Aktiviti Kaunseling
PERKEMBANGAN
Memberikan maklumat mengenai sumber dan kekuatan seseorang supaya ia mempunyai azam dan usaha kepada aktiviti sihat, peningkatan sifat positif
PENCEGAHAN
Mengadakan program-program pencegahan ke atas perlakuan dan sifat yang negatif dari segi emosi dan pemikirannya
INTERVENSI
Merubah dan membuka pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang bermasalah supaya menerokai, memulih dan mempertingkatkan keyakinan diri
PEMULIHAN
Penekanan adalah kepada isu-isu dan permasalahan peribadi, mentaliti, kerjaya dan penyesuaian diri agar seseorang itu dapat berfungsi sepenuhnya
Rasional Perkhidmatan Kaunseling
Kewujudan Ketegangan dan ketidakpuasan ditempat kerja.
Ketidakseimbangan emosi.
Kebimbangan tentang kemahiran dan kemampuan. Perbezaan individu yang bertentangan dengan imej korporat.
Konflik peranan dengan caragaya pentadbiran pengurus.
Perbezaan di antara keperluan personel dengan polisi jabatan.
Prestasi kerja yang tidak memuaskan dan tabiat kerja yang tidak baik.
Masalah peribadi dan keluarga.
Kebosanan kerja dan kekurangan pergerakan kerjaya.
Keperluan pertolongan untuk mengembangkan sesuatu tingkah laku.
Keperluan sokongan dalam menghadapi krisis semasa.
Mengapa Kaunseling Diperlukan
Masalah Pencapaian Mutu Kerja
Masalah Sikap
Masalah Penyesuaian Diri
Stress Di tempat Kerja
Masalah Situasi
Lima Prinsip Kaunseling Pekerja
Mendengar dengan sebaiknya sebelum membuat sebarang pernyataan.
Elakkan mengkritik atau nasihat yang terburu-buru.
Jangan bertelagah atau berhujah.
Menumpukan sepenuhnya perhatian kepada pekerja.
Dapatkan sesuatu yang tersirat yang cuba disampaikan.
Fungsi Kaunseling Dalam Organisasi
Mengdiagnosis masalah pekerja atau kepincangan organisasi
Memberi peluang pekerja meluahkan perasaan.
Membantu pekerja berfikir dengan jelas dan tidak dikuasai oleh emosi.
Memberi nasihat.
Menyokong dan menenangkan pekerja.
Menilai diri.
Mempertingkatkan komunikasi dalam organisasi.
Memajukan diri.
Kaunseling Trauma
Objektif
- Untuk mengurangkan stress/ketegangan dan kekecewaan di tempat kerja
- Untuk meningkatkan keyakinan mengenai kemahiran dan kebolehan di tempat kerja
- Untuk menstabilkan emosi dan meningkatkan produktiviti
- Untuk mengurangkan kebimbangan dan tingkah laku yang tidak diingini
- Untuk mengurangkan dan mengikis sikap dan perasaan negatif
- Untuk mengurangkan penderitaan emosi yang disebabkan oleh kejadian traumatik
Indetifikasi Peringkat/Tahap taruma
- Tahap I : Luahan Rasa (Outcry)
- Tahap II : Penafian (Denial)
- Tahap III : Gangguan (Interruption)
- Tahap IV : Mengalami (Working Through)
Reaksi Psikologikal Terhadap Trauma
- Gangguan Emosi (Emotional Disturbance)
- Kecelaruan Kognitif (Cognitive Disorders)
- Hyperarousal
Penderitaan Fizikal (Physical Pain)
Tahap-tahap Pemulihan
Kesedaran Mengenai
- Kesan Trauma (Awareness of the effects of trauma)
- Tahap Kefungsian Yang Minima (Minima Level of Fuctioning)
- Penghindaran (Avoidance)
- Penerimaan (Acceptance)
- Ubah hala (Redirection)
Proses Pemulihan dan Susulan
Individu (Individual)
Sokongan Kumpulan Kerja (Group Work Support)
Sokongan Keluarga (Family Support)
Struktur Kerja (Work Structure)
Kaunseling Pelajar
Objektif Kaunseling Pelajar
"Untuk memastikan supaya pelajar-pelajar dapat mempertingkatkan keupayaan dan kebolehan dengan menggunakan sepenuhnya potensi diri secara positif dan proaktif melalui perkhidmatan psikologikal"
Objektif Umum Kaunseling Pelajar
Membantu pelajar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan atau persekitaran
Membantu pelajar dalam memberikan maklumat mengenai pemilihan kerjaya yang sesuai
Memberi pengetahuan kepada pelajar dalam proses memahami masalah dan bagaimana menanganinya
Memberi khidmat kaunseling bagi membantu pelajar mengatasi masalah peribadi yang sedang dihadapi
Mengadakan khidmat susulan bagi membantu pelajar dalam menangani masalah atau mengelakkan diri dari masalah baru
Peringkat-peringkat Kaunseling
Peringkat Permulaan
Membuat klien menerima kaunselor dengan hati yang terbuka dan sebagai seorang yang boleh dipercayai.
Membuat klien sedar bahawa ada sesuatu masalah yang perlu diselesaikan dan dia sendiri perlu memainkan peranan dalam proses penyelesaian.
Diperingkat ini juga, kaunselor menentukan sama ada masalah wujud dan perlu diselesaikan dan bersedia untuk meneruskan proses kaunseling itu
Peringkat Pertengahan
Peringkat penentuan masalah dan penyelesaian:
Kaunselor dan klien bersama mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi oleh klien.
Kaunselor dan klien bersama mengenalpasti tindakan-tindakan yang perlu diambil oleh klien untuk menangani masalah yang dihadapinya.
Peringkat Akhir
Peringkat apabila klien telah selesai melakukan tindakan yang dipersetujui dengan jayanya.
Diperingkat ini kaunselor berkenaan akan:
Membincangkan tentang tindakan yang telah diambil oleh klien dan penilaian terhadap tindakan yang diambil itu.
Mengenalpasti tindakan seterusnya yang diperlukan tanpa penyeliaan dari pihak kaunselor.
Mengakhiri kaunseling dengan teratur dan membuat rumusan tentang kejayaan proses kaunseling tersebut
Kaunseling Yang Beretika
Kerahsiaan:
Perkhidmatan kaunseling adalah berpandukan Piawaian Amalan Kaunseling (Standards of Practice) serta memelihara Kod Etika. Setiap maklumat dalam sesi kaunseling adalah dijamin kerahsiaannya
Maklumat klien tidak akan diberitahu kepada mana-mana pihak melainkan setelah mendapat kebenaran dan persetujuan klien demi kebaikan klien sendiri
MEMOTIVASIKAN DIRI ANDA MELALUI GOAL-SETTING
Oleh: Abdul Jalil Hassan
'Saya tak ada mood la hari ni', 'I bosan la' dan sebagainya merupakan ungkapan-ungkapan yang sering kita dengar dan juga kita luahkan apabila kita 'tak kuasa' untuk melakukan kerja atau tugas yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Luahan ini merupakan ekspresi dalaman yang menunjukkan ketidakupayaan kita untuk bermotivasi di dalam melakukan kerja.
Persoalannya, mengapakah luahan ini wujud? Apa yang membuatkan kita hilang mood, bosan dan sebagainya? Keadaan seperti ini boleh berlaku di mana sahaja, sama ada di pejabat mahupun di rumah. Suasana ini wujud apabila kita tidak tahu apa yang hendak dilakukan dan apa yang telah berlaku. "I don't know what's going on".
Kebiasaannya, situasi ini berlaku apabila kita ketiadaan sasaran atau matlamat yang hendak dituju. Dalam situasi kerja, tidak ramai yang tahu apa hasil akhir (end product) kerja yang dilakukan. Ini mengurangkan motivasi kerja seseorang.
Di dalam kehidupan harian pun begitu, ini menyebabkan ramai yang kehilangan arah apabila sampai ke pertengahan jalan. "Sesat dalam kesiangan". Ataupun apabila mempunyai matlamat, ramai yang 'sejuk' dipertengahan jalan. Kenapa? Apakah kerana ketiadaan faktor pendorong yang mendesak untuk mencapai matlamat tersebut, maka keadaan tersebut berlaku? Semua persoalan ini boleh kita rangkumkan dalam satu istilah yang dinamakan MOTIVASI.
Richard Denny (1993) menyatakan bahawa kehadiran atau kewujudan motivasi adalah merupakan satu keperluan umum. Setiap orang mahu menjadi seorang yang bermotivasi tetapi tidak tahu bagaimana caranya.
Seseorang individu selalu menyatakan bahawa ia harus menjadi seorang yang bermotivasi. Manakala seorang ketua atau pengurus sentiasa mahukan 'team' atau kumpulan yang bermotivasi dan majikan pula sentiasa berharap untuk mengambil individu yang bermotivasi untuk bekerja dengannya.
Sebenarnya, apa yang dikehendaki oleh setiap majikan ialah individu yang mempunyai motivasi kendiri (self-motivated). Individu seperti ini tidak seperti 'pahat' yang sekali ketuk sekali berbunyi. Dia tahu apa yang perlu dilakukan dan apa yang diharapkan daripadanya. Tidak perlu banyak di arah dan dikawal selia sentiasa. Dengan itu, dikatakan individu yang bermotivasi ialah individu yang melakukan sesuatu kerana beliau ingin melakukannya dan sekiranya tidak mahu melakukan sesuatu, beliau tidak akan melakukannya (kurang self-motivated).
Di dalam membicarakan tentang motivasi banyak pendekatan boleh digunakan. Di sini cuma akan dibincangkan bagaimana untuk memotivasikan diri anda melalui pendekatan penetapan matlamat (setting goals). Kebiasaannya, tidak ramai yang benar-benar menetapkan apa yang mereka inginkan dan tidak tahu apa yang mereka inginkan tetapi ramai yang mengatakan I want to be successful ataupun I'd like to be a millionaire dan sebagainya. Sebenarnya, mereka tidak tahu apa yang sebenarnya mereka inginkan dan sedih serta berfikiran negatif apabila tidak berjaya mencapai apa yang diinginkan. Kenyataannya, setiap daripada kita mempunyai keupayaan untuk mencapai apa yang kita kehendaki sekiranya kita benar- benar hendak mencapainya. Bagaimana?
Senaraikan Apa Yang Kita Inginkan
Di dalam kita menjalani kehidupan seharian, pelbagai perkara dan keinginan yang kita impikan. Yang pastinya, ianya sesuatu yang kita rasakan dapat memberi faedah dan keseronokan dalam hidup kita seharian. Jadi, senaraikan semua perkara yang benar-benar anda inginkan sama ada dalam jangka pendek ataupun jangka panjang.
Di dalam membuat senarai ini, anda haruslah realistik dan berpijak di bumi nyata. Selain daripada itu, pastikan anda tidak menetapkan matlamat yang terlalu besar dan tidak boleh dicapai untuk jangka pendek. Ini kerana, sekiranya matlamat tersebut ditetapkan untuk jangka pendek dan tidak boleh dicapai, kita akan menjadi tidak bermotivasi untuk melakukannya. Dalam sesetengah kes, tidak langsung mencuba untuk kali kedua setelah gagal dalam percubaan pertama. Namun begitu, matlamat yang besar boleh ditetapkan untuk jangka panjang kerana kita mempunyai banyak masa untuk membuat perancangan dan menentukan hala tuju matlamat tersebut dengan jelas. Selain daripada itu, jangan letakkan sebarang penjelasan atau penerangan kepada matlamat yang anda buat. Cuma tuliskan apa yang anda benar-benar inginkan.
Di samping itu, senarai yang anda buat haruslah rahsia kecuali dengan orang yang paling rapat dengan anda yang patut dikongsi dan dibincangkan matlamat tersebut bersama. Misalnya, dengan suami atau isteri anda. Ini kerana, banyak ikatan perkahwinan yang retak atau putus disebabkan pasangan tersebut mempunyai matlamat yang berbeza dalam menentukan kehidupan harian mereka. Sebagai contoh, suami yang mahukan anak yang ramai tetapi isterinya tidak mahukan anak yang ramai. Sekiranya matlamat si suami yang mahukan anak yang ramai itu tidak dikongsi dengan si isteri, akan wujud pertentangan pendapat antara keduanya dan andainya tidak diselesaikan dengan baik akan menyebabkan hubungan menjadi retak.
Pemilihan Matlamat
Daripada senarai yang telah anda buat, pilih matlamat yang paling penting kepada anda berdasarkan perkara dibawah;
i. Matlamat tersebut haruslah spesifik, jelas dan tidak kabur. Misalnya, menjalankan tiga program latihan dalam masa sebulan atau penurunan berat badan sebanyak 3 kg dalam masa dua bulan
ii. Matlamat tersebut haruslah mencabar dan boleh dicapai dalam masa beberapa bulan dan bukannya tahun, jangka masa ideal adalah di sekitar tiga bulan
Matlamat pertama yang anda ingin laksanakan mestilah sesuatu yang boleh dicapai dengan cepat. Ini kerana, pencapaian matlamat yang pertama akan membentuk keyakinan diri dan membuktikan bahawa cara yang anda pilih dan gunakan berjaya.
Spesifikkan Matlamat
Anda
Setelah matlamat dipilih, huraikan matlamat tersebut secara terperinci. Pada tahap ini anda perlu memberi penumpuan penuh dan jelas dengan matlamat yang anda pilih. Misalnya, anda mungkin berminat untuk mengurangkan berat badan tetapi pengurangan berat badan bukanlah satu matlamat. Jadikan ia lebih spesifik - berapa banyak berat yang anda ingin kurangkan. Jadi matlamatnya mungkin "saya ingin menjadi kurus" bukannya "saya ingin mengurangkan berat badan." Ataupun, anda ingin menjadi seorang yang cergas tetapi apakah makna kecergasan bagi anda ? Ianya mungkin dengan melakukan 20 kali tekan tubi dan berlari sejauh dua kilometer setiap hari.
Selain itu, sasaran matlamat anda haruslah boleh diukur dan kuantitatif. Matlamatnya mungkin, "saya ingin dinaikkan pangkat". Persoalannya, dinaikkan pangkat ke mana ? Posisi, gelaran dan tanggungjawap apa ? Jadi anda haruslah jelas dengan matlamat dan hala tuju matlamat anda. Bagi sesetengah orang mungkin ada yang ingin membeli kereta baru misalnya. Persoalannya, adakah kereta tersebut baru atau secondhand, keluaran tahun berapa, model dan warna apa dan sebagainya. "What the mind of man can accurately conceive and believe, it is forced to achieve".
Bayangkan Kejayaan
Angan-angan tanpa cita-cita adalah sia-sia.
Cita-cita tanpa angan-angan ibarat belayar tanpa haluan. Angan-angan tanpa usaha ibarat hendak bermimpi tapi enggan terlena. Jadi, di dalam kita melaksanakan usaha ke arah pencapaian matlamat, impikanlah kejayaan kita mencapai matlamat tersebut. Misalnya, kita bermatlamat menjadi kurus. Bayangkan kita telah benar-benar kurus seperti mana yang kita idamkan. Kita berbahagia dengan keadaan kita, rakan-rakan memuji, kita kelihatan lebih anggun dan menawan. Angan-angan seperti ini akan mendorong kita untuk terus berusaha untuk mencapai kejayaan dan seterusnya memotivasikan kita melakukan segala perancangan yang dibuat.
Sekiranya kita mempunyai matlamat untuk dinaikkan pangkat,bayangkan yang kita telah dinaikkan pangkat. Kita menerima penghargaan dari ketua, rakan-rakan dan jabatan, gaji bertambah, mempunyai kuasa untuk menentukan sesuatu, gambar terpapar di majalah dan buletin jabatan, dan sebagainya. Dengan membayangkan perkara- perkara tersebut, kita akan bermotivasi untuk melakukan kerja dengan lebih baik dan berkualiti, dengan itu kita dapat membuktikan bahawa kita mampu untuk menjadi seorang pekerja yang baik. Namun, dalam hal ini bergantung kepada jabatan.
Oleh itu, jangan berputus asa sekiranya anda tidak dinaikkan pangkat kerana ianya bergantung kepada banyak faktor bukan hanya kepada prestasi kerja semata-mata. Dengan itu, anda perlu terus berusaha sehingga anda mencapai matlamat anda. Prestasi kerja yang tinggi dan berterusan membolehkan anda untuk mencapai matlamat anda.
Tetapkan Tarikh Akhir
Setiap matlamat yang telah ditetapkan hendaklah mempunyai tarikh akhir bila matlamat tersebut hendak dicapai. Tarikh akhir ini penting supaya kita dapat membuat perancangan yang rapi dan berusaha untuk mencapai matlamat secepat mungkin. Ruang masa ini juga penting untuk membentuk disiplin diri dan berusaha sedaya mungkin mencapai matlamat.
Setelah tarikh akhir itu ditetapkan, jangan sekali-kali menunda tarikh tersebut kepada satu tarikh lain. Ini kerana dengan berbuat demikian, kita tidak akan mempunyai sense of urgent dalam melaksanakan perancangan pencapaian matlamat yang telah ditetapkan.
Selain itu, lama-kelamaan kita akan menjadi kurang bermotivasi untuk melaksanakan perancangan matlamat tersebut.
Bawa Nota Mengingat
Sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas dari pelbagai kesilapan dan kealpaan yang kadang-kadang mengganggu kefungsian kita di dalam menjalani kehidupan seharian. Misalnya bagi individu yang bermatlamat untuk berhenti merokok. Sekiranya beliau kurang disiplin diri dan tidak ada pula orang yang sentiasa mengingat mungkin agak sukar bagi individu tersebut untuk melaksanakan matlamat untuk berhenti merokok. Tetapi dalam hal ini, matlamat yang kita tetapkan adalah rahsia jadi tiada siapa yang akan menggiatkan kita untuk melaksanakan perancangan yang telah dibuat. Bagi mengingatkan kita tentang matlamat tersebut bawalah nota mengingat kecil yang boleh disimpan di dalam poket.
Dengan itu kita akan sentiasa ingat target yang telah kita tetapkan.
Kesimpulannya, penetapan matlamat adalah penting di dalam setiap aktiviti yang kita lakukan dan akan lakukan. Ini kerana tanpa sebarang matlamat kita umpama sesat tanpa pedoman dalam mencari jalan pulang. Tanpa matlamat kita juga sukar untuk membuat perancangan yang rapi dan teliti. Oleh itu, tetapkanlah matlamat anda apabila ingin melakukan sesuatu tugas atau aktiviti supaya dengan itu anda akan lebih berjaya dan cemerlang dalam hidup.
(Disesuaikan dari Richard Denny, Motivate to Win, Kogan Page, 1993)
KEMURUNGAN
oleh:
Juwairiyah Jaafar
Kemurungan yang serius tidak sama seperti kesugulan yang biasa. Sesiapa sahaja akan mempunyai masa di mana ia akan menjadi sugul seketika. Ini adalah normal. Akan tetapi adakalanya kesugulan akan bertukar menjadi satu kemurungan yang serius. Adakalanya kita akan sedar yang sahabat kita sedang menghadapi kemurungan, tetapi adakalanya tidak sama sekali.
Apakah tanda-tanda biasa yang membolehkan kita mengatakan bahawa seseorang itu sedang mengalami kemurungan? Institut Kesihatan Mental Amerika Syarikat (NIMH) menyenaraikan beberapa simptom klasik mengenai kemurungan yang serius.
Di antaranya ialah:
Perubahan yang ketara pada masa tidur.
Selera makan berubah sama ada kurang atau berlebihan sehingga menyebabkan turunnya berat/bertambah berat badan.
Kesedihan, kebimbangan atau mood yang tidak baik secara berpanjangan.
Perasaan putus asa dan pesimis.
Rasa bersalah, tidak dihargai dan ketidakupayaan.
Keletihan atau kekurangan tenaga.
Berfikir atau bercakap mengenai kematian, atau bunuh diri. Adakalanya ada yang membuat ugutan untuk membunuh diri.
Walau bagaimanapun, adakalanya tanda-tanda kemurungan yang serius tidak dapat dilihat krana ianya dilindungi oleh sesuatu tingkah laku yang luar biasa bagi seseorang itu. Ini yang ada kemungkinan membahayakan terutama sekali sekiranya ia boleh menyebabkan kematian.
Perubahan luar biasa yang ditonjolkan mungkin tidak dapat diamati sekiranya seseorang itu tidak peka dan prihatin terhadap perlakuan orang lain.
Adakalanya para doktor juga boleh membuat kesilapan ini terutama sekali sekiranya tidak ada perubahan yang ketara berlaku. Sesiapa sahaja yang mengalami kemurungan akan sedikit sebanyak mengalami perubahan yang boleh memberi petanda kepada yang lain akan permasalahan yang sedang dihadapi.
Di antara perubahan- perubahan tersebut ialah :-
- Menjadi pendiam dengan tiba-tiba
Adakalanya ada di antara sahabat-sahabat kita yang ramah dan suka bercakap, tetapi dengan tiba-tiba sahaja menjadi seorang pendiam dan tidak suka bercerita sebagaimana sebelumnya.
- Memperbesar-besarkan sesuatu perkara
Pada suatu ketika sahabat kita akan memperbesarkan sesuatu isu walaupun remeh bagi kita, perbuatan ini berkemungkinan kelihatan besar oleh individu yang mengalami kemurungan.
- Menjadi pelupa
Seringkali berlaku apabila seseorang itu terlalu banyak memikirkan masalah yang sedang dihadapi, beliau menjadi seorang pelupa. Individu yang menghadapi kemurungan akan sentiasa berfikir mengenai masalah yang sedang dihadapi, sehingga menjadikan beliau, lupa dengan perkara-perkara lain.
- Menjadi mudah tersinggung/marah
Selalunya individu yang mengalami permasalahan ini akan menjadi sensitif kepada percakapan/perbuatan orang lain dan menjadi mudah tersinggung/marah.
- Bersembunyi di sebalik rutin
Adakalanya seseorang itu akan menjalani kehidupan mengikut rutin yang ditetapkan. Beliau akan jarang melakukan sesuatu yang lain daripada yang sering dilakukan. Jikalau diminta untuk melakukan sesuatu yang lain daripada rutin, beliau akan menjadi marah.
- Perubahan kepada penampilan diri
Biasanya, seseorang yang mengalami kemurungan yang amat sangat tidak akan mempedulikan diri, tingkah laku, pemakanan dan penampilan dirinya sendiri. Seringkali mereka tidak berpakaian kemas dan kelihatan seolah-olah tidak mengendahkan diri sendiri lagi.
- Susah untuk membuat keputusan
Seringkali seseorang yang menghadapi kemurungan tidak dapat memberikan penumpuan yang sepenuhnya kepada apa yang dibuat sehingga beliau menghadapi kesusahan untuk membuat keputusan.
- Sakit misteri
Adakalanya seseorang yang menghadapi kemurungan akan merasa sakit perut, belakang, kepala dan sebagainya. Sakit-sakit ini selalunya tidak boleh diubati dengan apa cara sekalipun.
- Tiba-tiba menjadi periang
Selalunya apabila seseorang itu mengalami kemurungan, beliau tidak akan merasa ceria. Akan tetapi apabila beliau menjadi ceria dengan tiba-tiba, sahabat yang lain perlulah berhati-hati. Ini adalah kerana perasaan ceria itu bukanlah bermakna sudah berakhirnya kemurungan. Sebaliknya perasaan ceria itu mungkin melindungi rasa putus asa yang amat sangat sehingga mendorong "pesakit" tersebut untuk membunuh diri.
Oleh sebab itulah, kita sebagai seorang yang bertanggungjawab mestilah peka dan perihatin kepada keadaan sekeliling, terutama sekali kepada sahabat-sahabat kita. Ini adalah kerana, sikap kita yang mengambil berat itu mungkin akan dapat menolong seseorang itu daripada belenggu kemurungan yang adakalanya boleh membawa kepada kehilangan yang besar seperti kematian.
Jika perlu, bawalah sahabat anda untuk mendapatkan pertolongan daripada pihak professional supaya beliau tidak menjadi lebih teruk lagi.
Sikap kita yang mengambil berat itu mungkin akan dapat menolong seseorang itu daripada belenggu kemurungan yang adakalanya boleh membawa kepada kehilangan yang besar seperti kematian.
MELADENI " S T R E S S "
oleh: Murshidah Othman
Tindak balas ketegangan (stress)
Apabila ketegangan berlaku otak akan mengeluarkan adrenalin dan hormon-hormon lain ke dalam saluran darah. Pernafasan menjadi lebih kerap. Manakala otot menjadi tegang dan kandungan gula serta lemak akan bertambah di dalam saluran darah untuk meningkatkan tenaga kita.
Kesan-kesan buruk daripada ketegangan ialah ia boleh menyebabkan migrain, sakit dada, sakit belakang, senak perut dan darah tinggi serta menimbulkan ketidakselesaan.
Stress
Bagi mengurangkan atau mengelakkan berlakunya ketegangan, syor atau langkah yang perlu diikuti adalah:
- Kenalpasti dan amati tanda-tanda ketegangan pada diri
- Ketahui bilakah ia berlaku dan di mana biasanya ia terjadi
- Cara untuk mengurangi masalah ialah anda harus mengakui akan ketegangan yang berlaku dalam diri anda dengan menyatakan dengan kuat "Aku dalam ketegangan dan tekanan" dan dengan ini akan mengurangkan masalah ketegangan anda.
- Buat persiapan awal dengan rapi dan lengkap sebelum melakukan tugas atau kerja diberi oleh boss anda.
Perubahan
Setiap hari, sama ada kita sedar ataupun tidak, kita hadapi banyak perubahan dalam hidup kita.
Bagaimana kita berdepan dengannya terpulanglah kepada individu itu sendiri, sama ada ia boleh adapt and accept perubahan tersebut. Terpulanglah! Walau bagaimanapun kita harus juga menempuhinya kerana life is not a dress rehearsal.
Tidak boleh dinafikan, proses perubahan yang berlaku di dalam hidup kita, sedikit sebanyak memberikan ketegangan di dalam diri. Ini kenalah kita sendiri yang mencari jalan bagaimana mengawalnya lalu mencegah ia daripada berlaku. Sebagai alternatif, apa yang anda boleh lakukan:
- Kenalpasti perubahan tersebut dan belajar untuk berhadapan dengannya
- Memastikan dahulu perubahan tersebut dan cari cara-cara untuk mengatasinya
- Mengenalpasti kekuatan diri (strength) bagi mengatasi ketegangan dan tekanan akibat perubahan.
- Kenalpasti kawan anda yang boleh membantu untuk memberi sokongan, nasihat dan galakan
- Buat perancangan dan tindakan apakah cara yang paling sesuai bagi diri anda untuk menghadapi perubahan tersebut.
Anda perlu mengubah diri untuk mengimbangi perubahan yang berlaku di sekeliling bagi menangani ketegangan.
Menunggu
Kadangkala kita merasa kecewa apabila sesuatu yang kita harapkan atau impikan sukar untuk dicapai atau diperolehi. Ini membuatkan kita menunggu dan menunggu bagaikan buah yang tidak gugur.
Dan akhirnya, jiwa kita menjadi tertekan.
Menunggu melambatkan pergerakan. Ia juga membazirkan masa. Selain dari itu, boleh menyebabkan kemarahan, kekecewaan dan ketegangan fikiran apabila sesuatu tidak dilaksanakan mengikut seperti apa yang diharap- harapkan. Contohnya anda menunggu seseorang dan beliau terlambat, anda merasakan masa anda terbuang dan anda merasa marah, resah gelisah akibat menunggu.
Bila kita membebaskan diri kita daripada prasangka mengenai bila dan bagaimana perkara itu terjadi, kita boleh menjalani hidup dengan jelas, lebih bahagia dan rasa tenteram.
Satu cara bagaimana kita menangani kegelisahan semasa menunggu, ada baiknya kita membaca dan dengan itu, kita tidak akan terasa membazirkan waktu malahan penantian kita itu memberi faedah kepada kita.
(Harus diingatkan bawalah bahan bacaan di mana saja anda berada, ataupun mungkin anda boleh berzikir kerana zikir boleh memberi ketenangan kepada fikiran anda).
Kesibukan
Kesibukan boleh mengakibatkan seseorang mengalami ketegangan. Adakalanya kita merungut kerana tidak punya masa untuk menyelesaikan segala kerja yang dirancangkan.
Kita melihat bahawa sekiranya kita mempunyai aturcara yang padat, kita akan mendapat lebih banyak daripada hidup kita.
Cara untuk menenangkan diri daripada ketegangan yang disebabkan oleh kesibukan, anda boleh:
- Cuba luangkan masa 10 minit duduk /rehat (bersantai) sambil melapangkan fikiran.
- Luangkan masa setengah jam menikmati alam semulajadi.
- Duduk di bilik yang gelap dan dengarlah muzik yang anda gemari (sentimental).
- Buatlah excercise yang simple dan rasakan seolah-olah anda mengeluarkan segala ketegangan dalam diri anda.
- Bebaskan diri anda daripada kesibukan seperti pergi menonton movie dan biarkan tubuh dan minda anda berehat seketika.
Bebaskan diri
Anda pasti akan berasa segar selepas itu dan mampu untuk melaksanakan tugas anda dengan lebih baik, efektif, produktif dan cemerlang. Kadang-kala kita menjadi mangsa kepada tabiat. Kita hanya mengikut satu norma atau corak tertentu sahaja.
Cubalah ubahkan sedikit corak hidup seharian kita. Bukanlah mengubah sekaligus kerana setiap perubahan yang baru itu kita tidak dapat pastikan akibatnya. Oleh itu, lakukan dengan sedikit demi sedikit.
Sekiranya setiap hari kita melakukan perkara yang sama (rutin) untuk satu jangka masa yang panjang ia juga turut mengakibatkan ketegangan. Contohnya, setiap hari kita makan nasi lemak dan lauk yang sama, tentulah kita rasa bosan dan muak.
Oleh itu, perubahan yang kadang kala kita lakukan boleh juga menimbulkan atau mendatangkan keseronokan, malahan mewujudkan rasa kedamaian serta mengurangkan tekanan dan ketegangan yang dirasai.
Minta Pertolongan
Kebanyakan daripada kita sebenarnya malu untuk mengakui kelemahan diri sendiri, kalau boleh segalanya hendak dilakukan sendiri. Manusia tidaklah segagah yang disangkakan. Kita tidak boleh mengharungi hidup ini sendirian. Kita perlu meminta bantuan juga sama ada kita suka ataupun tidak. Ini tidaklah bermaksud kita menyerahkan semua tanggungjawab kita.
Misalnya seorang isteri yang bekerja sepenuh masa, dia memerlukan suami dan anaknya membantu di dalam menguruskan hal-hal rumahtangganya. Secara tidak langsung ia merapatkan perhubungan antara mereka dan meringankan bebanan dan ketegangan yang mungkin dirasai oleh isteri.
Seorang pelajar yang sukar mengimbangi masa untuk mengulangkaji, bersukan dan lain-lain aktiviti akan merasa tertekan kerana terlalu banyak tugas yang perlu dilakukan dalam masa yang terhad. Oleh itu, dengan meminta pertolongan daripada teman-temannya, ketegangan dapatlah dikurangkan. Contohnya: Seorang pelajar memegang jawatan sebagai pengerusi bagi sesuatu persatuan, maka ia bolehlah melantik beberapa ahli jawatankuasa kecil bagi melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan.
Dengan cara ini, bebanan pelajar itu dapat diringankan dan ketegangannya boleh dikurangkan. Maka pelajar ini akan dapat menyumbangkan kreativitinya, proaktif dan cemerlang ke arah pembangunan yang lebih efisyen lagi. Ketawa itu bukan sahaja mengeluarkan suara. Malahan peranannya lebih jauh dari itu.
Hikmah Ketawa
Ketawa dapat melegakan perasaan dan boleh menyelesaikan sesuatu kebuntuan kepada permasalahan. Jenaka atau humor adalah penting dalam kehidupan kita. Apabila seseorang itu ketawa, hormon-hormon akan dihasilkan di mana ia dapat melegakan kesakitan dan memperkukuhkan sistem daya tahan dalam tubuh seseorang.
Jenaka juga boleh merehatkan otot-otot dan membaiki sistem tubuh badan. Ia juga membuatkan kita lebih bertenaga, kreatif, merasa lebih ceria dan gembira.
Pernahkah anda ketawakan diri anda sendiri? Adakah anda akan rasa marah atau tersinggung jika kawan/teman anda mentertawakan diri anda? Kita sering mengganggap diri kita adalah yang terbaik dan tidak mahu diri dijadikan bahan ketawa orang lain.
Apabila seseorang itu ketawa, hormon-hormon akan dihasilkan di mana ia dapat melegakan kesakitan dan memperkukuhkan sistem daya tahan dalam tubuh seseorang. Jenaka juga boleh merehatkan otot-otot dan membaiki sistem tubuh badan. Ini adalah bertujuan untuk mewujudkan suasana yang tidak membosankan dan yang pentingnya ia dapat mengurangkan ketegangan semasa bekerja.
Cara ini dapat mempertingkatkan produktiviti pekerja dan menjadikan pekerja lebih efisien, peka dan sentiasa berusaha meningkatkan kemesraan dan mutu kerja masing-masing.
Diri kita juga akan nampak muda, sihat, bahagia jika kita pandai menggunakan jenaka di dalam pergaulan seharian. Selain itu, di dalam sesebuah keluarga pula, jika suami pandai berjenaka ketika bersama anak dan isterinya ini akan meningkatkan lagi kasih sayang dan mewujudkan keharmonian rumahtangga dan dengan ini akan dapat mengurangkan ketegangan serta persengketaan di dalam kekeluargaan.
Kesimpulannya, banyak lagi yang boleh kita gunakan untuk mengurangkan ketegangan di dalam diri kita. Sekiranya kita pandai mengadaptasikannya, insyallah kita dapat menghindari penyakit-penyakit yang kita tidak sangkakan berlaku seperti migrain, darah tinggi, sakit belakang, insomnia dan sebagainya. Sekiranya kita dapat mengatasi ketegangan-ketegangan dalam hidup kita, kita akan dapat menjadi seorang individu yang periang, cergas, dapat melahirkan sesuatu idea yang jitu, canggih dan akhirnya wujudlah masyarakat yang terunggul sepertimana yang diilhamkan oleh PM kita.
Petikan : Kurangkan Ketegangan & Tekanan Dalam Diri Anda Oleh Golden Books Centre Sdn. Bhd.
RANCANGAN RAWATAN DALAM KAUNSELING
oleh: Dr. Mat Saat Baki
PENDAHULUAN
Rancangan rawatan dalam kaunseling adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian wajar oleh setiap kaunselor. Keberkesanan aktiviti kaunseling serta kredibiliti perkhidmatan kaunseling itu sendiri bergantung kuat kepada pembentukan rancangan rawatan yang mantap lagi berkesan. Tanpa rancangan rawatan ini aktiviti kaunseling senang hilang arah dan mereka yang terlibat boleh juga hilang punca. Oleh itu perancangan rawatan perlulah diberi keutamaan yang sepatutnya dalam memberi khidmat kaunseling kepada semua klien.
FAKTOR PENGGERAK
Rancangan rawatan dalam kaunseling bukanlah perkara baru. Malahan setiap aktiviti kaunseling yang melibatkan proses rawatan kepada klien semestinyalah mempunyai perancangan rawatan yang tersendiri. Malangnya ramai kaunselor secara tidak sedar dan terancang mewujudkan rancangan rawatan ini. Kebanyakannya membiarkan proses rawatan itu sendiri yang membimbing rancangan rawatan itu.
Ini bermakna program rawatan adalah berbentuk reaktif mengikut perkembangan masalah klien. Keadaan yang begini boleh menyebabkan aktiviti kaunseling kehilangan fokus dan arahan. Seharusnya aktiviti kaunseling mestilah terancang dan terfokus iaitu aktiviti kaunseling mestilah berbentuk proaktif.
Tegasnya mestilah wujud sesuatu rancangan rawatan yang khusus bagi menentukan arah tujuan proses kaunseling itu.
Kebelakangan ini terwujud beberapa faktor penggerak yang mendesak kaunselor- kaunselor profesional untuk melihat rancangan rawatan ini dengan lebih serius lagi. Pertama sekali berkaitan dengan kredibiliti perkhidmatan kaunseling itu sendiri. Sebagaimana yang diketahui oleh umum khidmat kaunseling menjadi makin popular pada masa kini dan kaunseling dianggap sebagai penyelamat kepada pelbagai masalah sosial. Tetapi keberkesanan kaunseling itu sendiri jarang sekali diperkatakan.
Selanjutnya kesan negatif aktiviti kaunseling pula kerap diperkatakan. Satu proses pemulihan mestilah dilakukan untuk menjamin kredibiliti kaunseling ini tidak terhakis.
Rancangan rawatan adalah jawapan kepada sungutan ini. Rancangan rawatan yang tepat dan terperinci mampu mengembalikan kredibiliti perkhidmatan kaunseling.
Jadi untuk menjamin kredibiliti perkhidmatan kaunseling, setiap kaunselor yang memberi khidmat kaunseling PERLU membangun dan memperkukuhkan kemahiran-kemahiran dokumentasi yang diperlukan oleh perancangan rawatan itu.
Setiap kaunselor PERLU mendokumentasikan secara terperinci rancangan rawatannya bagi setiap kes yang dikendalikan olehnya. Bukan sahaja rancangan rawatan ini perlu didokumentasikan, ia juga perlu menjadi transparent kepada kaunselor dan klien. Kedua-duanya tahu secara termaklum apa-apa yang dirancangkan dalam aktiviti kaunseling yang mereka lakukan bersama itu.
Secara tradisinya, dalam kaunseling, rancangan rawatan amat minima dilakukan. Malahan bentuk rancangan ini jika ada adalah sama sahaja bagi semua klien. Tidak ada pengkhususan rancangan rawatan yang dicipta khas untuk seseorang klien itu. Jadi rancangan rawatannya begitu menyeluruh sehingga tidak kelihatan sebagai sesuatu yang unik untuk seseorang klien itu.
Walaupun secara etikanya rancangan rawatan mestilah unik dan terkhusus, ini tidak dilakukan dengan baiknya. Jadi untuk menjamin perkhidmatan kaunseling dilaksanakan secara etika rancangan rawatan ini perlulah diadakan. Dengan adanya rancangan rawatan yang khusus, perkhidmatan kaunseling dapat memenuhi keindividuan dan keunikan klien seperti yang dilaungkan oleh penaja-penaja perkhidmatan kaunseling.
Berhubung dengan rancangan rawatan tradisi yang minima ini, klien yang mendapat khidmat kaunseling dari kaunselor yang berkaitan, sering ragu-ragu mengenai matlamat mereka datang mendapatkan khidmat kaunseling itu. Kebanyakan klien merasa tidak pasti apakah yang mereka akan capai dalam rawatan kesihatan mental yang mereka sedang jalani ini.
Mereka juga tidak tahu apakah penghujungnya dari sistem rawatan bercakap ini?
Rancangan rawatan yang minima sering mempunyai matlamat yang samar di samping tidak wujudnya objektif rawatan manakala intervensi pula diaplikasikan mengikut kehendak dan kemahiran kaunselor sahaja. Yang lebih teruk lagi satu sistem intervensi digunakan sama bagi semua klien.
Ini bermakna keutamaan diberikan kepada sistem intervensi dan tidak kepada keperluan klien. Jadi timbullah masalah kesesuaian intervensi dengan penyelesaian masalah yang dihadapi oleh klien. Lebih mudarat pula apabila kaunselor memaksa penggunaan sistem rawatan yang telah ternyata tidak berkesan terhadap masalah yang dihadapi oleh klien. Relevansi sistem rawatan adalah dipersoalkan.
Selain daripada masalah di atas, rancangan rawatan yang minima juga tidak dapat mengemukakan data hasilan yang boleh diukur. Jadi kedua-duanya tidak tahu secara objektif apakah perubahan-perubahan yang telah terjadi. Bukan itu sahaja, malahan kaunselor itu sendiri tidak dapat menyatakan secara yakin dan konkrit bahawa perubahan telah betul-betul berlaku. Akibatnya kaunselor dan klien tidak tahu sebenarnya bila rawatan boleh diutamakan ataupun sudah tamat.
KEPERLUAN SISTEM PERKHIDMATAN
Sistem perkhidmatan kaunseling masa kini mahukan kaunselor bergerak pantas dari penilaian masalah kepada pembentukan dan perlaksanaan rancangan. Bukan agensi yang memberikan khidmat kaunseling sahaja yang menggunakan prinsip amalan ini, tetapi juga agensi yang merujuk klien. Agensi-agensi ini tidak mahu pekerja-pekerja mereka menghabiskan masa dengan kaunselor tanpa sebarang perancangan yang nyata dan khusus.
Agensi-agensi ini juga mahukan bukti yang bertulis bahawa pekerja-pekerja mereka betul-betul dapat khidmat kaunseling. Rancangan rawatan mampu memenuhi keperluan agensi-agensi yang merujuk ini kerana dalam rancangan rawatan tertulis semua perkara-perkara yang diperlukan oleh agensi yang merujuk.
Di samping memerlukan rancangan rawatan yang bertulis, agensi-agensi yang merujuk pekerja-pekerja ataupun ketua- ketua jabatan klien, mahukan proses rawatan yang pendek. Maksudnya proses rawatan perlu dipercepatkan dengan mendesak klien dan kaunselor bersama- sama memberi fokus kepada mengenal dan mengubah masalah-masalah tingkah laku dengan secepat mungkin. Mereka tidak mempunyai masa untuk membiarkan pekerja/klien mendapatkan perkhidmatan kaunseling berpanjangan. Mereka mahukan pekerja-pekerja mereka cepat sembuh dan memberikan 100% kepada kerja mereka.
Satu perkara lagi, agensi yang merujuk klien kepada kaunselor, mahukan kaunselor menghasilkan rancangan rawatan yang berkesan, berkualiti tinggi dalam jangkamasa yang pendek. Ini bermakna rancangan rawatan mestilah terkhusus kepada masalah dan intervensi, diindividukan untuk memenuhi keperluan dan matlamat klien dan boleh diukur dalam menentukan milestone yang boleh dicapai dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Pencapaian milestone ini boleh digunakan pula dalam mencartakan perkembangan atau kejayaan klien dalam menjalani atau menerima perkhidmatan kaunseling.
KEGUNAAN RANCANGAN RAWATAN
Rancangan rawatan yang berkesan memberi keuntungan kepada ramai individu yang terlibat secara langsung dengan proses kaunseling iaitu klien, kaunselor, pasukan rawatan, komiti insurans, agensi rawatan, agensi yang menggunakan khidmat kaunseling dan profesion kaunseling itu sendiri.
Bagi klien rancangan rawatan bertulis yang merangkumi a) isu-isu yang menjadi fokus rawatan, b) garis panduan yang menstruktur proses perkhidmatan kaunseling memberi jaminan bahawa khidmat kaunseling betul-betul terapeutik dan kaunselor tidak terbabas dalam mencapai matlamat kaunseling. Pada masa yang sama klien dapat mengesan dan menyelia perkembangan dirinya semasa menjalani proses kaunseling ini.
Satu aspek penting rancangan rawatan ini ialah bentuknya yang dinamik, iaitu rancangan rawatan boleh berubah mengikut perubahan yang terdapat dalam diri klien. Apabila kedudukan, bentuk dan prioriti masalah berubah, rancangan rawatan turut berubah juga.
Di samping itu rancangan rawatan boleh sentiasa diupdatekan untuk mencerminkan sebarang perubahan besar mengenai masalah, definasinya, matlamat rawatan dan jenis intervensi yang digunakan.
Seterusnya klien dan kaunselor pula mendapat keuntungan kerana rancangan rawatan ini memaksa kedua-duanya memikirkan hasilan yang konkrit dari kaunseling. Mereka juga terpaksa mengemukakan objektif yang boleh diukur untuk menjelaskan tumpuan usaha rawatan. Melalui kaedah ini klien tidak perlu lagi meneka dan tertanya-tanya apakah yang ingin dicapai oleh kaunseling.
Bagi kaunselor dan klien, matlamat yang jelas pula, membolehkan klien menyalurkan tenaganya kepada sesuatu perubahan yang khusus yang akan membawa kepada penyelesaian masalah bukan sahaja masalah terkini, tetapi juga masalah jangka panjang. Jadi melalui rancangan rawatan ini, proses rawatan dalam kaunseling, bukan lagi satu kontrak yang samar-samar di mana klien hanya perlu bercakap secara jujur dan terbuka sahaja mengenai emosi dan permasalahan mereka sehingga mereka berasa lega sedikit.
Tetapi sebaliknya pula berlaku iaitu klien dan kaunselor sama-sama boleh dari awal-awal lagi menentukan bidang perhatian yang objektif dan khusus yang telah dikenalpasti melalui intervensi yang khusus juga. Tegasnya kontrak rawatan menjadi satu kontrak yang jelas, bermatlamat perubahan dan telus.
Untuk kaunselor sendiri pula, melalui rancangan rawatan ini, boleh memaksa diri mereka sendiri untuk berfikir secara anaktikal dan kritikal mengenai intervensi terapeutik yang paling sesuai dan secocok dengan objektif kecapaian klien.
Kaunselor juga tidak lagi follow the client dalam menentukan matlamat rawatan, tetapi menentukannya secara proaktif di peringkat awal lagi. Jadi kaunselor mestilah memberi perhatian lebih awal mengenai teknik, pendekatan, tugas dan sasaran katarsis yang akan menjadi rangka asas bagi intervensi kaunseling.
Melalui dokumentasi yang jelas dari rancangan rawatan yang terperinci kaunselor dapat perlindungan dari disaman oleh klien. Dokumentasi ini mampu menjadi benteng atau perisai dalam hal samaran ini, terutama sekali jika apa-apa yang didokumentasi itu telah dikaji dan dipersetujui oleh klien. Lagipun nota progres rawatan dapat dijadikan bukti tambahan untuk melindungi diri kaunselor yang berkaitan. Bagi pasukan rawatan pula, rancangan rawatan ini membolehkan cross- referal yang berkesan dapat dilakukan. Di samping itu, pembahagian tugas dan komunikasi yang jelas dapat dilaksanakan. Akhir sekali keseragaman dokumentasi dan akauntabiliti dapat diketengahkan.
Perancangan rawatan bertulis formal dan standard yang merangkumi definasi masalah, matlamat dan intervensi dalam setiap fail klien membolehkan keseragaman ini terjadi, lantas menyenangkan penyeliaan dan pengesanan rekod oleh audit sama ada audit dalaman dan luaran.
Akauntabiliti pula mengutamakan aspek kontrak yang terapeutik lagi berstruktur yang mempunyai objektif yang boleh diukur dan intervensi yang jelas. Dengan terwujudnya rancangan rawatan yang terperinci, data hasilan lebih senang diperolehi dan dipertahankan dan semua ini secara langsung membantu peningkatan kredibiliti khidmat kaunseling yang dipasarkan itu.
RUMUSAN
Dari penjelasan di atas, nyatalah bahawa rancangan rawatan yang berkesan adalah satu kewajiban yang perlu dilaksanakan. Tanpa rancangan rawatan yang berkesan, khidmat kaunseling yang diberikan tidak akan memenuhi keperluan dan mencapai hasrat yang klien mahukan. Akhirnya perkhidmatan serta profesion kaunseling akan mengalami kerugian.
KAUNSELING DAN PENGHARGAAN KENDIRI
oleh: NAIMAH AHMAD
(Email: naimah@jpa.gov.my)
BATIN atau hati nurani manusia adalah hakim yang paling adil. Ia bertindak sebagai pengawal yang kritis. Batin inilah yang menimbulkan rasa tanggungjawab pada peribadi seseorang."
Lapan perkataan yang dapat menentukan nasib anda;
" Hidup kita ini dibentuk oleh fikiran kita sendiri." (Dale Carnegie; 1995)
Penghargaan kendiri atau "self-esteem" mempunyai pengaruh yang mendalam dalam perkembangan hidup setiap insan. Perkembangan kendiri ini juga berhubung kait dengan kepercayaan, kebolehan dan kepercayaan diri individu dalam mengharungi kehidupan. Ianya merupakan imej diri, penerimaan diri atau perasaan kita terhadap diri sendiri. Perkembangan kendiri bermula sejak kelahiran kita.
Pakar-pakar psikologi umumnya menyatakan pengalaman awal ketika zaman kanak-kanak dan masa remaja mempunyai kesan besar terhadap perkembangan kendiri seterusnya. Keluarga sebagai agen pertama dalam pembentukkan sosialisasi kanak-kanak. Apa yang kita cerminkan kembali kepada anak-anak kita akan menjadi asas pembentukkan imej kendiri mereka dan seterusnya mempengaruhi segala aspek kehidupan mereka.
APAKAH PENGHARGAAN KENDIRI (SELF-ESTEEM)
"Self-esteem", secara umumnya boleh didefinasikan sebagai penilaian menyeluruh tentang diri kita sama ada secara positif atau negatif. Ia mempamerkan sejauh mana individu itu mempercayai bahawa dirinya "competen" dan layak untuk hidup.
Dari sudut psikologi self-esteem merujuk kepada diri individu. Ia menyatakan bahawa sesuatu pengetahuan tentang diri dan bagaimana sesorang itu menilai dirinya dan mengenalpasti sejauhmana kekuatan dan kelemahannya. Melalui penilaian diri ini mereka mahu dihormati oleh orang lain . Peringkat mengenal diri ini pula berbeza antara seseorang, bergantung kepada kematangan.
Harus dilihat pula bagaimana personaliti atau perilaku yang terbentuk pada diri individu tersebut.
Berbicara soal penghargaan kendiri kita tidak boleh melupakan hal peribadi, atau disebut juga perilaku, tingkah laku, persona atau personaliti. Antara keduanya saling berkait rapat. Penghargaan kendiri dipupuk melalui pembentukan peribadi. Keperibadian sihat bererti pemilikan harga diri yang tinggi. Begitu juga sebaliknya.
Dari mana datangnya peribadi atau perilaku manusia? Para pengkaji menganggap manusia merupakan kejadian yang menarik untuk dikaji. Tetapi banyak permasalahan manusia tidak dapat diselesaikan. Kebanyakan ahli psikologi berpendapat bahawa manusia dalam kehidupan sehari-hari tidak selalu membawa dirinya sebagaimana adanya.
MENGENAL PENGHARGAAN KENDIRI ANDA
Sejauhmanakah anda mengenal diri sendiri? Bagaimana pula mengukurnya? Di dalam kehidupan harian kebanyakan kita cuba menunjukkan peribadi yang baik. Apakah tujuannya?.
Adakah perlu kita memikirkan penghargaan kendiri kita? Jawapannya pasti ya! Ini kerana ianya mempengaruhi cara kita berfikir, bertingkahlaku dan bagaimana perasaan kita terhadap diri sendiri dan orang lain. Juga mempengaruhi sejauh mana kejayaan kita mencapai matlamat hidup diri sendiri.
Dalam membicarakan tentang penghargaan kendiri terdapat dua kompenan penting iaitu perasaan tentang keterampilan diri dan nilai diri. Keterampilan diri, pada asasnya ialah keyakinan diri dan kepercayaan bahawa anda berupaya menghadapi cabaran-cabaran utama kehidupan. Nilai diri ialah perasaan hormat, bangga dan sayang terhadap diri sendiri. Kedua-dua konsep ini adalah saling berhubungkait kerana ia menjadikan seseorang itu merasa senang dengan pembawakan dirinya.
Penghargaan kendiri ialah faktor terpenting yang mempengaruhi kejayaan seseorang dalam segala aspek kehidupan.
Individu yang berjaya dalam hidupnya sama ada dalam pelajaran, kerjaya atau kehidupan keluarga sering dikaitkan dengan tahap penghargaan kendiri mereka yang tinggi. Mereka ini mempunyai matlamat hidup yang jelas, komited kepada apa yang diusaha, produktif, bersedia menghadapi cabaran dan yakin kepada kebolehan serta keupayaan diri adalah sifat-sifat utama pada diri mereka.
Penghargaan kendiri yang positif juga mendorong mereka bersedia menghadapi risiko mencuba perkara yang baru, mudah menerima perubahan dan idea baru. Mereka mempunyai sifat terbuka tentang diri sendiri, sedia menerima teguran dan sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri.
Sebaliknya individu yang memiliki penghargaan kendiri yang negatif boleh dikenali menerusi sifat dirinya yang kurang keyakinan diri, prestasi kerja yang rendah, berpandangan serong terhadap diri sendiri dan orang lain serta mudah tersinggung dengan teguran. Mereka sukar menerima perubahan dan memberi pelbagai alasan untuk tidak menerima perubahan. Selain daripada itu mereka juga sukar menyesuaikan diri dengan orang lain dan sering mengaitkan kegagalan dengan kelemahan diri.
PENILAIAN, TAHAP PENGHARGAAN KENDIRI ANDA:
TINGGI ATAU RENDAH
Ahli psikologi Switzerland, Carl Gustaf Jung, membahagikan perilaku manusia kepada dua iaitu ekstrovert dan introvert. Mereka yang tergolong dalam 'ekstrovert' disifatkan sebagai seseorang yang mementingkan umum daripada diri sendiri. Sifat ini membentuk personaliti seperti bersifat terbuka, gembira, peramah, senang dalam pergaulan, mudah mendapat kawan, mudah mesra dan berkeyakinan. Perilaku ekstrovert cenderung mempunyai penghargaan kendiri yang tinggi. Ini kerana mereka mempunyai keyakinan. Gerak mereka sentiasa ghairah dan suka pengalamam baru mewarnai kegiatan seharian. Adakalanya, melalui perbincangan isu-isu tertentu mereka cukup memberansangkan.
Dalam setiap hal, pendapat mereka perlu dihormati dan dihargai.
Manakala individu yang digolongkan dalam introvert lebih menumpukan perhatian ke dalam diri. Mereka mementingkan diri, pendiam, egois, suka merenung, mengasing diri, tidak bersifat terbuka dan sukar bergaul. Seseorang menilai penghargaan kendiri berdasarkan personaliti introvert dan ekstrovert. Kebanyakan yang memiliki perilaku introvert lazimnya menilai harga dirinya rendah, sentiasa menganggap dirinya kurang daripada orang lain dan malu dengan kekurangan itu. Sebaliknya tiada usaha dilakukan untuk memperbaiki diri setanding dengan orang lain. Malah apabila menemui kegagalan, mereka terus-terusan menyalahkan diri sendiri.
Walaupun ada inisiatif melihat kembali diri namun sifat putus asa mengatasi segalanya.
Akibat tidak menghargai diri, orang seperti ini gemar bersendirian dan menghabiskan masa mengutuk diri. Meletakkan harga diri terlalu rendah tidak sepatutnya dilakukan. Jika ini berterusan, ia menimbulkan kesan bahaya. Ia akan mengalami masalah jiwa. Akibatnya, orang yang penghargaan kendirinya rendah menganggap hidup tidak lagi berguna dan sanggup melakukan sesuatu di luar kawalannya.
Tidak dinafikan masalah jiwa bukan sahaja disebabkan oleh hilangnya penghargaan kendiri. Banyak faktor-faktor lain yang memerlukan bimbingan kaunseling untuk mencari puncanya. Tetapi penghargaan kendiri adalah penting bagi seseorang kerana ia merupakan pernyataan bagaimana menilai diri. Penilaian diri ialah pokok utama yang kita bincangkan kerana penghargaan kendiri menentukan gembira atau tidak, berjaya atau sebaliknya hidup seseorang.
Sekiranya anda ingin melihat tahap penghargaan kendiri anda, sila jawab soal selidik (Penilaian Tahap Penghargaan Kendiri Anda) di bawah yang bertujuan untuk membantu anda mengenali diri dan tahap penghargaan kendiri anda.
"Mereka yang tergolong dalam 'ekstrovert' disifatkan sebagai seseorang yang mementingkan umum daripada diri sendiri. Sifat ini membentuk personaliti seperti bersifat terbuka, gembira, peramah, senang dalam pergaulan, mudah mendapat kawan, mudah mesra dan berkeyakinan. Perilaku 'ekstrovert' cenderung mempunyai penghargaan kendiri yang tinggi. Ini kerana mereka mempunyai keyakinan. Gerak mereka sentiasa ghairah dan suka pengalaman baru mewarnai kegiatan seharian."
PENILAIAN TAHAP PENGHARGAAN KENDIRI ANDA
Orang yang mempunyai penghargaan kendiri yang tinggi tahu menempatkan dirinya. Biasanya mereka mengetahui kelemahan dan kekuatan diri mereka. Mereka kenal diri mereka. Hidup mereka sentiasa bermotivasi tinggi. Ketika menemui kegagalan mereka tidak berputus asa. Sebaliknya sentiasa melipatgandakan usaha dan sentiasa cuba memperbaiki diri untuk lebih berjaya. Seseorang yang bijak menempatkan harga diri di tempat yang sewajarnya sering mencapai kejayaan. Orang yang bijaksana menghargai diri dengan menggunakan kelebihan sebagai 'strong point' untuk mencapai matlamatnya.
Individu yang memiliki penghargaan kendiri yang positif mempunyai sifat terbuka tentang diri sendiri dan mudah bermesra apabila bertemu orang yang belum pernah dikenali. Ia membantu mereka membina hubungan baru dengan pihak lain dengan lebih mudah.
Dalam kehidupan ini, mempercayai bahawa kita mempunyai kemampuan melakukan sesuatu merupakan separuh kemenangan kepada perjuangan. Keyakinan ini memberansangkan kita untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam apa jua perkara yang dilakukan. Usaha yang dibuat dengan penuh komitmen pastinya meningkatkan prestasi kerja.
Faktor yang terpenting mempengaruhi penghargaan kendiri ialah kepercayaan kendiri atau siapa kita fikirkan diri kita. Gambaran mental diri atau dalaman diri mengambarkan imej diri seseorang itu.
Menurut D.C. Briggs (1977), imej diri anda adalah sistem kepercayaan yang anda bina tentang diri sendiri. Kepercayaan kita terhadap diri sendiri sebahagian besarnya telah dicorakkan oleh tanggapan pengalaman yang lalu, kejayaan dan kegagalan bagaimana anda dinilai oleh orang lain. Imej diri juga ialah asas keseluruhan personaliti seseorang.
Kepercayaan yang positif juga membentuk sebahagian besar personaliti dan kemampuan seseorang, ia memberi kuasa dalaman kepada individu untuk mencapai matlamat yang dihajati. Kepercayaan kendiri juga menentukan had pencapaian anda, apa yang boleh dan tidak boleh anda lakukan. Kita dicorakkan oleh fikiran kita, terjadi sesuatu adalah apa yang kita fikirkan.
Ramai orang gagal mencapai kejayaan yang besar dalam kehidupan kerana imej diri yang negatif, bukan kerana kekurangan kemampuan atau bakat.
Orang yang mempunyai imej kendiri yang negatif lazimnya akan mempunyai penghargaan kendiri yang rendah.
Ramai orang yang sering berkecil hati dan sensitif kepada perkara-perkara kecil dan remeh-temeh. Ini menyebabkan orang yang berhadapan dengannya terpaksa lebih berhati-hati dari segi perbuatan dan perkataan demi menjaga perasaan individu tersebut daripada tersinggung. Kadangkala kita terpaksa berlindung demi menjaga perasaannya.
Orang yang begitu sensitif adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai penghargaan kendiri, rasa penghormatan diri yang amat rendah. Ini terjadi apabila nilaian terhadap dirinya 'self-worth' begitu rendah. Seseorang yang enjoy tugasnya sentiasa memperkembangkan kepercayaan terhadap nilaian diri dan keyakinan diri. Mereka cuba menyukai diri mereka melalui "latihan dan amalan diri". Penghargaan kendiri yang sihat bererti kita menghargai nilaian terhadap diri kita sendiri sebagai insan yang unik dengan segala keistimewaan , bakat dan kebolehan.
Orang yang merasakan dirinya tidak dikehendaki mempunyai perasaan bimbang terhadap kebolehan diri, merasa kekurangan dan mempunyai pandangan yang rendah terhadap dirinya sendiri.
ASAS PENGHARGAAN KENDIRI YANG KUKUH
Grant Brecht (1996) menyatakan penghargaan kendiri yang dimiliki oleh individu umpama asas bagi sesebuah rumah. Ianya merupakan struktur yang paling utama dan sekiranya berlaku kerosakan akan menyebabkan rumah itu tidak selamat. Seseorang yang memiliki penghargaan kendiri yang goncang maka apa jua yang dia lakukan untuk membangun kehidupan kendiri akan terbina dalam asas yang tidak kukuh. Oleh itu kegagalan dalam melakukan sesuatu menyebabkan kita merasakan diri kita tidak berguna .
Anda mempunyai penghargaan kendiri yang tinggi jika anda mempunyai ciri-ciri berikut;
Yakin kepada keupayaan diri sendiri
Selalu menghargai apa yang dilakukan. Biar sekecil mana pun kejayaan tersebut, ingatlah pengalaman anda adalah milik anda sendiri
Matlamat hidup yang ditentukan adalah milik sendiri
Yakin boleh mencapai matlamat hidup
Mengkritik tindakan bukan diri sendiri
Mencuba sesuatu yang baru dalam hidup adalah satu rangsangan bagi diri
Membenarkan kesilapan berlaku
Seronok dan bermakna mendampingi orang yang positif
Berjuang untuk hak diri
Memiliki kejayaan masa lalu yang diingati.
Untuk membentuk penghargaan kendiri yang tinggi memerlukan kita berfikir secara positif mengenai diri sendiri. Berfikiran positif seharusnya dijadikan teman akrab kita sepanjang masa yang boleh dicapai dengan melakukan tindakan berikut:-
Berbanggalah dengan kejayaan diri sendiri, biar sekecil manapun kejayaan tersebut. Ingatlah, bahawa pengalaman anda adalah milik anda sendiri.
Ambil sedikit masa pada waktu-waktu tertentu untuk bersendirian dan melakukan kerja-kerja yang anda gemari dan seronok melakukannya bersendirian.
Lakukan sesuatu yang anda yakini betul dan menggembirakan anda.
Berbanggalah dengan diri sendiri, terokai dan hargailah bakat yang ada dalam diri sendiri. Jangan cuba menjadi diri orang lain.
Belajarlah mencintai keunikan diri sendiri. Terima dan pelajari akan kesilapan. Jangan cepat melatah apabila melakukan kesilapan. Terimalah kejayaan dan kegagalan diri anda.
Kenalpasti dan terima segala kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri sendiri. Ingat! semua orang ada kekuatan dan kelemahan diri.
Amalkan sikap 'anda boleh!'. Sentiasa beri dorongan dan peransang kepada diri sendiri dalam apa kerja yang dilakukan.
Berfikiran positif seperti yang digariskan di atas pastinya boleh membantu anda memperbaiki perkembangan kendiri anda dan membuat anda berasa gembira tentang diri sendiri dan juga orang lain walau apa jua yang berlaku. Justeru itu...., berfikir tentang diri anda!.
BERBANGGALAH DENGAN DIRI ANDA
- Bantu Diri Anda - dengan mengembangkan bakat dan kebolehan anda
- Beri Semangat dan Galakan Kepada Diri Sendiri - bilamasa diperlukan
- Puji Diri Sendiri - apabila anda rasa anda patut diberi pujian
- Cintai Diri Sendiri......
KAUNSELING DAN PENGHARGAAN KENDIRI
Setelah membaca penulisan ini anda tentu sedar adalah amat penting anda menghargai dan mengasihi diri sendiri. Renungi diri anda dan tentukan kategori mana anda berada. Sekiranya anda merasakan tahap penghargaan kendiri anda adalah rendah dan perlu dipertingkatkan maka lakukan sesuatu.
Bagi mendapat bantuan atau pertolongan mengenai masalah dengan penghargaan kendiri, anda mempunyai pilihan sama ada melalui khidmat kaunseling iaitu:
Kaunseling individu; ATAU
Kaunseling kelompok
Kaunseling ialah satu usahasama antara kaunselor dan klien di dalam menyelidiki dan memahami masalah dan tekanan jiwa yang dialami oleh klien dengan lebih jelas lagi. Penderitaan dan masalah yang dialami di dalam bentuk sikap, perasaan, tingkah laku, pemikiran dan simptom yang mana kesemuanya boleh mengganggu individu berkenaan.
Kaunseling bukannya satu hukuman, kritikan yang negatif atau mencari kesalahan seseorang. Tujuan utamanya ialah untuk menghasil perubahan yang positif di dalam diri individu dengan kritikan dan nasihat yang membina di samping untuk menjadi lebih stabil dan produktif dalam menghadapi kehidupan.
Di samping itu kaunseling juga bertujuan untuk meningkatkan perkembangan individu supaya ia dapat mencapai tahap kesihatan mental yang maksima dan menjadi seorang yang berjaya dan mempunyai penghargaan kendiri yang tinggi.
Kaunseling sebagai usaha penerokaan kendiri untuk membantu klien menyedari sepenuhnya potensi yang ada dalam dirinya. Ini bermakna corak hubungan dan 'rapport' dalam konteks kaunseling amat besar ertinya dan menjadi penentu kepada hasil sesuatu proses kaunseling. Keadaan ini akan lebih ketara lagi dalam kontek kaunseling silang budaya yang melibatkan perbezaan antara kaunselor dan klien dari segi bangsa, agama dan budaya.
Terdapat pelbagai bidang kaunseling.
Dalam konteks ini kedua-dua kaedah di atas boleh menjadi berkesan, ianya bergantung kepada pilihan anda. Melalui kaunseling, individu tumpuan hanyalah ke atas diri dan situasi anda. Anda akan mendapat tumpuan kaunselor yang akan memberi perhatian khusus ke atas apa yang berlaku kepada anda, bagaimana anda rasai dan apa yang boleh dilakukan.
Kaunseling kelompok adalah satu proses antara individu (interpersonal process) yang melibatkan seorang kaunselor dengan beberapa orang ahli/klien yang meneroka diri serta situasi yang dialami. Proses tersebut menekankan pemikiran yang sedar, perasaan dan kelakuan. Tujuan kaunseling kelompok adalah membaiki sikap serta perlakuan klien yang tidak berkesan atau tidak mendatangkan faedah.
Mengikut Corey (1990) kaunseling kelompok bertujuan mencegah serta memulih. Tujuan mencegah adalah supaya klien dapat mengatasi masalah yang dihadapi sebelum masalah tersebut menjadi serius. Tujuan memulih pula adalah bagi klien yang sedang mengalami masalah serius di mana kaunseling kelompok merupakan satu proses intervensi untuk menukar kelakuan.
Kaunseling kelompok berorientasikan masalah yang spesifik, sama ada masalah itu masalah pembelajaran, kerjaya, sosial atau emosi. Dengan itu, kaunseling kelompok akan memberi fokus kepada perkongsian maklumat, pengalaman dan perasaan ke arah celik akal, membaiki sikap serta perlakuan. Setiap orang berpeluang menceritakan pengalaman masing-masing. Anda akan menyedari bahawa bukan anda seorang sahaja menghadapi masalah ini.
Matlamat kaunseling berkelompok ini di mana ahli-ahlinya dapat berkongsi bersama untuk belajar mempelajari diri dan orang lain, juga untuk mendapat pengetahuan tentang diri sendiri dan memperkembangkan identiti diri.
Walau bagaimanapun kefahaman kaunselor dan klien terhadap perasaan dan tanggungjawab masing-masing menjadi faktor penting dalam kejayaan sesuatu sesi kaunseling dan perlu dititik beratkan. Kaunselor perlu memahami dunia psikologi klien yang selalunya amat sensitif terhadap persekitarannya. Setiap yang difikirkan, dirasakan, dikatakan dilakukan dan bagaimana disampaikan oleh kaunselor dan klien boleh menjejaskan kualiti keyakinan dan kepercayaan yang terbina.
Oleh itu, kedua-dua pihak perlu sama-sama membina hubungan dua hala kerana mereka mempunyai perbezaan yang besar dari segi orientasi peranan dan tanggungjawab.
Apa yang perlu disedari ialah kita perlu membina penghargaan kendiri dan memperbaiki imej diri supaya kita tidak mudah terancam atau cemas dengan apa jua ancaman atau cabaran.
Oleh itu yang penting, perlu diingat ialah diri anda adalah amat berharga dan berguna untuk dipelihara bagi hidup yang berkualiti. Jika anda perlukan bantuan profesional, dapatkanlah demi kebaikan diri anda.