Monday, January 31, 2022

Damia - Pasrah (Official Music Video)

Sunday, January 9, 2022

 Allahu rabbi

Aku sering leka mengingati Mu
Aku sering lalai mengerjakan suruhan Mu

Allahu rabbi
Jauhkan aku daripada kelekaan dan kealpaan sehingga terlupa menyebut nama Mu
Jadikan aku insan yang sentiasa mengingatiMu 
Bukan hanya disaat sukar
Bukan hanya diwaktu aku terhimpit juga diwaktu aku bahagia dan senang
Jadikanlah aku insan yang hatinya senantiasa merindui Mu dan Rasul junjungan Mu
Lidah basah dengan zikir mengingati Mu

Allahu rabbi
Hanya pada Mu aku berlindung.


Friday, January 7, 2022

 KEMAHIRAN BERFIKIR

Oleh DR. SIDEK BABA

KEMAHIRAN berfikir adalah sesuatu yang amat fundamental dalam kemajuan sesuatu negara dan bangsa. Bangsa Yunani terkenal melahirkan ahli-ahli fikir, sekali gus menghasilkan karya-karya besar.

Pemikir seperti Aristotle, Plato, Socrates dan lain-lain, pemikirannya dikaji sehingga kini. Hal yang sama berlaku dalam ketamadunan Islam yang melahirkan pemikir-pemikir besar dalam banyak bidang. Tokoh-tokoh seperti Ibnu Nafis, Ibnu Sina, al-Batani, al-Khwarizmi, al-Biruni, al-Zahrawi, Ibnu Khaldun, IbnuTaimiyyah, Shah Waliyullah dan lain-lain adalah pemikir, pengkaji dan saintis pada zamannya yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan manusia dan tamadun. Kekuatan yang ada pada mereka bermula dengan tradisi berfikir yang menghasilkan ilmu dan karya.

Kemahiran berfikir harus didedahkan kepada generasi muda sejak zaman remajanya lagi. Kecenderungan al-Farabi, al-Kindi, Ibnu Rushd berfikir bermula sejak umur remaja lagi. Bermula dengan mendekati dan meneliti al-Quran, menguasai aspek-aspek bahasa dan tafsir sehinggalah mendekatkan mereka dengan ilmu-ilmu falsafah, matematik, astronomi dan muzik adalah gambaran tradisi berfikir yang cemerlang berlaku di kalangan mereka. Dewasanya mereka menghasilkan karya-karya besar untuk kajian dan tatapan manusia berzaman-zaman.

Berfikir sebagai suatu kemahiran perlu disuburkan di kalangan remaja. Tempoh remaja adalah tempoh yang amat berpotensi membentuk kemahiran berfikir supaya potensi akliah atau mindanya dapat berkembang dengan subur dan baik. Remaja tidak seharusnya di dedah dengan pendekatan mengingat dan menghafaz saja. Ia juga penting sebagai suatu cara merakam maklumat dan ilmu. Tetapi lebih penting lagi ialah bagaimana maklumat dan ilmu dapat difahami dan diaplikasikan kepada diri dan juga di luar diri. Ia sudah tentu menuntut upaya atau kemahiran berfikir.

Kemahiran berfikir adalah amat perlu bagi remaja supaya sudut pandangannya menjadi luas dan mantap. Oleh kerana sifat ilmu dan maklumat adalah berkembang, pemikiran remaja tidak harus statik, beku dan jumud dalam tahap-tahap tertentu sedangkan perkembangan maklumat dan ilmu di sekitarnya berkembang dengan laju. Dalam gelombang perkembangan maklumat yang digerakkan oleh teknologi para remaja harus berkemampuan menyaring yang mana baik dan bermanfaat atau yang mana sebaliknya. Kemahiran berfikir boleh membantu

Apa yang penting bagi remaja ialah kenal pasti potensi, minat dan kecenderungan terhadap bidang-bidang ilmu dan keahlian kemudian latih diri dengan kemahiran berfikir yang sistematik. Maksud berfikir yang sistematik ialah bagaimana pemerhatian, pengkajian, dapatan, penemuan yang dilalui oleh remaja baik dalam hal-hal akademik dan kerja saintifik, mahupun khazanah pengalaman dan pemerhatian mencetuskan daya fikir, perasaan ingin tahu yang tinggi, kecenderungan melihat dalam perspektif yang berbeza, memperkayakan persepsi, tafsir dan taawil terhadap sesuatu adalah jalan-jalan yang menghasilkan kemahiran berfikir.

Remaja di peringkat awal membina kemahiran berfikir harus peka dan sensitif terhadap sesuatu. Ia mendorong rasa ingin tahu yang tinggi. Dorongan ingin tahu harus diikuti dengan pembacaan, perkongsian ilmu dan maklumat, melakukan analisis, mendapatkan maklumat-maklumat berbanding dari sumber-sumber lain kemudian meletakkan sesuatu subjek atau isu dalam perspektifnya. Apabila sesuatu itu berada dalam perspektifnya maka barulah asas pemikiran diletakkan dan subjek itu boleh dilihat secara kritikal, kreatif, reflektif, lateral, analitis, evaluatif dan sebagainya.

Melihat dan menanggapi sesuatu berasaskan perspektif pemikiran boleh menambahkan lagi kesuburan ilmu, menjadikan maklumat berkembang, pendapat diperkayakan dan akhirnya data dan fakta yang diperoleh menjadi lebih tersaring dan rumusan ke arah sesuatu akan menjadi lebih baik. Ia sangat penting memandu remaja berfikir dengan lebih tepat, baik dan sempurna. Ia boleh menyebabkan remaja berfikir dengan berkualiti.

Berfikir

Pada hari ini ramai remaja yang tidak berfikir. Sesuatu itu dilihat secara pergi dan datang tanpa kecenderungan untuk berfikir baik atau buruknya. Sesuatu yang datang dalam hidupnya baik yang bercorak maklumat, hiburan, senikata, bahan pembacaan dan tontonan lebih banyak yang mengisi keperluan naluri dan nafsu. Sekiranya para remaja tidak dibina asas dirinya menjadi remaja yang baik dan berakhlak unsur hiburan dan berfoya-foya sangat digemari.

Remaja jenis ini jarang berfikir tentang baik buruk, bermanfaat atau pun tidak akan sesuatu itu, sebaliknya menjadi pengguna setia hingga akhirnya menyebabkan para remaja terpengaruh dengan perkara-perkara negatif dan terlibat dengan perbuatan yang melampaui batas.

Dalam tradisi Islam kemahiran berfikir sentiasa dihubungkan dengan faktor zikir. Zikir di sini harus dilihat dalam erti kata yang luas. Zikir bukan hanya menyebut nama Allah atau kebesarannya tetapi zikir dalam konteks fikir mengajar remaja memahami faktor kewujudan Allah dengan tanda-tanda kebesaran-Nya. Allah s.w.t. adalah sesuatu yang ghaib. Adanya alam ini, seluruh kejadian yang ada, rahmah dan nikmat yang melimpah, diberikan roh kepada manusia supaya manusia mampu berfikir, merasa dan memilik nilai dalam aplikasi hidup.

Remaja pada peringkat awal umur lagi jangan hanya berfikir terhadap benda-benda yang wujud dan tampak semata-mata. Sesuatu yang wujud dalam alam dan kehidupan ini tidak semestinya maujud dalam bentuk yang nyata dan tampak. Roh yang ada pada tubuh remaja sendiri adalah sesuatu yang ghaib. Tetapi ia wujud pada diri dan memperkasa akal dan hati. Tanpa roh jasad, akal dan rohani tidak akan memberi makna apa-apa. Pemikiran pokoknya ialah siapa yang mencipta roh itu. Al-Quran memberikan pertunjuk bahawa roh itu adalah ciptaan Allah dan yang diketahui oleh manusia tentang roh adalah amat sedikit sekali.

Akal adalah anugerah Allah yang amat berharga. Dari akal membolehkan remaja mengingat dan menghafaz. Daripada akal juga menyebabkan pemikiran berkembang dan daya taakulan terjadi. Berfikir adalah suatu proses dan apa yang difikir menjadi sumber maklumat dan ilmu kepada remaja. Tetapi upaya pemikiran remaja terbatas sedangkan alam dan kehidupan yang amat luas ini sifatnya tidak terbatas. Remaja memerlukan pedoman.

Al-Quran sebagai Kalam Allah memberikan kita pedoman mengenai alam nyata dan alam ghaib. Daripadanya remaja belajar memberi perimbangan mengenai pertunjuk, pedoman dan pertanda daripada Allah untuk manusia tahu dan daripadanya manusia dapat mengukuhkan jiwa kehambaan yang tinggi supaya kepatuhan dan ketaatan yang ada membolehkan remaja hidup dalam keadaan yang fitrah. Kalau tidak pemikiran remaja akan berkembang secara pemikiran orang Barat yang sebahagiannya tidak percaya kepada konsep Penciptaan dan menolak konsep ghaib sebagai dogma dan dihubungkan sebagai tidak rasional dan tidak saintifik.

Dalam al-Quran terdapat hampir 200 ayat yang khusus tentang sains. Ulama dan ilmuan Islam pada masa terdahulu berfikir berpandukan zikir iaitu menghubungkan Allah sebagai Pencipta. Sedikit kebesaran dan kehebatan hasil ciptaan-Nya dikaji oleh manusia dalam mengurus hidupnya.

Bagi yang tidak beriman merasakan apa yang ditemui dan didapati dianggap ia hasil kajian saintifik manusia sedangkan bagi pemikir dan saintis Islam ia adalah tanda kebesaran Allah yang menciptakan segala sesuatu dan manusia hanya dapat menemui sedikit rahmah, hikmah dan nikmat-Nya. Dari situ manusia memiliki rasa syukur yang tinggi.

Para remaja Islam perlu bersikap kreatif, inovatif dan kritikal terhadap sesuatu fakta dan data. Tetapi daya kreatif, inovatif dan kritikal jangan sampai kita menolak faktor zikir hingga menyebabkan remaja kehilangan arah dan pedoman dan akhirnya menolak Tuhan dan agama. Faktor zikir adalah faktor yang memandu remaja dekat dengan kebenaran dan faham tentang fitrah kejadian.

Oleh itu berfikir tanpa landasan boleh menyebabkan remaja hilang arah. Berfikir menolak fitrah kejadian akhirnya menyebabkan remaja menolak fitrah kejadian. Berfikir secara Qurani akan membimbing remaja ke arah kebenaran yang hakiki. Kebenaran hakiki juga yang akan menjadi pedoman terbaik memandu remaja membina peribadi yang fitrah. Inilah landasan berfikir yang dianjurkan oleh Islam.

APAKAH KEMAHIRAN MENAAKUL?

Apakah itu menaakul (reasoning)? Sebenarnya pelbagai istilah boleh digunakan bagi menerangkan apakah itu menaakul (reasoning). Antara istilah yang biasa digunakan ialah pemikiran kritikal (critical thinking), pemikiran aras tinggi (higher-order thinking), penaakulan secara logic (logical reasoning) atau penaakulan mudah (simply reasoning).

Istilah-istilah tersebut digunakan secara berbeza berdasarkan kepada bidang yang dibincangkan. Namun demikian, daripada pelbagai jenis bidang tersebut ianya mempunyai perkaitan dan kesamaan. Kemahiran menaakul biasanya digunakan dalam proses menyelesaikan masalah dan ia merujuk kepada kebolehan kognitif seseorang yang melibatkan pemikiran secara sistematik dan abstrak. Kemahiran berfikir dalam aras yang lebih tinggi adalah semakin penting dan perlu bagi pembangunan modal insan bagi abad ke 21. Bagi menyediakan rakyat ke arah tersebut, perubahan kepada tahap pemikiran pelajar-pelajar di sekolah harus segera dilaksanakan. Usaha-usaha tersebut adalah sangat diperlukan daripada pihak guru-guru di sekolah dalam menerapkannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Guru-guru perlu lebih kreatif dalam memberikan aktiviti-aktiviti yang lebih mencabar kepada pelajar sebagai asas dalam melahirkan pelajar yang mampu membuat penaakulan secara logik dan sistematik yang mana akhirnya mereka mampu bersaing dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar. Pemikiran secara kritikal sperti menjalankan kajia, membuat hubung kait dan menilai segala aspek permasaalahan dari pelbagai situasi adalah amat perlu bagi melahirkan pelajar yangberfikiran aras tinggi.

Setiap pelajar mempunyai potensi kearah pemikiran aras tinggi dan kemahiran menaakul merupakan satu asas dalam mengembangkan potensi tersebut terutamanya dalam matematik. Untuk menjadikan pelajar itu lebih yakin dan mampu menjana idea pembelajaran sendiri, mereka perlu berkembang dalam kebolehan berfikir secara logic dan bertindak dengan lebih kreatif. Untuk membekalkan situasi pembelajaran berkenaan berlaku, adalah penting penekanan diberikan kepada kemahiran menaakul dalam apa jua aktiviti pembelajaran yang dijalankan.

Dr . Zailah Zainudin, IPG Kampus Raja Melewar menerangkan Kemahiran Menakul adalah seperti berikut:

Pemahaman dan penguasaan kemahiran kritis, kemahiran kreatif dan strategi berfikir akan menjadi lebih mudah sekirannya seseorang individu berkebolehan membuat penaakulan secara induktif dan deduktif. Melalui penaakulan secara induktif seseorang boleh membuat satu kesimpulan atau pengitlakan, manakala penaakulan secara deduktif seseorang boleh membuat pertimbangan dari satu situasi umum ke beberapa contoh atau situasi yang spesifik. Kemahiran menaakul ini bertindak sebagai pelincir semasa menggunakan kemahiran kritis, kreatif dan startegi berfikir.

Definisi Membuat Penaakulan

Kemahiran membuat pertimbangan secara logik, rasional, adil dan saksama.

Kemahiran digunakan untuk Meningkatkan keberkesanan:

a. Membuat interpretasi, analisis, sintesis, penilaian, pengitlakan dan kesimpulan.

b. Membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

 Penaakulan Induktif

 Langkah Penggunaan:

a. Teliti beberapa contoh atau situasi yang spesifik

b. Perhatikan cirri yang sepunya

c. Buat satu kesimpulan atau pengitlakan

Penaakulan secara Deduktif

Langkah Penggunaan:

a. Teliti situasi umum

b. Daripada situasi umum dapatkan contoh atau situasi yang spesifik

 

 

 6 TOPI BERFIKIR _ EDWARD DE BONO

Enam topi berfikir

1. Topi Putih

Topi putih digunakan untuk mengumpul secara objektif segala maklumat yang berkaitan dengan apa yang sedang kita amati. Setiap pengguna topi putih tidak seharusnya memberi sebarang penilaian atau pendapat terhadap sesuatu maklumat.

Pendapat sendiri tidak akan dibenarkan sama sekali untuk dimasukkan sebagai maklumat yang hendak dikumpul atau menguatkan sesuatu pendapat. Hal ini amat bertentangan dengan pemikiran tradisional yang mana lebih cenderung kepada membuat keputusan terlebih dahulu dan hanya selepas itu sahaja barulah membuat jangkaan fakta-fakta untuk menyokong keputusan berkenaan.

Topi putih seringkali digunakan pada permulaan perbincangan untuk mencorakkan latar belakang sesuatu masalah. Ia juga boleh digunakan sekali lagi pada akhir perbincangan bagi memastikan sesuatu cadangan atau keputusan yang telah dibuat itu adalah berdasar kepada maklumat yang telah dikumpulkan.

2. Topi kuning

Topi kuning digunakan untuk mencari nilai-nilai positif. Ia juga digunakan untuk berfikir secara logikal daripada perspektif yang positif dan konstruktif. Gaya pemikiran menggunakan topi kuning amat penting kerana ia dapat menggalakkan kita untuk mencari nilai-nilai positif sesuatu idea termasuk idea yang pada mulanya kelihatan tidak begitu menarik.

3. Topi hitam

Topi hitam digunakan untuk menganalisis idea atau meneliti sesuatu cadangan secara logikal dari aspek undang-undang, keselamatan dan lain-lain agar kita lebih berhati-hati sebelum menerima sesuatu keputusan atau cadangan. Dalam erti kata lain kita melihat sesuatu keputusan itu dari sudut negatif. Negatif di sini bermaksud berhati-hati atau melindungi kepentingan sendiri. Ini penting kerana ia dapat menonjolkan kelemahan sesuatu keputusan yang akan diambil. Ia juga membenarkan kita untuk menyingkir, mengubah dan menyediakan pelan kecemasan untuk mengatasi sebarang kemungkinan.

Topi hitam juga dapat membantu kita menjadikan perancangan yang dibuat itu lebih kukuh dan fleksibel. Ia juga membantu kita dalam menjangkakan risiko-risiko yang mungkin berlaku sebelum membuat sebarang keputusan.

4. Topi merah

Menggunakan topi merah kita akan melihat sesuatu masalah itu dengan menggunakan emosi atau intuisi sama ada secara positif atau negatif tanpa perlu menjelaskan sebabnya dan bukan digunakan untuk mengubah sesuatu perkara atau idea yang telah dibuat. Ia juga cuba untuk memahami macam mana orang lain akan bertindak dengan emosi.

5. Topi hijau

Topi hijau pula mewakili kreativiti. Ia melambangkan tenaga pemikiran yang melihat sesuatu perkara dari perspektif yang baru dan juga mengeluarkan idea-idea yang kreatif dalam kaedah penyelesaian masalah.Topi hijau membantu kita untuk bergerak kehadapan dengan menjanakan idea-idea alternatif yang lebih baik berbanding idea asal. Ia juga digunakan untuk menyelesaikan atau memperbaiki masalah yang dilihat melalui topi hitam.

6. Topi biru

Topi biru mewakili kawalan proses berfikir secara keseluruhannya ataupun dalam bahasa yang lebih mudah ia digunakan untuk mengawal kegunaan topi berfikir yang lain. Kebiasaannya, ia digunakan oleh pengerusi mesyuarat atau ketua perbincangan. Ia boleh digunakan pada awal perbincangan untuk menjelaskan perkara yang akan dibincangkan, menjelaskan tujuan sesuatu perbincangan dan merancang corak pemikiran yang akan digunakan dalam perbincangan tersebut. Pemikir yang memakai topi biru boleh bersuara semasa perbincangan sedang berlangsung untuk mengawal perbincangan agar tidak kelam kabut dan pengunaan topi lain adalah mengikut peraturan

Pemikiran Lateral dan 6 Kaedah Berfikir

Edward De Bono mengajarkan 6 kaedah berfikir dipanggil ‘Six Thinking Hat’. Ada topi hijau untuk percambahan idea kreatif. Ada topi kuning untuk pemikiran konstruktif. Topi putih untuk analisis dan objektif. Topi hitam untuk pemikiran negatif dan berisiko. Manakala topi merah untuk emosi. Dan satu lagi topi biru untuk pemimpin paling atas.

Pemikiran Lateral gagasan De Bono memuatkan 6 kaedah berfikir. De Bono sangat mengkritik pemikiran secara kritikal semata yang menurutnya diwarisi dari tradisi Greek dan Yunani. Hanya ketika ini De Bono menggunakan tradisi pemikiran Greek dan Yunani hanya bersifat binari atau hitam putih. Benar atau salah. Jika kita mampu mebuktikan orang lain salah, maka kitalah yang paling benar. Kemenangan berpihak kepada pasukan atau individu yang paling mampu membuktikan orang lain salah. Pemenang dalam takrifan ini adalah orang yang mempu mengalahkan orang lain.

“We use our best brain to destroy other ideas”

Maka lahirlah pemegang sarjana dan doktoral yang hanya mampu mencantas dan mengkritik idea dan teori orang lain. Tugas dan kerja professor dan sarjana ini (kebanyakannya) keluar untuk memborngkar keduk dan kelemahan orang lain. Sedang idea dan teori ciptaan sendiri entah kemana.

 Berlaku satu perbualan ahli akademik Indonesia dan ahli akademik dari Malaysia.

 Indonesia : Dosen (pensyarah) Malaysia bagaimana?

Malaysia : Dosen Malaysia luar biasa. Banyak menulis kertas kerja dan juga menulis kulit buku (sedang bukunya tidak siapa-siapa). Dosen Indonesia pula bagaimana?

Indonesia : Dosen Indonesia pula biasanya di luar. (merujuk kepada ahli akademik Indonesia sangat dimanfaatkan oleh masyarakat di luar kampus).

Namun begitu agak janggal jika kita terus meninggalkan pemikiran secara kritis. Dalam topi kuning juga ada unsur kritis. Tapi kritis yang membina dan untuk memperbaiki.

Dalam tradisi Islam ada disiplin ilmu yang dipanggil ‘jarah wa ta’dil’, membawa maksud kritik dan saran (ada yang terjemah puji). Dalam menilai sesuatu tulisan dan idea mahupun peribadi tokoh itu sendiri dua sisi bertentangan diberi penilaian yang adil. Tiada idea dan teori yang semuanya buruk-buruk belaka. Dan tidak ada juga naskah yang semuanya baik-baik dan benar-benar belaka melainkan Kitab Allah dan Hadith yang thabit.

Contoh naskah besar yang di’jarah’ dalam tradisi ilmu Islam ialah Ihya’ Ulumuddin tulisan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali rahimahullah. Kitab Ihya merupakan magnum opus Al-Ghazali selain naskah lain beliau yang banyak sekali mengkritik kesesatan ilmu kalam dan falsafah. Kitab ini dikritik hebat dari sudut beberapa bahagian dari kandungannya yang berbaur kesufian melampau dan kedudukan-kedudukan hadith yang dirujuk banyak sekali diragui sanadnya. Hinggakan Al-Iraqi membuat kajian khusus bagi menilai kedudukan hadith dalam Ihya yang nyata banyak sekali hadith yang lemah (dhaif) bahkan ada yang palsu (maudhu’).

Ihya walaupun lahir dari tangan tokoh ilmuan besar ianya tidak diterima bulat-bulat. Dan tidak juga ditolak bulat-bulat. Ternyata banyak sekali ilmu dan kajian mendalam Al-Ghazali yang dapat diambil manfaat. Di sini ta’dil berperanan.

Sikap yang demikian juga perlu diambil ketika menaggapi karya-karya Ibn Taimiyyah di Nusantara ini. Walaupun semua maklum aliran pemikiran madrasah Ibn Taimiyyah dan Imam Al-Ghazali tidak pernah berhenti bertentang sejak ratusan tahun dahulu. Menurut Yusuf Al-Qaradhawi, konflik aliran sebegini jika tidak ditanggapi dengan kritik dan saran yang benar berlandaskan nas, nescaya akan merugikan institusi ilmu Islam, umat Islam dan dunia umumnya.

Sudah sampai masanya kita beralih dari berfikir secara hitam putih kepada kaedah berfikir yang lebih dinamik. Nabi sendiri pun selalunya amat lambat menghukum sesuatu itu hitam ataupun putih sebelum mendapat keterangan yang lebih lanjut.

(disesuaikan dari ceramah Bengkel Pemikiran Lateral oleh Puan Ainon Mohamad)

Labels: KuliahSeminar