Friday, January 7, 2022

 6 TOPI BERFIKIR _ EDWARD DE BONO

Enam topi berfikir

1. Topi Putih

Topi putih digunakan untuk mengumpul secara objektif segala maklumat yang berkaitan dengan apa yang sedang kita amati. Setiap pengguna topi putih tidak seharusnya memberi sebarang penilaian atau pendapat terhadap sesuatu maklumat.

Pendapat sendiri tidak akan dibenarkan sama sekali untuk dimasukkan sebagai maklumat yang hendak dikumpul atau menguatkan sesuatu pendapat. Hal ini amat bertentangan dengan pemikiran tradisional yang mana lebih cenderung kepada membuat keputusan terlebih dahulu dan hanya selepas itu sahaja barulah membuat jangkaan fakta-fakta untuk menyokong keputusan berkenaan.

Topi putih seringkali digunakan pada permulaan perbincangan untuk mencorakkan latar belakang sesuatu masalah. Ia juga boleh digunakan sekali lagi pada akhir perbincangan bagi memastikan sesuatu cadangan atau keputusan yang telah dibuat itu adalah berdasar kepada maklumat yang telah dikumpulkan.

2. Topi kuning

Topi kuning digunakan untuk mencari nilai-nilai positif. Ia juga digunakan untuk berfikir secara logikal daripada perspektif yang positif dan konstruktif. Gaya pemikiran menggunakan topi kuning amat penting kerana ia dapat menggalakkan kita untuk mencari nilai-nilai positif sesuatu idea termasuk idea yang pada mulanya kelihatan tidak begitu menarik.

3. Topi hitam

Topi hitam digunakan untuk menganalisis idea atau meneliti sesuatu cadangan secara logikal dari aspek undang-undang, keselamatan dan lain-lain agar kita lebih berhati-hati sebelum menerima sesuatu keputusan atau cadangan. Dalam erti kata lain kita melihat sesuatu keputusan itu dari sudut negatif. Negatif di sini bermaksud berhati-hati atau melindungi kepentingan sendiri. Ini penting kerana ia dapat menonjolkan kelemahan sesuatu keputusan yang akan diambil. Ia juga membenarkan kita untuk menyingkir, mengubah dan menyediakan pelan kecemasan untuk mengatasi sebarang kemungkinan.

Topi hitam juga dapat membantu kita menjadikan perancangan yang dibuat itu lebih kukuh dan fleksibel. Ia juga membantu kita dalam menjangkakan risiko-risiko yang mungkin berlaku sebelum membuat sebarang keputusan.

4. Topi merah

Menggunakan topi merah kita akan melihat sesuatu masalah itu dengan menggunakan emosi atau intuisi sama ada secara positif atau negatif tanpa perlu menjelaskan sebabnya dan bukan digunakan untuk mengubah sesuatu perkara atau idea yang telah dibuat. Ia juga cuba untuk memahami macam mana orang lain akan bertindak dengan emosi.

5. Topi hijau

Topi hijau pula mewakili kreativiti. Ia melambangkan tenaga pemikiran yang melihat sesuatu perkara dari perspektif yang baru dan juga mengeluarkan idea-idea yang kreatif dalam kaedah penyelesaian masalah.Topi hijau membantu kita untuk bergerak kehadapan dengan menjanakan idea-idea alternatif yang lebih baik berbanding idea asal. Ia juga digunakan untuk menyelesaikan atau memperbaiki masalah yang dilihat melalui topi hitam.

6. Topi biru

Topi biru mewakili kawalan proses berfikir secara keseluruhannya ataupun dalam bahasa yang lebih mudah ia digunakan untuk mengawal kegunaan topi berfikir yang lain. Kebiasaannya, ia digunakan oleh pengerusi mesyuarat atau ketua perbincangan. Ia boleh digunakan pada awal perbincangan untuk menjelaskan perkara yang akan dibincangkan, menjelaskan tujuan sesuatu perbincangan dan merancang corak pemikiran yang akan digunakan dalam perbincangan tersebut. Pemikir yang memakai topi biru boleh bersuara semasa perbincangan sedang berlangsung untuk mengawal perbincangan agar tidak kelam kabut dan pengunaan topi lain adalah mengikut peraturan

Pemikiran Lateral dan 6 Kaedah Berfikir

Edward De Bono mengajarkan 6 kaedah berfikir dipanggil ‘Six Thinking Hat’. Ada topi hijau untuk percambahan idea kreatif. Ada topi kuning untuk pemikiran konstruktif. Topi putih untuk analisis dan objektif. Topi hitam untuk pemikiran negatif dan berisiko. Manakala topi merah untuk emosi. Dan satu lagi topi biru untuk pemimpin paling atas.

Pemikiran Lateral gagasan De Bono memuatkan 6 kaedah berfikir. De Bono sangat mengkritik pemikiran secara kritikal semata yang menurutnya diwarisi dari tradisi Greek dan Yunani. Hanya ketika ini De Bono menggunakan tradisi pemikiran Greek dan Yunani hanya bersifat binari atau hitam putih. Benar atau salah. Jika kita mampu mebuktikan orang lain salah, maka kitalah yang paling benar. Kemenangan berpihak kepada pasukan atau individu yang paling mampu membuktikan orang lain salah. Pemenang dalam takrifan ini adalah orang yang mempu mengalahkan orang lain.

“We use our best brain to destroy other ideas”

Maka lahirlah pemegang sarjana dan doktoral yang hanya mampu mencantas dan mengkritik idea dan teori orang lain. Tugas dan kerja professor dan sarjana ini (kebanyakannya) keluar untuk memborngkar keduk dan kelemahan orang lain. Sedang idea dan teori ciptaan sendiri entah kemana.

 Berlaku satu perbualan ahli akademik Indonesia dan ahli akademik dari Malaysia.

 Indonesia : Dosen (pensyarah) Malaysia bagaimana?

Malaysia : Dosen Malaysia luar biasa. Banyak menulis kertas kerja dan juga menulis kulit buku (sedang bukunya tidak siapa-siapa). Dosen Indonesia pula bagaimana?

Indonesia : Dosen Indonesia pula biasanya di luar. (merujuk kepada ahli akademik Indonesia sangat dimanfaatkan oleh masyarakat di luar kampus).

Namun begitu agak janggal jika kita terus meninggalkan pemikiran secara kritis. Dalam topi kuning juga ada unsur kritis. Tapi kritis yang membina dan untuk memperbaiki.

Dalam tradisi Islam ada disiplin ilmu yang dipanggil ‘jarah wa ta’dil’, membawa maksud kritik dan saran (ada yang terjemah puji). Dalam menilai sesuatu tulisan dan idea mahupun peribadi tokoh itu sendiri dua sisi bertentangan diberi penilaian yang adil. Tiada idea dan teori yang semuanya buruk-buruk belaka. Dan tidak ada juga naskah yang semuanya baik-baik dan benar-benar belaka melainkan Kitab Allah dan Hadith yang thabit.

Contoh naskah besar yang di’jarah’ dalam tradisi ilmu Islam ialah Ihya’ Ulumuddin tulisan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali rahimahullah. Kitab Ihya merupakan magnum opus Al-Ghazali selain naskah lain beliau yang banyak sekali mengkritik kesesatan ilmu kalam dan falsafah. Kitab ini dikritik hebat dari sudut beberapa bahagian dari kandungannya yang berbaur kesufian melampau dan kedudukan-kedudukan hadith yang dirujuk banyak sekali diragui sanadnya. Hinggakan Al-Iraqi membuat kajian khusus bagi menilai kedudukan hadith dalam Ihya yang nyata banyak sekali hadith yang lemah (dhaif) bahkan ada yang palsu (maudhu’).

Ihya walaupun lahir dari tangan tokoh ilmuan besar ianya tidak diterima bulat-bulat. Dan tidak juga ditolak bulat-bulat. Ternyata banyak sekali ilmu dan kajian mendalam Al-Ghazali yang dapat diambil manfaat. Di sini ta’dil berperanan.

Sikap yang demikian juga perlu diambil ketika menaggapi karya-karya Ibn Taimiyyah di Nusantara ini. Walaupun semua maklum aliran pemikiran madrasah Ibn Taimiyyah dan Imam Al-Ghazali tidak pernah berhenti bertentang sejak ratusan tahun dahulu. Menurut Yusuf Al-Qaradhawi, konflik aliran sebegini jika tidak ditanggapi dengan kritik dan saran yang benar berlandaskan nas, nescaya akan merugikan institusi ilmu Islam, umat Islam dan dunia umumnya.

Sudah sampai masanya kita beralih dari berfikir secara hitam putih kepada kaedah berfikir yang lebih dinamik. Nabi sendiri pun selalunya amat lambat menghukum sesuatu itu hitam ataupun putih sebelum mendapat keterangan yang lebih lanjut.

(disesuaikan dari ceramah Bengkel Pemikiran Lateral oleh Puan Ainon Mohamad)

Labels: KuliahSeminar

 

 

 

No comments: