Friday, February 29, 2008

Organisasi Berasaskan Pembelajaran

Organisasi Berasaskan Pembelajaran :

Strategi dan Cabaran

Oleh MOHD AMIRUL AKHBAR

Program Pengurusan Pengetahuan

Fakulti Ilmu Kemanusiaan dan Sains Sosial

Universiti Tun Abdul Razak, Selangor



Kejayaan menguruskan perniagaan banyak bergantung kepada pemiliknya. Dari bentuk perniagaan yang bersifat kecil-kecilan sehinggalah yang melibatkan hubungan perniagaan yang berbilion-bilion ringgit antara satu negara dengan negara yang lain. Kunci utama kepada situasi begini ialah keupayaan organisasi menerusi pihak pengurusan atasan di dalam memberikan kebebasan kepada pekerja-pekerjanya di dalam menggunakan kreativiti mereka sebagai usaha meningkatkan prestasi organisasi.

Kepercayaan yang diberikan ini ditambahkan pula dengan penyuburan budaya sentiasa mempelajari sesuatu yang baru, perkongsian maklumat antara pekerja serta budaya kerja berpasukan. Secara otomatik sesebuah organisasi itu akan lebih bersifat dinamik, progresif dan yang paling utama ialah pihak pengurusan atasan bukan lagi merupakan pihak utama yang menentukan segala dasar, polisi dan arah tuju sesebuah perniagaan. Ia kini lebih bersifat kolektif iaitu hubungan strategik antara majikan dan pekerja.

Akibatnya ia telah mempopularkan organisasi yang berkenaan dan ianya lebih dikenali sebagai pengurusan organisasi berasaskan pembelajaran (OBP). Iaitu yang bersifat proaktif, kreatif di dalam penyelesaian masalah serta mendapat penyertaan menyeluruh golongan pekerja bagi aktiviti anjuran organisasi. Dalam konteks negara kita Malaysia, selaras dengan usaha mengaplikasikan kegiatan ekonomi berasaskan pengetahuan (knowledge based economy), OBP bakal menerima impaks yang lebih positif berbanding dengan organisasi yang masih mengekalkan corak pengurusan di zaman industri (industrial based economy). Iaitu yang hanya memfokuskan kepada kuantiti barangan secara besar-besaran dan mendapat keuntungan hasil daripada penjualannya.

Untuk dikenali sebagai OBP bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan penerapan budaya pengurusan strategik yang komprehensif, lengkap dengan misi dan visi kewujudannya. Antara pengisian yang perlu dilalui sebelum dikenali sebagai OBP ialah kebebasan di dalam melaksanakan pekerjaan (empowerment), aktif di dalam aktiviti pengumpulan dan perkongsian pengetahuan dalaman, pengumpulan dan perkongsian maklumat luaran serta sifat ingin berubah daripada status quo dan menggalakkan pekerja menggunakan kreativiti tersendiri di dalam melaksanakan tugas masing-masing.

Bagi kebanyakan organisasi di dunia tidak kira di negara maju dan sedang membangun, isu kebebasan perlaksanaan pekerjaan oleh pekerja satu ketika dahulu seolah-olah tidak dapat diterima. Kebanyakkannya berpendapat sekiranya ini dipratikkan, ia bakal mendatangkan masalah. Golongan pekerja dianggap akan besar kepala, tidak akan menghormati pihak pengurusan dan yang lebih serius ialah pekerja berkuasa membuat apa-apa tindakan yang akhirnya akan merugikan organisasi.

Secara automatik sesebuah organisasi itu akan bersifat lebih dinamik, progresif dan yang paling utama pihak pengurusan atasan bukan lagi merupakan pihak utama yang menentukan segala dasar, polisi dan haluan sesebuah perniagaan

Namun satu hakikat yang tidak disedari ialah jika golongan pekerja diberikan kebebasan di dalam melaksanakan tugas-tugas, mereka dapat menggunakan segala potensi diri yang berupaya menggerakkan organisasi menuju matlamatnya. Sekaligus mencapai kepuasan di dalam melaksanakan pekerjaan. Suatu yang perlu ditegaskan ialah manusia tidak suka dikongkong, dijadualkan rutin kehidupannya serta dibelenggu dengan segala macam peraturan dan karenah birokrasi.

Dalam hal ini organisasi khususnya pengurus perlu memainkan peranan yang aktif di dalam mewujudkan suasana pekerjaan yang kondusif. Mereka perlu melempar jauh sifat ego yang memperlihatkan mereka sebagai berkuasa secara total ke atas golongan pekerja kepada pengurus yang lebih bersifat flexibel. Iaitu golongan yang mampu berkongsi dan menerima pendapat pekerja, sebagai mentor yang sedia membantu apabila diperlukan, sebagai guru, penyokong dan juga sebagai pendengar aktif terhadap sebarang idea dan masalah yang dihadapi. Sifat-sifat seperti ini jelas perlu dimiliki oleh pengurus OBP sekaligus mencermin sifat kepimpinan yang tiada tandingnya.

Di dalam mempraktikkan idea kebebasan perlaksanaan pekerjaan, terdapat beberapa strategi utama yang boleh diguna pakai. Ia terbahagi kepada dua iaitu yang memfokuskan kepada aspek delegasi tugas dan kebolehpercayaan serta bersedia mengambil risiko dan perubahan yang diakibatkan oleh OBP.

Bagi strategi pertama OBP perlu menyatakan dengan jelas visi dan perancangan masa hadapan organisasi. Ia harus dimulakan oleh pengurusan atasan yang menggariskan dengan jelas misi dan visi organisasi. Ini perlu supaya tidak berlaku kekeliruan dan pertindihan terhadap operasi harian organisasi dengan rakan kongsinya yang lain. Di samping itu ia juga akan memperlihatkan kelainan dan kelebihan organisasi itu sendiri.

Selain itu untuk mengelakkan terjadinya konfliks antara majikan dan pekerja, pihak pengurusan perlu menyatakan dengan jelas akan bidang tugas, tanggungjawap, peranan serta ganjaran kepada golongan pekerja. Jika ini dapat dilaksanakan maka isu pekerja akan bersifat besar kepala dan tidak menghormati pihak pengurusan tidak lagi timbul. Ini kerana proses delegasi elemen-elemen berkenaan telah dilakukan sekaligus menunjukkan kepercayaan organisasi kepada golongan pekerja.

Sementara bagi strategi yang kedua ia menyentuh soal risiko dan kesan kepada organisasi akibat daripada menggalakkan golongan pekerja melaksanakan sebarang pekerjaan dengan betul dan lebih bersikap toleran terhadap kesilapan yang dilakukan. Perkara asas yang perlu dilakukan di sini ialah pemahaman yang jitu terhadap kehendak pekerja-pekerja. Perkara ini dapat dilaksanakan oleh OBP tanpa sebarang masalah kerana hubungan di antara majikan dan golongan pekerja tidak lagi dipisahkan oleh pengurus di peringkat bawahan, pertengahan dan atasan. Komunikasi boleh berlaku secara terus kerana tiada lagi sebarang karenah birokrasi.

Seiringan dengan bentuk komunikasi ini, pihak pengurusan secara langsung dapat memberi tunjuk ajar serta kemahiran pengurusan – kendiri kepada pekerjanya. Ia akan memberi mereka semangat, keberanian dan pengalaman di dalam melaksanakan tugas masing-masing. Sekaligus ini telah berjaya meminimumkan jumlah pengawasan pengurusan ke atas kakitangannya.Malahan keadaan ini juga bakal menjurus kepada penyuburan budaya kerja berpasukan dan saling bantu membantu dalam usaha mencapai objektif yang telah ditetapkan.

Jelas di sini bahawa kedua-dua bentuk strategi di atas memperlihatkan tanggapan dan pandangan organisasi terhadap golongan pekerja dari aspek kepercayaan dan hubungan kawal selia majikan dan pekerja. Berhadapan dengan keadaan dunia yang pantas berubah, penuh dengan ketidaktentuan serta persekitaran ekonomi yang bersifat kompetetif, cukup memerlukan organisasi mengembling idea dan pandangan seluruh warga kerjanya.


Berhadapan dengan keadaan dunia yang pantas berubah, penuh dengan ketidaktentuan serta persekitaran ekonomi yang bersifat kompetitif amat memerlukan organisasi menggembleng idea dan pandangan seluruh warga kerjayanya

No comments: