Wednesday, December 15, 2010
Hidup Di Masa Kini
Dah agak lama saya tidak menulis di blog. Ya, sejak September 2008. Kita semua mempunyai keutamaan dalam hidup kita. Ada orang memberi keutamaan untuk menghabiskan masa bersama keluarga, beribadat dan lain-lain aktiviti yang difikirkan dapat memberi kebahagian kepada mereka. Ada dari kalangan kita yang sibuk setiap malam dan hari minggu untuk membina perniagaan jualan langsung masing-masing. Komitmen yang diberikan oleh pengusaha jualan langsung MLM kepada perniagaan mereka membuat sesetengah dari kita memandang serong kepada mereka. Berbagai jolokan atau gelaran dikaitkan dengan akronim MLM. Menjaja Larut Malam, Mesyuarat Larut Malam, Masuk Lalu Mati dan macam-macam lagi.
Saya bukan hendak bercerita mengenai MLM tetapi saya ingin mengajak para pembaca sekalian merenung mengenai apa yang menjadi keutamaan masing-masing dalam hidup ini. Adakah untuk mengejar kebendaan, kemewahan dan kesenangan hidup, yang sentiasa dibayangi oleh kerisauan tentang apa yang bakal terjadi di masa hadapan? Atau mencari kebahagian hidup, yang sering dikaitkan dengan kebendaan? Atau adakah pembaca selalu berfikir apa yang terbaik dapat diberikan pada hari ini, kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara?
Kebanyakan dari kita tidak menikmati kehidupan yang kita miliki sekarang. Kita sibuk berusaha untuk mencari kebahagian yang kita yakini akan kita miliki satu masa nanti. Kita meletakkan beberapa atau banyak syarat untuk kita mencapai kebahagian seperti pendapatan besar, rumah besar, kereta besar dan segala-galanya besar. Benda yang diingini, yang besar-besar ini, membuat kita terlupa pada yang dimiliki sekarang. Apa yang dimilki sekarang, yang dianugerah kepada kita sekarang, sememangnya sudah sempurna, sudah cukup dan lengkap untuk kita merasa bahagia pada saat ini. Tidak bahagiakah kita dengan kesihatan yang kita miliki? Bagi yang kurang sihat, tidak bahagiakah kita dengan kekuatan yang kita ada untuk menghadapi ujian tersebut? Deritakah kita bila ditinggalkan kekasih? Tidak terfikirkah mungkin itu yang lebih baik bagi kita? Setiap segala yang berlaku itu ada sebabnya. Sang Maha Pencipta tahu apa yang terbaik untuk setiap yang dicipta olehNya.
Apa sebenarnya yang membuat kita merasa sedih, dukacita, sengsara dan lain-lain yang seerti dengannya? Jawapannya, masa hadapan. Masa hadapan bermakna sesaat dari sekarang. Yang membuat kita sedih, derita dan sebagainya ialah kita tidak hidup di masa sekarang, di saat sekarang. Apa yang menghalang kita dari hidup di masa sekarang, di ketika ini, di saat ini; bukan esok, lusa, bulan depan, tahun depan atau satu masa di masa akan datang, ialah penentangan kita. Penentangan dalam bentuk pemikiran yang sibuk bermain di minda kita. Ianya berkisar dalam dua perkara sahaja ia-itu:
- Untuk kelihatan hebat atau baik di mata ramai
- Untuk mengelak kelihatan buruk di mata ramai
Pendapat untuk direnungi – Apa yang akan lakukan hari ini jika kita tahu yang kita akan mati esok? Adakah kita masih risaukan apa yang akan terjadi pada hari esok selepas esok? Atau kita akan membuat yang terbaik mungkin dan menikmati setiap nikmat yang kita miliki sekarang dan pedulikan apa orang kata?
Seperti yang sering diucapkan oleh para motivator, “Kehidupan berlaku ketika kita sibuk merancang untuk masa hadapan.” Ketika kita sedang sibuk dengan karier kita, bagi menyediakan bekalan untuk masa hadapan kita dan keluarga, kita lupa untuk sama-sama membesar dan mendidik anak-anak kita. Kita biarkan tanggungjawab itu dilaksana oleh pembantu rumah dan guru sekolah, yang sering kita persoalkan jika mereka mengambil sesuatu tindakan yang pada kita mencabar ego kita (untuk mengelak kelihatan buruk di mata ramai).
Saya, seperti kebanyakan orang, ingin kelihatan hebat/baik di mata ramai (hebat dan baik bergantung kepada kelompok mana yang disasarkan). Saya tidak mahu dipandang buruk oleh orang ramai. Bila itu terjadi, banyak perkara yang bermain di fikiran saya. Saya selalu amalkan untuk melupakan semua itu bila hati merasa tidak tenteram. Lihat apa yang telah dianugerahkan kepada saya. Bagaimana saya boleh gunakan ia untuk memberi kegembiraan atau bahagian kepada orang lain. Apabila kita memberi kegembiraan atau kebahagian kepada orang lain, kegembiraan atau kebahagian akan terbit dalam diri kita. Kegembiraan atau kebahagian yang abadi datang dari dalam diri kita. Kegembiraan dan kebahagian yang berpunca dari orang lain tidak akan kekal lama. Ini telah dibuktikan oleh sains. Bukti sains ini menguatkan lagi keyakinan saya pada Hadith Nabi:
“Tangan yang memberi itu lebih baik dari tangan yang menerima.”
Yang diberikan, tidak semestinya wang ringgit atau kebendaan. Berikan apa saja yang dimiliki pada saat itu pada mereka yang berkehendak. Jika anda mempunyai mata yang terang walaupun umur sudah meningkat, kongsikan apa ilmu yang diamalkan yang menjadi penyebab mata anda terang (tanpa kacamata).
Jumpa lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
uncle bz bebeno le tu... salam dari arif.
Post a Comment