapi lebih penting dari itu ialah penggunaan hati. Pemahaman dan penghayatan ilmu dengan hati sebenarnya merupakan kemuncak kepada pengajaran dan pembelajaran ilmu dalam Islam. Penggunaan hati boleh membuatkan seseorang mendapat ilmu ladunni (ladunnaa-ilman), yakni ilmu yang diajar terus oleh Allah SWT, seumpama apa yang didapati oleh Nabi Khidir . Kekuatan mata hati Nabi Khidir telah mampu menanggapi realiti sosial dan mengatasi penanggapan tentang realiti sosial aqal (syariat) Nabi Musa. Menurut hukum aqal Nabi Musa, melubangi dan menenggelamkan perahu, membunuh anak kecil, dan menegakkan kembali dinding yang hampir roboh sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Khidir adalah pekerjaan yang meragukan, sedangkan hukum hati Nabi Khidir menghalalkan perbuatan-perbuatan itu, kerana di sebalik itu tersimpan rahsia dan hikmah yang tidak difahami oleh Nabi Musa .
Memahami sesuatu melalui kewujudan lahiriah seperti yang cuba difahami oleh Nabi Musa itu ternyata ada batas-batasnya, sepertilah juga terbatasnya pemahaman melalui penulisan dan pembacaan . Kepandaian menulis dan membaca mungkin merupakan salah satu keperluan memahami ilmu dengan aqal, tetapi ia tidaklah menjadi keperluan utama dalam memahami ilmu dengan hati. Begitulah Rasulullah s.a.w. yang tidak pandai menulis dan membaca itu bukan sahaja dapat menggarap ilmu yang tertinggi, malah mampu pula mengajar dan mendidik para sahabat yang tahu menulis dan membaca. Kekuatan ilmu Baginda terletak di hati, bukan di aqal. Seperti juga dengan Nabi Khidir, inti ilmu Baginda lebih tertumpu kepada yang tersirat (hati), bukan kepada yang tersurat (aqal/saintifik) . Pepatah Arab ada berkata: “Ilmu itu terletak di dada (hati), bukan di kitab” (al-ilmu fis-sudur, Iaa fil-sutur). Imam Al-Ghazali pada zaman awal keilmuannya pernah merasakan seolah-olah tidak akan ada lagilah ilmunya kalau kitab-kitabnya dirompak, lalu beliau meletakkan ilmunya di dada (hati) melalui hafalan, hingga kekuatan daya penggarapan hatinya melebihi kekuatan aqalnya . Ilmu yang digarap dengan hati mampu dilaksana dan diamalkan kerana dorongan pelaksanaan dan amalan datangnya dari hati. Sedikit ilmu yang diamalkan adalah jauh lebih baik dari banyak ilmu tanpa amal. Ilmu yang diamal akan membuahkan lagi pelbagai ilmu melalui pelbagai cara . Sedangkan ilmu tanpa amal bukan sahaja boleh menyekat penggarapan ilmu dengan hati dan kemanfaatan ilmunya, tetapi juga boleh menjerumuskan seseorang ke dalam azab neraka yang pedih .
Oleh yang demikian, proses pengajaran-pembelajaran ilmu Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam memerlukan penjagaan hati yang teliti agar tidak dicemari oleh segala bentuk kekotoran, atau sifat-sifat terkeji (mazmumah) seperti ego, ujub, takabbur, hasad, dengki, sumaah dan sebagainya. Semakin jauh proses pengajaran-pembelajaran itu berjalan, maka semakin tinggi pembentukan sifat-sifat terpuji (mahmudah) di kalangan pengajar dan pelajarnya. Inilah natijah dan kesepaduan antara aqal dengan hati. Kalau tidak, ilmu hanya tersekat di aqal tanpa menyerap masuk ke hati. Ia tidak mampu melahirkan tindakan yang selaras dengan ilmu dan syariatnya . Perkecaian baik dari segi personaliti pengajar hinggalah kepada kaedah pengajarannya akan hanya mampu melahirkan para pelajar yang gemar menggunakan jimnastik aqal, manakala tatakelakuannya terpisah daripada percakapannya. Kaedah pengajaran-pembelajaran ilmu disalurkan melalui aqal kepada aqal, atau dari aqal kepada hati, atau dari hati kepada aqal, padahal Islam menganjurkan kaedah pengajaran-pembelajaran dari hati kepada hati dan bukan lainnya.
Kisah Nabi Khidir dengan Nabi Musa jelas mempamerkan gagalnya kaedah pengajaran-pembelajaran melalui hati kepada aqal, walaupun ini tidak bererti Nabi Musa tidak pernah menggunakan hati. Manakala kisah kegagalan Abdul Wahab, anak kepada Syeikh Abdul Kadir Jailani yang tidak mampu memberikan kuliah berkesan kepada para pelajarnya, mempamerkan pula kegagalan kaedah pengajaran-pembelajaran dari aqal kepada hati. Pada suatu ketika, Abdul Wahab yang banyak mengembara telah meminta untuk mengajar dari kerusi ayahandanya, tetapi pengajaran beliau ternyata tidak berkesan. Apabila ditanya sebabnya, Syeikh Abdul Kadir Jailani menjawab begini:
“Kamu megah dengan pengembaraanmu meskipun kamu tidak mengembara di langit. Apabila ayahanda menaiki kerusi itu untuk memberi pidato, cahaya Allah telah memenuhi hati ayahanda dan cahaya itu berkembang dan ayahanda berucap dalam keadaan yang diselubungi oleh cahaya Allah itu!” (Abdul Majid Haji Khatib 1977).
Ertinya, sifat mazmumah yang lahir dalam bentuk ujub dan takabbur dalam hati Abdul Wahab itu telah menyekat nur-hikmah dari Allah SWT dan melemahkan hatinya sehingga ilmunya tidak mampu menyalur ke hati pelajar-pelajarnya. Akibatnya, pengajarannya hanya mampu disalurkan melalui aqal sahaja dan tidak memberi apa-apa kesan positif ke atas diri pelajar-pelajarnya.
Kegagalan kaedah pengajaran-pembelajaran dari aqal kepada aqal pula jelas terpamer dengan wujudnya para pengajar dan pelajar sekarang yang memisahkan kefasihan ilmu daripada tatakelakuan. Mereka tahu pelbagai perkara, tetapi jarang sekali mengamal dan apatah lagi memperjuangkannya. Tentulah aneh jika pelajar mengamalkan ilmu sedangkan pengajarnya sendiri hanya meletakkan ilmu yang diajar di aqalnya, hingga apa yang diajar tidak terpamer di dalam tingkah lakunya sendiri. Sifat begini sepertilah sifat penyair-penyair pendusta yang diceritakan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an. Mereka menghadapkan pendengaran kepada syaitan, pengikut mereka ialah orang-orang yang sesat, dan mereka suka mengatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya .
Itulah sebabnya, ketika mengulas anjuran Syeikh Abdu’s-Samad bin Muhammad Salih al-Kelantani agar pengajar dan pelajar beramal dengan ilmunya, Muhammad Uthman El-Muhammaddy (1982) menganjurkan agar pengajar merealisasikan kebenaran dan kebaikan yang hendak diajarkan itu ke dalam dirinya terlebih dahulu, sebelum mengajarkannya kepada orang lain. Anjuran ini selaras dengan konsep pendidikan yang dimaksudkan oleh Islam, yakni proses mendidik dan melatih aqliyah jasmaniah dan rohaniah manusia melalui nilai-nilai Islamiah yang mengambil al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai sumber.
Oleh yang demikian, natijah dari kesepaduan aqal dengan hati dan ilmu dengan amal ialah kelahiran manusia yang bertakwa, mengabdikan diri kepada Allah SWT dan menjadi kepercayaan Allah SWT di atas muka bumi ini . Ilmu mendidik hati, kemudian hatilah yang mendidik aqal. Ilmu itu seumpama pembimbing dan amal itu seumpama pengikut. Pengikut tanpa pembimbing boleh menyesatkan, manakala pembimbing tanpa pengikut adalah sia-sia. Dengan kesepaduan aqal dengan hati dan ilmu dengan amal juga, ilmu akan menjadi makanan hati sebagaimana kata Fathul-Mansuli , ilmu akan menghidupkan hati sebagaimana nasihat Lukman kepada anak-anaknya , malah seperti kata Imam Al-Ghazali (1977:71, 1979: 17-18), mempelajari ilmu adalah ibadah, menelaahnya adalah tasbih, mencarinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang belum mengetahui adalah sedekah, memberikannya kepada ahlinya adalah kebaktian.
Ketaqwaan dan pengabdian terhadap Allah SWT hasil dari penggabungan aqal dengan hati dan ilmu dengan amal ini mempamerkan perhubungan menegak manusia dengan Allah SWT yang harmoni (hablum-minallah). Natijah kemanfaatannya pula akan tersebar kepada perhubungan mendatar manusia sesama manusia (hablum-minannas). Ia terlaksana melalui sifat-sifat pemurah, kasih-mengasihi, tanggungjawab sosial dan moral, sanggup mengagihkan semula lebihan, sanggup membayar zakat serta hidup dalam lingkungan sifat-sifat terpuji. Ia tidak terlaksana atas dasar survival of the fittest seperti tradisi liberal-kapitalis atau atas dasar konflik dan konfrontational seperti tradisi Marxisme.
Tunjak kepada ilmu dan amal mendatar ini ialah ilmu dan amal menegak yang dikandung oleh ilmu Tauhid, yakni salah satu cabang ilmu fardhu ain. Dengan ilmu tunjak inilah seseorang, termasuk pentadbir atau pengajar atau pelajar ilmu Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam dapat mencapai istiqamah, yakni teguh memegang dan memelihara kepercayaan kepada Allah SWT (hablum-minallah), di samping merealisasikan perhubungan mendatar sesama manusia dan makhluk (hablum-minannas). Malah inilah inti agama Islam yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada Sufian bin Abdullah .
Oleh kerana Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam mesti dicorakkan oleh tasawwur Islam, dan bukan pembangunan yang mencorakkan Islam, maka intipati ilmu Tauhid ini pula mestilah disepadukan dengan ilmu-ilmu fardu ain yang lain, yakni Feqah dan Tasawuf. Kalau ilmu Tauhid menekankan soal-soal aqidah sebagai tunjang kepada keimanan dan segala ilmu, maka ilmu Feqah pula menekankan kepada hal-hal syariat, dan ilmu Tasawuf kepada aspek-aspek pembentukan akhlak (hal-ehwal hati). Di dalam bahasa Arab, aqidah atau dasar-dasar kepercayaan ini disebut al-aqaid, hukum-hukum syarak disebut al-ahkamush-syaiyah, manakala akhlak yang mulia dan perilaku yang baik lagi indah disebut makarimul-akhlaq wa mahasinal-amal (Wan Muhammad bin Wan Muhammad Ali 1980) . Ketiga-tiga ilmu fardhu ain inilah yang pertama-tamanya mesti diajar kepada pelajar-pelajar Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam. Ia adalah ilmu tunjang Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam.
Kalau dapat diumpamakan ilmu fardhu ain ini sebagai pokok, maka ilmu Tauhid adalah akar dan tunjangnya, ilmu Feqah adalah batangnya, manakala ilmu Tasawuf adalah buahnya. Tidak mungkin hidup sebatang pokok yang tidak berakar dan bertunjang, sepertilah tidak mungkin berbuah pokok yang tidak berbatang dan tidaklah mendatangkan apa-apa manfaat pokok yang tidak berbuah. Dengan ilmu Tauhid, seseorang dapat mengenal Allah (ma’rifatullah), dengan ilmu Feqah seseorang mengenal hukum Allah (ma’rifatu-ahkamullah), dan dengan ilmu Tasawuf seseorang dapat mengenal nafsu dalam dirinya (maarifatun-nafs). Walaupun pengenalan terhadap ahkamullah mampu difahami melalui ilmu daruri, namun pengenalan terhadap Allah SWT dan nafsu seringnya memerlukan ilmu nadhari. Ilmu daruri yang hanya terikat dengan kaedah-kaedah saintifik, yang hanya diperhati dan difahami dengan pancaindera itu pastinya mempunyai batasan-batasan tertentu sehingga memerlukan ilmu nadhari yang mampu menyelami sama ada alam tersurat atau alam tersirat berdasarkan dalil-dalil naqli.
Umpamanya, sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, tentulah kemampuan ilmu daruri terbatas untuk mengenal nafsu yang bertingkat-tingkat, dari ammarah kepada lawwamah, mulhamah, mutmainnah, radhiyyah, mardhiyyah dan kamilah. Itulah sebabnya teori pembangunan atau teori ekonomi lazim hanya mampu menamakannya sebagai “kemahuan tak terhad”. Ia meletakkannya ke atas premis palsu kerana menganggap kemahuan manusia itu sebagai tunggal, yakni di peringkat nafsu yang rendah sahaja. Ia tidak mengetahui terdapatnya kaedah-kaedah meningkatkan nilai nafsu dan menghadkan kemahuan.
Sebaliknya, dengan menggunakan ilmu nadhari untuk menganalisa dan mengambil kaedah atas persoalan yang terangkum di dalam bab Tasawuf ini, Islam mampu menerangkan pelbagai hal bersabit dengan nafsu, dari asal-usul kejadiannya hinggalah kepada kaedah menggilapkannya ke tingkat paling tinggi serta mengawal kemahuan yang kononnya tidak terhad tadi. Oleh kerana Islam menganggap nafsu yang kotor sebagai salah satu punca kepada pelbagai masalah (bukan ekonomi, sebagaimana tanggapan sistem-sistem pemikiran lain), maka penyucian nafsu (tazkiyah-an-nafs) merupakan kaedah terpenting dalam kehidupan manusia, termasuk dalam usaha pembangunan. Dengan nafsu yang suci, aqidah yang kuat dan syariat yang betul, ilmu Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam bukan sahaja akan melahirkan manusia yang makin taat dan takut kepada Allah SWT, tetapi juga mampu membentuk satu sistem pembangunan dan sosial yang harmoni dan bermanfaat untuk kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Sebenarnya, dalam konteks ilmu Islam keseluruhannya, Pengurusan Pembangunan terletak dalam kategori fardhu kifayah, khususnya fardhu kifayah peringkat rendah . Tetapi, sebagaimana telah diperkatakan di atas, tunjangnya ialah ilmu fardhu ain. Ilmu fardhu ain meletakkan kewajipan ke atas setiap umat Islam aqil baligh untuk mempelajari dan mengamalkannya, manakala Pengurusan Pembangunan sebagai salah satu keperluan hidup manusia yang terkandung di dalam fardhu kifayah meletakkan kewajipan ke atas masyarakat untuk melaksanakannya. Umpamanya, setiap orang dalam sesebuah kelompok masyarakat wajib mempelajari dan mengamalkan ibadat-ibadat asas di samping memperkuatkan aqidah dan menyucikan hati menurut syariat. Tetapi dalam bab mengeluarkan makanan Islam misalnya, hukum wajib tidak jatuh ke atas kesemua mereka apabila salah seorang atau sekumpulan dari mereka telah pun melakukannya. Begitu juga dalam hal-hal dan bidang fardhu kifayah peringkat rendah yang lain, umpamanya perubatan, pendidikan, ekonomi, siasah dan sebagainya.
Pelaksanaan fardhu kifayah ini tidak mungkin terlaksana dengan jayanya kalau tidak disertakan dengan ilmu dan amal fardhu ain. Tanpa fardhu ain, ilmu dan pengamalan Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam tidak mampu melahirkan manusia yang membangun jasmani dan rohaninya. Oleh itu, pendidikan Islam, termasuk pengajaran-pembelajaran ilmu Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam tidak boleh dianggap sepadu jika ia terpisah dari ilmu fardhu ain, apatah lagi kalau tidak langsung bertunjangkan kepada ilmu fardhu ain itu. Memulakan sesuatu ilmu fardhu kifayah seperti pembangunan, perubatan, perundangan, politik, ekonomi, sosiologi dan sebagainya tanpa terlebih dahulu memperkuatkan ilmu dan amal fardhu ain adalah merupakan satu titik tolak yang salah, sepertilah juga salahnya kita kalau pengajaran-pembelajaran hanya tertumpu kepada hal-hal perkotakan dan perkecaian ilmu, walaupun ilmu itu merupakan ilmu cabang-cabang fardhu ain sendiri seperti penumpuan kepada Usuluddin (Tauhid), Syariah atau Tasawuf secara terpisah-pisah. Pendidikan yang sebegini, walaupun dinamakan pendidikan Islam, masih belum menepati kehendak-kehendak pendidikan Islam yang sebenarnya. Ia tidak mungkin mampu melahirkan manusia ensaiklopedik, yakni manusia yang padu ilmu dan amalnya seumpama para sahabat, para tabi`in, dan alim ulama yang agung. Itulah sebabnya Syeikh Abdu’s-Samad bin Muhammad Salih al-Kelantani pernah mengesyorkan agar guru-guru melarang murid-muridnya mempelajari ilmu-ilmu yang bersifat fardhu kifayah sebelum mempelajari ilmu fardhu ain . Wan Muhammad (1980) yang bersependapat dengan Syeikh Abdu’s-Samad bin-Sammad Salih al-Kelantani ini berkata:
“Tidak kurang bodoh dan tololnya ialah orang-orang yang menyibukkan dirinya dahulu dengan sistem ekonomi Islam, sistem politik Islam dan sebagainya, walhal perkara-perkara yang fardu ain belum lagi dipelajarinya atau dikaji dan diamalkan”.
Dari perbincangan-perbincangan diatas dapatlah disimpulkan bahawa perkaedahan pengajaran-pembelajaran ilmu Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam mestilah menggunakan aqal dan lebih-lebih lagi hati sebagai alatnya. Dengan penggunaan aqal dan hati ini, pengajar dan pelajarnya mampu memahami kedua-dua ilmu daruri dan ilmu nadhari, mampu menggunakan kedua-dua dalil-dalil aqli dan dalil-dalil naqli, dan mampu mengerti hal-hal saintifik, natural, fizikal, metafizik, spiritual dan supernatural. Intipati ilmunya ialah ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Ilmu fardhu ain ialah tunjangnya, manakala ilmu fardhu kifayah ialah ilmu pengkhususan dan ilmu kemahirannya. Kedua-duanya mesti diajar dan dipelajari oleh pengajar dan pelajar Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam. Natijahnya ialah kelahiran pengajar dan pelajar yang beramal dengan ilmunya, di samping mampu melahirkan suasana harmoni dan berkasih sayang sesama manusia serta membangunkan tamaddun yang sejahtera, rahmat untuk sekelian alam (rahmatan-lil-`alamin).
KESIMPULAN
Terdapat dua perkataan kunci di dalam Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam. Perkataan kunci yang pertama ialah pengurusan manakala perkataan kunci yang kedua ialah pembangunan. Kedua-dua perkataan kunci ini digabungkan menjadikannya berteraskan Islam. Oleh itu Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam bererti mengurus pembangunan berteraskan Islam secara Islam. Kedua-dua pengurusan dan pembangunan mestilah berteraskan Islam.
Di peringkat penyelidikan Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam pula, ianya mestilah menggunakan perkaedahan Islam. Penyelidikannya tidak boleh berlandaskan kepada perkaedahan sains sosial lazim. Walaupun kaedah-kaedah saintifik masih boleh dipakai, pengertian kaedah saintifik Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam berbeza dengan kaedah saintifik sains sosial lazim. Kaedah saintifik sains sosial lazim berlandaskan aqal dan rasionaliti semata-mata, manakala kaedah saintifik Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam berlandaskan aqal dan rasionaliti yang bertunjangkan kepada tasawwur dan epistemologi Islam. Ini ditambah dengan penggunaan ilmu-ilmu nadhari dan dalil-dalil naqli.
Dalam pengajaran-pembelajarannya, Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam tidak terhad kepada penggunaan aqal sahaja. Lebih dari itu, Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam menggunakan hati. Dengan hati proses pengajaran-pembelajaran membawa pengajar dan pelajarnya bukan sahaja memahami ilmu-ilmu daruri dan dalil-dalil aqli dengan lebih mudah, tetapi lebih-lebih lagi memahami ilmu-ilmu nadhari dan dalil-dalil naqli. Dengan hati juga proses pengajaran-pembelajaran Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam membawa pengajar dan pelajar beramal dengan ilmu mereka dan melahirkan tamadun manusia yang harmoni dan sejahtera. Untuk ini, pengajar dan pelajar Pengurusan Pembangunan Berteraskan Islam tidak boleh meninggalkan pengajaran-pembelajaran kedua-dua ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Yang lebih penting antara keduanya ialah ilmu fardhu ain.
BAHAN-BAHAN RUJUKAN
1. Abdul Majid Haji Khatib (penterjemah), 1977. Kisah Syeikh Abdul Kadir Jilani, Kota Bharu, Kelantan: Pustaka Aman Press.
2. Ahmad Ibrahim Abu Sin, 1991. Pengurusan Dalam Islam, (terjemahan Abd Rashid Ngah dan Jusoh Kadir), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
3. Ahmad Mahdzan Ayob, 1983. Kaedah Penyelidikan Sosioekonomi – Suatu Pengenalan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
4. Ahmad von Denffer, 1983. Research in Islam – Basics, Principles and Practical Suggestions, Leicester, UK: The Islamic Foundation.
5. Amuzegar, Jahangir, 1993. Iran’s Economy Under the Islamic Republic, London: I.B. Tauris.
6. Chodak, S., 1973. Societal Development, Oxford: Oxford University Press.
7. Cole, G.A., 1996. Management Theory and Practice, London: DP Publications, 5th Edition.
8. Coser, L., 1967. Continuities in the Study of Social Conflict, New York: The Free Press.
9. Fayol, H., 1949. General and Industrial Management, Pitman.
10. Fazlur Rehman Faridi, 1996. “Islamic Research Methodology: Some Reflections”, dlm. Muhammad Mumtaz Ali, ed., Conceptual and Methodological Issues in Islamic Research: A Few Milestone, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Diulangterbit dlm. Mohammed Muqim, ed., 1999. Research Methodology in Islamic Perspective, Kuala Lumpur: Synergy Book International.
11. Galeski, B., 1972. “Conflict and Change as an Aspect of Development”, Sociologia Ruralis, Jil. 12.
12. Goulet, D., 1971. The Cruel Choice, New York: Atheneum.
13. Imam al-Ghazali, 1977. Ihya’ Ulumiddin, Jil.1, Indonesia: Penerbit Asli, cetakan kelima.
14. Imam al-Ghazali, 1979. Bimbingan Mu’minin: Pada Mencari Redha Rabbil-Alamin, Jil. 1, cetakan kedua, terjemahan Syed Ahmad Semait, Singapura: Pustaka Nasional.
15. Irfan Ahmad Khan, 1996. “The Meaning of Islamic Research”, dlm. Muhammad Mumtaz Ali, ed., Conceptual and Methodological Issues in Islamic Research: A Few Milestone, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
16. Irfan Ahmad Khan, 1999. “The Islamic Method”, dlm. Mohammed Muqim, ed., 1999. Research Methodology in Islamic Perspective, Kuala Lumpur: Synergy Book International.
17. K.H. Firdaus, 1997. Tokoh Kepimpinan dan Pejuang Keadilan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Selangor D.E.: Pustaka Ilmi.
18. Mawdudur Rahman dan Muhammad Al-Buraey, 1992. “An Islamic Perspective of Organization Controls and Performance Evaluation”, The American Journal of Islamic Social Sciences, Jilid 9, No. 4, Winter.
19. Mayo, E., 1933. The Human Problems of an Industrial Civilisation, Macmillan.
20. McGregor, D., 1960. The Human Side of the Enterprise, McGraw-Hill.
21. Mintzberg, H., 1973, The Nature of Managerial Work, Harper & Row.
22. Mintzberg, H., 1979. The Structuring of Organisations – a Synthesis of the Research, Prentice Hall.
23. Mintzberg, H., 1983. Structure in Fives: Designing Effective Organisations, Prentice Hall.
24. Mohammed Muqim, ed., 1999. Research Methodology in Islamic Perspective, Kuala Lumpur: Synergy Book International.
25. Mohd Affandi Hassan, 1992. The Tawhidic Approach in Management and Public Administration: Concepts, Principles and an Alternative Model, Kuala Lumpur: National Institute of Public Administration (INTAN).
26. Mohd Shahar bin Sidek, 1996. “Pengurusan Organisasi Dari Perspektif Islam”, dlm. Abd Halim El-Muhammady, penyunting, Pengurusan Dalam Islam, Selangor Darul Ehsan: Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah, ms. 119-157.
27. Moss Kanter, R., 1984. The Change Masters – Corporate Entrepreneurs at Work, Allen & Unwin.
28. M. Riaz Kirmani, 1999. “Quranic Method of Enquiry”, dlm. Mohammed Muqim, ed., Research Methodology in Islamic Perspective, Kuala Lumpur: Synergy Book International.
29. Muhammad Akram Khan, 1989. “Methodology of Islamic Economics”, dlm. Aidit Ghazali & Syed Omar Syed Agil, eds., Readings in the Concept and Methodology of Islamic Economics, Petaling Jaya: Pelanduk Publications.
30. Muhammad Mumtaz Ali, ed., 1996. Conceptual and Methodological Issues in Islamic Research: A Few Milestone, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
31. Muhammad Nejatullah Siddiqi, 1996. “The Philosophy and Nature of Islamic Research”, dlm. Muhammad Mumtaz Ali, ed., 1996. Conceptual and Methodological Issues in Islamic Research: A Few Milestone, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
32. Muhammad Syukri Salleh, 1987. Pembangunan Berteraskan Islam, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti.
33. Muhammad Syukri Salleh, 1994. "Arqamnomics: Pemikiran Baru Ekonomi Islam", ERA, March, hal. 18-19, 32-33.
34. Muhammad Syukri Salleh, 1995. “The Top-Down Approach to Islamic Development: The Experience of PAS in Kelantan, 1990-95”, kertas dibentangkan di European Association for Southeast Asian Studies (EUROSEAS) Conference 1995, di University of Leiden, The Netherlands, 29 Jun -1 Julai.
35. Muhammad Syukri Salleh, 1998. “Political Economy of Islamic Development: Case Analysis of Kelantan and Terengganu”, dlm. B.N. Ghosh & Muhammad Syukri Salleh, eds., Political Economy of Development in Malaysia, Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors.
36. Muhammad Syukri Salleh, 1999a. “Establishing an Islamic State: Ideals and Realities in Kelantan, Malaysia”, South East Asian Studies (Kyoto, Japan), Vol. 37, No. 2, hal. 235-256.
37. Muhammad Syukri Salleh, 1999b. “Islamic State and Development: The Political Economy of Wawasan SIHAT in Terengganu, Malaysia”, IKIM Journal (Kuala Lumpur), Vol. 7, No. 2, Julai-Disember, hal. 73-92.
38. Muhammad Syukri Salleh, 1999c. “Islam dan Kemiskinan”, Pemikir, Bil. 18, Oktober-Disember.
39. Muhammad Syukri Salleh, 2000a. Pembangunan Zaman Rasulullah s.a.w.: Antara Kemiskinan dan Kekayaan, Pulau Pinang: Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP) Universiti Sains Malaysia.
40. Muhammad Syukri Salleh, 2000b. “Prinsip Pembangunan Yang Berteraskan Islam”, Dewan Ekonomi, Ogos, hal. 60-61.
41. Muhammad Syukri Salleh, 2000c: “Pelaku Pembangunan Berteraskan Islam”, Dewan Ekonomi, September, hal. 60-61.
42. Muhammad Syukri Salleh, 2000d. “Skala Waktu Pembangunan Berteraskan Islam”, Dewan Ekonomi, Oktober, hal. 62-63.
43. Muhammad Syukri Salleh, 2000e. “Kerangka Pembangunan Berteraskan Islam”, Dewan Ekonomi, November, hal. 63-64.
44. Muhammad Syukri Salleh, 2001a. “Perkaedahan Pembangunan Berteraskan Islam”, Dewan Ekonomi, Januari, hal. 62-63.
45. Muhammad Syukri Salleh, 2001b. “Kemiskinan dan Pembangunan Insan”, kertas yang disampaikan di Bengkel Pemantapan Kerja Sosial Kemiskinan Daerah Rembau, Negeri Sembilan, anjuran Pejabat Daerah Rembau Negeri Sembilan di Riviera Bay Resort, Melaka pada 2-5 Mei 2001.
46. Muhammad Syukri Salleh dan Fadzila Azni Ahmad, 2000. “Pengurusan Kemiskinan”, dlm. Muhammad Syukri Salleh & Fadzila Azni Ahmad, eds., Pengurusan Pembangunan Islam: Prosiding Seminar, Pulau Pinang: Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP) Universiti Sains Malaysia dan Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
47. Muhammad Uthman El-Muhammaddy, 1982. Peradaban Dalam Islam, Kota Baharu, Kelantan: Pustaka Aman Press.
48. Mustafa Haji Daud, 1994. Pengurusan Islam, Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors.
49. Parsons, T., 1951. The Social System, Glencoe: The Free Press.
50. Peters, T., 1988. Thriving on Chaos: Handbook for a Management Revolution, Macmillan.
51. Porter, M.E., 1980. Competitive Strategy, The Free Press.
52. Porter, M.E., 1985. Competitive Advantage: Creating and Sustaining Superior Performance, The Free Press.
53. Porter, M.E., 1990. The Competitive Advantage of Nations, The Free Press.
54. Rahimah Abdul Aziz, 1989. Pengantar Sosiologi Pembangunan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
55. Rostow, W.W., 1956. “The Take-off Into Self-Sustained Growth”, Economic Journal, Bil. 66.
56. Rostow, W.W., 1960. The Stages of Economic Growth. A Non Communist Manifesto, Massachusettes: Cambridge University Press. Edisi kedua, 1971.
57. Sayyid Abul Ala Mawdudi, 1996. “The Imperative and Objective of Islamic Research”, dlm. Muhammad Mumtaz Ali, ed.,. Conceptual and Methodological Issues in Islamic Research: A Few Milestone, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
58. Seers, D., 1977. “The New Meaning of Development”, International Development Review, Bil.3.
59. Seers, D., 1979. “The Meaning of Development, with a Postscript”, dlm. Lehmann, D., ed., Development Theory: Four Critical Studies, London: Frank Cass.
60. S. Husin Ali, 1976. Apa Erti Pembangunan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
61. Sunkel, O., 1977. “The Development of Development Thinking”, Institute of Development Studies Bulletin (IDS), Jil. 22, Bil. 1.
62. Syed Ahmad Semait, 1996b. Kuliah Subuh Pada Membicarakan Hadis 40, Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd, Cetakan Ketujuh.
63. Syed Muhammad Naquib al-Attas, 1995. Prolegomena to the Metaphysics of Islam: An Exposition of the Fundamental Elements of the Worldview of Islam, Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC).
64. Syeikh Yusuf Qardhawi, terj. Umar Fanany, 1980. Problema Kemiskinan: Apa Konsep Islam, Surabaya, Indonesia: P.T. Bina Ilmu, Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd dan Johor Bahru, Malaysia: Penerbitan Pena Mas.
65. Taufiq Muhammad Asy-Syawi, 1997. terj. Djamaluddin Z.S., Syura Bukan Demokrasi (tajuk asal Fiqhusy-Syura), Jakarta: Gema Insani Press.
66. Taylor, F.W., 1947. Scientific Management, Harper & Row.
67. Todaro, M., 1977. Economic Development in the Third World, New York: Longman Press.
68. Wan Liz Ozman Wan Omar, 1996. Pengurusan Islam Abad Ke-21: Revolusi Pengurusan Untuk Keunggulan Sektor Awam dan Korporat, Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors.
69. Wan Muhammad bin Wan Muhammad Ali, 1980. Pedoman Dakwah Islamiah, Kuala Lumpur: Percetakan Watan.
70. Weber, M., 1947. The Theory of Social and Economic Organisation, The Free Press.
71. Yusof Ismail, 1991. Mengurus Secara Islam: Model dan Prinsip-Prinsip Pengurusan Islam Bagi Individu dan Organisasi, Kuala Lumpur: A.S. Noordeen.

Subscribe to:
Posts (Atom)