Sunday, February 12, 2012

Berkongsi Info


Assalammualaikum WBKT,

Hampir sudah sebulan kita menghabiskan tahun 2012, namunpun begitu cerita-cerita sedih dan pilu terus melanda kita, pelbagai situasi yang melanda pembunuhan, perdagangan manusia dan sebagainya semakin menjadi-jadi sehingga semuanya menjadi kelam kabut dan tenggelam punca.

Pihak kerajaan, pihak berkuasa dan masyarakat sendiri dah tidak tahu dimana dan bagaimana hendak bermula mengatasi masalah yang dilihat semakin parah sama ada nak di pegang ekor atau kepalanya.

Begitulah juga usahawan-usahawan Melayu kita juga sudah tidak banyak yang dapat diperbetulkan terutama usahawan kecil dan sederhana dilihat semakin tidak terarah malah juga ia semakin mengecil dan mengempis. Perasaan, sifat dan nilai-nilai kemanusiaan dan setiakawan juga telah diketepikan. Semangat patriotisme dan volunteerism juga entah di mana. Masing-masing dengan hal masing-masing, jika ada masalahpun entah pada siapa hendak mengadu, pada siapa hendak dirujuk kerana tempat-tempat dulunya telah hilang entah kemana atau yang ada seperti sudah hilang fungsi.

Berbalik kepada Kerajaan dalam usahanya membantu rakyat juga tidak mendapat tempat di hati, kata mereka kerajaan beri kami ambil tetapi pemberiaan itu tidak terlekat atau melekat di hati rakyat terutama golongan muda, kerana yang diperolehi dari kerajaan seperti memberikan mereka ikan yang hanya untuk makan sehari tetapi mereka akan lupa sebab mereka harus berusaha, bekerja dan mencari ikan untuk 364 hari lagi. Ini ditambah dengan susahnya untuk berniaga atau payahnya mendapat peluang pekerjaan ia akan menambah lagi tekanan mereka dan rasa terhutang budi sudah dan mungkin langsung tidak ada lagi dalam diri mereka.

Bermula dari pemberian RM 100.00 bagi pelajar di sekolah menengah dan rendah, voucer buku RM 200.00 kepada penuntut kolej dan universiti sehinggalah kepada bantuan rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM 500.00 dan terbaru kepada saham SARA1M.

Rata-rata mereka menyambut baik, tetapi sebaliknya mereka berkata bahawa kerajaan bagipun duit kita, kita yang bekerja dan kita juga bayar cukai termasuklah cukai jalan, cukai jualan dan macam-macam cukai jadi apa masalahnya jika kerajaan nak beri?

Tetapi apa yang hendak saya tekankan disini, apakah semua program seperti itu mendapat tempat di hati rakyat? Apakah mereka merasa terhutang budi kepada kerajaan atau pemerintah? Rata-rata generasi muda langsung tidak ada perasaan itu. Kata mereka sedangkan ibu bapa mereka membesarkan mereka dari tapak kaki sekecil dua jari pun mereka tidak rasa terhutang budi kerana itu tanggungjawab ibu bapa membesar dan menjaga mereka, inikan pula kerajaan yang sesekali memberikan sumbangan seperti itu kepada mereka.

Saya tidak membantah atau membangkang apa yang telah dilakukan kerajaan, tetapi saya fikir ada mekanisme yang lebih baik untuk memenangi hati rakyat. Dengan perbelanjaan besar yang telah dibuat oleh kerajaan menunjukkan kerajaan yang ada sekarang komitet untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat cuma cara dan perlaksanaannya dengan memberi ikan kepada rakyat tidak lagi relevan pada waktu ini. Kerajaan harus memikirkan bahawa memberi pancing lebih baik kerana bukan saja rakyat mendapat faedah jangka panjang tetapi kerajaan juga memperolehi pendapatan selain membuka banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.

Sebagai contoh, persatuan penjaja dan peniaga kecil, persatuan usahawan wanita dan beberapa persatuan usahawan lain yang keseluruhannya mempunyai lebih 1 juta. Rata-rata yang ditemu bual menyatakan rasa kecewa mereka kepada kerajaan kerana segala bantuan dan sokongan sebelum ini telah hampir ditiadakan.

Ramai dikalangan peniaga kecil menganggap mereka sebagai anak tiri kepada kerajaan sebab kata mereka, penoreh getah pun ada subsidi baja, subsidi benih dan sebagainya. Manakala nelayan juga ada subsidi beli bot, beli enjin, beli minyak dan lain-lain. Tetapi peniaga kecil apa yang ada untuk kami.

Pertelingkahan ini berlaku bilamana di pihak kerajaan pula mengatakan oh kerajaan telah mewujudkan beberapa dana melalui TEKUIN, MARA, Kewangan Mikro dan lain-lain. Tetapi berapa ramai yang layak? berapa ramai yang dah menerima? Dan pinjaman yang telah diberikan kepada mereka yang belum berniaga hanya dengan sekeping ijazah atau kertas cadangan agensi pembiaya telah memberi mereka (bukan usahawan atau peniaga kerana mereka belum pun berniaga) berdasarkan kepada kebolehan mereka membuat kertas cadangan bukan berdasarkan kepada perniagaan yang telah dibuat.

Peniaga kecil ini pada dasarnya tidak layak untuk menerima pinjaman itu, kerana mereka bukan mahu pinjaman sehingga RM5,000 atau RM 10,000 tetapi hanya perlukan sekitar RM200.00 hingga RM 500.00 sebagai modal terdesak dan menjadi sasaran untuk mereka pinjam adalah Along. Kenapa kerajaan tidak cuba menangani masalah ini? Kenapa diwujudkan sebegitu ketat syarat-syaratnya? Sebagai contoh kewangan Mikro, tidak boleh disenarai hitam (peniaga kecil yang berniaga secara haram sebab nak dapat tempat berniaga susah), tidak boleh ada parut sikitpun (cek tendang, hutang motorsikal atau kereta lambat bayar) tidak boleh dipertimbangkan. Mereka hendak 'clean' rekod kewangan seperti anak dara yang belum diusik... Hei ini meniaga modal RM 100 atau RM 200 mana mungkin ada begitu rekod kewangannya, ini seperti tak nak beri... jika itulah situasinya lebih baik tak payah di adakan kewangan yang seperti ini jika sekadar untuk menyedapkan hati.

Begitu juga dengan tempat berniaga, peniaga kecil seperti orang atau kaun Badwi (peniaga pasar malam, pasar tani dan entah pasar-pasar bergerak lain) berniaga berpindah randah tidak ada program yang membolehkan mereka mendapat tempat untuk berniaga. Kita ada agensi seperti UDA, MARA dan Perbadanan Kemajuan negeri yang antara lain tugasnya mewujudkan premis-premis perniagaan untuk peniaga mendapat tempat berniaga, tetapi banyak premis perniagaan yang dibuat oleh agensi-agensi ini kebanyakkannya tidak berjaya memberikan pulangan baik kecuali satu atau dua seperti Pertama Komplek tetapi berapa ramai peniaga Bumiputera? Tetapi banyak yang menjadi projek gajah putih kerana konsep komplek perniagaan tidak dipatuhi.

Saya tak tahu agensi ini belajar di mana dan konsultan mana yang diambil untuk membina sesuatu komplek perniagaan. Saya syer sikitlah sebab saya tak juga pandai tetapi saya belajar dulu semasa saya bekerja dengan satu syarikat jepun yang berjaya di Malaysia, kata boss saya jika nak buat shopping complek mesti lot perniagaan tidak boleh kurang daripada 150 lot dan jika lebih lagi baik dan satu lagi mesti ada beberapa komponen seperti mesti ada supermarket, mesti ada taman makan, mesti ada entertainment, mesti ada undang-undang (tak boleh suka tutup, tak boleh buka ikut dan tutup ikut suka peniaga) dan ada lagilah.

Tetapi yang saya nak syer ialah taman makan mestilah di atas, sebab katanya jika taman makan di bawah, pelanggan akan makan dulu dan jika perutnya dah kenyang dia tak ada nafsu nak jalan-jalan atau nak berbelanja di kedai-kedai lain. Tetapi saya lihat di Larkin Mall di Johor Bahru taman makannya di bawah dan di depan pintu masuk Mall itu, jadi apakah kesan kepada peniaga di dalam Mall tersebut? Tuan-tuan dan puan-puan sendiri boleh melawatnya jika ke Johor Bahru.

Begitu juga di Medan Mara, ada peniaga yang menyewa premis di sana dah berpuluh tahun sejak KPUN YB Dato' Nazri Aziz menterinya masih ada lagi di sana, seperti lot-lot perniagaan dah jadi hak milik mereka cuma MARA tak tukar nama ke atas nama mereka saje. Jika inilah situasinya, peniaga-peniaga lain terpaksa berniaga secara haram kerana peluang untuk mereka telah dinafikan oleh peniaga-peniaga ini.

Jika hendak dihuraikan memang terlalu banyak yang kerajaan perlu laksanakan bagi memenangi hati rakyat. Semua itu ada jalan penyelsaian, namun siapalah kita kerana kita ini ibarat melukut di tepi gantang adapun tidak menambah tak adapun tidak mengurangkan.

Kita penat dan letih berfikir untuk membantu kerajaan bagaimana untuk menyelesaikan masalah serta kemelut yang dihadapi dengan rakyat, tetapi cadangan kita bertukar tangan dan diberikan kepada individu yang memikirkan keuntungan temolok mereka dan kroni mereka saja.

Di kalangan ahli dan usahawan The RIGHTS sendiri banyak ide yang boleh membantu kerajaan, tetapi adakah suara dan cadangan kami akan didengar oleh YAB Perdana Menteri contohnya...entahlah dengan 1 juta usawahan kecil ini merasa kecewa dan kekecewaan mereka dikongsi pula dengan isteri atau suami telah menjadi 2 juta suara, jika setiap usahawan purata mempunyai seorang anak yang boleh mengundi ada 3 juta suara dan peniaga akan sentiasa berkomunikasi dengan pelanggan atau rakan dan jika mereka memberikan pandangan negatif mereka terhadap kerajaan kepada 5 orang sahaja, telah ada 8 juta suara...

Jadi fikir-fikirkanlah...

Risau sesangat...
Ikhlas, Wassalam

Haris Fadzlah Mat Ali

The RIGHTS

No comments: