AL-QURAN PENYEMBUH PENYAKIT
Alhamdulillah,
bersyukur ke hadrat Allah swt kerana dengan keizinanNya jua dapat kita berjumpa
di alam siber - satu alam zahir yang hanya transparent (zahir) bagi pemilik
internet. Rencana atau koleksi tazkirah ini insyallah boleh dijadikan sumber
rawatan di tengah-tengah kesakitan rohani yang dialami oleh umat dewasa
ini.
Jalan keluar bagi semua kekalutan ini ialah melalui Islam yang syumul dan lengkap dari awal hingga akhir dunia. Nabi Muhammad saw sudah menggariskan mereka yang berpegang dengan 2 pusaka yang ditinggalkannya tidak akan sesat selama-lamanya. Kedua-dua sumber itu ialah Al-Quran dan Hadith.
Jelas, bahawa Al-Quranulkarim adalah alat penyembuh dan pencuci roh teragung yang mampu menggilap semula jiwa manusia untuk kembali ke jalan lurus yang diredhai Allah. Inilah ubat yang hampir pupus dan dilupakan oleh masyarakat modern hari ini sehingga mereka mencari ubat-ubat lain yang bukan menjadi penawar malah menghancurkan kemanusiaan itu sendiri. Ubat yang dijumpai adalah racun pada hakikatnya.
Tazkirah kali ini akan memfokuskan tentang perlunya kita (terutama diri saya sendiri) supaya bermuzakarah dengan Al-Quran sehingga tilawah Al-Quran menjadi budaya yang mampu merubah atau meruntun perjalanan hidup sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan rasulNya.
Kepentingan Al-Quran:
- "Sesungguhnya hati-hati
berkarat seperti berkaratnya besi. Sahabat-sahabat bertanya bagaimana
untuk mensucikannya, ya Rasulullah? Baginda menjawab, dengan membaca
Al-Quran dan mengingati mati." - Hadith
- "Yang terbaik di antara kamu
ialah mereka yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya." - Hadith
- "Ahli Quran ialah
Ahlullah"
- "Bacalah Al-Quran. Kamu
diberi pahala dengan setiap bilangan huruf yang dibaca." - Ibnu
Mas'ud
- "Tiap-tiap ayat di dalam
Al-Quran adalah satu darjat di dalam syurga dan satu lampu di dalam rumahmu."
- Amr ibnul 'As
- "Rumah yang dibacakan
Al-Quran nescaya lapanglah penghuninya, luas kebajikan, masuklah malaikat
dan keluarlah syaitan. Rumah yang tidak dibacakan Al-Quran,
sempitlah penghuninya, sedikitlah kebajikan, keluarlah malaikat dan
masuklah syaitan" - Abu Hurairah
Zaman
ini, hati manusia sentiasa terdedah dengan kekotoran disebabkan maksiat yang
dilakukan. Setiap maksiat membawa kepada dosa dan setiap dosa akan menambah
setompok titik hitam di dalam hati nurani dan menjadikan ia gelap hingga sukar
melihat jalan kebenaran. Apabila tompok-tompok hitam sudah memenuhi sebahagian
besar hati, maka yang benar (haq) dilihat sebagai salah (batil) dan yang salah
(bathil) dipandang sebagai benar (haq). Maka ketika itu kompas hidup sudah
tidak berfungsi lagi. Syaitan bermaharajalela menunggang diri membawa ke mana
saja yang dihajatinya. Hati kita juga tidak terlepas daripada kekotoran ini dan
memerlukan penyucian sebagai persiapan untuk berdepan dengan malaikat
Munkar-Nakir dan lebih-lebih lagi hebat semasa berdepan dengan Allah
Rabbul-Jalil di hari kiamat nanti. Salah satu cara menyuci hati ialah dengan
membaca Al-Quran.
Kita perlu kembali kepada Al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan hidup. Kalau tidak mampu membaca huruf Jawi, perlulah terlebih dulu mempelajarinya. Amat malang generasi kini yang bukan saja buta Al-Quran tetapi buta huruf Jawi yang menjadi perantaraan Al-Quran. Anak-anak murid dulu memang diasuh dan diajar dengan tulisan Jawi tapi malangnya sejak di'haram'kan pendidikan jawi di sekolah oleh seorang 'talibarut' musuh, ramai di antara kita sekarang tidak dapat membaca kita-kitab lama yang bertulisan Jawi. Malang sekali disebabkan tidak mengenal huruf Jawi, lantas Al-Quran diperjauhi dan dipermusuhi.
Ada beberapa perkara yang harus diperhati semasa membaca Al-Quran. Di antaranya:
- suci dari hadas (besar atau
kecil)
- duduk menghadap kiblat
- dibaca dengan tertib, tartil dan
bertajwid
- memelihara hak-hak ayat
- disunatkan menangis semasa
membaca terutama apabila sampai ayat ancaman dan amaran
- dinyaringkan supaya
sekurang-kurangnya kedengaran oleh dirinya sendiri
Antara
amalan-amalan batin yang perlu diperhatikan:
- merasakan keagungan Al-Quran dan
memikirkan maknanya satu persatu
- menghadirkan kebesaran Allah di dalam
hati
- khusyuk semasa membaca
- fahamkan makna yang dibaca
- berfikiran tenang
Di
samping itu, jika dapat jadikan wirid harian/mingguan membaca surah-surah utama
seperti Surah Yasin, Al-Mulk, Al-Waqiah, Ad-Dukhan dan sebagainya.
Pada peringkat permulaan mungkin agaknya sukar untuk membaca dan mengkhatamkan Al-Quran. Sungguhpun begitu jangan pula tinggalkan langsung sesuai dengan kata orang tua-tua 'kalau tak mampu buat semua, jangan pula tinggalkan semua'. Mulakanlah sedikit demi sedikit. Insyaallah apabila kelazatan membaca sudah menebal, kemampuan untuk membacanya akan bertambah. Insyallah doa dan hajat kita akan dimakbulkan Allah. Hati akan berjinak-jinak dengan kalimah Allah dan berusaha mendengarnya melalui kaset-kaset atau CD Al-Quran yang terdapat di pasaran. Malahan dalam internet terdapat banyak tapak yang menyediakan ruangan Al-Quran secara audio. Mendengar Al-Quran juga diberikan pahala kerana Nabi saw pernah bersabda "Barangsiapa mendengar suatu ayat dari Kitab Allah (Al-Quran), nescaya ayat itu menjadi nur baginya pada hari kiamat."
Marilah sama-sama kita mengubah cara hidup kita yang berhobikan hiburan dan material semata-mata kepada hobi mendengar dan membaca Al-Quran. Kurangkan masa membaca akhbar dan gantikan masa tersebut dengan membaca Al-Quran. Semoga hendaknya Allah matikan kita di dalam iman dan menghembuskan nafas terakhir dengan bibir yang masih basah berkumat-kamit melafazkan ayat-ayat suci Al-Quran. Amin.
No comments:
Post a Comment