Friday, February 29, 2008

KEPIMPINAN ISLAM

KEPIMPINAN ISLAM:
KONSEP DAN AMALANNYA DALAM KONTEKS ISLAM HADHARI
Oleh: Prof. Madya Dr. Zulkiple Abd. Ghani


1. Pendahuluan

Allah S.W.T. mencipta manusia, melengkapkan mereka dengan keupayaan intelek dan menjadikan mereka sebagai khalifah (pemimpin) di atas muka bumi. Di samping kejadian manusia, Allah juga mencipta makhluk-makhluk dan kejadian lain sebagai sesuatu yang berguna kepada manusia. Dalam mencipta kejadian-kejadian ini, Allah membekalkan dua prasarana kepada manusia untuk memakmurkan muka bumi iaitu kebolehan mengurus (skill) dan sumber-sumber (resources). Tanggungjawab memimpin dan mengurus sekumpulan individu atau sesuatu masyarakat untuk mencapai objektif atau matlamat terletak kepada bahu pemimpin. Kejayaan dan kemajuan sesuatu bangsa bergantung kuat kepada gaya kepimpinan pemimpin mereka dan berkait rapat dengan kesedaran menunaikan tanggungjawab oleh pemimpin dan seterusnya menggerakkan masyarakat menuju keredaan Allah. Islam menyediakan garis panduan yang jelas dalam soal kepimpinan yang boleh dipraktikkan untuk kesejahteraan masyarakat. Bersesuaian dengan hasrat kerajaan untuk membawa pendekatan pembangunan negara berasaskan Islam Hadhari, konsep kepimpinan Islam perlu difahami dan diterapkan dalam bentuk yang komprehensif sesuai dengan maksud Islam sebagai cara hidup (nizam al-hayah). Kertas ini akan membincangkan tentang definisi, kepentingan dan potensi kepimpinan, cabaran dalam kepimpinan Islam dan cara mempertingkatkan kualiti dalam kepimpinan Islam dalam konteks pelaksanaan Islam Hadhari.

2. Definisi Kepimpinan

Dalam Islam, aspek kepimpinan diberi perhatian penting sehingga Rasulullah s.a.w. menganjurkan agar dilantik seorang pemimpin walaupun dalam kumpulan yang kecil sepertimana sabda Baginda yang bermaksud: “Apabila tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah dilantik seorang daripadanya sebagai ketua”. Terdapat pelbagai definisi diberi tentang “kepimpinan” iaitu antaranya:
i. Usaha untuk mempengaruhi individu atau sekumpulan individu untuk melakukan sesuatu tugas bagi mencapai objektif tertentu
ii. Tingkah laku individu apabila dia sedang mengarah aktiviti kumpulan ke arah mencapai matlamat yang dikongsi bersama, dan
iii. Seni menyusun hubungan antara individu dengan beberapa kumpulan yang mengarah mereka ke arah sesuatu matlamat yang dirancangkan.Terdapat pelbagai istilah yang dikaitkan dengan kepimpinan dalam Islam seperti ‘khalifah’, ‘imamah’, ‘qiyadah’, ‘za’mah’, ‘ri’ayah’, ‘ri’asah’ dan ‘siyadah’. Semua istilah ini menunjukkan wujudnya hirarki dalam kepimpinan Islam dan boleh dilihat dalam beberapa ayat al-Qur’an antaranya :

a) Surah al-A’raf : ayat 142

Maksudnya: Dan berkatalah nabi Musa kepada saudaranya nabi Harun (semasa keluar menerima Taurat) gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaum aku, janganlah kamu mengikut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan.

b) Surah al-Baqarah : ayat 124

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah (suruhan dan larangan), maka nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu), Allah berfirman: Sesungguhnya Aku melantik kamu menjadi imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: (Ya Tuhanku) jadikanlah juga dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan). Allah berfirman: (Permohonan mu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.

c) Surah Yusuf : ayat 72

Maksudnya: Orang-orang menteri menjawab: Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu.
Kepimpinan seringkali dikaitkan dengan seni membimbing, mendidik, memujuk, mempengaruhi, mengajak, menuntun dan sebagainya. Justeru itu, umat Islam digesa supaya sentiasa penuh sedar tentang keperluan dan kepentingan kepimpinan kerana kepimpinan yang cemerlang akan melahirkan masyarakat yang cemerlang.

3. Cabaran Membentuk Pemimpin dan Kepimpinan

Kepimpinan dari perspektif Islam tidaklah semata-mata merujuk kepada pemimpin tertinggi terutama pemimpin-pemimpin negara, seperti yang terbayang dalam pemikiran kebanyakkan orang bila membincangkan soal kepimpinan. Cabaran untuk membentuk kemahiran kepimpinan dalam setiap individu Muslim adalah cabaran utama yang perlu difahami. Mengikut hadis Rasulullah s.a.w., semua individu Muslim dianggap sebagai pemimpin dan bertanggungjawab kepada mereka yang berada di bawah tanggungjawabnya seperti sabda Baginda yang bermaksud:

“Tiap-Tiap seorang dari kamu adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab kepada orang-orang yang berada di bawah jagaannya. Seorang ketua negara bertanggungjawab ke atas rakyatnya dan akan disoal oleh Allah akan kepimpinannya. Seorang isteri bertangung jawab di rumahnya dan akan disoal berkenaan tanggungjawabnya, seorang anak bertanggungjawab ke atas harta bapanya dan dia juga akan disoal, begitu juga seorang hamba atau yang bekerja dengan majikan, bertanggungjawab kepada majikannya, setiap kamu adalah pemimpin, dan bertanggungjawab kepada apa yang dipimpinnya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan hadis di atas, boleh difahami bahawa tahap yang paling minimum, seorang individu bertanggungjawab memimpin dirinya sendiri, kemudian hierarki kepimpinan meningkat setahap demi setahap - bermula dalam diri sendiri, keluarga, masyarakat sehinggalah kepada kepimpinan yang tertinggi di peringkat negara dan dunia. Dalam semua peringkat kepimpinan ini, pemimpin bertanggungjawab penuh terhadap pengikut-pengikut atau orang yang dipimpinnya. Lebih tinggi kedudukan kepimpinan seseorang, lebih tinggilah amanah yang mesti dipikul olehnya. Pemimpinlah sebenarnya yang bertanggungjawab menentukan ke arah mana pengikut-pengikutnya akan dibawa. Keharmonian atau kegelisahan yang wujud dalam masyarakat berkait rapat dengan agenda yang dibawa oleh pemimpin. Banyak nas syarak yang menekankan fungsi pemimpin sebagai penggerak sosial dan mengakui pemimpin mempunyai implikasi besar kepada corak atau pola perlakuan pengikut, misalnya disebut dalam Surah al-Baqarah, ayat 257:

Maksudnya: “Allah pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang kafir, penolong-penolong mereka ialah thaghut, yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”. Para pengkaji kepimpinan selalunya cuba membezakan antara fungsi seorang ketua dan pemimpin (Jaafar Muhammad, 1988). Bersikap sebagai pemimpin lebih unggul berbanding dengan sikap seorang ketua. Suami misalannya ditentukan sebagai pemimpin kepada keluarga dan rumahtangga yang bertanggungjawab memimpin isteri dan anak-anak. Fungsi suami sebagai pemimpin kadangkala perlu berbeza dari fungsi seorang ketua dalam organisasi tertentu. Seorang ketua mungkin mementingkan arahannya diikuti oleh pekerjapekerjanya tanpa mengambil kira soal perasaan atau emosi. Sedangkan, sebagai seorang suami yang memimpin keluarga, selain memastikan objektif yang dikehendaki seperti membentuk suatu entiti keluarga bahagia tercapai, beliau mesti mengurus orang atau manusia yang melibatkan perasaan dan emosi secara bijaksana. Pola perlakuan pengikut banyak bergantung kepada kemahiran dan keupayaan pemimpin dalam mengorganisasi dan memobilisasi pengikut mencapai matlamat yang dipersetujui bersama (Mustafa Haji Daud 1994: 73-81).

Oleh kerana setiap individu Muslim dibebani dengan tanggungjawab memimpin, mereka dibekalkan oleh Allah S.W.T. dengan potensi kepimpinan yang boleh dikembangkan. Setiap Muslim mempunyai potensi tersendiri untuk menjadi seorang pemimpin yang berkesan dalam lingkungan tanggungjawabnya. Ini kerana kepimpinan bukanlah statik atau kaku dan tidak berkembang tetapi ia sebenarnya dinamik, boleh berubah kepada tahap yang lebih baik dengan melalui beberapa proses tertentu. Memang ada penulis yang beranggapan seorang pemimpin berpengaruh memang telah dilahirkan dengan beberapa sifat yang melayakkan dirinya sebagai pemimpin. Dengan ertikata lain mereka “born to be a leader” atau memang mereka dilahirkan untuk menjadi pemimpin (Jaafar Muhammad, 1988). Bagaimanapun, pemimpin yang berpengaruh diakui perlu juga melalui beberapa proses atau latihan yang boleh membentuk personalitinya sebagai seorang pemimpin yang berjaya. Seorang pemimpin yang mencurahkan seluruh pemikiran dan tenaganya bagi memastikan pengikut-pengikut memperolehi manfaat yang banyak dari kepimpinannya dijanjikan oleh Allah dengan ganjaran yang besar (Ahmad Ibrahim 1991). Dalam Musnad Imam Ahmad ada diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksudnya: “Makhluk yang paling dicintai Allah adalah imam (pemimpin) yang adil dan yang paling dibenci Allah ialah imam yang zalim”.

4. Cabaran Melaksanakan Tanggungjawab Kepimpinan

Kepimpinan mengikut perspektif Islam bukanlah satu kedudukan yang boleh dianggap istimewa atau perlu direbut-rebut kerana ia sebenarnya lebih bersifat amanah. Rasulullah s.a.w. pernah mengingatkan Abu Dzar al-Ghifari yang memohon diberi suatu jawatan mentadbir wilayah Islam dalam sabdanya yang bermaksudnya: “Sesungguhnya kepimpinan itu adalah satu amanah, pada hari kiamat ia merupakan kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi mereka yang menunaikan amanahnya dengan sempurna seperti yang telah dipertanggungjawabkan”.

Amanah menunaikan tanggungjawab bukan sahaja terhenti kepada menyempurnakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya kepada pengikut-pengikut, tetapi yang lebih penting dilihat oleh Islam ialah menyempurnakan amanah kepada Allah. Ibn Taimiyyah dalam bukunya Siyasah al-Syar`iyyah (1988) menekankan bahawa kriteria penting dalam melantik seorang pemimpin mengetuai sesuatu jawatan ialah memastikan mereka mempunyai dua sifat penting iaitu quwwah (keupayaan mentadbir dan mengurus) dan amanah. Menariknya, Ibn Taimiyyah sendiri, yang menulis buku berkenaan kira-kira 800 tahun dahulu, juga turut mengakui bahawa sukar memperolehi individu pemimpin yang mempunyai kedua-dua sifat ini sekaligus.

Islam amat mementingkan kesejahteraan masyarakat dengan menentukan beberapa kriteria dalam pembentukan kepimpinan. Pemimpin yang sentiasa menjaga amanah kepimpinannya akan memiliki rasa tanggungjawab (sense of responsibility) yang tinggi dan seterusnya mendorong dia mengambil berat apa yang benar-benar berlaku kepada pengikut. Saidina Umar al-Khattab digambarkan sering memeriksa kehidupan rakyatnya, adakalanya di waktu malam, untuk mendapat informasi yang benar dan direct tanpa bergantung kepada laporan pegawainya semata-mata (Naceur Jabnoun 1994). Dengan informasi berkenaan beliau dapat bertindak cepat menyelesaikan masalah yang dihadapi. Sebahagian besar masa dan kerja pemimpin berkait rapat dengan urusan menyelesaikan masalah yang dihadapi pengikut di samping mewujudkan interaksi dengan para pengikut. Mohd. Amin Saleh (1990) menggariskan lima tanggungjawab utama kepimpinan dalam Islam yang perlu dipenuhi iaitu:

(a) Menegakkan Kebenaran Islam. Oleh kerana ilmu pengetahuan merupakan syarat utama untuk menjadi seorang pemimpin, mereka sepatutnya mengetahui kebenaran hakiki di sisi Islam. Kebenaran Islam perlu ditegakkan meskipun ia boleh menggugat kepimpinan atau darjat seorang pemimpin ataupun mungkin akan menimbulkan kepayahan, kepahitan dan kesukaran. Oleh itu, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Katakanlah kebenaran itu walaupun ianya pahit”. Begitu juga Allah S.W.T. berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 39:

Maksudnya: “(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapapun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhluknya untuk membalas mereka)”.

(b) Memelihara Karamatul Insan. Manusia yang dicipta Allah mempunyai nilai yang tinggi di sisiNya. Kemuliaan manusia bergantung kepada kemurnian akhlak yang diterjemahkan di dalam kehidupan, menjaga kehormatan diri, memelihara moral dan keunggulan peribadi dan tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syariat Islam kerana ia akan merendahkan martabat insan. Syed Muhammad Naguib al-Attas menjelaskan tentang hakikat manusia dengan menyatakan bahawa: “Man has a dual nature, he is both soul and body, he is at once physical being and spirit”. Oleh kerana kerana manusia dicipta untuk menyembah Allah, tugas itu perlu dilakukan kerana ianya sesuai dengan fitrah penciptaan manusia. Dengan keupayaan intelegence dan huda (petunjuk) yang dibekalkan, manusia mesti dipandu supaya menjadi makhluk yang mulia, yang tahu menggunakan akal untuk mencari dan menemui kebenaran. Nafsu haiwan manusia yang rendah kedudukannya perlu dikawal dan pemimpin perlu memastikan para pengikut bukan sahaja dibentuk dalam konteks sosio-ekonomi, tetapi juga memenuhi tabii kemanusiaan yang asal.

(c) Memakmurkan Buminya. Memakmurkan bumi Allah dalam ertikata membangunkan ekonomi negara, membangunkan syakhsiah penduduknya dan menjaga keharmonian dan kesejahteraan adalah tanggungjawab utama pemimpin. Segala urusan berkaitan pembangunan negara hendaklah dipertimbangkan dari segi kemaslahatan umum, bukannya hanya terhad kepada kelompok atau kumpulan tertentu. Pengagihan kekayaan negara hendaklah dilakukan secara adil dengan memberi hak kepada yang berhak menerimanya dan membuka peluang seluasluasnya kepada rakyat untuk membina kehidupan di dunia dan tidak melupakan kebaikan di akhirat. Kerana itu perlu disedari bahawa Allah menghalalkan jualbeli tetapi mengharamkan riba (al-Baqarah: 275). Hasil-hasil bumi yang terdiri dari galian dan tumbuh-tumbuhan perlu dimanfaat untuk kesejahteraan hidup manusia.

(d) Menjalankan Urusan Amar Makruf dan Nahi Munkar. Menjadi tanggungjawab utama pemimpin mengarahkan dan melaksanakan perkara-perkara yang baik dan berusaha mencegah kemungkaran untuk memastikan para pengikut sentiasa berada di dalam kesentosaan dan memperoleh nikmat secara maksima dalam kehidupan. Lubanglubang kemungkaran perlu ditutup untuk mengelak merebaknya wabak keruntuhan akhlak dan masalah sosial. Firman Allah dalam Surah al-Anbiya’, ayat 73: Maksudnya: “Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin (manusia ke jalan yang benar) dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka mengerjakan kebaikan dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; dan mereka sentiasa beribadat kepada Kami”.

(e) Islah (memperbaiki) Masyarakat Melalui Gunatenaga yang Patut. Menjadi tanggungjawab kepimpinan mengorganisasi bidang-bidang kehidupan para pengikut, terutama dengan menurunkan kuasa kepada yang layak. Penyusunan jabatanjabatan, bahagian-bahagian, unit-unit dan sebagainya di dalam struktur organisasi kepimpinan mesti dipandu supaya melakukan islah dengan segala kemampuan yang ada. Firman Allah dalam Surah al-Qasas ayat 26: Maksudnya: “Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: ‘Ya bapaku ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai”.

5. Cabaran Melaksanakan Hak Pemimpin dan Pengikut

Kualiti kepimpinan memang diutamakan oleh Islam. Bagaimanapun kualiti berkenaan tidaklah semata-mata terletak kepada pemimpin tetapi juga pengikut. Pengikut yang berkualiti akan melahirkan pemimpin yang berkualiti. Kualiti kepimpinan dilihat oleh Islam berhubung rapat dengan menunaikan amanah tanggungjawab kepimpinan.

Membetulkan barisan dalam sembahyang berjamaah mungkin dianggap remeh oleh sebahagian orang, tetapi ia menggambarkan bagaimana seorang imam mempraktikkan penjagaan kualiti makmum yang mengikutinya. Justeru itu, selain pengikut, pemimpin juga berhak mendapat nasihat dan teguran yang baik dari pengikut untuk membaiki prestasi kepimpinan seperti yang berlaku dalam sembahyang berjamaah. Dalam hal ini, pemimpin mesti bersifat terbuka, sanggup menerima kritikan dan mengubah praktik negatif yang merosakkan kesejahteraan pengikut atau rakyat. Islam turut menggariskan hak-hak pemimpin dan yang dipimpin dan perlu dilaksanakan untuk mencapai kecemerlangan dalam kehidupan. Satu yang perlu difahami dalam kepimpinan Islam ialah ungkapan bahawa “Pemimpin yang baik juga adalah pengikut yang baik”. Kenyataan ini adalah antara kesimpulan yang dibuat oleh pengkaji kepimpinan merujuk kepada seorang pemimpin yang berkesan di mana dalam masa yang sama dia juga menjadi pengikut yang baik. Oleh kerana tugas memimpin merupakan satu amanah yang penting lagi berat, Islam turut menggariskan hak-hak yang wajar diterima oleh pemimpin dari pengikut-pengikutnya. Kalau pemimpin diminta melaksanakan urusan kepimpinan dengan penuh amanah dan dedikasi, Islam juga meminta para pengikut melaksanakan tugas mereka kepada pemimpin. Terdapat sekurang-kurangnya tiga hak yang wajar dinikmati oleh pemimpin dari pengikut iaitu mendapat kepatuhan dan taat setia, mendapat kerjasama, dan memperolehi teguran serta nasihat.

a) Mendapat Kepatuhan dan Taat Setia

Kepatuhan dan taat setia dari para pengikut akan menentukan segala urusan berkaitan dengan kemasyarakatan berjalan lancar dan memastikan organisasi kepimpinan tidak kucarkacir. Allah berfirman ; Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada RasulNya serta pemerintah di kalangan kamu, kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah kepada Allah dan rasulNya, jika kamu benarbenar beriman kepada Allah dan hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya." (al-Nisa': 59).

Perlu dijelaskan bahawa ketaatan bukan hanya sekadar meliputi kepada perkara-perkara yang disukai, tetapi merangkumi juga perkara-perkara yang mungkin dibenci. Ini kerana dari segi fitrahnya, manusia mudah taat kepada perkara yang disukai, tetapi sukar mentaati perkara yang tidak disukai.

Perintah ketaatan kepada pemimpin bagaimanapun tidaklah mutlak sebagaimana perintah ketaatan orang mukmin kepada Allah dan RasulNya. Ini kerana Rasulullah s.a.w. menghadkan ketaatan kepada pemimpin hanya kepada perkara-perkara yang makruf seperti sabda Baginda yang bermaksud: "Tidak ada ketaatan kepada perkara-perkara maksiat kepada Allah, sesungguhnya ketaatan itu hanya pada perkara-perkara makruf". Islam juga menekankan bahawa ketaatan kepada pemimpin bukan kerana kehebatan personaliti atau kerana takut dan bimbang kepada sesuatu bentuk tindakan yang mungkin akan berlaku, tetapi ketaatan diberikan adalah kerana jawatannya yang dianugerahkan Allah untuk mentadbir urusan umat. Allah menyatakan bahawa orang yang beriman lelaki dan wanita tidak akan teragak-agak untuk menerima segala perintah yang datang dari Allah dan RasulNya seperti yang disebut dalam Surah al-Ahzab, ayat 36: Maksudnya: “Dan tidak patut bagi lelaki yang mukmin dan wanita yang mukmin, apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat, sesat yang nyata”.

b) Memberi Kerjasama

Selain memberi ketaatan, para pengikut juga wajar memberi kerjasama dan memastikan sesuatu perancangan atau program yang digerakkan oleh pemimpin berjaya mencapai objektifnya. Pemimpin yang memimpin dalam lingkungan syariat wajar mendapat kerjasama sepenuhnya dari para pengikut. Kerjasama kepada pemimpin boleh dimanifestasikan dalam berbagai bentuk - dari berbentuk pengorbanan mempertahankan kewibawaan pemimpin dengan lisan atau apa sahaja cara yang wajar sehingga kepada pengorbanan harta dan keringat. Kerjasama dari pengikut bagaimanapun hendaklah timbul dari rasa tanggungjawab terhadap pemimpin yang menunaikan amanahnya seperti yang diperintahkan oleh Allah dan bukannya didorong oleh kepura-puraan atau kerana ada kepentingan lain.

c) Mendapat Teguran dan Nasihat

Hak ketiga yang wajar dinikmati oleh pemimpin ialah mendapat nasihat dan teguran yang baik dari para pengikut. Menyedari akan hakikat bahawa pemimpin juga bukanlah perfect, Islam meminta umatnya menegur dan memberi nasihat kepada pemimpin mereka. Dalam hal ini pemimpin juga wajar bersifat terbuka, bersedia menerima teguran dan nasihat. Prinsip kepimpinan sebegini telah dibuktikan misalnya oleh Saidina Abu Bakar yang membuka ruang kepada rakyat supaya ditegur seperti disebut dalam ucapan dasarnya selepas dilantik sebagai khalifah Islam pertama menggantikan Rasulullah s.a.w., katanya yang bermaksud: "Jika sekiranya kamu lihat aku melakukan kebaikan, bantulah aku, dan jika sekiranya kamu lihat aku melakukan kesalahan, betulkan aku". Saidina Umar berpendapat bahawa khalifah tidak boleh menganggap dirinya mempunyai keistimewaan-keistimewaan tertentu yang membezakannya dengan rakyat jelata sehingga tidak ada orang yang berani menegur. Ini akan membawa kepada kekacauan dan kemusnahan negara dan menyebabkan hubungan kasih sayang antara pemimpin dengan rakyat menjadi jauh.

Sikap keterbukaan pemimpin amat penting kerana ia boleh mencipta suasana yang harmoni antara pemimpin dengan para pengikut dan mewujudkan perasaan kasih sayang sesama mereka. Kerana itu Islam juga mengajar supaya pemimpin tidak menganggap dirinya mempunyai keistimewaan-keistimewaan yang membezakan dirinya dengan para pengikutnya. Di sisi Allah, ukuran perbezaan di antara manusia adalah ketakwaan mereka, bukannya kedudukan dan kemewahan harta benda. Oleh kerana wujud sikap keterbukaan pemimpin, umat Islam tidak ragu-ragu memberi nasihat, kerana menganggap agama itu adalah nasihat sepertimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Agama itu adalah nasihat. Kami (para sahabat) berkata kepada siapa, ya Rasulullah? Sabda Rasulullah s.a.w. Kepada Allah, kepada rasulNya, kepada KitabNya, dan kepada pemimpin-pemimpin umat Islam dan masyarakat mereka.”

Sistem teguran yang dianjur oleh Islam dianggap unggul kerana ia tidak memihak kepada pemimpin sepenuhnya dengan mengorbankan kepentingan ummah dan ia tidak pula memihak kepada kumpulan atau ummah dengan mengorbankan kepentingan pemimpin. Ia menjelaskan di antara tugas dan tanggungjawab seorang pemimpin di satu pihak dan tugas dan tanggungjawab pengikut di satu pihak yang lain.

Sementara itu, para pengikut juga berhak memperolehi manfaat dari pemimpin iaitu memperolehi perkhidmatan (service) yang terbaik. Pemimpin perlu meletakkan diri mereka sebagai orang yang sentiasa bersedia memberi perkhidmatan dan penyelesaian yang praktikal kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh pengikut-pengikut sepertimana sabda Rasulullah s.a.w.yang bermaksud: “Pemimpin umat itu ialah khadam kepada mereka”. Keputusan-keputusan dalam mengendalikan kepimpinan mesti berorientasikan kemaslahatan pengikut dan pemimpin perlu banyak meransang, mengambil inisiatif mengembleng tenaga, kepakaran dan sumber yang ada untuk mencapai objektif. Kepimpinan yang positif dari pemimpin akan menghasilkan budaya kualiti dan kehidupan cemerlang para pengikut.

6. Penyelesaian -Mewujudkan Kepimpinan Berkesan

Untuk melahirkan kepimpinan Islam yang berkesan, caranya adalah pelbagai. Namun yang paling penting ialah apa yang dinyatakan oleh Ibn Taymiyyah (meninggal 728H) dalam bukunya al-Siyasah al-Syar’iyyah. Beliau memulakan perbincangan tentang keberkesanan kepimpinan dengan merujuk kepada ayat al-Qur’an yang menekankan tentang sifat amanah dan adil seorang pemimpin seperti yang disebut dalam Surah al-Nisa’, ayat 58 seperti berikut: Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar lagi sentiasa Melihat”.
Bersifat amanah dan adil adalah dua sifat utama yang menjadi kayu ukur menentukan keberkesanan seorang pemimpin. Kedua-dua sifat tersebut mempunyai hubungan yang rapat dengan ketakwaan pemimpin kepada Allah S.W.T. Manifestasi dari sifat amanah dan adil seorang pemimpin memberi kesan kepada pengikut-pengikut terutama untuk mencapai kepada matlamat al-sa’adah atau kebahagiaan sebenar di dalam kehidupan. 

Pembentukan sifat amanah dan adil seorang pemimpin tidak diperolehi hanya melalui warisan tetapi perlu diusaha, antara lain melalui pendidikan, pembelajaran dan pengalaman yang dilalui dalam tempoh tertentu.
Pengukuran keberkesanan seorang pemimpin mengikut pandangan Islam dilihat bermula dari perspektif peribadi pemimpin itu sendiri dan kemudian barulah menjalar kepada masyarakat dan negara keseluruhannya. Seorang pemimpin yang memimpin sebuah negara besar umpamanya, tetapi terlibat dalam kesalahan moral seperti skandal seks atau peminum arak, tidak dianggap berkesan dan berjaya pada pandangan Islam, walaupun mungkin dianggap berkesan jika diukur dari segi prestasi kerjanya. Jesteru itu, kepimpinan yang bersifat sepadu, iaitu memimpin memandu manusia kepada pengabdian diri kepada Allah dan kesejahteraan ummah keseluruhan ialah parameter utama mengukur keberkesanan seorang pemimpin sepertimana firman Allah dalam Surah al-Furqan, ayat 74: Maksudnya: Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: ‘Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa’ ”.
Di kalangan para sarjana yang membuat kajian lapangan dengan meneliti perilaku seorang pemimpin yang berkesan dan penerimaan oleh pengikut-pengikut mendapati tidak ada sifat-sifat khusus yang boleh dikatakan secara pasti atau mutlak untuk menentukan tahap tertinggi kredibiliti dan keberkesanan seorang pemimpin. Ini kerana ada sifat-sifat tertentu yang adakalanya tidak sesuai atau serasi dengan kumpulan tertentu tetapi serasi kepada kumpulan lain. Jaafar Muhammad (1988: 162) menegaskan perkara ini, katanya: “Bukan semua pemimpin mempunyai sifat-sifat tertentu kerana terdapat juga ramai orang yang memiliki kebanyakkan atau semua sifat tersebut dan orang ini bukan semua terdiri daripada golongan pemimpin belaka”.

Walaupun begitu, umumnya dipersetujui bahawa terdapat sifat-sifat yang amat diperlukan untuk menjadi seorang pemimpin yang berkesan seperti mempunyai ilmu pengetahuan yang mencukupi untuk memimpin dan berkeupayaan mentadbir dan mengurus organisasi dari segi perancangan, penstafan, perlaksanaan dan pengawalan untuk mencapai kepada objektif yang ditentukan. Justeru itu, di kalangan ulama’ Islam, mereka cuba menyenaraikan beberapa sifat kepimpinan yang dianggap perlu ada pada seorang pemimpin Islam seperti perbincangan di bawah.

Seorang pemimpin yang berada di barisan hadapan memimpin ummah memerlukan kualiti yang tinggi dari segi kehebatan fizikal dan juga spiritual. Memandangkan pentingnya kualiti seorang pemimpin dalam Islam, para ulama’ memberi perhatian yang mendalam membincangkan pelbagai jenis karakter yang perlu wujud untuk menjadikannya berkesan. Berikut dijelaskan pandangan beberapa orang ulama’ Islam berhubung dengan karakter yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin utama:

1. al-Mawardi menetapkan tujuh syarat untuk menjadi seorang khalifah iaitu: Keadilan yang meliputi segala syarat; Memiliki ilmu pengetahuan yang sampai ke peringkat boleh berijtihad; Memiliki kesejahteraan pancaindera, pendengaran, penglihatan dan lisan ; Memiliki kesejahteraan anggota badan dari kecederaan yang menjejaskan pergerakan harian; Memiliki kecerdasan fikiran sampai kepada peringkat sanggup mempertahankan kehormatan dan berjihad menentang musuh; dan, Berbangsa dan berdarah keturunan Quraish;

2. Bagi Imam al-Qurtubi, beliau meletakkan sebelas syarat untuk menjadi seorang khalifah iaitu: Berketurunan Quraish berdasarkan kepada sabda Rasulullah s.a.w. Maksudnya: “ Pemimpin hendaklah dari keturunan Quraish”; Terdiri dari seorang yang layak menjadi qadi, boleh berijtihad sendiri tanpa bergantung kepada orang lain untuk mengeluarkan sesuatu keputusan; Mempunyai kewibawaan dalam urusan ketenteraan dan dapat membenteras kezaliman dan menjaga kepentingan umat Islam; Mempunyai pendirian yang teguh dalam menjalankan hukum syariat tanpa gentar dan takut dengan mana-mana pihak; Hendaklah seorang yang merdeka dirinya; Seorang yang beragama Islam; Seorang lelaki; Sejahtera anggota tubuh badan dari sebarang kecacatan ; Seorang yang baligh; Seorang yang berakal sihat; Seorang yang adil di mana tidak layak bagi yang fasiq menjadi pemimpin .

3. Sementara itu, berbeza dengan yang lain, Ibn Khaldun menetapkan empat syarat sahaja untuk menjadi khalifah iaitu: Memiliki ilmu pengetahuan sehingga sampai ke peringkat berijtihad; Keadilan – di mana semua jawatan dalam agama mesti berlandaskan keadilan; Kesanggupan dan berani menjalankan undang-undang hudud serta menghadapi peperangan dan boleh mengarah rakyat berperang; mengetahui hal ehwal diplomasi dan cekap dalam siasah; dan, Kesejahteraan pancaindera dan anggota badan dari kecederaan seperti gila, buta, tuli, bisu, cacat tangan, kaki dan sebagainya.

4. al-Baghdadi, sama seperti Ibn Khaldun menetapkan empat syarat untuk menjadi khalifah dengan penekanan kepada sifat-sifat yang berbeza iaitu: Mempunyai ilmu sekurang-kurangnya sampai ke peringkat mujtahid dalam soal halal dan haram dalam hukum agama; Adil dan warak sekurang-kurangnya dirinya boleh menerima kesaksian; Mempunyai kemampuan berpolitik serta bijak dalam pengurusan negara, mampu membaca kemampuan rakyat sehingga tidak membebankan kerja-kerja kepada orang yang lemah serta bijak juga dalam urusan ketenteraan; dan, Berketurunan Quraish. Jika diperhatikan kepada penentuan karakter kepimpinan berkesan yang diberikan oleh para ulama’ Islam, didapati mereka menekankan tentang kemampuan para pemimpin memimpin pengikut-pengikut menuju kepada keradaan Allah dan memahami tujuan hidup sebenar. Aspek “quwwah” atau keupayaan dari segi ilmu pengetahuan dan kesejahteraan fizikal merupakan syarat utama dalam memimpin ummah di samping pemimpin memiliki keperibadian yang unggul sehingga dihormati dan disanjungi oleh pengikut-pengikut. Hisham al-Talib (1992) menggariskan tujuh faktor kepimpinan berkesan yang dibuktikan melalui penyelidikan saintifik sebagai bandingan dengan apa yang disebut di atas seperti berikut:

a) Kemampuan Mental. Dia tidak semestinya mempunyai kecerdasan yang luarbiasa.

b) Minat dan Kebolehan yang Luas. Dia bukan saja aktif dalam satu bidang sahaja. Dia mempunyai kefahaman yang luas, kecenderungan yang banyak dan pelbagai. Dia seorang yang peka, mempunyai minat yang luas terhadap kerja-kerja yang melibatkannya secara langsung, termasuk pelbagai perkara dan aktiviti-aktiviti penting di persekitarannya. Jelasnya dia seorang yang dikurniakan kelebihan yang luas.

c) Kemahiran Komunikasi. Salah satu gelaran yang diberi kepada Nabi Muhamamd s.a.w. ialah orang yang paling fasih bertutur bahasa Arab. Mengikut Cambrige History of America Literature: ‘Bukan polisi dan tindakkannya yang menyebabkan kemenangan Lincoln menerajui partinya pada tahun 1680, tetapi cara ianya menyampaikan sesuatu. Dalam setiap revolusi orang yang dapat menyampaikan sesuatu dengan baik dapat memimpin.

d) Kematangan. Seorang pemimpin yang berjaya bebas dari sifat kebudakbudakkan; sikap dan tingkahlakunya adalah tindakan orang yang dewasa yang bertanggungjawab dan matang. Dari segi psikologinya dia seorang yang stabil dan menggambarkan kestabilan peribadi kepada pengikut-pengikutnya.

e) Kekuatan Motivasi. Dorongan, tenaga, inisiatif, ketabahan, keupayaan memuliakan diri sendiri, dan pendirian yang tetap telah lama diterima sebagai tanda pemimpin yang kuat. Pemimpin yang berjaya suka merancang, mengurus dan mengarah usaha yang lain. Dia mempunyai keinginan yang kuat untuk mencapai sesuatu.

f) Kemahiran sosial. Kepimpinan pada dasarnya memperoleh sesuatu melalui orang lain, yang menunjukkan secara jelas bahawa pemimpin yang jelas mesti bergantung kepada kemahiran sosial. Dia mesti peka terhadap perasaan dan sikap manusia, sama ada jelas atau tidak ; Dia mesti tegas untuk mempengaruhi orang lain dengan berkesan.

g) Keupayaan Mentadbir. Kebolehan membayang, memulakan, merancang, mengarah, menyelesaikan, menilai orang lain, memilih, mengajar, meransang, mengkaji, meneliti, memerhati, memperbaiki, melihat dengan pandangan yang jauh, meringkaskan, memutuskan, memastikan kerja dilaksanakan; perkara-perkara ini merupakan kemahiran yang dipegang oleh pemimpin lebih daripada teknologi. Meskipun dalam situasi yang berlainan, sifat-sifat yang diutarakan oleh para ulama’ mempunyai signifikasi untuk melahirkan kepimpinan yang berkesan, iaitu bukan sahaja berkesan dari kacamata para pengikut, tetapi juga pada pandangan Allah S.W.T. Dalam konteks Islam Hadhari, konsep kepimpinan Islam perlu bergerak dalam semua lapangan kehidupan dan dipraktikkan oleh semua pihak dari para ustaz, ahli politik, jurutera, arkitek, ahli perniagaan, guru, peniaga dan sebagainya. Dalam konsep Islam yang syumul, apa sahaja bidang berkaitan profesion pekerjaan yang menyumbang kepada kebaikan rakyat dan negara perlu dianggap sebagai ibadat dengan mendahului niat kerana Allah sesuai dengan tanggungjawab sebagai khalifah Allah yang memakmurkan muka bumi.

7. Kesimpulan

Masyarakat yang cemerlang terbentuk dari kepimpinan yang cemerlang. Lebih ramai pemimpin yang memahami kepimpinan sebagai amanah dilahirkan dalam sesuatu masyarakat, akan lebih makmur dan sejahtera masyarakat. Oleh kerana setiap individu Muslim dianggap pemimpin, mereka mesti membina potensi kepimpinan masing-masing yang berkesan kepada orang yang dipertanggungjawabkan. Kepimpinan mesti dianggap sebagai melaksanakan amanah Allah. Ada yang mengatakan, untuk menjadi pemimpin, perlu diamalkan satu falsafah iaitu “think like a leader” atau sentiasa berfikir seperti ketua. Dengan cara itu, setiap tindakan akan dibuat dengan matang, dengan mengambil kira reaksi dan respons pengikut-pengikut. Kepimpinan berkait rapat dengan menjalankan tanggungjawab dan memberi hak yang wajar kepada yang berhak menerimanya. Negara dalam konteks Islam Hadhari akan mencapai tahap terbilang apabila tahap cemerlang dan gemilang telah diperolehi. Semuanya banyak bergantung kepada kualiti modal insan yang dilahirkan oleh negara yang mampu bersaing di peringkat global.

Rujukan
  1. Ibn Taymiyyah, 1995. Siasah Syar’iyyah: Etika Politik Islam, terjemahan Rofi Munawwar. Surabaya: Risalah Gusti.
  2. Jaafar Muhammad, 1988. Asas Pengurusan.Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
  3. Mohd. Affandi Hassan, 1992. The Tawhidic Approach in Management and Public
  4. Administration: Concepts, Principles and an Alternative Model. Kuala Lumpur: INTAN
  5. Mustafa Hj. Daud, 1994. Pengurusan Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publication and Distributors Sdn. Bhd.
  6. Naceur Jabnoun, 1994. Islam and Management. Kuala Lumpur: Institute kajian Dasar

No comments: