Tuesday, February 15, 2022

 

Berdoa dengan Al Asmaa ul Husna

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اللهم صل على محمد وآل محمد

 

.

Allah telah menciptakan langit dan bumi dengan segala isinya ini mempunyai nama-nama yang banyak. Nama-nama itu bukan hanya sekadar nama, tetapi nama-nama yang bagus lagi indah yang sesuai dengan penyataan yang diberikan. Nama itu disebut “Al Asmaaul Husna”. Terdapat 99 yang apabila disebut nama itu akan mempunyai pengaruh dan manfaat yang besar dan hebat sekali terhadap pekerjaan yang sedang kita lakukan dan juga bagi orang yang telah melakukan sesuatu tugas itu. Maka kita dianjur dan digalakkan untuk berdoa dengan “Al Asmaa’ul Husna” tersebut. .

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman: “Dan bagi Allah itu nama-nama yang Indah/Baik, berdoalah dengannya (dengan menyebut nama-nama yang baik itu – Asma ul-Husna).”   Surah al-A’raf 7:180 .

Berikut adalah doa-doa daripada Asmaa’ul Husna, iaitu doa-doa yang diawali dengan nama nama Allah yang baik. Allah SWT telah menggalakkan agar hamba-Nya berdoa dengan menggunakan nama-nama-Nya, kerana dengan nama-nama tersebut doa itu akan lebih mudah dikabulkan. .

Apabila seorang hamba berdoa dengan menggunakan “Asmaa’ul Husna”, Allah SWT akan merasa senang hati untuk memakbulkan permintaan hamba-Nya itu. Maka janganlah kita lepaskan peluang yang baik ini. Kita boleh gunakan kesemua 99 nama Allah atau kita boleh memilih mana-mana nama Allah yang sesuai dengan doa yang akan diminta..

Alhamdulillahi rabbil a’lamin, Allahuma solli a’la Muhammad wa a’laa aalihi wa ashaabihi ajamaiin..

Ya Allah! Dengan menadahkan tangan-tangan kami ini kepada-Mu, kami mengharapkan Rahmat-Mu; Sesungguhnya Rahmat-Mu adalah luas dan meluasi segala sesuatu.

Ya Allah! Kami beriman kepada-Mu, kewujudan-Mu dan Kebesaran-Mu; Dikaulah Yang Maha Agung dan Maha segala-galanya..

1.  Ya Allah! Ya Rahman, Ya Rahim, Dikaulah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Kasihanilah kami ya Allah, kami sangat-sangat mengharapkan belas kasihan daripada-Mu ya Allah. Sesungguhnya tidak ada yang dapat memberikan kasih sayang yang sebenarnya melainkan hanya Dikau. Segala kasih sayang yang pernah kami harapkan daripada selain-Mu, ternyata selalu menghampakan kami ya Allah.

2.  Ya Allah! Ya Malik, Raja kepada segala raja, kepimpinan-Mu adalah yang terbaik dan akan membawa kepada kebaikan, tidak ada yang lebih baik kepimpinannya melainkan hanya Dikau. Kami redha menjadikan-Mu sebagai Pemimpin kami, yang lebih berhak dipatuhi daripada segala pemimpin yang lain.

3.  Ya Allah! Ya Quddus, yang Maha Suci, Dikaulah Tuhan yang bersih daripada segala kelemahan, menyembuh dan mentaati hanya kepada-Mu tidak akan merugikan kami. Sesungguhnya segala pengharapan yang dicurahkan kepada selain Dikau selalu mengecewakan; Kami redha mempertuhankan Dikau Zat yang Maha suci.

4.  Ya Allah! Ya Salam, yang Maha Selamat, berikanlah keselamatan kepada kami dan ahli keluarga kami. Peliharalah kami semua daripada segala macam kejahatan dan keburukan. Selamatkanlah kami dengan kebesaran nama-Mu ini daripada segala bencana dunia dan akhirat.

5.  Ya Allah! Ya Mukmin, yang Maha Aman, amankanlah kami daripada segala yang kami takuti. Amankanlah ahli keluarga kami daripada segala sengketa, amankanlah kejiranan kami, amankanlah kawasan kami dan amankanlah negara kami daripada segala kejahatan dan keburukan. Kami sedar bahawa, tidak ada nikmat yang lebih baik daripada hidup dalam keadaan aman sentosa, rukun dan damai.

6.  Ya Allah! Ya Muhaimin, yang Maha Memelihara, peliharalah kami daripada segala yang tidak kami kehendaki. Peliharalah kami daripada segala yang keji, peliharalah kami daripada segala penyakit dan iri, peliharalah kami daripada hasad dan dengki. Sesungguhnya sesiapa yang dipelihara oleh-Mu akan selamatlah daripada segala yang tidak baik.

7.  Ya Allah! Ya Aziz, yang Maha Mulia, Dikaulah yang termulia, agama-Mu adalah mulia, Nabi-Mu adalah mulia, kitab-Mu adalah mulia, maka masukkanlah kami di kalangan yang mulia.

8.  Ya Allah! Ya Jabbar, yang Maha Perkasa bantulah kami yang lemah ini, mengatasi segala muslihat mereka yang memusuhi kami. Berikanlah kekuatan-Mu kepada kami.

9.  Ya Allah! Ya Mutakabbir, yang Maha Megah, Dikaulah berhak untuk memiliki sifat ini, kerana tidak ada yang lebih hebat daripada Dikau, maka jauhkanlah kami daripada sifat bermegah-megah hingga menyebabkan kami berhak menerima kemurkaan-Mu.

10.  Ya Allah! Ya Khaliq, yang Maha Pencipta, ciptakanlah untuk kami yang terbaik, ciptakanlah zuriat yang baik untuk kami, kami mahukan seorang anak lelaki/perempuan atau cukuplah sudah anak-anak yang telah Dikau berikan kepada kami. (mintalah mengikut apa yang kita perlukan). Ciptakanlah kesempurnaan pada diri kami.

11.  Ya Allah! Ya Bari’, Yang Maha Pembuat, buatkanlah untuk kami apa sahaja yang baik untuk kami dunia dan akhirat dan jauhkan daripada kami segala apa yang akan membinasakan kami.

12.  Ya Allah! Ya Mushawwir, yang Maha Pembentuk, bentuklah untuk kami apa yang kami kehendaki, bentuklah untuk kami zuriat lelaki/perempuan, kembalikanlah kesempurnaan kami, hanya Dikau sahaja yang berkuasa untuk membentuk dan mengubah segala bentuk.

13.  Ya Allah! Ya Ghaffar, kami meminta keampunan-Mu, ampunilah kami ya Allah, seandainya Dikau tidak mengampunkan kami, pastilah kami akan sengsara dunia dan akhirat.

14.  Ya Allah! Ya Qahhaar, yang Maha Pemaksa, kasihanilah kami, dan jangan Dikau paksa kami melakukan sesuatu yang kami tidak mampu melakukannya, janganlah Dikau paksakan kepada kami ujian yang terlalu berat untuk kami, sebaliknya Dikau paksalah mereka, fulan bin fulan (sebut nama-nama) atau sesiapa sahaja untuk menerima kami dan apa-apa daripada kami. Dikaulah maha segala-galanya, dan paksakanlah musuh-musuh kami untuk melakukan sesuatu yang baik untuk kami.

15.  Ya Allah! Ya Wahhab, wahai Tuhan yang Maha Pemberi, berikanlah kepada kami apa sahaja yang kami perlukan, (sebutkan apa yang diperlukan), sesungguhnya apa yang Dikau berikan, tidak ada siapa yang dapat menghalang, dan apa sahaja yang tidak Dikau berikan, tidak ada siapa yang dapat memberinya.

16.  Ya Allah! Ya Razzaq, wahai Tuhan yang Maha Pemberi Rezeki, berikanlah kepada kami rezeki-Mu yang banyak, cukukanlah keperluan kami, cukupkanlah keperluan anak-anak kami, cukupkanlah keperluan ahli keluarga kami, janganlah sampai kami terpaksa meminta-minta akibat daripada kekurangan rezeki.

17.  Ya Allah! Ya Fattaah, wahai Tuhan yang Maha Pembuka, bukakanlah untuk kami kejayaan dalam apa jua usaha kami, bukakanlah pintu kefahaman kami, bukakanlah segala kesusahan dan kesukaran kami.

18.  Ya Allah! Ya A’liim, wahai Tuhan yang Maha Mengetahui, Dikau mengetahui sesuatu yang kami tidak ketahui, Dikau ketahui apa yang ada di dalam hati-hati hamba-hamba-Mu, berikanlah kepada kami apa yang Dikau ketahui baik untuk kami dunia dan akhirat, jauhkanlah dari kami apa-apa yang Dikau ketahui tidak baik untuk kami dunia dan juga akhirat.

19.  Ya Allah! Ya Qaabidh, wahai Tuhan yang Maha Pencabut, cabutlah segala keburukan yang ada pada kami, dan janganlah Dikau cabut nikmat yang Dikau telah berikan kepada kami lantaran daripada kelalaian dan kesilapan kami, sesungguhnya akan binasalah kami tanpa nikmat daripada-Mu. Sebaliknya Dikau cabutkan sahaja kekuasaan yang ada pada musuh kami .

20.  Ya Allah! Ya Baasith, wahai Tuhan yang Maha Meluas, kuasa-Mu adalah luas, nikmat-Mu adalah luas, Rahmat-mu adalah luas, segala-gala kepunyaan-Mu adalah luas, luaskan Rahmat-Mu kepada kami, luaskan pemberian-Mu kepada kami, luaskanlah pemeliharaan-Mu kepada kami.

21. Ya Allah! Ya Khaafidh, wahai Tuhan yang Maha Menjatuhkan, Dikau akan menjatuhkan siapa yang Dikau kehendaki, maka jatuhkan mereka yang memusuhi kami, jatuhkanlah mereka yang berniat mengkhianati kami, Dikaulah maha segala-galanya dan kami tidak ada kuasa dan upaya.

22.  Ya Allah! Ya Rafi’, wahai Tuhan yang Maha Mengangkat, angkatlah darjat kami disisi-Mu, angkatlah darjat kami di dunia dan juga di akirat. Angkatlah darjat kami di sisi mereka yang menghina kami.

23. Ya Allah! Ya Mu’iz, wahai Tuhan yang Maha Memuliakan, Dikau memuliakan sesiapa yang Dikau kehendaki, maka muliakanlah kami di dunia dan akhirat, muliakanlah kami di sisi mereka yang memandang rendah kepada kami. Kalau tidak kepada-Mu, kepada siap lagi hendak kami berserah diri.

24. Ya Allah! Ya Mudzil, wahai Tuhan yang Maha Penghina, tidak akan mulia orang yang Dikau hina dan tidak akan hina orang yang Dikau muliakan, maka kepada Dikaulah tempat kami menaruh pengharapan kami; Sesungguhnya Dikau tidak akan mensia-siakan kami, janganlah Dikau masukkan kami di kalangan mereka yang hina.

25. Ya Allah! Ya Sami’, wahai Tuhan yang Maha Mendengar, dengarkan segala rintihan kami, dengarlah segala doa dan permintaan kami, janganlah Dikau palingkan diri-Mu daripada kami, lantaran daripada kederhakaan kami, ampunilah kami.

26. Ya Allah! Ya Basir, wahai Tuhan Maha melihat, Dikau melihat siang dan malam, Dikau melihat gelap dan terang, kepada-Mulah kami menyerahkan diri kami, kami lemah tanpa penglihatan-Mu, Dikau dengarkanlah untuk kami apa yang baik untuk kami, Dikau lihatkan untuk kami apa sahaja yang baik untuk kami, siang dan malam, gelap dan terang.

27.  Ya Allah! Ya Hakam, wahai Tuhan yang Maha Penentu Hukum, segala hukum-hukum-Mu adalah yang paling adil, hukumkan yang baik untuk kami, dan hukumkanlah yang sebaliknya untuk mereka yang berniat jahat kepada kami. Dikaulah yang Maha Menghukum, dan hukuman-mu adalah dahsyat, jauhkanlah kami daripada mendapatkan hukuman yang buruk daripada-Mu.

28. Ya Allah! Ya A’dl, wahai Tuhan yang Maha Adil, tidak ada yang lebih Adil daripada-Mu, kepada Keadilan-Mu kami beriman, jadikanlah kami orang yang adil, jadikanlah kami ibu/bapa yang adil, jadikanlah kami di kalangan mereka yang sentiasa bersikap adil.

29. Ya Allah! Ya Latif, wahai Tuhan yang Maha Lembut, lembutkanlah kami, lembutkanlah hati kami, lembutkanlah hati fulan bin fulan (sebutkan nama) terhadap kami.

30. Ya Allah! Ya Khabir, wahai Tuhan yang Maha Berwaspada, kewaspadaan-Mu mencakupi segala perkara, peliharalah kami daripada segala mala petaka.

31.  Ya Allah! Ya Halim, wahai Tuhan yang Maha Penyantun, layanilah kami dengan kesantunan-Mu, kami berlindung diri dengan-Mu daripada segala kekerasan-Mu.

32. Ya Allah! Ya A’zim, wahai Tuhan yang Maha Agung, Dikaulah yang paling agung, tidak ada yang lebih agung daripada-Mu, bantulah kami daripada segala pemimpin dan penguasa yang zalim, Dikaulah maha segala-galanya.

33. Ya Allah! Ya Ghafur, wahai Tuhan yang Maha Pengampun, ampunkanlah segala kesalahan dan kesilapan kami, tukarkan kejahatan kami yang lalu dengan kebaikan. Hapuskanlah segala dosa-dosa kami, Kami berharap agar dapat mati dengan keadaan tiada dosa ya Allah, sesungguhnya azab-Mu menanti mereka yang berdosa.

34. Ya Allah! Ya Syakur, wahai Tuhan yang Maha Menghargai segala amalan kebaikan hamba-Nya, tatkala manusia tidak menghargai segala usaha kebaikan kami kepada mereka, maka Dikau hargailah segala kebaikan amalan kami, Dikaulah yang mengetahui akan kesungguhan kami, janganlah Dikau sia-siakan segala amalan kami, kami sedar amalan kami terlalu banyak cacat dan kekurangannya, maka dengan nama-Mu ini kami bermohon semoga Dikau terima segala amalan-amalan kami.

35. Ya Allah! Ya A’liy, wahai Tuhan Maha Tinggi, tiada yang lebih tinggi kedudukannya melainkan hanya Dikau, maka tinggikanlah juga kami dalam penghidupan ini dan janganlah Dikau merendahkan kami.

36. Ya Allah! Ya Kabir, wahai Tuhan yang Maha Besar, tiada yang memiliki kebesaran selain Dikau, jadikanlah kami hamba-hamba-Mu yang akan sentiasa membesarkan-Mu, janganlah Dikau jadikan kami di kalangan mereka yang membesarkan penghidupan dunia, membesarkan harta, membesarkan kedudukan dan pangkat, membesarkan manusia. Kami sedar sikap sedemikian hanya akan menyebabkan Dikau murka, maka jauhkanlah kami daripada segala yang menyebabkan kemurkaan-Mu.

37.  Ya Allah! Ya Hafiz, wahai Tuhan yang Maha Memelihara, peliharalah kami semua, peliharalah anak-anak kami daripada segala bencana keburukan, peliharalah kesemua ahli keluarga dan mereka yang kami sayangi daripada segala yang tidak diingini, bencana, wabak, penyakit, kemiskinan, perangai dan lain-lain keburukan.

38. Ya Allah! Ya Muqith, wahai Tuhan yang Maha Menepati Waktu, tiada yang lebih daripada-Mu, setiap ciptaan-Mu telah Dikau berikan tempoh dan masa, berikanlah kami waktu yang membolehkan kami berbakti kepada-Mu, sebaliknya Dikau matikan kami bilamana Dikau ketahui dengan waktu itu kami hanya akan menjauhi-Mu.

39. Ya Allah! Ya Hasib, wahai Tuhan yang Maha Penghitung, tiada siapa yang lebih tepat dan cepat menghitung daripada-Mu, dengan keimanan kami terhadap nama dan sifat-Mu ini, maka berilah perhitungan yang baik kepada amalan baik kami dan janganlah Dikau ambil kira keburukan dan kejahatan kami, ampunkanlah segala kesalahan kami yang lalu.

40. Ya Allah! Ya Jalil, wahai Tuhan yang memiliki sifat Keagungan, tiada yang lebih agung daripada-Mu, terimalah pengakuan ikhlas kami ini dan tetapkanlah kami dalam keimanan ini, bahawa tiada yang lebih agung dalam kehidupan kami melainkan Dikau.

41.  Ya Allah! Ya Karim, wahai Tuhan yang Maha Mulia, tiada yang lebih mulia daripada-Mu, maka muliakan kami yang beriman kepada kemuliaan-Mu, hinakanlah mereka yang tidak beriman kepada kemuliaan-Mu.

42. Ya Allah! Ya Raqib, wahai Tuhan yang Maha mengawas, pengawasan-Mu mencakupi setiap pelusuk alam ini, tiada satu pun yang terluput daripada pemerhatian-Mu, maka berikanlah pengawasan-Mu kepada kami, perhatikanlah anak-anak kami, ahli keluarga kami, harta benda kami semasa ketiadaan kami.

43. Ya Allah! Ya Mujib, wahai Tuhan yang Maha Memperkenankandoa, perkenanlah segala permintaan kami, janganlah Dikau biarkan tangan-tangan yang menadah ini dalam keadaan kosong dan sia-sia, kasihanilah kami, cukupkanlah segala keperluan kami, jauhkan kami daripada keterpaksaan meminta dan mengemis, hanya kepada-Mulah tempat kami meminta.

44. Ya Allah! Ya Wasi’, wahai Tuhan yang Maha Luas, kurniaan-Mu adalah luas, Rahmat-Mu juga adalah luas, maka luaskanlah kurniaan dan rahmat-Mu kepada kami.

45. Ya Allah! Ya Hakim, wahai Tuhan yang Maha Bijaksana, tiada yang lebih bijak daripada-Mu, kebijaksanaan-Mu meliputi ciptaan-Mu dan segala hukum penetapan-Mu, maka dengan keimanan kami terhadap kebijaksanaan_mu ini, berikanlah kebaikan daripadanya jadikanlah kami di kalangan mereka yang sentiasa menyanjungi ciptaandari hukum-hukum-Mu, termasuk juga hukum syariat-Mu, janganlah Dikau jadikan hati dan pemikiran kami meremehkan hokum-hukum-Mu.

46. Ya Allah! Ya Waduud, Dikaulah Tuhan yang Maha Menyintai, cinta-Mu adalah hakiki, cinta-Mu adalah sejati, maka cintailah kami, teruskan menyintai kami dan jadikanlah kami di kalangan hamba-Mu yang menyintai-Mu, menyintai Nabi utusan-Mu, menyintai kitab-Mu, meyintai agama-Mu dan menyintai segala orang yang Dikau cintai. Jadikanlah harti kami benci kepada segala yang Dikau benci.

47.  Ya Allah! Ya Majiid, Dikaulah yang Maha Pemurah, murahkanlah kurniaan-Mu kepada kami, murahkan rezeki-Mu kepada kami.

48. Ya Allah! Ya Baa’ith, Tuhan yang Membangkitkan, kami beriman bahawasanya Dikau akan bangkitkan kami sesudah mati nanti, bangkitkanlah kami dalam kebaikan dan bersama orang-orang yang baik, bangkitkanlah kami untuk mendapatkan kebaikan, kemuliaan dan keindahan syurga-Mu. Janganlah Dikau bangkitkan kami dalam keadaan dosa yang tidak terampun, ingatkanlah kami kepada hari pembangkitan-Mu, janganlah Dikau lalaikan kami daripadanya.

,

Ya Allah! Ya Tuhan kami, dengan menggunakan sebahagian daripada nama-nama-Mu yang baik ini, kabulkanlah permintaan kami. Dikau telah menjanjikan akan mengkabulkan permintaan mereka yang berdoa dengan menggunakan nama-nama-Mu. Kabulkanlah permintaan kami ya Allah, janganlah Dikau sia-siakan doa kami ini.

Kami beriman kepada-Mu, beriman kepada nama-nama-Mu, dan beriman kepada sifat-sifat-Mu yang agung. Tiada Tuhan melainkan hanya Dikau, tiada yang berkuasa melainkan hanya Dikau.

Wa solallaahu a’laa nabiyyikal karim wa a’laa aalihi wasohbihi ajmain, wal hamdulillahi rabbil a’lamin.

Sunday, February 13, 2022

 STANDARD KOMPETENSI GURU

Konsep Kompetensi

Kompetensi merujuk kepada pengetahuan, kemahiran, dan ciri-ciri peribadi atau personality
traits yang perlu bagi melaksanakan sesuatu tugas atau tanggungjawab. Menurut Kamus
Dwibahasa Dewan, kompetensi adalah istilah bahasa Inggeris iaitu competence yang
bermaksud kelayakan, kemampuan, kesanggupan, dan kecekapan untuk melakukan sesuatu
tugas (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1999)

Menurut Daud Ibrahim(2003) bahawa, kompetensi bermakna “competence,
proficiency, skillful and skill”. Kompetensi ditakrifkan sebagai gabungan aspek pengetahuan,
kemahiran dan ciri-ciri peribadi yang perlu dimiliki serta diamalkan bagi melaksanakan
sesuatu pekerjaan atau jawatan. Prinsip asas model kompetensi adalah bahawa prestasi
seseorang pegawai perkhidmatan awam akan meningkat sekiranya beliau mempunyai semua
kompetensi yang diperlukan bagi menjalankan tugas dan tanggungjawab jawatan yang
disandangnya. Sebagai contoh, pengkhususan dalam sesuatu bidang dan kekerapan
melaksanakan sesuatu tugas yang akan membolehkan pegawai melaksanakan tugasnya
dengan berkesan dan cemerlang. Agus Darma (2003), mentakrifkan kompetensi sebagai
kemampuan atau kecekapan yang diperlihatkan seseorang ketika melakukan sesuatu.
Kesimpulannya kompetensi bolehlah didefinisikan sebagai;

Definisi Umum

Merupakan keupayaan seseorang untuk mencapai matlamat interaktif, dalam
konteks sosial yang khusus, dengan menggunakan cara yang diterima dan
menghasilkan natijah yang positif dengan memberikan signifikan kepada 
unsur yang lain. Kecekapan atau kompetensi (competency) bolehlah
didefinisikan sebagai kebolehan seseorang mengeluarkan sesuatu hasil yang
telah dipersetujui bersama melalui terma-terma yang telah ditentukan tahap
pengukurannya.

Definisi khusus

Merupakan satu ukuran yang telah ditetapkan bagi seorang guru dalam
menguasai pelbagai peringkat kompetensi yang diperlukan untuk memenuhi
aspirasi pelajar dan masyarakat.

Definisi Guru

Guru dalam konteks tajuk tugasan ini bermaksud ialah tenaga pengajar yang telah mengikuti
sijil perguruan, diploma pendidikan dan ijazah dari maktab-maktab dan universiti, dilantik
oleh KPM untuk berkhidmat di sekolah. Kategori guru meliputi bakal guru, guru permulaan,
guru dan pentadbir sekolah (termasuk pengetua dan guru penolong kanan). Bakal guru pula
ialah seseorang individu yang sedang mengikuti latihan perguruan di peringkat diploma dan
ijazah pertama. Guru permulaan ialah guru yang telah mengikuti latihan perguruan dalam
mana-mana peringkat pengajian dan telah berkhidmat dalam jangka masa enam bulan hingga
satu tahun.

Konsep Kompetensi Guru

Standard profesional perguruan boleh digunakan sebagai satu set kriteria dari kompetensi
minimum yang ditunjukkan dalam perlaksanaan kerja guru. Kompetensi guru termasuklah
perkara yang berkaitan personal, profesional dan sosial seperti pengajaran, kepakaran dalam
subjek, kepakaran dalam teori yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran,
menguruskan proses pembelajaran, adaptasi dalam komuniti dan personaliti. Beare (2001)
mengenal pasti kompetensi minimum bagi guru terhadap lima komponen yang sepatutnya
kompeten. Lima komponen itu ialah kurikulum, pedagogi, penilaian, sumbangan kepada
sekolah dan sumbangan kepada profesion.

1. Kurikulum. Guru sepatutnya mempunyai pengetahuan tentang isi kandungan kursus
yang diajar (kepakaran subjek) dan ianya dikemas kini.
2. Pedagogi. Guru mestilah tahu mengajar, menguruskan kelas menggunakan mod
pembelajaran dan kaedah pengajaran yang sesuai dan teknologi pengajaran yang
sesuai.
3. Penilaian. Guru seharusnya tahu untuk menilai hasil kerja pelajar, bagaimana menilai
kemajuan pelajar, bagaimana melaporkan kemajuan kepada pelajar dan ibu bapa,
bagaimana menyimpan rekod kemajuan pembelajaran dan bagaimana menetapkan
tahap kemajuan.
4. Sumbangan kepada sekolah. Sebagai staf institusi pelajaran, setiap guru seharusnya
memberi sumbangan yang kontruktif kepada sekolah secara meluas, menerima
tanggungjawab fungsi yang luas kepada sekolah secara formal, secara tidak formal
mengambil berat terhadap tugas dan budaya, mempunyai pelajar yang baik, reputasi
dan pendirian komuniti serta hubungan ibu bapa dan seluruh komuniti.
5. Sumbangan profesional. Setiap guru diharapkan dapat mengamalkan profesion
pergurun dengan menyertai perkembangan profesional, aktif dalam aktiviti 
profesional, menyumbangkan pembangunan dalam profesion perguruan dan asas
kemahiran dan bersedia untuk membantu rakan secara profesional. Guru sepatutnya
berfikir dan berkelakuan sebagai profesional.

Perkara asas bagi menggariskan standard guru profesional ialah apa yang perlu diketahui
dan boleh dilakukan. Formula asas kebolehan guru perlu ditunjukkan dalam bidang
berikut: penilaian, komunikasi, pembaikan berterusan, pemikiran kritikal, kepelbagaian,
etika, perkembangan insan dan pembelajaran, pengetahuan mengenai subjek, suasana
pembelajaran, perancangan dan peranan guru dan teknologi.

RUMUSAN

Bertepatan dengan misi Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membangunkan sistem
pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia, maka tumpuan kepada usaha meningkatkan
mutu profesion perguruan adalah amat relevan sekali. Meskipun setakat ini sudah banyak
usaha-usaha gigih yang dijalankan ke arah itu seperti mengadakan kursus-kursus dalam
perkhidmatan, mengetatkan proses pengambilan bakal guru namun seperkara yang perlu
diambilkira ialah mewujudkan satu standard kompetensi untuk para guru. Sehingga kini
belum ada satu standard kompetensi yang digunapakai bagi menilai kecekapan dan tahap
pencapaian guru. Penilaian tahap kecekapan yang diambil oleh para guru nampaknya masih
belum dapat diterima secara keseluruhan sebagai satu mekanisme yang objektif dalam menilai
pencapaian guru.

Kebanyakan negara-negara maju telahpun memperkenalkan dan melaksanakan standard
kompetensi guru seperti United Kingdom, Jepun, Australia dan banyak lagi. Banyak manfaat
dapat diraih dengan adanya satu standard kompetensi guru. Ianya bukan sahaja dapat menilai
guru dengan lebih objektif malahan dapat digunakan oleh guru sendiri sebagai penanda aras 
untuk melihat kemajuan atau pencapaian peribadi. Standard kompetensi sepertimana yang
dicadangkan adalah bersifat dinamik tanpa mengambilkira tempoh perkhidmatan. Guru yang
cepat belajar dan mampu menyesuaikan diri dengan iklim pendidikan negara harus diberikan
lebih ruang untuk terus maju dalam profesion mereka. Standard kompetensi tersebut juga
mengambilkira cabaran masa kini untuk membangunkan generasi pelajar bagi menghadapi
dan menangani cabaran-cabaran baru terutama tuntutan-tuntutan sebagai "knowledge
worker" dalam era revolusi informasi abad ke-21.

Oleh itu, sewajarnya pembentukan dan implementasi satu standard kompetensi guru
diambil perhatian serius oleh semua pihak yang terlibat. Pihak Kementerian Pelajaran
Malaysia khususnya telahpun mengenal pasti aspek sebenar standard kompetensi yang patut
ada pada setiap guru dalam apa jua peringkat dan seterusnya menyebarluaskan maklumat
tersebut kepada semua peringkat pengurusan pendidikan. Namun demikian, sejauh manakah
Standard Guru Malaysia itu sedang dilaksanakan dengan sepenuhnya oleh Kementerian
Pelajaran Malaysia masih menjadi tanda tanya. Manakala guru pula perlulah sedar dan tahu
aspek kompetensi yang telah dan belum dicapai bagi tujuan memperkembangkan dan
meningkatkan aspek yang tidak kompeten. Seterusnya standard kompetensi mampu menjadi
pemangkin untuk kembali memartabatkan profesion perguruan dan meletakkannya sebaris
dengan profesion-profesion lain. Adalah diharapkan agar dalam pelaksanaan Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, Transformasi Keguruan Sebagai
Profesion Pilihan yang mengamalkan Standard Guru Malaysia menjadi kenyataan dalam
erti kata yang sebenarnya.

 Definisi Perkembangan (Teori Perkembangan)

Perkembangan boleh didefinisikan sebagai perubahan tingkah laku yang tersusun dan teratur. Semua perubahan dalam perkembangan ini akan membantu individu dalam proses menccapai kematangan.
Perkembangan merupakan perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif. Perubahan menunjukkan sifat yang berbeza daripada tahap perkembangan yang terdahulu. Perkembangan juga adalah sebagai perubahan pada struktur, pendapat dan tingkah laku individu. Ia terhasil daripada fungsi biologi, faktor pemakanan dan pengaruh alam sekitar. Perkembanga juga merupakan perubahan yan bersifat kualitatif tetapi dapat dilihat dengan membandingkan sifat yang terdahulu dengan sifat yang terbentuk. Dengan kata lain, perkembangan bo;eh juga dianggap sebagai proses di mana individu itu mencapai kematangan, pengukuhan dan kestabilan.

Menurut Crow dan Crow, perkembangan merupakan perubahan secara kualitatif serta cenderung ke arah lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Manakala menurut Karl E. Garrison, perkembangan adalah dihasilkan daripada tindakan yang saling berkaitan di antara perkembangan jasmani dan pembelajaran. Sementara D.S Wright dan Ann Taylor mentakrifkan perkembangan sebagai perubahan yang berlaku dalam warisan hayat (baka) dan organisasi kepada struktur organisma dalam keadaan saling berkait serta berhubng dengan pertambahan umur.

Atan Long menerangkan perkembangan merupakan perubahan yang bersifat kualiti. Perkembangan membawa seseuatu organisma keperingkat matang dan berterusan berlaku walaupun peringkat kematangan telah dilampaui.

Ciri-ciri Perkembangan. Antara ciri-ciri perkembangan ialah:

(a) Secara umumnya perkembangan berlaku secara berperingkat-peringkat iaitu bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua.
(b) Semua kanak-kanak mengikut perkembangan yang sama tetapi dalam kadar yang berlainan.
(c) Proses perkembangan bersifat berterusan iaitu sepanjang hayat seseorang individu itu.
(d) Perkembangan merupakan satu proses perubahan yang berlaku akibat tindakan yang saling berkait di antara perkembangan jasmani dan pembelajaran.
(e) Perkembangan dipengaruhi faktor baka dan persekitaran. Baka menentukan had perkembangan
manakala persekitaran akan menolong perkembangan ke satu tahap maksimum.
(f) Perkembangan berlaku melaui perubahan dari segi bahasa, suara, tingkah l, cara berfikir, komunikasi dan sebagainya.



Sunday, January 9, 2022

 Allahu rabbi

Aku sering leka mengingati Mu
Aku sering lalai mengerjakan suruhan Mu

Allahu rabbi
Jauhkan aku daripada kelekaan dan kealpaan sehingga terlupa menyebut nama Mu
Jadikan aku insan yang sentiasa mengingatiMu 
Bukan hanya disaat sukar
Bukan hanya diwaktu aku terhimpit juga diwaktu aku bahagia dan senang
Jadikanlah aku insan yang hatinya senantiasa merindui Mu dan Rasul junjungan Mu
Lidah basah dengan zikir mengingati Mu

Allahu rabbi
Hanya pada Mu aku berlindung.


Friday, January 7, 2022

 KEMAHIRAN BERFIKIR

Oleh DR. SIDEK BABA

KEMAHIRAN berfikir adalah sesuatu yang amat fundamental dalam kemajuan sesuatu negara dan bangsa. Bangsa Yunani terkenal melahirkan ahli-ahli fikir, sekali gus menghasilkan karya-karya besar.

Pemikir seperti Aristotle, Plato, Socrates dan lain-lain, pemikirannya dikaji sehingga kini. Hal yang sama berlaku dalam ketamadunan Islam yang melahirkan pemikir-pemikir besar dalam banyak bidang. Tokoh-tokoh seperti Ibnu Nafis, Ibnu Sina, al-Batani, al-Khwarizmi, al-Biruni, al-Zahrawi, Ibnu Khaldun, IbnuTaimiyyah, Shah Waliyullah dan lain-lain adalah pemikir, pengkaji dan saintis pada zamannya yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan manusia dan tamadun. Kekuatan yang ada pada mereka bermula dengan tradisi berfikir yang menghasilkan ilmu dan karya.

Kemahiran berfikir harus didedahkan kepada generasi muda sejak zaman remajanya lagi. Kecenderungan al-Farabi, al-Kindi, Ibnu Rushd berfikir bermula sejak umur remaja lagi. Bermula dengan mendekati dan meneliti al-Quran, menguasai aspek-aspek bahasa dan tafsir sehinggalah mendekatkan mereka dengan ilmu-ilmu falsafah, matematik, astronomi dan muzik adalah gambaran tradisi berfikir yang cemerlang berlaku di kalangan mereka. Dewasanya mereka menghasilkan karya-karya besar untuk kajian dan tatapan manusia berzaman-zaman.

Berfikir sebagai suatu kemahiran perlu disuburkan di kalangan remaja. Tempoh remaja adalah tempoh yang amat berpotensi membentuk kemahiran berfikir supaya potensi akliah atau mindanya dapat berkembang dengan subur dan baik. Remaja tidak seharusnya di dedah dengan pendekatan mengingat dan menghafaz saja. Ia juga penting sebagai suatu cara merakam maklumat dan ilmu. Tetapi lebih penting lagi ialah bagaimana maklumat dan ilmu dapat difahami dan diaplikasikan kepada diri dan juga di luar diri. Ia sudah tentu menuntut upaya atau kemahiran berfikir.

Kemahiran berfikir adalah amat perlu bagi remaja supaya sudut pandangannya menjadi luas dan mantap. Oleh kerana sifat ilmu dan maklumat adalah berkembang, pemikiran remaja tidak harus statik, beku dan jumud dalam tahap-tahap tertentu sedangkan perkembangan maklumat dan ilmu di sekitarnya berkembang dengan laju. Dalam gelombang perkembangan maklumat yang digerakkan oleh teknologi para remaja harus berkemampuan menyaring yang mana baik dan bermanfaat atau yang mana sebaliknya. Kemahiran berfikir boleh membantu

Apa yang penting bagi remaja ialah kenal pasti potensi, minat dan kecenderungan terhadap bidang-bidang ilmu dan keahlian kemudian latih diri dengan kemahiran berfikir yang sistematik. Maksud berfikir yang sistematik ialah bagaimana pemerhatian, pengkajian, dapatan, penemuan yang dilalui oleh remaja baik dalam hal-hal akademik dan kerja saintifik, mahupun khazanah pengalaman dan pemerhatian mencetuskan daya fikir, perasaan ingin tahu yang tinggi, kecenderungan melihat dalam perspektif yang berbeza, memperkayakan persepsi, tafsir dan taawil terhadap sesuatu adalah jalan-jalan yang menghasilkan kemahiran berfikir.

Remaja di peringkat awal membina kemahiran berfikir harus peka dan sensitif terhadap sesuatu. Ia mendorong rasa ingin tahu yang tinggi. Dorongan ingin tahu harus diikuti dengan pembacaan, perkongsian ilmu dan maklumat, melakukan analisis, mendapatkan maklumat-maklumat berbanding dari sumber-sumber lain kemudian meletakkan sesuatu subjek atau isu dalam perspektifnya. Apabila sesuatu itu berada dalam perspektifnya maka barulah asas pemikiran diletakkan dan subjek itu boleh dilihat secara kritikal, kreatif, reflektif, lateral, analitis, evaluatif dan sebagainya.

Melihat dan menanggapi sesuatu berasaskan perspektif pemikiran boleh menambahkan lagi kesuburan ilmu, menjadikan maklumat berkembang, pendapat diperkayakan dan akhirnya data dan fakta yang diperoleh menjadi lebih tersaring dan rumusan ke arah sesuatu akan menjadi lebih baik. Ia sangat penting memandu remaja berfikir dengan lebih tepat, baik dan sempurna. Ia boleh menyebabkan remaja berfikir dengan berkualiti.

Berfikir

Pada hari ini ramai remaja yang tidak berfikir. Sesuatu itu dilihat secara pergi dan datang tanpa kecenderungan untuk berfikir baik atau buruknya. Sesuatu yang datang dalam hidupnya baik yang bercorak maklumat, hiburan, senikata, bahan pembacaan dan tontonan lebih banyak yang mengisi keperluan naluri dan nafsu. Sekiranya para remaja tidak dibina asas dirinya menjadi remaja yang baik dan berakhlak unsur hiburan dan berfoya-foya sangat digemari.

Remaja jenis ini jarang berfikir tentang baik buruk, bermanfaat atau pun tidak akan sesuatu itu, sebaliknya menjadi pengguna setia hingga akhirnya menyebabkan para remaja terpengaruh dengan perkara-perkara negatif dan terlibat dengan perbuatan yang melampaui batas.

Dalam tradisi Islam kemahiran berfikir sentiasa dihubungkan dengan faktor zikir. Zikir di sini harus dilihat dalam erti kata yang luas. Zikir bukan hanya menyebut nama Allah atau kebesarannya tetapi zikir dalam konteks fikir mengajar remaja memahami faktor kewujudan Allah dengan tanda-tanda kebesaran-Nya. Allah s.w.t. adalah sesuatu yang ghaib. Adanya alam ini, seluruh kejadian yang ada, rahmah dan nikmat yang melimpah, diberikan roh kepada manusia supaya manusia mampu berfikir, merasa dan memilik nilai dalam aplikasi hidup.

Remaja pada peringkat awal umur lagi jangan hanya berfikir terhadap benda-benda yang wujud dan tampak semata-mata. Sesuatu yang wujud dalam alam dan kehidupan ini tidak semestinya maujud dalam bentuk yang nyata dan tampak. Roh yang ada pada tubuh remaja sendiri adalah sesuatu yang ghaib. Tetapi ia wujud pada diri dan memperkasa akal dan hati. Tanpa roh jasad, akal dan rohani tidak akan memberi makna apa-apa. Pemikiran pokoknya ialah siapa yang mencipta roh itu. Al-Quran memberikan pertunjuk bahawa roh itu adalah ciptaan Allah dan yang diketahui oleh manusia tentang roh adalah amat sedikit sekali.

Akal adalah anugerah Allah yang amat berharga. Dari akal membolehkan remaja mengingat dan menghafaz. Daripada akal juga menyebabkan pemikiran berkembang dan daya taakulan terjadi. Berfikir adalah suatu proses dan apa yang difikir menjadi sumber maklumat dan ilmu kepada remaja. Tetapi upaya pemikiran remaja terbatas sedangkan alam dan kehidupan yang amat luas ini sifatnya tidak terbatas. Remaja memerlukan pedoman.

Al-Quran sebagai Kalam Allah memberikan kita pedoman mengenai alam nyata dan alam ghaib. Daripadanya remaja belajar memberi perimbangan mengenai pertunjuk, pedoman dan pertanda daripada Allah untuk manusia tahu dan daripadanya manusia dapat mengukuhkan jiwa kehambaan yang tinggi supaya kepatuhan dan ketaatan yang ada membolehkan remaja hidup dalam keadaan yang fitrah. Kalau tidak pemikiran remaja akan berkembang secara pemikiran orang Barat yang sebahagiannya tidak percaya kepada konsep Penciptaan dan menolak konsep ghaib sebagai dogma dan dihubungkan sebagai tidak rasional dan tidak saintifik.

Dalam al-Quran terdapat hampir 200 ayat yang khusus tentang sains. Ulama dan ilmuan Islam pada masa terdahulu berfikir berpandukan zikir iaitu menghubungkan Allah sebagai Pencipta. Sedikit kebesaran dan kehebatan hasil ciptaan-Nya dikaji oleh manusia dalam mengurus hidupnya.

Bagi yang tidak beriman merasakan apa yang ditemui dan didapati dianggap ia hasil kajian saintifik manusia sedangkan bagi pemikir dan saintis Islam ia adalah tanda kebesaran Allah yang menciptakan segala sesuatu dan manusia hanya dapat menemui sedikit rahmah, hikmah dan nikmat-Nya. Dari situ manusia memiliki rasa syukur yang tinggi.

Para remaja Islam perlu bersikap kreatif, inovatif dan kritikal terhadap sesuatu fakta dan data. Tetapi daya kreatif, inovatif dan kritikal jangan sampai kita menolak faktor zikir hingga menyebabkan remaja kehilangan arah dan pedoman dan akhirnya menolak Tuhan dan agama. Faktor zikir adalah faktor yang memandu remaja dekat dengan kebenaran dan faham tentang fitrah kejadian.

Oleh itu berfikir tanpa landasan boleh menyebabkan remaja hilang arah. Berfikir menolak fitrah kejadian akhirnya menyebabkan remaja menolak fitrah kejadian. Berfikir secara Qurani akan membimbing remaja ke arah kebenaran yang hakiki. Kebenaran hakiki juga yang akan menjadi pedoman terbaik memandu remaja membina peribadi yang fitrah. Inilah landasan berfikir yang dianjurkan oleh Islam.

APAKAH KEMAHIRAN MENAAKUL?

Apakah itu menaakul (reasoning)? Sebenarnya pelbagai istilah boleh digunakan bagi menerangkan apakah itu menaakul (reasoning). Antara istilah yang biasa digunakan ialah pemikiran kritikal (critical thinking), pemikiran aras tinggi (higher-order thinking), penaakulan secara logic (logical reasoning) atau penaakulan mudah (simply reasoning).

Istilah-istilah tersebut digunakan secara berbeza berdasarkan kepada bidang yang dibincangkan. Namun demikian, daripada pelbagai jenis bidang tersebut ianya mempunyai perkaitan dan kesamaan. Kemahiran menaakul biasanya digunakan dalam proses menyelesaikan masalah dan ia merujuk kepada kebolehan kognitif seseorang yang melibatkan pemikiran secara sistematik dan abstrak. Kemahiran berfikir dalam aras yang lebih tinggi adalah semakin penting dan perlu bagi pembangunan modal insan bagi abad ke 21. Bagi menyediakan rakyat ke arah tersebut, perubahan kepada tahap pemikiran pelajar-pelajar di sekolah harus segera dilaksanakan. Usaha-usaha tersebut adalah sangat diperlukan daripada pihak guru-guru di sekolah dalam menerapkannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Guru-guru perlu lebih kreatif dalam memberikan aktiviti-aktiviti yang lebih mencabar kepada pelajar sebagai asas dalam melahirkan pelajar yang mampu membuat penaakulan secara logik dan sistematik yang mana akhirnya mereka mampu bersaing dalam dunia pekerjaan yang semakin mencabar. Pemikiran secara kritikal sperti menjalankan kajia, membuat hubung kait dan menilai segala aspek permasaalahan dari pelbagai situasi adalah amat perlu bagi melahirkan pelajar yangberfikiran aras tinggi.

Setiap pelajar mempunyai potensi kearah pemikiran aras tinggi dan kemahiran menaakul merupakan satu asas dalam mengembangkan potensi tersebut terutamanya dalam matematik. Untuk menjadikan pelajar itu lebih yakin dan mampu menjana idea pembelajaran sendiri, mereka perlu berkembang dalam kebolehan berfikir secara logic dan bertindak dengan lebih kreatif. Untuk membekalkan situasi pembelajaran berkenaan berlaku, adalah penting penekanan diberikan kepada kemahiran menaakul dalam apa jua aktiviti pembelajaran yang dijalankan.

Dr . Zailah Zainudin, IPG Kampus Raja Melewar menerangkan Kemahiran Menakul adalah seperti berikut:

Pemahaman dan penguasaan kemahiran kritis, kemahiran kreatif dan strategi berfikir akan menjadi lebih mudah sekirannya seseorang individu berkebolehan membuat penaakulan secara induktif dan deduktif. Melalui penaakulan secara induktif seseorang boleh membuat satu kesimpulan atau pengitlakan, manakala penaakulan secara deduktif seseorang boleh membuat pertimbangan dari satu situasi umum ke beberapa contoh atau situasi yang spesifik. Kemahiran menaakul ini bertindak sebagai pelincir semasa menggunakan kemahiran kritis, kreatif dan startegi berfikir.

Definisi Membuat Penaakulan

Kemahiran membuat pertimbangan secara logik, rasional, adil dan saksama.

Kemahiran digunakan untuk Meningkatkan keberkesanan:

a. Membuat interpretasi, analisis, sintesis, penilaian, pengitlakan dan kesimpulan.

b. Membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

 Penaakulan Induktif

 Langkah Penggunaan:

a. Teliti beberapa contoh atau situasi yang spesifik

b. Perhatikan cirri yang sepunya

c. Buat satu kesimpulan atau pengitlakan

Penaakulan secara Deduktif

Langkah Penggunaan:

a. Teliti situasi umum

b. Daripada situasi umum dapatkan contoh atau situasi yang spesifik

 

 

 6 TOPI BERFIKIR _ EDWARD DE BONO

Enam topi berfikir

1. Topi Putih

Topi putih digunakan untuk mengumpul secara objektif segala maklumat yang berkaitan dengan apa yang sedang kita amati. Setiap pengguna topi putih tidak seharusnya memberi sebarang penilaian atau pendapat terhadap sesuatu maklumat.

Pendapat sendiri tidak akan dibenarkan sama sekali untuk dimasukkan sebagai maklumat yang hendak dikumpul atau menguatkan sesuatu pendapat. Hal ini amat bertentangan dengan pemikiran tradisional yang mana lebih cenderung kepada membuat keputusan terlebih dahulu dan hanya selepas itu sahaja barulah membuat jangkaan fakta-fakta untuk menyokong keputusan berkenaan.

Topi putih seringkali digunakan pada permulaan perbincangan untuk mencorakkan latar belakang sesuatu masalah. Ia juga boleh digunakan sekali lagi pada akhir perbincangan bagi memastikan sesuatu cadangan atau keputusan yang telah dibuat itu adalah berdasar kepada maklumat yang telah dikumpulkan.

2. Topi kuning

Topi kuning digunakan untuk mencari nilai-nilai positif. Ia juga digunakan untuk berfikir secara logikal daripada perspektif yang positif dan konstruktif. Gaya pemikiran menggunakan topi kuning amat penting kerana ia dapat menggalakkan kita untuk mencari nilai-nilai positif sesuatu idea termasuk idea yang pada mulanya kelihatan tidak begitu menarik.

3. Topi hitam

Topi hitam digunakan untuk menganalisis idea atau meneliti sesuatu cadangan secara logikal dari aspek undang-undang, keselamatan dan lain-lain agar kita lebih berhati-hati sebelum menerima sesuatu keputusan atau cadangan. Dalam erti kata lain kita melihat sesuatu keputusan itu dari sudut negatif. Negatif di sini bermaksud berhati-hati atau melindungi kepentingan sendiri. Ini penting kerana ia dapat menonjolkan kelemahan sesuatu keputusan yang akan diambil. Ia juga membenarkan kita untuk menyingkir, mengubah dan menyediakan pelan kecemasan untuk mengatasi sebarang kemungkinan.

Topi hitam juga dapat membantu kita menjadikan perancangan yang dibuat itu lebih kukuh dan fleksibel. Ia juga membantu kita dalam menjangkakan risiko-risiko yang mungkin berlaku sebelum membuat sebarang keputusan.

4. Topi merah

Menggunakan topi merah kita akan melihat sesuatu masalah itu dengan menggunakan emosi atau intuisi sama ada secara positif atau negatif tanpa perlu menjelaskan sebabnya dan bukan digunakan untuk mengubah sesuatu perkara atau idea yang telah dibuat. Ia juga cuba untuk memahami macam mana orang lain akan bertindak dengan emosi.

5. Topi hijau

Topi hijau pula mewakili kreativiti. Ia melambangkan tenaga pemikiran yang melihat sesuatu perkara dari perspektif yang baru dan juga mengeluarkan idea-idea yang kreatif dalam kaedah penyelesaian masalah.Topi hijau membantu kita untuk bergerak kehadapan dengan menjanakan idea-idea alternatif yang lebih baik berbanding idea asal. Ia juga digunakan untuk menyelesaikan atau memperbaiki masalah yang dilihat melalui topi hitam.

6. Topi biru

Topi biru mewakili kawalan proses berfikir secara keseluruhannya ataupun dalam bahasa yang lebih mudah ia digunakan untuk mengawal kegunaan topi berfikir yang lain. Kebiasaannya, ia digunakan oleh pengerusi mesyuarat atau ketua perbincangan. Ia boleh digunakan pada awal perbincangan untuk menjelaskan perkara yang akan dibincangkan, menjelaskan tujuan sesuatu perbincangan dan merancang corak pemikiran yang akan digunakan dalam perbincangan tersebut. Pemikir yang memakai topi biru boleh bersuara semasa perbincangan sedang berlangsung untuk mengawal perbincangan agar tidak kelam kabut dan pengunaan topi lain adalah mengikut peraturan

Pemikiran Lateral dan 6 Kaedah Berfikir

Edward De Bono mengajarkan 6 kaedah berfikir dipanggil ‘Six Thinking Hat’. Ada topi hijau untuk percambahan idea kreatif. Ada topi kuning untuk pemikiran konstruktif. Topi putih untuk analisis dan objektif. Topi hitam untuk pemikiran negatif dan berisiko. Manakala topi merah untuk emosi. Dan satu lagi topi biru untuk pemimpin paling atas.

Pemikiran Lateral gagasan De Bono memuatkan 6 kaedah berfikir. De Bono sangat mengkritik pemikiran secara kritikal semata yang menurutnya diwarisi dari tradisi Greek dan Yunani. Hanya ketika ini De Bono menggunakan tradisi pemikiran Greek dan Yunani hanya bersifat binari atau hitam putih. Benar atau salah. Jika kita mampu mebuktikan orang lain salah, maka kitalah yang paling benar. Kemenangan berpihak kepada pasukan atau individu yang paling mampu membuktikan orang lain salah. Pemenang dalam takrifan ini adalah orang yang mempu mengalahkan orang lain.

“We use our best brain to destroy other ideas”

Maka lahirlah pemegang sarjana dan doktoral yang hanya mampu mencantas dan mengkritik idea dan teori orang lain. Tugas dan kerja professor dan sarjana ini (kebanyakannya) keluar untuk memborngkar keduk dan kelemahan orang lain. Sedang idea dan teori ciptaan sendiri entah kemana.

 Berlaku satu perbualan ahli akademik Indonesia dan ahli akademik dari Malaysia.

 Indonesia : Dosen (pensyarah) Malaysia bagaimana?

Malaysia : Dosen Malaysia luar biasa. Banyak menulis kertas kerja dan juga menulis kulit buku (sedang bukunya tidak siapa-siapa). Dosen Indonesia pula bagaimana?

Indonesia : Dosen Indonesia pula biasanya di luar. (merujuk kepada ahli akademik Indonesia sangat dimanfaatkan oleh masyarakat di luar kampus).

Namun begitu agak janggal jika kita terus meninggalkan pemikiran secara kritis. Dalam topi kuning juga ada unsur kritis. Tapi kritis yang membina dan untuk memperbaiki.

Dalam tradisi Islam ada disiplin ilmu yang dipanggil ‘jarah wa ta’dil’, membawa maksud kritik dan saran (ada yang terjemah puji). Dalam menilai sesuatu tulisan dan idea mahupun peribadi tokoh itu sendiri dua sisi bertentangan diberi penilaian yang adil. Tiada idea dan teori yang semuanya buruk-buruk belaka. Dan tidak ada juga naskah yang semuanya baik-baik dan benar-benar belaka melainkan Kitab Allah dan Hadith yang thabit.

Contoh naskah besar yang di’jarah’ dalam tradisi ilmu Islam ialah Ihya’ Ulumuddin tulisan Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali rahimahullah. Kitab Ihya merupakan magnum opus Al-Ghazali selain naskah lain beliau yang banyak sekali mengkritik kesesatan ilmu kalam dan falsafah. Kitab ini dikritik hebat dari sudut beberapa bahagian dari kandungannya yang berbaur kesufian melampau dan kedudukan-kedudukan hadith yang dirujuk banyak sekali diragui sanadnya. Hinggakan Al-Iraqi membuat kajian khusus bagi menilai kedudukan hadith dalam Ihya yang nyata banyak sekali hadith yang lemah (dhaif) bahkan ada yang palsu (maudhu’).

Ihya walaupun lahir dari tangan tokoh ilmuan besar ianya tidak diterima bulat-bulat. Dan tidak juga ditolak bulat-bulat. Ternyata banyak sekali ilmu dan kajian mendalam Al-Ghazali yang dapat diambil manfaat. Di sini ta’dil berperanan.

Sikap yang demikian juga perlu diambil ketika menaggapi karya-karya Ibn Taimiyyah di Nusantara ini. Walaupun semua maklum aliran pemikiran madrasah Ibn Taimiyyah dan Imam Al-Ghazali tidak pernah berhenti bertentang sejak ratusan tahun dahulu. Menurut Yusuf Al-Qaradhawi, konflik aliran sebegini jika tidak ditanggapi dengan kritik dan saran yang benar berlandaskan nas, nescaya akan merugikan institusi ilmu Islam, umat Islam dan dunia umumnya.

Sudah sampai masanya kita beralih dari berfikir secara hitam putih kepada kaedah berfikir yang lebih dinamik. Nabi sendiri pun selalunya amat lambat menghukum sesuatu itu hitam ataupun putih sebelum mendapat keterangan yang lebih lanjut.

(disesuaikan dari ceramah Bengkel Pemikiran Lateral oleh Puan Ainon Mohamad)

Labels: Kuliah, Seminar