Wednesday, July 7, 2010

GUNAKAN BAHASA YANG DIFAHAMI PENDENGAR


Gunakan bahasa yang difahami pendengar.

Semasa sibuk mengemas dan menyusun semula bilik kerja saya, terjumpa pula satu buku nota kecil yang sering saya bawa bersama beg laptop saya tidak lama dulu. Saya suka baca semula apa yang pernah saya tuliskan. Antara sebabnya ialah kadang-kala saya tuliskan apa yang mahu beli atau buat satu hari nanti. Jadi apabila saya baca semula apa yang pernah saya tulis, ada banyak benda atau perkara yang pernah ditulis itu sudah saya perolehi atau capai.

Satu catatan yang menarik perhatian saya ialah catatan saya semasa mendengar ucapan seorang pegawai di hadapan lebih seratus orang pelajar tahun enam. Di dalam buku saya, tertulis, “Gunakan bahasa yang difahami pendengar.” Pegawai ini sebenarnya diberikan masa 10 minit untuk memberi ucapan tetapi mungkin kerana seronok bercakap, terlajak pula hingga hampir setengah jam.

Namun apa yang menarik perhatian saya ialah ayat-ayat dan bahasa yang pegawai ini gunakan. Dia banyak menggunakan terma dan ayat yang biasanya hanya orang dewasa sahaja yang faham. Tambahan lagi, dia gunakan perkataan seperti, “meningkat sebanyak 7%”, “telah menurun sebanyak 5%” dan “kami mengharapkan pertumbuhan sebanyak lebih 8%”.Semasa pegawai ini berucap juga saya sibuk memerhatikan reaksi pelajar. Mungkin kita boleh jangkakan apakah reaksi atau respon pelajar terhadap ayat dan kata-kata ini bukan?

Sepanjang pengalaman saya menjalankan program dengan pelajar, saya telah berhadapan dengan banyak situasi seperti ini. Saya lihat orang yang memberi ucapan seperti keliru dengan apa tujuan sebenar ucapan itu diberikan. Jadi, apakah sebenarnya tujuan utama satu ucapan diberikan? Jika diberi pilihan, apakah jawapan yang bakal kita pilih? Adakah tujuan kita beri ucapan adalah untuk

a) Menunjukkan kehebatan kita menggunakan bahasa canggih.

b) Membuat pendengar kurang faham kerana bahasa kita adalah sangat tinggi dan orang yang mempunyai daya intelektual tinggi sahaja boleh memahaminya.

c) Sekadar mengisi masa terluang yang ada di dalam satu program.

d) Membuat pendengar faham mesej yang cuba disampaikan.

Mungkin anda berpengalaman melihat trainer yang dilabelkan ‘tidak menyerlah’ dari segi persembahan atau ucapan. Ucapan atau penerangan mereka sukar difahami. Satu sebab utama mengapa sukar difahami ialah mereka menggunakan bahasa yang pendengar tidak faham.Ia sama seperti saya membaca mesej-mesej yang dihantar oleh pelajar dan individu kepada saya. Mereka menulis mesej menggunakan singkatan yang hanya mereka faham.

Yang peliknya, apabila saya kata saya tidak faham mesej mereka, mereka mula tersinggung. Sama seperti pegawai tadi, dia kelihatan seperti tersinggung apabila pelajar tidak mengendahkannya dan mula bercakap sesama sendiri. Beberapa kali dalam ucapannya dia menegur pelajar agar diam dan mendengar apa yang mahu dikatakannya.

Jadi antara tips mudah yang pernah saya pelajari daripada beberapa orang guru mengenai teknik bercakap dan berucap agar ia menarik dan berkesan ialah

1. Jangan anggap orang tahu apa yang kita sudah tahu. Sebagai contoh internet marketer selalu gunakan perkataan JV dan mereka tersilap anggap semua orang faham apa maksud JV. Jika mahu guna juga perkataan JV itu, terangkan dahulu maksudnya.

2. Gunakan bahasa yang paling ringkas (tetapi betul tatabahasanya).

Osman Affan

Saya sentiasa percaya tips ini adalah antara yang paling penting dalam memberikan ucapan atau persembahan di hadapan khalayak ramai yang berkesan. Saya tidak dapat bayangkan kalau saya bercakap formal (atau ’skema’ kata pelajar sekolah sekarang) di dalam program satu hari saya.

Kalau saya bercakap begitu, berapa lama agaknya pelajar-pelajar saya (terutamanya di sekolah rendah) boleh bertahan? Bagaimana agaknya saya mahu kendalikan program dan menarik perhatian pelajar seramai 100, 500, 1500 atau 3000 orang pelajar?

p/s Sabda Rasulullah S.A.W. iaitu”Berbicaralah kamu dengan manusia berdasarkan aras pemikiran mereka.” . Sabda ini bagi saya sangat tepat menggambarkan apa yang ingin saya sampaikan. Ia juga patut digunakan sebagai asas modul utama program-program teknik pengucapan awam.

1 comment:

Adzriel AB said...

Setuju sangat2 sebab ada org yg syok sendiri bila berkata2. Guna bahasa yg mudah & jelas. Kena belajar ni..