Sunday, February 13, 2022

 STANDARD KOMPETENSI GURU

Konsep Kompetensi

Kompetensi merujuk kepada pengetahuan, kemahiran, dan ciri-ciri peribadi atau personality
traits yang perlu bagi melaksanakan sesuatu tugas atau tanggungjawab. Menurut Kamus
Dwibahasa Dewan, kompetensi adalah istilah bahasa Inggeris iaitu competence yang
bermaksud kelayakan, kemampuan, kesanggupan, dan kecekapan untuk melakukan sesuatu
tugas (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999)

Menurut Daud Ibrahim(2003) bahawa, kompetensi bermakna “competence,
proficiency, skillful and skill”. Kompetensi ditakrifkan sebagai gabungan aspek pengetahuan,
kemahiran dan ciri-ciri peribadi yang perlu dimiliki serta diamalkan bagi melaksanakan
sesuatu pekerjaan atau jawatan. Prinsip asas model kompetensi adalah bahawa prestasi
seseorang pegawai perkhidmatan awam akan meningkat sekiranya beliau mempunyai semua
kompetensi yang diperlukan bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab jawatan yang
disandangnya. Sebagai contoh, pengkhususan dalam sesuatu bidang dan kekerapan
melaksanakan sesuatu tugas yang akan membolehkan pegawai melaksanakan tugasnya
dengan berkesan dan cemerlang. Agus Darma (2003), mentakrifkan kompetensi sebagai
kemampuan atau kecekapan yang diperlihatkan seseorang ketika melakukan sesuatu.
Kesimpulannya kompetensi bolehlah didefinisikan sebagai;

Definisi Umum

Merupakan keupayaan seseorang untuk mencapai matlamat interaktif, dalam
konteks sosial yang khusus, dengan menggunakan cara yang diterima dan
menghasilkan natijah yang positif dengan memberikan signifikan kepada 
unsur yang lain. Kecekapan atau kompetensi (competency) bolehlah
didefinisikan sebagai kebolehan seseorang mengeluarkan sesuatu hasil yang
telah dipersetujui bersama melalui terma-terma yang telah ditentukan tahap
pengukurannya.

Definisi khusus

Merupakan satu ukuran yang telah ditetapkan bagi seorang guru dalam
menguasai pelbagai peringkat kompetensi yang diperlukan untuk memenuhi
aspirasi pelajar dan masyarakat.

Definisi Guru

Guru dalam konteks tajuk tugasan ini bermaksud ialah tenaga pengajar yang telah mengikuti
sijil perguruan, diploma pendidikan dan ijazah dari maktab-maktab dan universiti, dilantik
oleh KPM untuk berkhidmat di sekolah. Kategori guru meliputi bakal guru, guru permulaan,
guru dan pentadbir sekolah (termasuk pengetua dan guru penolong kanan). Bakal guru pula
ialah seseorang individu yang sedang mengikuti latihan perguruan di peringkat diploma dan
ijazah pertama. Guru permulaan ialah guru yang telah mengikuti latihan perguruan dalam
mana-mana peringkat pengajian dan telah berkhidmat dalam jangka masa enam bulan hingga
satu tahun.

Konsep Kompetensi Guru

Standard profesional perguruan boleh digunakan sebagai satu set kriteria dari kompetensi
minimum yang ditunjukkan dalam perlaksanaan kerja guru. Kompetensi guru termasuklah
perkara yang berkaitan personal, profesional dan sosial seperti pengajaran, kepakaran dalam
subjek, kepakaran dalam teori yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran,
menguruskan proses pembelajaran, adaptasi dalam komuniti dan personaliti. Beare (2001)
mengenal pasti kompetensi minimum bagi guru terhadap lima komponen yang sepatutnya
kompeten. Lima komponen itu ialah kurikulum, pedagogi, penilaian, sumbangan kepada
sekolah dan sumbangan kepada profesion.

1. Kurikulum. Guru sepatutnya mempunyai pengetahuan tentang isi kandungan kursus
yang diajar (kepakaran subjek) dan ianya dikemas kini.
2. Pedagogi. Guru mestilah tahu mengajar, menguruskan kelas menggunakan mod
pembelajaran dan kaedah pengajaran yang sesuai dan teknologi pengajaran yang
sesuai.
3. Penilaian. Guru seharusnya tahu untuk menilai hasil kerja pelajar, bagaimana menilai
kemajuan pelajar, bagaimana melaporkan kemajuan kepada pelajar dan ibu bapa,
bagaimana menyimpan rekod kemajuan pembelajaran dan bagaimana menetapkan
tahap kemajuan.
4. Sumbangan kepada sekolah. Sebagai staf institusi pelajaran, setiap guru seharusnya
memberi sumbangan yang kontruktif kepada sekolah secara meluas, menerima
tanggungjawab fungsi yang luas kepada sekolah secara formal, secara tidak formal
mengambil berat terhadap tugas dan budaya, mempunyai pelajar yang baik, reputasi
dan pendirian komuniti serta hubungan ibu bapa dan seluruh komuniti.
5. Sumbangan profesional. Setiap guru diharapkan dapat mengamalkan profesion
pergurun dengan menyertai perkembangan profesional, aktif dalam aktiviti 
profesional, menyumbangkan pembangunan dalam profesion perguruan dan asas
kemahiran dan bersedia untuk membantu rakan secara profesional. Guru sepatutnya
berfikir dan berkelakuan sebagai profesional.

Perkara asas bagi menggariskan standard guru profesional ialah apa yang perlu diketahui
dan boleh dilakukan. Formula asas kebolehan guru perlu ditunjukkan dalam bidang
berikut: penilaian, komunikasi, pembaikan berterusan, pemikiran kritikal, kepelbagaian,
etika, perkembangan insan dan pembelajaran, pengetahuan mengenai subjek, suasana
pembelajaran, perancangan dan peranan guru dan teknologi.

RUMUSAN

Bertepatan dengan misi Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membangunkan sistem
pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia, maka tumpuan kepada usaha meningkatkan
mutu profesion perguruan adalah amat relevan sekali. Meskipun setakat ini sudah banyak
usaha-usaha gigih yang dijalankan ke arah itu seperti mengadakan kursus-kursus dalam
perkhidmatan, mengetatkan proses pengambilan bakal guru namun seperkara yang perlu
diambilkira ialah mewujudkan satu standard kompetensi untuk para guru. Sehingga kini
belum ada satu standard kompetensi yang digunapakai bagi menilai kecekapan dan tahap
pencapaian guru. Penilaian tahap kecekapan yang diambil oleh para guru nampaknya masih
belum dapat diterima secara keseluruhan sebagai satu mekanisme yang objektif dalam menilai
pencapaian guru.

Kebanyakan negara-negara maju telahpun memperkenalkan dan melaksanakan standard
kompetensi guru seperti United Kingdom, Jepun, Australia dan banyak lagi. Banyak manfaat
dapat diraih dengan adanya satu standard kompetensi guru. Ianya bukan sahaja dapat menilai
guru dengan lebih objektif malahan dapat digunakan oleh guru sendiri sebagai penanda aras 
untuk melihat kemajuan atau pencapaian peribadi. Standard kompetensi sepertimana yang
dicadangkan adalah bersifat dinamik tanpa mengambilkira tempoh perkhidmatan. Guru yang
cepat belajar dan mampu menyesuaikan diri dengan iklim pendidikan negara harus diberikan
lebih ruang untuk terus maju dalam profesion mereka. Standard kompetensi tersebut juga
mengambilkira cabaran masa kini untuk membangunkan generasi pelajar bagi menghadapi
dan menangani cabaran-cabaran baru terutama tuntutan-tuntutan sebagai "knowledge
worker" dalam era revolusi informasi abad ke-21.

Oleh itu, sewajarnya pembentukan dan implementasi satu standard kompetensi guru
diambil perhatian serius oleh semua pihak yang terlibat. Pihak Kementerian Pelajaran
Malaysia khususnya telahpun mengenal pasti aspek sebenar standard kompetensi yang patut
ada pada setiap guru dalam apa jua peringkat dan seterusnya menyebarluaskan maklumat
tersebut kepada semua peringkat pengurusan pendidikan. Namun demikian, sejauh manakah
Standard Guru Malaysia itu sedang dilaksanakan dengan sepenuhnya oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia masih menjadi tanda tanya. Manakala guru pula perlulah sedar dan tahu
aspek kompetensi yang telah dan belum dicapai bagi tujuan memperkembangkan dan
meningkatkan aspek yang tidak kompeten. Seterusnya standard kompetensi mampu menjadi
pemangkin untuk kembali memartabatkan profesion perguruan dan meletakkannya sebaris
dengan profesion-profesion lain. Adalah diharapkan agar dalam pelaksanaan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Transformasi Keguruan Sebagai
Profesion Pilihan yang mengamalkan Standard Guru Malaysia menjadi kenyataan dalam
erti kata yang sebenarnya.

No comments: