Wednesday, September 10, 2014

PERANAN KAUNSELING DALAM KES-KES KEKELUARGAAN: KAJIAN DI PEJABAT AGAMA ISLAM DAERAH HULU LANGAT SELANGOR (Bhg 2)


PERANAN KAUNSELING DALAM KES-KES KEKELUARGAAN

3.1 PENDAHULUAN

Manusia sentiasa akan menghadapi pelbagai masalah yang berbentuk cabaran atau dugaan di dalam kehidupan seharian mereka sama ada berkaitan dengan diri sendiri atau melibatkan individu lain dari pelbagai bidang dalam aktiviti harian seperti dalam bidang kerjaya, kemasyarakatan, pendidikan, perkahwinan atau kekeluargaan. Pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi memerlukan kekuatan dan keyakinan diri yang tinggi untuk menempuhinya. Kadangkala terdapat individu yang tidak mampu untuk menghadapi segala masalah yang menimpa seorang diri dan boleh mengakibatkan masalah menjadi terus berpanjangan. Semua ini memerlukan sikap keprihatinan semua pihak dalam masalahnya agar tidak berlarutan.

Mereka memerlukan bimbingan dan bantuan daripada orang lain untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi atau sekurang-kurangnya seseorang yang boleh menjadi pendengar untuk meluahkan masalah yang dialami. Dalam bab ini, penyelidik membicarakan mengenai proses perlaksanaan atau bagaimana pengendalian sesuatu sesi kaunseling itu dilakukan. Di samping itu juga, penyelidik turut menjelaskan teknik dan kemahiran kaunseling serta etika kaunselor bagi memastikan proses kaunseling berjalan dengan lancar serta berkesan dan pihak yang bertikai berpuas hati dengan keputusan yang dibuat berdasarkan persetujuan kedua belah pihak.

3.2 PROSES KAUNSELING DI UNIT PERUNDANGAN KELUARGA PEJABAT AGAMA ISLAM DAERAH HULU LANGAT

Banyak faktor yang telah mempengaruhi keberkesanan sesuatu perkara, tidak terkecuali di dalam sesi kaunseling. Prosedur yang telah ditetapkan akan menjamin perkhidmatan yang terbaik untuk kepentingan bersama. Khidmat kaunseling di unit Perundangan Keluarga (UPK) adalah suatu program yang disediakan kepada pasangan suami isteri yang mengalami konflik dalam rumahtangga di daerah Hulu Langat, Selangor. Selain daripada itu, khidmat kaunseling ini disediakan kepada semua pasangan suami isteri yang bermastautin dalam daerah Hulu Langat, Selangor. Khidmat kaunseling ini disediakan kepada semua pasangan yang bermasalah, yang datang membuat pengaduan di UPK pada setiap hari bekerja iaitu dari hari Isnin hingga hari Jumaat dalam waktu pejabat kecuali hari Ahad dan cuti umum.

Secara umumnya, dalam usaha mencari jalan penyelesaian bagi mana-mana konflik atau permasalahan, kaunselor akan memanggil kedua-dua belah pihak dan mendapatkan segala maklumat yang diperlukan. Selepas itu, kaunselor akan mengkaji secara mendalam dan menggariskan beberapa tindakan yang perlu. Bahagian UPK telah menggariskan beberapa langkah dan proses yang perlu dilalui oleh klien untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan. Begitu juga dengan para pegawai dan kakitangannya yang perlu melakukan tugas mengikut manual tugasan yang telah ditentukan. Langkah-langkah tersebut ialah:-

3.2.1 Borang Aduan

Di Unit Perundangan Keluarga, langkah awal adalah dari pihak klien itu sendiri, iaitu klien akan mengisi borang aduan khas yang disediakan oleh Unit Perundangan Keluarga. Maklumat-maklumat yang dikehendaki adalah meliputi butiran diri pihak yang mengadu dan yang kena adu, seperti nama, alamat, nombor kad pengenalan, taraf pendidikan, bilangan anak dan sebagainya. Beberapa dokumen penting perlu disertakan iaitu salinan kad pengenalan dan salinan sijil nikah atau sijil rujuk. Pengadu juga perlu menyatakan masalah yang dihadapi di dalam ruangan yang telah disediakan di dalam borang. Selepas itu pengadu dikehendaki menandatangani borang tersebut sebalum diserahkan kepada kaunselor atau mana-mana wakil kaunselor.

3.2.2 Proses Panggilan

Borang yang telah diterima oleh kaunselor akan disemak untuk tandatangan pengadu, kemudian akan direkodkan ke dalam Buku Daftar Aduan (BDA). Kaunselor akan meneliti dan mengenal pasti masalah pengadu atau klien itu berdasarkan kenyataan pengadu di ruangan yang telah disediakan. Setelah itu, satu fail akan dibuka sementara menetapkan tarikh panggilan. Kaunselor akan mencatatkan butiran penting pengadu seperti nama, alamat, masalah, cadangan dan tindakan atau sebarang catatan yang berkaitan. Panggilan akan dibuat dalam tempoh 14 hari dari tarikh fail dibuka.

3.2.3 Menghantar Surat kepada Pengadu dan Pasangan Pengadu

Surat panggilan akan dihantar kepada Pihak Yang Mengadu (PYM) dan Pihak Yang Kena Adu (PKA) atau boleh juga dihubungi melalui telefon. Tujuan surat panggilan dihantar adalah sebagai peringatan dan undangan kepada mereka yang menghadiri sesi kaunseling pada tarikh dan masa yang telah ditetapkan.

3.2.4 Sesi Kaunseling

Sesi kaunseling akan dijalankan berdasarkan tarikh yang telah ditetapkan. Sekiranya salah seorang daripada PYM atau PKA atau kedua-duanya tidak dapat hadir dengan sebab, kaunselor akan menetapkan semula temujanji pada tarikh yang lain. Jika kedua-duanya tidak hadir untuk sesi kaunseling tanpa sebarang sebab, kes akan dianggap selesai selepas enam bulan dan fail akan ditutup.

Sekiranya kedua-duanya hadir di dalam sesi kaunseling yang telah ditetapkan, sesi kaunseling akan dijalankan mengikut garis panduan khidmat nasihat dan arahan kerja yang telah digariskan. Menurut Akmala Md. Amin (2008), ketika membuat pertemuan dengan klien dalam sesi, pegawai yang bertugas akan memberi penerangan dahulu sejauhmana klien faham apa makna kaunseling dan rundingcara agar klien tidak salah anggap apabila klien datang sesi kaunseling atau rundingcara atau khidmat nasihat. Apabila klien sudah tahu perjalanan itu dinamakan kaunseling atau tidak, barulah pegawai yang bertugas akan memulakan sama ada rundingcara atau kaunseling. 

Apabila kes-kes yang dikendalikan dapat diselesaikan, maka fail tersebut akan ditutup. Namun begitu seandainya kaunseling atau nasihat yang dibuat menemui jalan buntu, maka kes tersebut dirujuk kepada Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk (PNCR). Sebarang tindakan yang dilakukan adalah bergantung kepada keputusan atau rumusan perundingan yang dibuat berdasarkan persetujuan klien. PNCR akan mengarahkan semula kaunselor untuk tindakan semula sekiranya rumusan kaunseling telah dibuat.

Menurut Akmala Md. Amin (2008) lagi, dalam kes yang memerlukan sesi ulangan, terdapat juga klien yang datang dan enggan datang. Kadangkala dalam satu keadaan, klien mempelihatkan di dalam sesi pertama bahawa mereka tidak akan datang, atau mereka mengemukakan alasan-alasan tertentu. Apabila berlaku perkara sedemikian, Unit Perundangan Keluarga meanggap mereka yang enggan datang ini mugkin sudah damai kerana sekiranya mereka tidak lagi berdamai dan tidak boleh menyelesaikan masalah buat sementara waktu, mereka akan datang juga mendapatkan khidmat bantuan di UPK, PAID Hulu Langat.

3.2.5 Penutupan Fail

Sekiranya hasil kaunseling merumuskan kes tersebut dapat didamaikan atau diselesaikan, fail kes hendaklah ditutup atau ditangguhkan persetujuan klien. Dan sekiranya hasil rundingan merumuskan kes tersebut perlu dipanjangkan ke mahkamah, PNCR akan mengarahkan kaunselor menaipkan satu laporan kaunseling untuk pemohon mendaftarkan kesnya ke mahkamah. Ia akan dibuat dan diserahkan kepada klien untuk didaftarkan ke mahkamah mengikut permohonan mereka.

Melalui proses-proses yang telah disebutkan, sebenarnya, kejayaan sesuatu sesi kaunseling banyak bergantung kepada komitmen pelanggan iaitu PYM dan PKA. Tiada sebarang tindakan yang boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak terutamanya PKA sekiranya ingkar atau enggan hadir untuk sesi kaunseling. Ini disebabkan kehadiran klien untuk mendapatkan perkhidmatan adalah secara sukarela dan atas inisiatif sendiri. Perkhidmatan bergantung kepada situasi klien antaranya menggariskan bahawa tujuan kaunseling adalah untuk mengembangkan kemahuan dan keinginan seseorang mencari manfaat dan meninggalkan yang mudarat menerusi penyuluhan dan usaha yang meyakinkan. Sebagai seorang kaunselor Muslim, kaunselor akan memberi kaunseling sesuai dengan hukum Syariah dan bidang kuasa yang diberikan kepadanya. 

3.3 LATAR BELAKANG PEGAWAI PERUNDING KELUARGA DAN PASANGAN BERMASALAH DI PAID HULU LANGAT

Di Unit Perundangan Keluarga, PAID Hulu Langat, kebanyakan pegawai yang ditugaskan mengendalikan urusan di bahagian ini adalah termasuk memberikan perkhidmatan kaunsling khidmat nasihat kepada klien. Kajian ini mendapati mereka mempunyai latar belakang dan pengalaman serta keterlibatan kaunseling yang berbeza. Manakala pasangan yang mendapatkan perkhidmatan kaunseling di bahagian ini juga mempunyai latar belakang yang berbeza.

3.3.1 Pegawai Perunding Keluarga

Kajian ini mendapati bahawa pegawai perunding keluarga di PAID Hulu Langat adalah berlatar belakangkan pendidikan agama, malah pegawai tersebut mempunyai kelayakan akademik sebagai pemegang ijazah dalam jurusan Syariah di universiti tempatan dan universiti al-Azhar, Mesir.. Selain itu, ada di antara mereka yang mendapat pendidikan dalam bidang Bimbingan dan Kaunseling di peringkat Ijazah Sarjana. Kelayakan mereka ini bersesuaian dengan tugas mereka yang mengetahui hukum syarak dalam bidang kekeluargaan.

Selain itu, pegawai perunding keluarga juga mempunyai pengalaman berkaitan bimbingan dan kaunseling semenjak bekerja di PAID Hulu Langat melalui program, kursus dan seminar kaunseling yang diikuti. Malah ada di antara mereka yang menjadi penceramah bagi Kursus Pra Perkahwinan yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Ini membuktikan bahawa pegawai perunding keluarga di bahagian ini merupakan seorang yang berpengalaman dalam bidang kaunseling.

3.3.2 Pasangan Bermasalah

Kebanyakan pasangan suami isteri yang bermasalah yang datang mendapatkan perkhidmatan kaunseling terdiri daripada pelbagai golongan dan lapisan umur. Ada di kalangan mereka yang berstatus datuk (VIP) atau golongan atasan dan ada juga pasangan bermasalah yang tidak bekerja iaitu menganggur. Selain itu, pasangan bermasalah ini, ada yang terdiri daripada pasangan yang baru berkahwin dan yang sudah lama berkahwin. Perkhidmatan kaunseling ini terbuka kepada semua pasangan yang bermasalah tanpa mengira darjat dan umur.

3.4 PUNCA KONFLIK RUMAH TANGGA PASANGAN SUAMI ISTERI

Terdapat pelbagai jenis masalah yang selalu diadukan oleh pasangan bermasalah di PAID Hulu Langat. Antaranya ialah poligami, tiada nafkah batin, campur tangan pihak ketiga, tiada persefahaman, penagih dadah, hubungan sulit, nusyuz dan sebagainya. Menurut Akmala Md. Amin, kes nusyuz adalah paling banyak di Selangor, tidak kurang juga kes isteri yang main kayu tiga.

Punca-punca yang selalu menimbulkan konflik rumah tangga yang sering diadukan ke mahkamah-mahkamah syariah ialah seperti:

i.              Campur tangan mertua
ii.             Sikap suami yang bengis
iii.            Suami atau isteri yang suka berfoya-foya
iv.            Isteri yang terlalu cemburu
v.             Suami yang mempunyai hubungan dengan wanita lain
vi.            Suami yang tidak mampu memberi nafkah
vii.           Perzinaan
viii.          Ketidakseimbangan dalam kemampuan seksual
ix.            Isteri enggan dimadukan
x.             Isteri mandul

Dapat dilihat di antara masalah yang sering dihadapi oleh pasangan yang berumahtangga hingga boleh menyebabkan berlakunya dapat dibahagikan kepada empat bahagian iaitu:

a)     Ekonomi
b)    Peribadi (emosi dan fizikal)
c)     Seks
d)    Sosial

3.4.1 Ekonomi

Di samping memenuhi keperluan psikologi, perkahwinan juga mestilah memenuhi keperluan ekonomi. Dengan kata lain, di samping memberi kasih sayang kepada isteri, seorang suami juga berkewajipan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Terdapat beberapa masalah dari aspek ekonomi yang sering mencetuskan masalah rumahtangga seperti:

i.              Suami yang sememangnya tidak mampu menyediakan nafkah yang mencukupi.
ii.             Suami yang sengaja cuai memberi nafkah yang mencukupi
iii.            Sikap isteri yang sentiasa meminta sesuatu yang sememangnya tidak dapat diadakan oleh suami.
iv.            Sikap suami yang memeras harta isteri
v.             Jika kedua suami isteri sama-sama bekerja, terdapat pula sikap berkira di antara keduanya di dalam menguruskan ekonomi rumahtangga. Firman Allah : 

Maksudnya:

“ Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan apa yang Allah berikan kepadanya. Allah telah akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.”

3.4.2 Peribadi (emosi dan fizikal)

Apa yang dimaksudkan dengan masalah yang berpunca dari peribadi ialah masalah yang melibatkan sikap fizikal dan emosi seseorang suami atau isteri.umpamanya masalah kesihatan fizikal suami atau isteri yang menghidapi penyakit yang tidak membolehkannya mencari nafkah atau melayani isterinya. Begitu juga dengan isteri yang terlantar sakit atau tidak dapat melahirkan zuriat. Manakala masalah emosi pula seperi sikap suami yang panas baran, pemarah atau mempunyai kebiasaan melakukan kekerasan fizikal terhadap isteri. Atau terdapat juga keadaan dimana isteri mengalami masalah emosi seperti garang atau terlalu cemburu.

Di dalam suatu kes yang pernah berlaku, si suami terlalu cemburu dan tidak mempercayai pihak isteri kerana isteri mempunyai hubungan yang karib dengan teman lelaki sepejabatnya. Dia telah dua kali menceraikan isterinya. Apabila dianalisa tentang latar belakangnya ternyata pihak suami telah mengalami satu trauma kesan dari perkahwinan ibu bapanya yang hancur dan begitu juga dengan perkahwinan saudara-saudara perempuan yang lain.

3.4.3 Seksual

Suami isteri adalah individu asas dalam unit keluarga yang baru terbentuk. Hubungan yang terjalin ini akan membentuk corak interaksi dan hidup dalam keluarga. Hubungan rutin dan layanan akan mencorakkan cara hidup keluarga kelak. Oleh itu suami isteri perlu membentuk hubungan dan memberi layanan yang sempurna. Menurut Ustazah Robiah (2003) permasalahan yang berlaku ialah semakin lama tempoh perkahwinan semakin kurang layanan dan semakin hilang nikmat hubungan suami isteri.

Lazimnya masalah ini terjadi kerana ketidakseimbangan dalam aktiviti seksual. Pertama suami atau isteri mempunyai keinginan seksual yang terlalu kuat atau sebaliknya suami terlalu dingin atau sememangnya telah hilang keupayaan seksualnya. Kedua, kejahilan atau kurang pengetahuan untuk mencapai kepuasan seksual sehingga menganggap pasangannya kurang mampu untuk melayaninya. Ketiga, suami mempunyai sikap suka melakukan hubungan seksual secara kasar atau luar biasa. Dan keempat, suami atau isteri mempunyai hubungan seksual dengan orang lain.

3.4.4 Sosial

Aspek sosial yang seringkali mencetuskan konflik dalam rumahtangga merangkumi hubungan sosial di kalangan ahli keluarga dan hubungan sosial dengan orang lain. Konflik rumahtangga yang melibatkan hubungan di kalangan ahli keluarga terjadi apabila menantu enggan menghormati mertua dan tidak mesra dengan saudara mara. Begitu juga konflik boleh berlaku jika ibu bapa tidak begitu mesra dengan anak-anak.

Malahan lebih buruk lagi jika tidak terdapat kemesraan antara kedua suami isteri. Umpamanya pihak suami selalu memikirkan soal pekerjaannya sehingga tidak ada masa yang terluang untuk dihabiskan bersama-sama isteri dan anak-anaknya.Manakala hubungan yang melibatkan orang lain di luar hubungan kekeluargaan berlaku apabila suami atau istari mempunyai hubungan kasih dengan orang lain atau telah melakukan perzinaan. Begitu juga dengan sikap suami atau isteri yang suka berfoya-foya.

Terlalu banyak faktor atau punca yang boleh mencetuskan konflik. Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Muhd, isu yang paling kerap mencetuskan konflik ialah gaya komunikasi, seks, cemburu, kerja-kerja rumah dan wang. Ia juga berlaku dalam empat keadaan iaitu:

a)     Apabila satu pihak mengkritik pihak yang lain
b)    Apbila satu pihak membuat permintaan yang tidak patut
c)     Apabila satu pihak sudah lama menyimpan rasa sakit hati
d)    Apabila satu pihak berasa dirinya dianggap remeh dan tidak dihargai

Semua faktor di atas boleh mencetuskan konflik yang lebih serius malahan boleh menyebabkan perceraian. Selain itu, punca lain yang boleh menimbulkan konflik rumahtangga ialah campur tangan mertua, suami bersikap kasar, suami curang, tidak bertanggungjawab, tidak adil dalam berpoligami dan sebagainya.

3.5 HASIL KAJIAN

Berdasarkan kepada punca-punca perceraian di atas ia pasti membawa kesan yang mendalam dalam jiwa dan kehidupan pasangan yang telah bercerai tersebut khususnya kepada kesejahteraan psikologi mereka. Kesejahteraan psikologi yang berubah adalah dari sudut fizikal, emosi dan sikap, seterusnya ia membawa perubahan kepada psikologi yang tidak baik seperti tekanan dan ia berbeza mengikut tahap umur dan jantina.

Perubahan fizikal adalah seperti sakit, terlalu kurus atau gemuk, hilang keceriaan diri, lesu atau letih, terlalu atau tidak langsung berhias, agresif, suka mengelamun, sering lupa dan mengasingkan diri. Perubahan emosi pula adalah seperti terlalu cemburu, sedih dan sensitif, terlalu gembira atau riang, ego dan mementingkan diri, kemurungan dan bimbang. Perubahan sikap pula adalah seperti cepat marah, mudah bosan, tidak mampu mengendalikan urusan rutin dan bersikap negatif.

Kesan tekanan terbahagi kepada dua iaitu kesan positif dan kesan negatif. Kesan positif ialah menjadi sumber motivasi diri, berlaku perubahan yang positif pada diri, kecemerlangan diri meningkat, kuat berusaha, merasakan persaingan pada diri dan menimbulkan keyakinan pada diri. Manakala kesan negatif ialah prestasi menurun dari segi kerjaya, penampilan dan kesihatan, resah gelisah, hilang kesabaran diri, rasa bersalah, rendah diri dan sensitif serta hilang pertimbangan diri.

Faktor umur boleh juga dikatakan memainkan peranan utama dalam konteks stability rumahtangga kerana suami atau isteri yang berumur terlalu muda selalunya mudah terdedah kepada konflik rumahtangga. Perbezaan dari segi umur boleh membawa kepada perbezaan dari segi risiko ke atas konflik dalam rumahtangga. Ini adalah kerana pasangan suami isteri yang lebih berumur selalunya dipercayai lebih matang dan mempunyai kestabilan dari segi emosi.

Konflik rumahtangga kebanyakannya juga terjadi dalam masa 5 hingga 8 tahun pertama perkahwinan. Ini kerana dalam tempoh yang singkat itu pasangan suami isteri masih dalam proses penyesuaian diri sama ada dalam konteks personality, sikap dan tingkah laku masing-masing. Berdasarkan Journal of Marriage and Family, masalah perceraian ini lebih melemahkan kesejahteraan psikologi kedua-dua pasangan terutamanya kepada wanita yang bercerai muda. Manakala lelaki pula akan cuba untuk melupakan masalah mereka dengan cara mengambil alkohol secara berlebihan.

Berdasarkan kepada hasil kajian yang telah diperbincangkan di atas, terdapat beberapa cara untuk menghadapi gejala perceraian tersebut seperti melalui kaunseling keluarga sebagai dasar untuk menyelesaikan masalah. Cara ini digunakan sama ada di Barat dan di Negara Islam Cuma yang membezakannya hanyalah dari sudut matlamat dan pelaksanaannya.

3.6 FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEJAYAAN PROSES KAUNSELING

Kejayaan proses kaunseling dalam kajian ini adalah diukur berdasarkan kepada sejauhmana suami isteri yang mendapat perkhidmatan kaunseling di UPK, PAID Hulu Langat bersetuju untuk berdamai setelah sesi kaunseling berakhir sedangkan kuasa atau hak untuk bercerai atau berdamai banyak terletak di tangan suami. Ini adalah kerana dari segi syarak, hak untuk menjatuhkan cerai, diberi kuasa kepada suami.

Oleh itu, walaupun golongan isteri lebih tinggi peratusnya mengambil inisiatif untuk mencari jalan penyelesaian dan perdamaian bagi menyelamatkan sebuah rumahtangga yang telah dibina, namun jika suami tidak mahu kerjasama dan ingin bercerai maka terjadi juga perceraian. Keputusan yang dibuat oleh suami untuk bercerai dan tidak mahu untuk berdamai akan menjadikan proses kaunseling yang diberikan oleh UPK, PAID, Hulu Langat tidak berjaya.

Antara faktor penting yang memberi pengaruh besar terhadap kejayaan proses kaunseling ialah faktor pendidikan pengadu dan pasangannya serta faktor anak.

3.6.1 Faktor Pendidikan Pengadu dan Pasangannya

Dalam konteks yang lebih luas, pendidikan adalah satu kegiatan dalam proses sosialisasi. Orang yang lebih tinggi pendidikannya selalunya telah melalui proses sosialisasi yang lebih lengkap. Individu yang melalui proses sosialisasi yang lebih lengkap mampu menjadi manusia yang sempurna pula selalunya tidak cemderung menimbulkan masalah kepada orang lain. Walaupun ada konflik rumahtangga yang timbul, individu berpendidikan akan mudah mengambil jalan penyelesaian kerana mereka boleh berfikir tentang baik atau buruk sesuatu kejadian khususnya jika berlaku perceraian.

Selain itu, mampu bertindak selaras dengan kehendak dan jangkaan masyarakat. Dalam jiwanya terdapat ciri-ciri tanggungjawab, sabar, rajin, jujur, amanah dan pelbagai ciri-ciri positif yang lain. Apabila sesorang itu mempunyai ciri-ciri tersbut, maka perilakunya semasa berinteraksi dengan orang lain akan selaras dengan jangkaan kebanyakan ahli masyarakat lain. Kesabaran, kejujuran serta amanah merupakan satu gerak kuasa yang ada dalam diri manusia yang boleh mewujudkan persefahaman dan mengurangkan konflik. Interaksi individu yang mempunyai sifat-sifat ini dengan orang lain boleh mewujudkan persefahaman. Dalam konteks rumahtanga, individu seperti ini tidak banyak menimbulkan konflik. Apabila tiada konflik dalam rumahtangga, maka rumahtangga mereka akan menjadi aman.

Individu yang berpendidikan mudah menerima idea atau nasihat jika didapati ia berguna dalam kehidupannya. Mereka selalunya meangap idea atau nasihat orang lain sebagai perangsang kepada mereka untuk mengubah diri dan keluarga. Individu yang kurang pendidikan pula selalunya tidak mudah menerima idea atau nasihat orang lain walaupun nasihat tersebut adalah berguna untuk mereka. Mereka bersikap pasif untuk menghadapi perubahan. Keadaan ini menyebabkan proses kaunseling lebih berjaya di kalangan pasangan yang mempunyai pendidikan tinggi.

3.6.2 Faktor Anak

Anak merupakan anugerah Allah yang tiada nilainya bagi pasangan suami isteri. Ramai kalangan pasangan suami isteri bersetuju bahawa kehadiran anak akan memberikan sinar kebahagiaan ke dalam rumahtangga. Anak dan ibu bapa saling memerlukan di antara satu sama lain dan masing-masing perlu memahami perasaan serta tanggungjawab mereka dengan lebih jelas lagi. Ia bukanlah suatu yang mudah. Malah sebelum mendirikan rumahtangga, pasangan yang bakal menjadi ibu bapa perlu ada ilmu tentang keibubapaan supaya institusi perkahwinan itu dapat mencapai fungsi yang diharapkan oleh individu dan masyarakat.

Ibu bapa sebagai pemegang amanah daripada Allah adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang pelaksanaan ibadat sejak mereka kecil lagi. Anak boleh dijadikan sebagai tempat bergantung apabila mereka mencapai umur tua. Sekiranya perkahwinan mereka tidak dikurniakan anak, mereka merasa seolah-olah perkahwinan mereka tidak sempurna. Anak dianggap sebagai penyeri rumahtangga. Tanpa anak rumahtangga kurang menarik.

Anak-anak adalah penting kepada ibu bapa apabila mereka telah mati. Anak yang soleh dapat membantu ibu bapa mereka di alam kubur dengan doa mereka. Oleh kerana anak adalah penting khususnya dari segi didikan, asuhan dan kasih sayang maka jika terjadi konflik dalam rumahtangga maka suami isteri yang berfikir tentang masa depan anak-anak mereka tidak mudah untuk bercerai.

3.7 KEMAHIRAN DAN TEKNIK KAUNSELING

Kemahiran dan teknik kaunseling merupakan cara kaunselor melayan dan berinteraksi dengan klien yang datang mendapatkan perkhidmatannya. Kaunselor akan menggunakan teknik dan kemahiran yang difikirkan sesuai dan berkesan. Kedua-dua faktor ini akan memberikan keyakinan yang lebih kepada kaunselor dan juga klien. Di mana kaunselor yang mempunyai kemahiran berupaya mempamerkan kematangan di dalam memberikan perkhidmatan dan seterusnya memberikan keyakinan untuk klien mendapatkan khidmat daripadanya. Selain daripada itu, kemahiran dan teknik kaunseling akan memudahkan kaunselor mengendalikan sesi kaunseling serta dapat meminimakan kemungkinan melakukan kesilapan semasa mengedalikannya.

Memandangkan kemahiran dan teknik kaunseling memberikan sumbangan yang besar di dalam profesion kaunseling, kaunselor sewajarnya menguasai kedua-dua bidang ini. Teknik dan kemahiran yang digunakan dalam proses kaunseling merupakan strategi dalam perhubungan kaunseling. Ia boleh berbentuk perlakuan dan juga gerak balas yang memberitahu sesuatu kepada klien. Ia tidak berhubung rapat dengan teori kaunseling, harus berbentuk fleksibel, teratur dan praktikal sesuai dengan klien yang pelbagai ragam. 

3.7.1 Kemahiran Menghadapi klien

Kemahiran menghadapi klien merupakan aspek penting dalam pengendalian kaunseling. Kemahiran dalam bidang ini akan memudahkan kaunselor membentuk perhubungan yang mesra dengan klien. Ia juga akan memberikan keyakinan kepada klien bahawa kaunselor boleh menghormati orang lain. Dengan cara ini klien akan merasa yakin dirinya diterima oleh kaunselor dengan baik tanpa sebarang prasangka, sebagaimana firman Allah:

Maksudnya:
“Wahai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangka-sangka (dugaan-dugaan) terhadap orang, kerana setengah sangkaan-sangkaan itu ialah dosa dan janganlah kamu mencari-cari aib orang dan jangan pula setengah kamu mengumpat orang yang lain. Sukakah salah seorang di antaramu memakan daging saudaranya yang telah mati(bangkai)? Maka tentu kamu benci memakannya (sebab itu janganlah kamu mengumpatnya). Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah penerima taubat lagi penyayang.”

Memberi perhatian merupakan salah satu cara kaunselor mempamerkan dirinya secara fizikal atau psikologikal kepada klien. Layanan yang berkesan akan melahirkan perkara-perkara berikut; iaitu dapat memberitahu klien bahawa kaunselor bersama mereka dan meletakkan kaunselor dalam situasi mendengar.

Terdapat pelbagai kemahiran dan teknik kaunselor menghadapi kilen. Bagaimanapun sebagai seorang kaunselor muslim yang berhadapan dengan klienmuslim dia perlu menghadapi kliennya dalam suasana yang menggambarkan suasana Islam.

a) Memulakan dengan salam dan bersalaman.

Memberi salam dan bersalaman akan memudahkan kaunselor menjalinkan perhubungan yang mesra dan membentuk pertalian persahabatan. Seterusnya akan memberikan keyakinan kepada klien untuk bekerjasama dengan kaunselor dan memudahkan kaunselor melaksanakan proses memberikan pertolongan. Cara ini bersesuaian dengan ajaran Islam yang mengkehendaki setiap orang Islam memulakan percakapan atau perbincangan dengan salam. 

عن أبي هريرة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : (( حق المسلم على المسلم ست )). قيل: ما هن؟ يا رسول الله ! قال: إذا لقيته فسلم عليه. وإذا دعاك فأجبه. وإذا استنصحك فأنصح له. وإذا عطس فحمد الله فسمته. وإذا مرض فمده. وإذا مات فاتبعه ))

Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah, dia berkata Rasulullah s.a.w bersabda: “ Hak seorang muslim ke atas seorang muslim ada enam perkara”. Ditanyakan kepada Rasulullah: “Apakah perkara-perkara tersebut?”. Baginda berkata: “Apabila berjumpa memberi salam, apabila dipanggil hendaklah menyahut, apabila meminta nasihat hendaklah menasihatinya, apabila bersin, hendaklah menyebut Alhamdulillah, apabila sakit hendaklah menziarahi dan apabila mati iringilah ke kubur”.

b) Kedudukan kaunselor dengan klien

Cara klien dan kaunselor duduk semasa dalam sesi juga memberi kesan kepada proses kaunseling. Kedudukan yang selesa dan bersesuaian dapat mempengaruhi perjalanan kaunseling. Oleh itu dalam perlaksanan kaunseling, cara klien dan kaunseling duduk juga turut diberikan perhatian kerana kedudukan dan gaya kaunselor menjadi perhatian klien.

Cara kaunselor duduk menyilang kaki atau berpeluk tubuh selalunya dirujukkan sebagai pengunduran diri iaitu tidak mahu masuk campur atau bertanggungjawab terhadap masalah yang diluahkan. Sebaliknya jika dia mendorongkan badan agak ke hadapan sedikit menunjukkan kaunselor memberi perhatian kepada klien dan bersedia memberikan perhatian kepada apa yang dikatakan atau diluahkan. 

Kedudukan kaunselor dengan klien seharusnya tidak ada penghalang seperti meja dan seumpamanya. Cara duduk yang bersetentangan dan berhadapan merupakan yang terbaik kerana kedudukan seperti ini dapat memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada kedua-dua pihak. Bagaimanapun klien boleh memilih posisi kedudukannya mengikut keselesaan.

Bagi sesi kaunseling yang melibatkan berlainan jantina, suasana kedudukan kaunselor dengan klien memerlukan susunan dan jarak yang formal. Selain daripada itu, adalah lebih baik jika terdapat meja yang terletak di antara kedudukan kaunselor dengan klien. Ini akan memberikan lebih keselesaan kepada mereka berdua. Semasa sesi kaunseling dijalankan perlu ada seseorang yang menemani klien sekiranya pasangannya tidak ikut serta. Cara ini bukan sahaja dapat mengelakkan tohmahan bahkan tidak menyalahi hukum syarak.

c) Hubungan/ kontak Mata

Semasa bercakap, mata kaunselor dengan mata klien hendaklah bertentangan. Ini menunjukkan kaunselor mendengar percakapan klien dengan teliti dan ini menjadi penggerak kepada klien untuk terus menceritakan masalahnya tanpa ragu-ragu. Sekiranya kaunselor mendapati klien tidak begitu senang dengan cara bertentang mata kerana malu dan seumpamanya, maka kaunselor boleh mengalihkan pandangan ke tempat lain sekali sekala. Namun begitu, kaunselor tidak boleh mengalihkan terus pandangannya kerana ini akan menghilangkan tumpuan dan menyebabkan dia tidak memahami masalah yang disampaikan oleh klien.

d) Memahami Mesej Tanpa Lisan

Selain daripada mendengar dengan teliti percakapan klien, kaunselor juga perlu memberikan tumpuan kepada tingkah laku tanpa lisan yang ditunjukkan oleh klien. Tingkah laku tersebut mengandungi mesej tertentu yang perlu difahami oleh kaunselor. Kegagalan kaunselor memahami mesej tersebut menjadikan proses kaunseling semakin kurang berkesan bermula dari peringkat awal sesi lagi.

Memandangkan besarnya peranan bahasa tanpa pertuturan dalam membantu kaunselor memahami masalah yang dibentangkan oleh klien, kaunselor perlulah peka terhadap gerak geri klien. Kemampuan kaunselor memahami mesej tersebut boleh mewujudkan gerak geri positif daripada kliendan melahirkan sikap yang lebih terbuka serta kesedaran untuk berkongsi masalah bersama-sama klien.

Terdapat banyak gerak geri tanpa pertuturan yang lazim diperlihatkan oleh klien semasa sesi kaunseling berjalan. Gerak geri dan tingkah laku klien memberikan mesej atau makana tertentu kepada kaunselor. Berikut disenaraikan perlakuan atau gerak geri klien serta mesej yang hendak disampaikan oleh mereka.

Jadual 3.6.1 : Perlakuan dan Gerak Geri Tanpa lisan

Mata
Bola mata berair sedang bermain dengan perasaan
Tidak berkelip-kelip membayangkan pengalaman berlalu
Memandang ke lantai sedang berfikir
Memandang ke dinding membayangkan pengalaman lalu
Kerap berkelip-kelip sedang sensitive
Pejam mata menahan emosi marah, sedih dan takut
Memandang kaunselor dalam keadaan sedar
Membeliakkan mata sedang marah, geram
Mengesatkan mata gangguan perasaan sebak

Suara
Kuat dan lantang marah, geram, tidak puas hati
Perlahan sayu, kesal dan sedih
Terputus-putus sebak,sedih, menahan perasaan
Lambat sedang bermain dengan perasaan
Tinggi marah, mengancam
Menggeletar menahan perasaan marah, takut
Tersedu-sedu sedih, pilu,sebak
Ketawa gembira, peril
Gagap perasaan terganggu, ketakutan
Bunyi nafas panjang tertekan
Senyap berfikir, berkecamuk, terganggu

Pergerakan Anggota
Berpeluk tubuh belum cukup relaks, belum selesa
Bersilang kaki belum cukup relaks
Bersila panggung relaks
Condong ke belakang kelesuan, perasaan terganggu
Condong ke hadapan serius, memberi perhatian
Memicit jari cemas, separuh sedar
Mengetap bibir menahan marah, sedih, sayu
Mengetap gigi murah, geram
Memandang ke siling kecewa, bosan
Menggenggam tangan geram, marah
Menggerakkan kaki separuh sedar
Memegang tengkok bosan, tidak selesa
Memegang kepala menyesal
Menggeleng kepala tidak percaya, tidak setuju
Menutup mata tersangat sedih, malu, menyesal

Mimik Muka
Senyum gembira, puas hati, lega
Berkerut dahi bengang, tidak setuju
Berkerut muka takut, tidak puas hati
Tenang lega, sedar
Gamam terperanjat, terkejut
Serius terancam, tertekan, marah
Selamba terancam, bosan, ingin berhenti

Kontak Mata
Kontak mata yang tepat memberi perhatian, rela berkomunikasi dan rela
dan konsisten mencurah perasaan 
Kontak mata yang terputus mahu mengalihkan tajuk perbincangan, menarik diri, malu, resah, tidak selesa dan sangat hormat kepada kaunselor
Merenung sesuatu mengingatkan sesuatu dan dalam keadaan kaku
Berkerut kening kekeliruan, mengingati sesuatu
Mata yang kecil berada dalam keadaan resah dan cemas
Mata yang basah dan berair menunjukkan kesedihan, kehampaan atau mungkin juga kegembiraan
Mata yang bergerak-gerak sedang memproses sesuatu, mengingati, merasa puas, mencurah minat atau mencurigai sesuatu
Mata yang terkebil-kebil keadaan resah dan cemas
Anak mata yang membesar perasaan yang terkejut, menunjukkan minat atau rasa puas hati

Setelah memahami mesej yang ditunjukkan oleh klien melalui pergerakan tanpa lisan, kaunselor dijangka masuk ke dalam ruang rujukan dalam klien dengan lebih mudah lagi untuk memahami permasalahan klien melalui penerokaan.

3.7.2 Memahami Kemahiran Asas Mendorong

Kaunselor memerlukan maklumat yang lengkap untuk membolehkan dia memberi pertolongan yang berkesan. Sering terjadi klien bercerita semua perkara yang dialaminya. Mereka juga bercerita dalam keadaan yang tidak teratur dan menyebut fakta yang sama berulang kali. Ini akan membuatkan kaunselor susah untuk memahami apa yang disampaikan oleh klien. Oleh itu menjadi tanggungjawab kaunselor untuk merangsang klien supaya bercerita secara terbuka, jujur dan bercerita perkara yang berkaitan sahaja. Satu cara yang boleh dilakukan oleh kaunselor bagi menolong klien bercakap dan tidak kering idea ialah mengemukakan soalan-soalan terbuka.

Soalan terbuka merupakan soalan yang memerlukan jawapan yang panjang daripada klien. Bagaimana pun kaunselor juga boleh mengemukakan soalan tertutup apabila kaunselor berkehendakkan ketegasan daripada klien Soalan jenis ini hanya memerlukan jawapan yang paling pendek daripada klien misalnya ‘ya’, ‘tidak’, ‘salah’, ‘ benar’ dan sebagainya.

Kaunselor juga boleh menggunakan dorongan minima bagi menggalakkan klien agar terus bercerita sama ada dengan cara gerak-geri badan seperti anggukan kepala, gerakan mata, angkat kening atau dengan kata-kata seperti ‘lepas itu’, ‘jadi’, ‘bagaimana’, ‘kesannya’, ‘teruskan’, ‘aha’, ‘mmm’ dan sebagainya. Manakala kata-kata sempati dan empati hendaklah digunakan apabila sesuai dan perlu sahaja seperti ‘Allahuakhbar’, ‘MasyaAllah’, ‘Astaghfirullah’, ‘Alhamdulillah’ dan sebagainya.

3.7.3 Kemahiran Mendengar

Kemahiran mendengar sangat penting dalam pengendalian kaunseling. Kaunselor yang kurang mahir mendengar atau kurang mendengar tentang apa yang diceritakan oleh klien, akan menjadikan klien terasa tidak dihargai, tidak diterima dan terasa malas untuk bercerita.

Kaunselor yang mendengar dengan teliti serta penuh minat tentang apa yang disampaikan oleh klien akan dapat memahami keadaan emosi klien dengan mendalam. Dengan demikian kaunselor akan dapat melahirkan ciri-ciri empati kepada klien. Ia juga mampu merumus semula percakapan serta perasaan yang dialami oleh klien.

3.7.4 Kemahiran Mengenal Pasti Masalah

Biasanya dalam proses kaunseling, klien akan menceritakan pelbagai perkara. Kadang-kadang apa yang diceritakannya itu bukanlah merupakan masalahnya yang sebenar masalah klien. Hasil daripada mendengar dengan teliti, kaunselor akan dapat menyelami masalah sebenar klien. Kaunselor juga hendaklah berupaya untuk melihat apa yang tersurat dan tersirat.

Bagi membolehkan kaunselor memahami dengan tepat masalah sebenar yang dihadapi oleh klien, kaunselor hendaklah cuba membuat rumusan tentang perkara penting yang disampaikan oleh klien. Rumusan tersebut hendaklah dijelaskan kepada klien bagi mendapatkan kepastian. Dengan cara ini akan membolehkan kaunselor menentukan masalah sebenar klien. Cara itu juga akan dapat memecahkan kesulitan klien yang malu untuk berterus terang dengan kaunselor terutama hal-hal yang terlalu peribadi seperti isu hubungan kelamin.

3.7.5 Kemahiran Mendorong Klien

Menjadi sebahagian tanggungjawab kaunselor memberikan dorongan kepada klien untuk memahami diri, keperluan, bentuk bela diri dan cara-cara menyelesaikan masalah diri. Tugas ini bukanlah tugas yang mudah, sebaliknya ia memerlukan kemahiran dalam bidang tersebut. Kemahiran ini boleh dilakukan dengan cara menimbulkan pertanyaan berbentuk refleksi kepada apa yang telah diucapkan. Dengan cara ini klien akan sentiasa bercakap dalam keadaan sedar dan waras tanpa memasukkan hal-hal yang tidak perlu atau tidak bersangkutan dengan masalah sebenar yang dihadapinya.

3.7.6 Kemahiran Mendapatkan Penjelasan

Kaunselor perlu mengumpulkan sebanyak mugkin maklumat bagi membolehkannya memahami masalah yang sedang dihadapi oleh klien. Untuk tujuan itu kaunselor perlu mendapatkan penjelasan, keterangan dan maklumat yang lebih lanjut daripada klien. Kaunselor hendaklah menggunakan soalan-soalan yang membolehkan klien bercakap dengan panjang lebar dan terus-menerus. Sebaliknya kaunselor patut mengelakkan daripada menggunakan soalan-soalan yang membuatkan klien tidak boleh bercakap panjang atau memberikan huraian. 

Selain daripada itu, kaunselor hendaklah cuba mengelakkan lebih banyak bercakap daripada kliennya kerana semakin banyak masa yang diambil oleh kaunselor untuk bercakap semakin kurang peluang klien bercakap. Keadaan seperti ini akan melambatkan proses kaunselor mengenal pasti masalah klien.

3.7.7 Kemahiran Memberi Nasihat

Memberi nasihat kepada klien adalah perkara penting dalam kaunseling. Nasihat yang dimaksudkan di sini ialah cadangan-cadangan atau saranan-saranan yang baik dengan kata-kata yang lemah-lembut serta menarik hati dan bukannya dengan kritikan, cemuhan, paksaan, ugutan dan sebagainya.

Perkataan nasihat yang dimaksudkan dengan memberi nasihat atau tunjuk ajar tidak sesuai untuk digunakan bagi pengertian kaunseling kerana kaunseling bukanlah semata-mata memberi nasihat kepada klien. Walau bagaimanapun memberi nasihat boleh dijadikan satu kaedah kaunseling yang sangat baik tetapi bukanlah yang terbaik. 

Apa yang penting bagi kemahiran ini ialah klien disediakan dengan maklumat yang cukup dan diberikan kesedaran yang mendalam oleh kaunselor untuk membuat pilihan yang tepat dan baik. Setiap pilihan yang dibuat hendaklah atas kesedaran klien sendiri. Justeru itu, hendaklah berhati-hati memberi nasihat agar kaunselor tidak persalahkan oleh klien sekiranya pilihan yang dibuat mendatangkan implikasi yang kurang baik atau yang tidak sesuai dengan diri klien. Kaunselor sekali-kali tidak boleh membuat keputusan bagi pihak klien. Klien bebas membuat keputusan dan pilihan berdasarkan kepada pertimbangannya sendiri setelah dibimbing sebaik mungkin oleh kaunselor.

3.7.8 Kemahiran Konfrantasi

Mengkonfrantasi bererti menghujah seseorang dengan kata-kata yang mencabar perasaan, pandangan dan juga tingkah laku tanpa pertuturan mereka. Walaupun pada dasarnya temubual dalam kaunseling dilakukan dengan lemah lembut dan mesra tetapi kadang kala cara ini tidak memberi kesan. Terdapat sebilangan klien yang tidak mahu bercerita dengan benar dan jujur malahan kadang kala menipu dan memutar belitkan fakta. Dalam keadaan ini kaunselor kerap kali melakukan konfrantasi dengan cara mencabar dan menghujah klien bagi menentang perbezaan tingkah laku klien dan seterusnya menyedarkannya serta bertingkah laku yang sebenarnya.

Konfrantasi boleh memberi kesan yang negatif apabila terdapat kesilapan semasa melakukannya. Ia boleh membinasakan perhubungan yang baik di antara kaunselor dengan klien serta boleh menghapuskan keyakinan terhadap kaunseling. Namun begitu, sekiranya ia dilakukan dengan berhati-hati, ia boleh menjadi satu teknik yang dapat membantu kaunselor. Oleh itu ia perlu dilakukan dengan baik dan dalam suasana yang tidak menyinggungkan perasaan klien. Pada kebiasaannya di dalam konfrantasi masing-masing ingin menegakkan hujah sendiri dan mengenepikan hujah orang lain. Setiap hujah yang tidak dipersetujui pula hendaklah ditolak dengan baik.

Satu perkara yang penting semasa perbincangan ialah melakukan dengan cara yang baik supaya ia dapat mengelakkan daripada klien merasai kaunselor menyerang peribadinya, merendahkan serta menghinanya. Malahan kaunselor perlu menyediakan kepadanya perasaan bahawa mereka berdua sama seperti dua orang sahabat yang sama-sama menuju ke arah mencari penyelesaian kepada perkara yang dibincangkan, seolah-olahnya masalah yang dibincangkan itu masalah mereka berdua.

3.7.9 Kemahiran Pemfrasaan

Pemfrasaan merupakan satu kaedah menyatakan semula mesej asas klien dengan cara yang sama tetapi dengan menggunakan perkataan yang lebih ringkas. Tujuan utama kaunselor melakukan pemfrasaan ialah untuk menguji kefahamannya tentang apa yang telah dikatakan oleh klien. Selain daripada itu, ia juga dilakukan sebagai memberitahu klien bahawa kaunselor sedang cuba memahami mesej yang disampaikannya. Semasa melakukan pemfrasaan, kaunselor lebih banyak menumpukan kepada kognitif klien daripada perasaannya.

Kaunselor harus bertindak bijak semasa melakukan pemfrasaan kerana jika dia tidak berhati-hati dia mungkin menimbulkan rasa marah klien apabila terdapat pertentangan dengan apa yang dinyatakan olehnya. Bagi mengelakkan berlakunya percanggahan dengan apa yang diperkatakan oleh klien, kaunselor perlu mengikuti langkah berikut semasa melakukan pemfrasaan.

i.              Ingatkan mesej klien
ii.             Kenalpasti bahagian isi dalam mesej klien
iii.            Beri respon kepada isi dengan menyebut ayat itu dengan menggunakan perkataan sendiri.

3.7.10 Kemahiran Membuat Refleksi

Refleksi merupakan satu cara menyatakan kepada klien bahawa kaunselor berada di dalam rangka rujuk dalamannya. Terdapt tiga bidang refleksi iaitu perasaan, pengalaman dan isi. Tujuan utama kaunselor membuat refleksi ialah untuk memahami pengalaman klien dan untuk menyatakan kepadanya yang kaunselor sedang berusaha melihat alamnya sebagaimana yang dilihat oleh klien.

i. Refleksi Perasaan
Kaunselor membuat refleksi perasaan/ emosi dengan cara membuat pernyataan yang menggunakan perkataan sendiri berhubungan dengan perasaan klien. Tujuan utama melakukan refleksi perasaan ialah untuk memberikan tumpuan kepada perasaan dan bukan kepada isi, serta merasakan dengan lebih jelas perasaan yang telah dinyatakan oleh klien secara kabur dan juga untuk menolong klien memiliki perasaannya.

ii. Refleksi Pengalaman
Refleksi jenis ini berlaku apabila kausnelor memberikan perhatian sama kepada gerak geri tubuh badan yang turut menyatakan perasaan yang diaplikasikan tanpa bahasa. Ia merupakan gerak balas kepada pengalaman meyeluruh yang diperhatikan dalam diri klien seperti keputusan pertuturan, pernafasan yang kuat, keluhan, muka yang merah padam, cara duduk yang tidak tetap, renungan dan pandangan yang tajam. Dalam melakukan refleksi adalah lebih baik bagi kaunselor menghuraikan tingkah laku yang diperhatikan kemudian baru menumpukan kepada isi.

iii. Refleksi Isi
Ia digunakan dengan cara kaunselor menyatakan semula idea-idea penting klien dengan menggunakan perkataan baru dan lebih ringkas. Ia juga digunakan bagi menjelaskan idea-idea yang sukar untuk dinyatakan oleh klien. 

3.8 SIFAT-SIFAT KAUNSELOR

Kejayaan dan kegagalan sesi kaunseling adalah bergantung kepada sifat, peribadi sahsiah seseorang kaunselor. Terdapat beberapa sifat kaunselor yang harus dipandang secara serius seperti berikut:

3.8.1 Cerdik

Kecerdikan yang ada pada kaunselor termasuklah juga seperti kebolehan bertutur dengan fasih dan mempunyai kuantitatif yang cukup untuk berfikir, mencari alasan dan membantu menyelesaikan masalah logik dan penuh persepsi. Contohnya, boleh memberikan pelbagai alternatif lain dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang dialami oleh klien.

3.8.2 Berminat dan berkemahiran

Kaunselor harus mempunyai minat dan kemahiran untuk bekerja dengan orang ramai dan dalam masa yang sama lebih bersifat saintifik untuk megimbangi penggunaan sains individu dan tingkah lakunya. Contohnya, kaunselor yang pandai menambat hati klien menyebabkan klien merasa dirinya masih mempunyai potensi yang tinggi untuk pulih seperti sedia kala.

3.8.3 Menerima diri sendiri

Dalam hal ini, kaunselor harus boleh menerima akan hakikat sebenar tentang dirinya mengambil kesempatan ke atas diri klien bagi memenuhi impian dirinya dengan melebihi batasan yang telah dihadkan oleh pakar-pakar dalam bidang ini. Contohnya, kaunselor tidak boleh melanggar etika kaunseling yang telah ditetapkan semata-mata untuk memenuhi kepentingan peribadinya.

3.8.4 Menunjukkan kemampuan

Kaunselor harus menunjukkan kemampuannya dalam menghadapi ketidaksamaan dan ketidakpastiannya sebagai punca yang mengganggu aspek kehidupan professional dan peribadinya.

3.8.5 Mempunyai nilai bertanggungjawab

Kaunselor harus bertangungjawab ke atas kliennya. Ini adalah penting dalam memastikan proses kaunseling berjalan dengan baik. Contohnya ialah jangan membuka rahsia klien kepada orang lain.

3.8.6 Menerima klien tanpa syarat

Kaunselor harus menerima seorang klien tanpa syarat. Kaunselor perlu melayan klien sebagai manusia yang bermaruah dan unik walaupun klien datang dengan cerita yang berbagai-bagai. Secara umumnya, penerimaan dengan melakukan penghayatan yang teliti ke atas diri klien sambil mengambil pelbagai aspek positif klien akan membantu melancarkan ssi kaunseling. Contohnya, kaunselor yang melayan kerenah klien dengan baik di samping mengamati apa sebenarnya permasalahan mereka akan memudahkan proses kaunseling itu dijalankan.

3.8.7 Kejujuran dan keikhlasan

Kaunselor yang jujur adalah tidak berpura-pura dalam perhubungannya dengan klien. Dia harus bersifat neutral, spontan dan konsisten. Dia mampu berkongsi aksi dan reaksi dari segi mental dan emosi serta tidak teragak-agak untuk memberi maklum balas. Contohnya, kaunselor yang tidak mengambil kesempatan di dalam kesempitan yang dialami oleh kliennya.

3.8.8 Mesra

Kemesraan kaunselor sedikit sebanyak dapat memberikan semangat kepada klien untuk isi hatinya yang tertekan. Tanda-tanda kaunselor itu bersifat mesra di samping kliennya seperti klien tidak kekok untuk bercakap, selesa dan rasa dirinya sudah diterima. Dengan cara ini, klien mudah menceritakan segala kekusutan dalam fikirannya yang menjadi permasalahannya selama ini.

3.8.9 Penglibatan

Kaunselor seharusnya melibatkan dirinya sepenuh hati dalam sesi kaunseling yang sudah dirancangkan. Ini kerana tanpa kaunselor, siapalah klien. Tambahan pula, sebagai seorang kaunselor yang berkesan, beliau seharusnya mampu melibatkan dirinya dengan matlamat atau tujuan yang benar-benar boleh membantunya atau meninggikan taraf hidupnya, orang lain dan juga kelompok organisasi di mana dia berada. Contohnya, penglibatan kaunselor secara sepenuh hati dan sukarela membantu klien memastikan perjalanan sesi kaunseling yang lebih sempurna di samping dapat mencapai matlamat yang diinginkan.

3.8.10 Membekalkan maklumat

Kaunselor yang professional juga seharusnya mampu bertindak sebagai seorang guru dalam hal-hal membekalkan maklumat kepada kliennya. Fenomena ini memudahkan sesuatu sesi kaunseling dijalankan. Contohnya, kaunselor yang membekalkan maklumat tentang pendidikan dan pembelajaran sehingga klien dapat membuat pilihan dan mengambil keputusan secara terbuka.

3.8.11 Mendapat latihan yang formal

Latihan formal secara langsung dapat menambahkan penetahuan dan pengalaman seorang kaunselor. Dengan cara ini, kaunselor mampu meningkatkan lagi kadar kecekapannya dalam menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh klien. Kecekapan sebegini sekaligus akan membolehkan seorang kaunselor itu diiktiraf oleh masyarakat dan juga di sisi undang-undang.

3.8.12 Berempati

Sikap sebegini disemai oleh setiap kaunselor. Ini membolehkan mereka merasa apa yang klien mereka rasakan dengan mudah. Hanya dengan berkeadaan demikian barulah wujudnya kepercayaan dan keyakinan pada diri klien. Kemahiran berempati adalah kebolehan kaunselor untuk memasuki ruang dunia klien dan membenarkan dirinya mengalami proses mental dan emosi yang dialami oleh klien. Disinilah peluang kaunselor untuk menggunakan kemahiran yang ada untuk mencungkil dengan lebih lanjut permasalahan klien berlandaskan proses berempati.

3.8.13 Tidak Menghukum

Semua kaunselor tidak boleh menghukum atau menilai sesuatu terhadap kelakuan klien. Ini untuk mengelakkan daripada pandangan serong oleh klien. Kaunselor dalam konteks ini bukan pengadil, hakim, pendamai. Namun begitu, dalam konteks Islam ianya perlu mengambil kira prinsip dan hukum agama itu sendiri supaya tidak bertentangan.

Menurut Malik Badri, konsep mudah dalam Islam tidak menghukum adalah satu penolakan konsep baik, jahat, tanggungjawab, moral dan agama. Dalam Islam ada perkara halal dan haram. Hal ini berkait rapat dengan konsep hidup muslim dan kepatuhan kepada Allah yang bukan hanya tertakluk kepada matlamat dunia, malah kehidupan akhirat jua sebagai tempat menerima pembalasan.

3.8.14 Tenang, Sabar dan Berterus Terang

Semasa menjalankan sesi kaunseling, kaunselor hendaklah bersikap tenang, sabar dan berterus terang kepada klien. Kaunselor tidak boleh berpura-pura kerana boleh menimbulkan curiga kepada klien. Kaunselor hendaklah menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh klien, tepat dan sesuai.

Dalam keadaan tertentu, bantuan kaunselor diperlukan untuk membantu menjelaskan lagi curahan perasaan yang di buat oleh klien. Kaunselor hendaklah cepat memahami segala percakapan klien secara jelas dan tepat. Etika yang ada tidak menjamin seseorang kaunselor boleh berjaya tanpa persediaan yang rapi untuk menjadi seorang kaunselor. Persediaan sebagai kaunselor secara umumnya harus mempunyai sifat peribadi yang sabar, jujur dan sensitif kepada keperluan orang lain, kecerdasan, kefahaman, kematian dan personaliti kaunselor akan menghidupkan prosedur dan teknik kaunseling.

3.8.15 Ketepatan Masa dan Kerahsiaan

Berhubung dengan sifat kaunselor, Muhd Mansur menjelaskan bahawa kaunselor harus mempunyai kesedaran meluangkan masa dan tenaga bagi menolong orang lain terutama dalam membantu manusia dalam kepayahan (bermasalah). Perkhidmatan yang diberikan ini merupakan satu suruhan Allah yang sentiasa dituntut oleh Islam. Kaunselor dikehendaki amanah dalam erti kata sanggup menyimpan rahsia dan membahagikan pelanggan. Ini juga merupakan tuntutan Islam. Seorang kaunselor yang baik ialah seorang yang dapat menggunakan teknik dan kaedahnya tersendiri.

Berhubung dengan kerahsiaan ini, Hassan Langgulung menjelaskan kod etika kaunseling disimpulkan dalam tiga perkara iaitu spesialisasi secara ilmiah dan professional, kesediaan peribadi dan berpegang kepada Code of Ethics. Spesialisasi secara ilmiah dan professional bermaksud ada pengetahuan tentang kaunseling dari segi teknik dan kaedahnya dan juga pengalaman melaksanakannya dalam pelbagai suasana dalam kehidupan seharian. Kaunselor dalam konteks ini tahu untuk melaksanakannya. Keperluan ilmu pengetahuan yang pelbagai seperti psikologi, sosiologi, kerja sosial dan pendidikan syariat Islam.

Dalam Islam kaunselor merupakan orang yang boleh dicontohi oleh klien. Model terbaik sebagai kaunselor ideal adalah seperti Rasulullah dalam mengendalikan pelbagai masalah yang dihadapi. Kaunselor perlu kepada kekuatan dalaman dan bersih jiwanya daripada unsur yang boleh menjelaskan perkhidmatan. Oleh itu, sebilangan sifat asas dan terpuji perlu ada pada seorang kaunselor. Sementara itu, cabaran luaran pula kaunselor terpaksa berdepan dengan persekitaran dan asas perkembangan kaunseling itu sendiri. Kadangkala kaunselor muslim berdepan dengan ancaman seperti sekularisme yang berbentuk ilmiah yang berkaitan dengan falsafah, prinsip dan teori kaunseling itu sendiri.

Dalam hal ini, kaunselor muslim mestilah meletakkan diri dengan niat yang jitu dengan memberi perkhidmatan kerana Allah semata-mata di samping mengharapkan rahmat daripadnya. Para kaunselor muslim mestilah yakin bahawa Allah sentiasa membantu hambanya yang bekerja untuk mendapat keredaannya. Dengan itu juga kaunselor muslim mestilah membuat persediaan yang rapi dalam semua hal termasuklah memperolehi ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Kaunselor muslim juga mestilah menghiasi dirinya dengan ketekunan, kesabaran dan tabah menghadapi kerenah klien. 

No comments: