Wednesday, June 16, 2010

INGATLAH (RENUNGAN)


Siapakah orang yang sombong?
Orang yang sombong adalah orang yang diberi penghidupan tetapi tidak mahu sujud pada yang menjadikan kehidupan itu iaitu Allah Rabbul Alamin, tuhan sekalian alam. Maka bertasbihlah segala apa yang ada di bumi dan langit pada tuhannya kecuali Jin dan manusia yang sombong diri.

Siapakah orang yang telah mati hatinya?
Orang yang telah mati hatinya adalah orang yang diberi petunjuk melalui ayat-ayat Quran dan Hadis dan cerita-cerita kebaikan namun merasa tidak ada apa-apa kesan di dalam jiwa untuk bertaubat.

Siapakah orang yang dungu kepala otaknya?
Adalah orang yang tidak mahu lakukan ibadat tapi menyangka bahawa tuhan tidak akan menyiksanya dengan kelalaian itu dan sering merasa tenang dengan kemaksiatannya.

Siapakah orang yang kuat?
Orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan kemarahannya ketika ia didalam kemarahan. Siapakah orang yang lemah? Orang yang lemah adalah orang yang melihat akan kemaksiatan di depan matanya tidak sedikit pun ada kebencian di dalam hatinya akan kemungkaran itu.

Siapakah orang yang bakhil?
Orang yang bakhil lagi kedekut adalahorang yang berat lidahnya untuk membaca selawat ke atas junjungan Rasulullah SAW.

Siapakah orang yang buta?
Orang yang buta adalah orang yang tidak mahu membaca dan meniliti akan kebesaran Al Quran dan tidak mahu mengambil pelajaran daripadanya.

Siapakah orang yang tuli?
Orang yang tuli adalah orang yang diberi nasihat dan pengajaran yang baik namun tidak diendahkannya.

Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman A.S.

Siapakah orang yang manis senyumannya?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia berkata "Inna Lillahi Wainna Ilaihi Rajiun". Lalu sambil berkata "Ya Rabbi Aku rheda dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Siapakah orang yang menangis airmata mutiara?
Orang yang menangis airmata mutiara adalah orang-orang yang sedang bersendiri lalu mengingatkan akan kebesaran tuhan dan menyesal akan dosa-dosanya lalu mengalir airmatanya.

Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak loba akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang yang tidak puas hati dengan nikmat yang ada dan sentiasa berebut-rebut menambahkan hartanya.

Siapakah orang yang pandai?
Orang yang pandai adalah orang yang bersiap sedia untuk hari kematiannya kerana dunia ini berusia pendek sedangkan akhirat juga kekal abadi.

Siapakah orang yang bodoh?
Orang yang bodoh adalah orang yang beria-ria berusaha sekuat tenaga untuk dunianya sedangkan akhiratnya diabaikan.

Siapakah orang yang maju dalam hidupnya?
Orang yang maju dalam hidupnya adalah orang yang sentiasa mempertingkat ilmu agamanya.

Siapakah orang mundur dalam hidupnya?
Orang yang mundur dalam hidupnya adalah orang yang tidak mempedulikan akan halal dan haramnya akan sesuatu perkara itu.

Siapakah orang yang gila itu?
Orang yang gila itu adalah orang yang tidak sembahyang kerana hanya dua syarat sahaja yang membolehkan akan seseorang itu meninggalkan sembahyang, pertama sekiranya dia haid dan kedua ketika ia tidak siuman akalnya yakni gila.

Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Siapakah orang yang selalu ditipu?
Orang yang selalu ditipu adalah oarang muda yang menyangka bahawa kematian itu berlaku hanya pada orang tua sahaja.

Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan dimana kuburnya akan diperluaskan saujana mata memandang.

Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikan lalu kuburnya menghimpitnya.

Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang yang menghuni syurga kelak kerana telah menggunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka

No comments: