Thursday, June 9, 2011

Rela dimadu demi agama


Rela dimadu demi agama

JOHOR BAHRU: “Demi agama, saya rela dimadu,” kata Muzlifah Mohd Adam, 34, madu kepada Nor Hanisah Warah Abdullah, 34, wanita Thailand yang menghadapi dilema berikutan urusan pendaftaran pernikahannya dengan ahli perniagaan di sini, belum diselesaikan Jabatan Agama Johor (JAJ).

Menurutnya, dia mengenali Nor Hanisah Warah atau nama asalnya, Waraporn Intasin, sejak kira-kira dua tahun lalu atas urusan perniagaan, kerana madunya itu mempunyai syarikat membekalkan mainan dari Thailand.

Katanya, perkenalan menerusi urusan perniagaan bertukar kepada persahabatan dan daripada hanya berurusan menerusi e-mel, mereka bersembang di telefon.

“Kami menjemput Nor Hanisah Warah datang ke Johor Bahru dan pelawaan itu diterimanya sebelum tiba di sini Februari lalu. Mungkin selepas melihat cara kehidupan kami sebagai Muslim, Waraporn Intasin terbuka hati memeluk Islam.

“Mungkin juga jodoh dia dengan suami saya, saya tidak mempunyai masalah bermadu dengannya. Saya mengambil keputusan itu kerana sedar berpeluang membantu menarik saudara baru.

“Selain itu dengan pengalamannya menguruskan perniagaan mengeksport mainan, kami (saya dan suami) berpendapat dia dapat membantu menguruskan salah satu perniagaan kami selain menemani saya yang kesunyian berikutan suami sibuk menguruskan perniagaan,” kata ibu kepada enam anak itu.

Menurutnya, selepas mengadakan perbincangan di mana suami bernikah di Satun, Thailand pada 13 Mac lalu, dia sanggup ke negara berkenaan bagi menemani madu dan suaminya itu.

Katanya, selepas sah bergelar suami isteri mereka kemudiannya tinggal bersama di Kampung Cahaya Baru, Masai, di sini, di mana Nor Hanisah Warah menguruskan ladang ternakan milik suaminya, manakala dia kekal menguruskan perniagaan kedai runcit.

Akhbar ini Sabtu lalu melaporkan, rayuan dan dilema seorang saudara baru memikirkan nasib kandungan sekiranya urusan pendaftaran pernikahannya masih belum dapat diselesaikan, sedangkan dia kini sudah mengandung empat bulan.

Nur Hanisah Warah Abdullah, 34, merayu urusan pendaftaran pernikahannya diselesaikan segera selepas pernikahannya itu disahkan Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, 6 Mei lalu.

Nur Hanisah Warah dipetik berkata, disebabkan tertarik dengan agama Islam dan ingin menjalani kehidupannya sebagai Muslim, dia sanggup meninggalkan sementara anak perempuannya berusia lapan tahun di rumah orang tuanya di Chiang Rai, Thailand berhijrah ke Malaysia.

Selain itu, katanya, dia menyerahkan perniagaan mengeksport permainan kanak-kanak kepada rakannya yang diusahakan bersama sejak kira-kira enam tahun lalu, selepas tertarik dengan ajaran Islam dan ingin menjadi seorang Muslim.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan beberapa masalah pernikahan mereka masih belum boleh didaftarkan di sini, dia menghadapi pelbagai masalah seperti ketiadaan visa hingga menyebabkannya terpaksa pulang ke Chiang Rai, Thailand, kira-kira tiga minggu sekali membabitkan belanja hampir RM3,000 setiap kali pulang, selain bimbangkan masa depan kandungannya yang berusia empat bulan.

http://www.hmetro. com.my/Current_ News/myMetro/ Monday/Mutakhir/ 20081020085411/ Article/index_ html

No comments: