Sunday, November 25, 2007

PENGHAYATAN NILAI DAN ETIKA

PENGHAYATAN NILAI DAN ETIKA KERJA BERTERASKAN ISLAM DI JABATAN-JABATAN KERAJAAN

Pendahuluan

1.1 Kertas ini bertujuan mengimbas kembali peranan pelbagai jabatan kerajaan dalam menyuburkan nilai dan etika berteraskan Islam dalam semua aktiviti latihan dan amalan pengurusannya. Pada masa yang sama, berdasarkan kekuatan dan kelemahan yang berlaku dalam pelaksanaan aspek ini, beberapa cadangan akan dikemukakan bagi membolehkan program pemantapan dan penyuburan nilai dan etika ini dapat diteruskan dengan jayanya.

1.2 Kertas ini juga secara ringkasnya akan cuba menjawab persoalan-persoalan berikut:
- Adakah jabatan-jabatan kerajaan pada masa kini telah mempunyai satu garis panduan nilai dan etika berteraskan Islam yang bersepadu yang dapat difahami dan dihayati secara bersepadu juga oleh semua lapisan ahli organisasi dalam semua bidang tanggung jawab?
- Adakah garis panduan nilai itu berteraskan gabungan antara dua ilmu penting iaitu Ilmu Naqli dan Aqli? Atau adakah ianya dibentuk atas dasar kepentingan untuk menjaga nama dan imej semata-mata?
- Apakah matlamat sebenarnya di sebalik program penerapan nilai dan etika itu: adakah sekadar untuk memenuhi kehendak Pekeliling-Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam/kehendak Stakeholder/kehendak politik dan ekonomi semasa, atau memang secara ikhlas menuju ke arah memenuhi kehendak Islam yang begitu jelas menekankan aspek pemupukan setiap individu sebagai manusia yang beradab dan berakhlak tanpa melalui peraturan yang rigid atau paksaan?
- Apakah faktor sebenar yang menyumbang ke arah pemantapan aspek nilai itu: pola kepemimpinan jabatan(terutama dari segi teladan dan komitmen yang ditunjukkan), persekitaran, peraturan dan pengawasan, atau program nilai itu sendiri?

Senario Pelaksanaan Program Pemantapan Nilai & Etika Berteraskan Islam di Jabatan-jabatan Kerajaan
2.1 Dalam proses bagi membangunkan sistem pengurusan integriti di negara ini, usaha murni kerajaan dalam hal tersebut telah bermula semenjak daripada tahun 1979 lagi apabila terbitnya buku Panduan Perkhidmatan Cemerlang, sambil pada masa yang sama, cogan kata “Berkhidmat Untuk Negara” turut diperkenalkan. Beberapa dasar serta program yang menyusul selepas itu adalah:

- Penggubalan Perintah Am (Kelakuan dan Tatatertib) Bab “D” (1980);
- Arahan menggunakan kad perakam waktu (1981);
- Pelancaran Dasar Bersih, Cekap dan Amanah (1982);
- Pengenalan Dasar Pandang Ke Timur (1982);
- Kempen Kepimpinan Melalui Teladan (1983);
- Pelancaran Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran (1985);
- Gerakan Budaya Kerja Cemerlang yang bertemakan “Kualiti Teras Kejayaan” (1989);
- Pengenalan Sistem Belanjawan Diubahsuai (1990);
- Penggubalan Pekeliling-pekeliling Kemajuan Perkhidmatan Awam (bermula daripada tahun 1991 hingga kini);
- Penerbitan buku panduan bertajuk Amalan-amalan yang Tidak Produktif ;
- Penetapan tarikh rasmi sambutan Hari Q Perkhidmatan Awam iaitu pada 31 Oktober setiap tahun;
- Pemberian Anugerah Kualiti Perdana Menteri;
- Pemberian Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam;
- Pemberian Anugerah Khas Perkhidmatan Awam;
- Pemberian Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam (1991);
- Penubuhan Sistem Inspektorat dalam Perkhimatan Awam (1991);
- Pelaksanaan Sistaem Saraan Baru (1992);
- Penggubalan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi menggantikan Bab D;
- Penggubalan Piagam Pelanggan (1993);
- Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia (2001);
- Garis Panduan bagi Mengadakan Ceramah Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Perkhidmatan Awam (2001);
- Penerbitan buku/majalah/buletin menyentuh soal etika pengurusan; dan
- Penganjuran beberapa siri seminar/bengkel/kursus mengenai aspek nilai dan etika dalam Perkhidmatan Awam.


2.2 Sebagai reaksi terhadap usaha ini, pelbagai jabatan kerajaan telah melaksanakan usaha yang sejajar dengan arahan yang digariskan di samping menjalankan usaha-usaha tambahan sebagai nilai tambah terhadap arahan tersebut, contohnya:

- Menerbitkan buku-buku rujukan penting berkaitan dengan aspek nilai dan etika seperti buku koleksi ucapan Perdana Menteri Malaysia, buku koleksi ucapan Ketua Setiausaha Negara, dan pelbagai buletin atau newsletter jabatan yang memuatkan amanat ketua jabatan masing-masing dan amanat pemimpin tertinggi negara dalam mana-mana majlis yang penting;
- Mengadakan beberapa siri seminar kebangsaan yang secara khusus membicarakan tentang nilai dan etika;
- Beberapa siri kursus nilai dan etika serta kursus pemantapan nilai Islam dalam pengurusan;

- Wacana ilmu yang diadakan di peringkat eksekutif oleh sesetengah jabatan;
- Perhimpunan bulanan;
- Sesi gotong-royong;
- Minggu Q;
- Penerbitan poster-poster;
- Aktiviti sukan;
- Penulisan artikel dalam buletin, jurnal dan Newsletter jabatan;
- Aktiviti keagamaan seperti tahlil,kelas agama dan majlis korban; dan
- Penerbitan dokumen yang menjelaskan tentang nilai seperti risalah kecil yang berkaitan etika kepegawaian , piagam pelanggan, manual prosedur kerja, fail meja, pelan risiko jabatan, dan buku panduan kualiti.


Masalah Pelaksanaan Program Pemantapan Nilai dan Etika
Walaupun usaha ke arah memantapkan aspek nilai dan etika dilaksanakan oleh pelbagai jabatan kerajaan, namun ada kelemahan-kelemahan tertentu yang patut difikirkan semula oleh semua ketua jabatan sebagaimana yang disenaraikan di bawah:

3.1 Program ini dilaksanakan sekadar melepaskan batuk di tangga, tidak ditangani secara istiqamah, kurangnya kesungguhan dalam pelaksanaan program ini, dan hanya dilaksanakan semata-mata untuk memenuhi laporan tertentu. Perkara ini pernah dibangkitkan oleh Y.Bhg. Tan Sri Samsudin Kasim, Ketua Setiausaha Negara, dalam pertemuannya dengan pegawai kanan kerajaan dalam Majlis Khas Fasilitator Islam yang diadakan di INTAN pada 5 Mac 2004;

3.2 Masih berlaku pendekatan penduaan (dualistic approach) dalam pelaksanaan program ini, yakni tidak ada pendekatan yang bersepadu dalam aspek nilai bagi semua aktiviti utama di kebanyakan jabatan kerajaan. Contohnya, dalam proses membuat keputusan, kita belum ada satu piawai nilai yang boleh digunakan dalam hal tersebut bagi menunjukkan sesuatu ketetapan itu dibuat berdasarkan keutamaan yang telah sedia digariskan dalam agama. Oleh itu, ada perancangan yang dibuat dengan tergesa-gesa dan mengakibatkan pembaziran. Begitu juga dalam bidang latihan yang didapati aspek nilai kurang disepadukan dalam setiap subjek yang diketengahkan;

3.3 Aktiviti agama hanya bersifat ritual tanpa difikirkan bagaimana ia boleh dijadikan teras dalam semua bidang tanggung jawab utama di jabatan-jabatan kerajaan;

3.4 Program pemantapan nilai ini dilaksanakan dalam keadaan yang bersifat berat sebelah, yakni lebih banyak tertumpu kepada staf bawahan akibat lahirnya prasangka dan buruk sangka terhadap mereka oleh pengurusan atasan. Oleh itu, kebanyakan program agama dan nilai hanya ditekankan terhadap staf bawahan semata-mata dan hanya mereka sahajalah yang diminta untuk menghadirinya;

3.5 Kurangnya contoh melalui teladan yang ditunjukkan oleh pengurusan atasan, misalnya ada pegawai atasan yang tidak menjawab salam ketika diberi salam, ego, menunjukkan muka masam semasa bekerja, takabbur dengan kedudukan, dan mementingkan diri sendiri. Ini mengakibatkan program pemantapan nilai tidak dapat dijayakan dengan sebaik-baiknya kerana lahirnya keadaan “cakap tak serupa bikin”;

3.6 Semangat kekeluargaan berdasarkan prinsip persaudaraan yang berkisarkan aspek musyawarah-muafakat-gotong-royong semakin luntur di sesetengah jabatan. Sebaliknya yang mula mengambil alih adalah aspek perhubungan yang hanya berlandaskan fungsi (functional-relationship) dan lebih bertumpukan aspek kuasa, kekananan, menjaga kedudukan masing-masing tanpa menghiraukan kebajikan orang lain (non-caring), dan unsur mengampu;

3.7 Pengurusan atasan di sesetengah jabatan lebih banyak menghebahkan dan berbangga dengan kecemerlangannya yang bersifat rethorik tanpa sedar bahawa ada kelemahan utama yang sedang berlaku di jabatan masing-masing, misalnya aspek pentadbiran yang kelam-kelibut, penurunan tahap motivasi staf yang berlaku dengan tiba-tiba, keadaan syak-wasangka antara staf dengan pengurusan, perancanaan pengurusan jabatan yang semakin tidak teratur dan aspek perancangan yang terlalu bersifat keduniaan tanpa dihubungkaitkan dengan aspek akhirat. Perkara ini mestilah diperakui dengan jujur dan ikhlas oleh pihak pengurusan di sesetengah jabatan tanpa sebarang prejudis;

3.8 Kurangnya usaha yang proaktif dalam aspek pemantapan nilai dan etika. Apa yang ada hanyalah program yang menyusul setelah sesuatu arahan dikeluarkan oleh pihak atasan; dan

3.9 Warga sesetengah jabatan kurang dibimbing untuk memahami secara mendalam tentang apakah sebenarnya yang dikatakan sebagai nilai dalam erti kata yang mutlak berlandaskan Ilmu Wahyu. Ini disebabkan nilai yang sering diperkatakan itu sering difahami dalam konteks yang bersifat nisbi yakni semata-mata untuk memenuhi tuntutan dan keperluan hidup beroganisasi. Walaupun segala nilai itu diambil dari sumber yang mutlak tetapi pengertian terhadap setiap nilai itu diolah serta dibentuk berdasarkan pengalaman keduniaan dan rasional semata-mata.

Faktor Kekuatan Yang Membantu Sesetengah Jabatan Dalam Program Pemantapan Nilai dan Etika Berteraskan Islam
Walaupun lahirnya kelemahan-kelemahan tertentu yang sebahagiannya telah dinyatakan di atas, sebahagian daripada jabatan kerajaan sebenarnya mempunyai kelebihan-kelebihan tersendiri yang dapat dimanfaatkan untuk menyubur dan memantapkan nilai dalam setiap fungsi utamanya. Kekuatan yang ada pada jabatan tersebut adalah seperti berikut:
4.1 Faktor ketrampilan yang perlu terus dipertahankan dari segi mengatur urusan pentadbiran yang kemudiannya dapat dimanfaatkan untuk membangunkan tradisi pembudayaan ilmu di kalangan ahli organisasi. Jika ini dilakukan, ia akan dapat memberi sumbangan yang amat bermakna dalam aspek penyuburan nilai;

4.2 Terbukanya peluang yang luas kepada ahli organisasi untuk meningkatkan diri melalui program perancangan latihan dan pengayaan kerja (job enrichment) yang telah di atur oleh sesetengah jabatan;

4.3 Telah lahir banyak mekanisme rangkain (networking mechanism) yang memudahkan proses interaksi antara organisasi. Keadaan ini sebenarnya dapat membantu kita memahami senario dan fenomena nilai dalam konteks yang lebih luas;

4.4 Lahirnya sifat keterbukaan di kalangan pengurusan jabatan untuk menerima teknik dan kaedah baru pengurusan terutamanya yang bersifat proteknologi yang dapat membantu dan memantapkan proses pembinaan nilai; dan

4.5 Telah ada di pelbagai jabatan kerajaan satu sistem pendokumentasian hasil maklumat dan sistem perpustakaan yang baik yang boleh terus dipertingkatkan untuk dijadikan sebagai pusat rujukan utama dalam bidang nilai dan etika.

Perancangan Strategi Penyuburan dan Pemantapan Nilai dan Etika Berteraskan Islam di Jabatan-jabatan Kerajaan
Setelah melihat kepada faktor kelemahan dan kekuatan di atas, kita harus sedar bahawa jabatan kerajaan kini kian menjadi sebuah organisasi yang kompleks dan kadang kala sukar diurus sehingga melahirkan dilema nilai yang payah diselesaikan kerana ia melibatkan pelanggaran prinsip adab dan akhlak yang berlaku secara halus (subtle) tanpa disedari. Lantas kita perlu renungkan semula secara mendalam sambil memohon petunjuk Illahi tentang bagaimana untuk mengembalikan semula satu bentuk pengarahan yang kental untuk mencapai matlamat sebenar dan sepenuhnya bagi sesebuah organisasi kerajaan, bagaimana falsafah kerja dan hakikat organisasi dapat diperdalami dan dihayati sebaik-baiknya, bagaimana budaya kerja berteraskan ilmu serta kebenaran dapat dibangunkan dengan lebih sempurna, dan bagaimana semangat kekeluargaan dan kepentingan permuafakatan dapat disuburkan.
Sehubungan dengan perkara ini, berikut digariskan perencanaan strategi am yang boleh digunakan sebagai panduan untuk memperhalusi lagi program pemantapan nilai dan etika pada masa-masa yang akan datang. Strategi am ini meliputi beberapa perkara dasar seperti berikut:

5.1 Membentuk falsafah pekerjaan berteraskan prinsip nilai agama.
Semua warga organisasi awam perlu diperjelaskan bahawa pekerjaan serta kedudukan atau habuan yang dicapai hasil daripada pekerjaan yang dilakukan bukanlah satu kemegahan atau tanda kemuliaan (tasrif) tetapi ia merupakan amanah yang rapat kaitannya dengan prinsip pertanggungjawaban (taklif). Oleh itu, ia perlu dilakukan dengan penuh rasa tanggung jawab dan kesedaran tentang maksud pengabadian sehingga membolehkan unsur fasad tidak berlaku dalam setiap fungsi pekerjaan yang dilaksanakan.

Sehubungan dengan perkara ini, dicadangkan supaya setiap jabatan kerajaan berusaha menampilkan satu falsafah pekerjaan yang perlu sentiasa dihayati berdasarkan kesedaran berikut:

i. mencari rezeki yang halal untuk hidup sempurna dalam konteks melaksanakan haq sebagai hamba Allah (‘ubudiyyah) ;
ii. mendapat keredhaan Allah supaya semua yang dikerjakan itu diterima sebagai ibadat dalam konteks melaksanakan haq pada diri dan pekerjaan (ihsan); dan
iii. membina tamaddun dan membentuk keadilan dalam masyarakat berasaskan ilmu dan kebenaran dalam konteks melaksanakan haq pada masyarakat dan semua manusia lain (‘adalah) serta haq pada alam dan makhluk lain (tidak melakukan fasad).

Jika falsafah ini dihayati dengan ikhlas dan penuh keazaman, ia akan melahirkan ketenangan dan keharmonian dalam organisasi kerana setiap daripada kita akan melaksanakan tugas masing-masing dengan perasaan redha dan bersyukur kerana tidak terikat dengan keinginan nafsu untuk mencari nama, kedudukan, dan puji- pujian yang menjadi sebahagian daripada punca yang mengakibatkan kecurigaan, iri-hati, dengki, hasad, dendam, dan khianat di kalangan ahli organisasi. Atas kesedaran dan penghayatan falsafah ini, barulah kerja dapat beralih menjadi ibadat apabila keikhlasan kerana Allah menjadi “mahkota” pada setiap pekerjaan yang dilakukan.

5.2 Mengemaskinikan kurikulum latihan.
Institusi latihan awam yang ditubuhkan bawah kementerian-kementerian tertentu hendaklah memastikan supaya setiap kurikulum yang digubal dan sesuatu perkara yang diajar mestilah dilihat dari tiga perhubungan yang penting iaitu alam – manusia – Pencipta. Ini bagi membolehkan tercapainya matlamat penyucian aqal serta roh dan pembangunan daya jasmani.
Di samping itu, asas-asas universal mengenai manusia dari segi hakikat kejadiannya, peranannya dan kesudahannya serta prinsip mutlak nilai yang mesti dipeganginya hendaklah turut disajikan kepada setiap pegawai yang menghadiri kursus.
Bagi membolehkan perkara ini direalisasikan dengan jayanya, mana-mana organisasi latihan awam bolehlah memikirkan untuk menubuhkan satu badan penilai dan penasihat bebas di peringkat organisasi masing-masing yang diwakili oleh kelompok agamawan, ilmuan dan para profesional dan orang-perorangan yang terbukti jujur dan mulia akhlaknya di sisi masyarakat. Fungsi badan ini adalah:

i. memberi nasihat dan maklum balas dalam hal yang berkaitan dengan isu nilai dan etika serta pada masa yang sama, mengambil langkah yang proaktif dalam mengemas kini kaedah penerapannya dalam semua kurikulum dan pendekatan latihan;
ii. bertukar pendapat serta pengalaman sambil menentukan strategi-strategi ke arah meningkatkan keberkesanan sistem integriti pengurusan;
iii. membentuk satu usaha secara bergandingan dengan institusi-institusi latihan atau pengajian tinggi sama ada dalam dan luar negeri dalam bidang penyelidikan yang menyentuh permasalahan nilai dan etika;
iv. menerbitkan satu jurnal atau buletin yang bersifat jaringan dalam bidang tersebut;
v. berperanan secara tidak langsung sebagai jawatankuasa integriti dalam usaha meningkatkan sakhsiah dan profesionalisme warga organisasi; dan
vi. mengambil inisiatif yang berterusan dalam mendokumentasikan kajian-kajian kes dalam bidang tersebut . Kajian kes ini hendaklah meliputi organisasi yang berjaya dan juga yang gagal, bukan sahaja pada masa kini tetapi juga pada masa lalu.

5.3 Melahirkan corak kepemimpinan dan pengurusan yang beradab dan berbudaya ilmu.
Sebagai memastikan suburnya nilai-nilai dan amalan baik dalam organisasi, pengurusan atasan dan kepemimpinan di setiap jabatan hendaklah melalui satu proses penataran ilmu abadi (perennial knowledge) secara berterusan, bukan saja diasyikkan dengan ilmu alat (recipe knowledge) seperti pengurusan. Ini bagi membolehkan sesuatu yang diputuskan dan dilaksanakan itu sejajar dengan tuntutan agama, mengambil kira kesan jangka panjang tanpa dibataskan dengan tekanan atau kehendak semasa, dan tidak terikat dengan kehendak amarah dan hawa nafsu. Para ulama Islam yang mu’tabar seperti Ibn Hazm pernah mengingatkan kita bahawa jika pengetahuan itu hanya digunakan untuk maksud kebendaan, keduniaan, mencapai kedudukan yang bersifat sementara, atau mencari nama maka kita bakal dihidapi oleh penyakit kerohanian yang teruk dan tidak terubat sehingga sampai ke peringkat boleh menghancurkan jiwa kita.
Ilmu yang sepatutnya diperdalami sepanjang masa oleh barisan kepimpinan di organisasi awam, selain daripada pengetahuan mengenai pengurusan, adalah ilmu yang meliputi hakikat ketuhanan, hakikat manusia, hakikat akhirat, hakikat kematian, sejarah bangsa dan tamaddun dunia, falsafah pemikiran, dan kesusasteraan. Ilmu yang sebegini tidak akan menjadikan kita “miskin “ dari segi skop pemikiran.
Penataran dan pengayaan pada aspek ilmu ini bolehlah dilakukan secara diskusi, pembahasan, usrah, muzakarah dan pewacanaan yang dilakukan secara tidak formal melalui interaksi secara aktif dengan para ilmuan dan pemikir ulung.
Selain itu, kita perlu memikirkan untuk menampilkan satu aturan adab dan akhlak kepemimpinan pengurusan atasan yang antaranya meliputi perkara-perkara berikut:

i. Berusaha menjadikan sesuatu organisasi itu seolah-olah sebuah rumah tangga berteraskan semangat kekeluargaan, musyawarah, muwafakah, dan saling bantu-membantu dengan jujur/ikhlas tanpa diungkit atau mengharapkan apa-apa balasan;
ii. Tidak dipengaruhi oleh sifat sombong, takabbur, suka menunjuk-nunjuk kuasa, dan berfikiran sempit;
iii. Menanam sikap cintakan ilmu dan kebenaran serta sentiasa menghormati ahli ilmu;
iv. Berpegang kepada konsep mengasuh, membimbing dan mendokong, bukannya mengarah;
v. Bertindak atas dasar ilmu, bukannya atas dasar kuasa atau marah;
vi. Menanamkan sifat sabar yang tinggi terhadap karenah staf bawahan, berkongsi masalah dan tidak mengambil tindakan sesuka hati terhadap mereka, tawadhu’, mesra dan hormat-menghormati antara setiap ahli organisasi;
vii. Banyakkan muhasabah dan lebih banyak menyalahkan diri sendiri apabila berlaku sesuatu kepincangan dalam organisasi;
viii. Menerima secara positif segala teguran walaupun dari staf bawahan;
ix. Melahirkan suasana berfikir dan bertukar-tukar pendapat secara bebas sehingga orang merasa selesa ketika membincangkan perkara yang mendatangkan kepentingan bersama;
x. Segala keputusan, cadangan, dan tindakan yang baik yang dilakukan oleh peringkat staf atau pegawai yang lebih rendah kedudukannya hendaklah didokong serta diiktiraf, bukan dibatalkan atau diketepikan begitu sahaja; dan
xi. Tidak mempunyai sikap buruk sangka terhadap staf di samping sanggup berkorban dalam mempertahankan hak dan kebajikan mereka.

5.4 Meningkatkan galakan ke arah pembacaan bermutu.
Pembacaan bahan-bahan bermutu tinggi mestilah digalakkan kepada seluruh warga organisasi awam melalui pelbagai cara. Gerakan ini boleh dimulakan dengan azam untuk menepati slogan “satu halaman satu pemkiran” atau “buku sumber pembangunan negara”. Kegemaran membaca hendaklah ditanam dengan segala daya agar kegiatan ini menjadi cinta yang mendalam lalu secara tidak langsung dapat memupuk nilai yang baik di kalangan warga organisasi awam.
Sehubungan dengan ini, beberapa cadangan di bawah bolehlah dipertimbangkan jika difikirkan wajar:
i. Perpustakaan atau pusat sumber yang dibangunkan di sesetengah jabatan hendaklah lebih membanyakkan koleksi dalam bidang pemikiran atau buku-buku yang menampilkan idea agung yang meliputi bidang sastera, sejarah, falsafah sains atau kemanusiaan, dan pemikiran bertunjangkan agama. Buku-buku seperti ini hendaklah dijadikan bahan asas kepada para pegawai sama ada untuk dianalisis atau rujukan dalam penyiapan sebarang penulisan kertas konsep bagi sesuatu projek yang hendak dilaksanakan;
ii. Buku hendaklah dijadikan perkara pokok dalam semua bentuk hadiah dan cendaramata sama ada dalam majlis atau seminar yang diadakan oleh sesuatu jabatan itu;
iii. Pengurusan atasan organisasi awam hendaklah menunjukkan teladan sebagai pembaca, penulis, dan pencinta ilmu yang serius;
iv. Setiap jabatan atau unit-unit bawahnya mestilah menghasilkan satu projek penulisan yang membahaskan ilmu dan pemikiran dalam bidang-bidang yang ditangani, bukan sekadar buku yang bersifat manual;
v. Program “bedah buku” secara mingguan perlu diadakan yang menghendaki setiap warga jabatan tersebut dari segenap lapisan jawatan diberi tugasan membahaskan buku yang dibacanya sama ada di kalangan warga unitnya (mungkin selama 15 minit pada hari Isnin) atau dalam majlis khas yang dianjurkan oleh jabatan itu, mahupun sebelum satu-satu mesyuarat di peringkat jabatan dimulakan;
vi. Sudut-sudut bacaan terbuka bolehlah di adakan di setiap jabatan kerajaan. Walau bagaimanapun, elakkan daripada meletakkan majalah hiburan dan surat khabar;
vii. Mana-mana jabatan bolehlah memikirkan untuk menubuhkan satu sudut yang memuatkan buku-buku second-hand untuk dipinjam-sewa yang secara tak langsung mendatangkan hasil tambahan kepada jabatan tersebut;
viii. Satu penerbitan khas perlulah difikirkan untuk membolehkan para staf di sesuatu jabatan bebas tetapi beradab dalam menampilkan kebolehan menulis mereka dalam apa jua aspek sama ada memberi komentar, membangkitkan isu, pojok, kesusasteraan, cerita pendek, dan cadangan;
ix. Perpustakaan yang ada di sesuatu jabatan atau unit perhubungan awamnya bolehlah menjalinkan kerjasama dengan mana-mana penerbit dan kedai buku ternama di Malaysia atau di luar Malaysia dalam melaksanakan beberapa siri kempen pembacaan dan beberapa aktiviti sampingan yang berkaitan dengannya (seperti seminar atau bengkel pembacaan) di samping memberi diskaun istimewa pembelian buku;
x. Rancangan pembangunan buku dan penghasilan ilmu pengetahuan hendaklah sentiasa diberi keutamaan yang sama dengan keutamaan yang diberikan kepada perancangan pembangunan yang lain; dan
xi. Setiap kursus di selaraskan oleh mana-mana jabatan hendaklah memasukkan satu slot khas yang berkaitan dengan pewacanaan buku.

5.5 Melaksanakan beberapa siri program pembangunan sakhsiah warga organisasi.
Demi memastikan nilai-nilai kerohanian dan akhlak berteraskan agama diajar dan diamal secara berhikmah, berani dan sederhana, beberapa usul berikut dikemukakan sebagai pertimbangan:
i. mengadakan siri Imbasan dan Iktibar yang meliputi pengisahan tentang negara yang mengalami kehancuran akibat keruntuhan nilai dan juga negara yang mengecapi keharmonian disebabkan pemerintahannya yang adil. Siri ini juga akan turut mengenang tokoh-tokoh ulung dunia dan Tanah Melayu yang menyumbang makna yang besar dalam segenap kehidupan insani seperti Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda, Imam al-Ghazali, Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan Za’ba.
ii. Komunikasi antara pihak pengurusan dengan staf bawahan melalui amalan dasar komunikasi dua hala yang terbuka perlu dipertingkatkan;
iii. Bagi membolehkan berlakunya keakraban, semangat muhibbah, dan saling faham-memahami antara satu sama lain, satu bentuk latihan yang bersifat partisipatif yang disertai oleh semua lapisan jawatan di jabatan tersebut hendaklah diadakan dari semasa ke semasa;
iv. Sebagai tanda keperihatinan, pengurusan atasan di sesuatu jabatan jika berupaya, memperuntukkan satu pertiga daripada elaun keraian mereka untuk tujuan memenuhi tabung pendidikan bagi mengurangkan beban staf sokongan yang melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi secara sambilan;
v. Staf bawahan yang terbukti kecemerlangan dari segi peribadi dan kerja hendaklah diberi insentif dihantar berkursus pendek atau attachment di luar negeri;
vi. Setiap jabatan mestilah memastikan warganya mengikuti kursus yang bercorak multi-disiplin yang menuju ke arah membentuk ketinggian peribadi dan kecermelangan dalam pekerjaan;
vii. Pengurusan atasan di sesuatu jabatan perlu menggalakkan penubuhan satu jawatankuasa khas yang diwakili dan diterajui oleh individu dari staf sokongan sebagai jurucakap dengan pihak pengurusan (dalam pertemuan yang diadakan secara berkala) terhadap sebarang masalah yang berbangkit berkaitan dengan kebajikan dan hak kumpulan sokongan. Mereka hendaklah diasuh untuk mengenengahkan sesuatu isu secara teliti dan adil tanpa dipengaruhi oleh hawa nafsu sendiri atau kepentingan kelompok yang tidak berasas;
viii. Program gotong-royong yang melibatkan semua lapisan jawatan hendaklah diadakan dengan kerap sama ada di dalam atau di luar jabatan tersebut seperti Program Bersama Penduduk Kampung (dalam hal ini, pengurusan atasan janganlah sekadar bertindak menjenguk muka sahaja);
ix. Sukan dalam erti kata riadah (bukan untuk bertanding dan menunjuk kuat) perlulah dipertingkatkan lagi mutunya, dan
x. Setiap warga di setiap jabatan tanpa mengira pangkat dan agama, hendaklah ditugaskan secara bergilir-gilir membaca renungan pagi selama lima minit selepas pembacaan doa.
5.6 Membina suasana dan persekitaran yang kondusif terhadap pembentukan nilai.
Setiap organisasi awam hendaklah sentiasa memastikan lahirnya satu citra organisasi yang menampakkan penekanan dan penyuburan terhadap aspek adab dan akhlak. Dalam hal ini, beberapa perkara yang dinyatakan di bawah perlu diberi perhatian yang wajar:
i. Dalam aspek pembangunan lahiriah di mana-mana jabatan, kita mesti pastikan supaya setiap pembangunan tersebut tidak menggambarkan pembaziran atau satu projek yang lahir tanpa perancangan yang rapi;
ii. Sesuatu program pembangunan itu mestilah tidak dibuat hanya sekadar ingin menunjukkan kehebatan jabatan tersebut atau kehebatan penerajunya;
iii. Setiap ahli organisasi awam mestilah diasuh memastikan kebersihan dan kekemasan pejabat masing-masing walaupun tanpa bantuan kakitangan pencuci luar. Pemeriksaan dan teguran dalam hal ini perlu dilakukan dengan giat oleh pengarah jabatan itu sendiri;
iv. Bilik-bilik pejabat dan sudut-sudut tertentu yang dilalui oleh ramai klien hendaklah memaparkan slogan-slogan yang menarik berkaitan dengan nilai dan etika. Pihak pengurusan bagi sesuatu jabatan pula perlulah, semasa taklimat bagi mana-mana majlis yang diadakan, mengambil kesempatan mengungkapkan semula slogan itu, dan memberi tafsiran ringkas dalam hal yang berkaitan. Slogan-slogan tersebut adalah seperti berikut:
o akal bersih, jiwa gigih, ni’mat diraih
o qalbu suci menagih ridha Illahi
o musyawarah - muwafakah membawa barakah
o ilmu luhur, jahil berkubur, adab tumbuh subur
o jernih hati, ikhlas budi asas peribadi
o telaah, tafakkur serta tadabbur , amanah tidak kan luntur
o bakti ditabur, ikhlas nan jujur, teras peribadi tersohor
o anugerah Tuhan disyukuri, keduniaan tidak dituhani, ni’mat kejayaan abadi
o Islah hati dan perbuatan, daki puncak sa’adah keredhaan Tuhan.
(Slogan-slogan ini juga boleh dijadikan tema dalam setiap majlis perhimpunan bulanan jabatan dengan sedikit pengubahsuaian)
v. Segala bentuk perjalanan pengurusan di sesuatu jabatan dan citra organisasinya mestilah menggambarkan satu manifestasi daripada nilai-nilai berikut:
o ikhlas (kebersihan rohani tertinggi yang terhindar dari sebarang kecenderungan syirik dan riya’);
o taqwa (disiplin diri tertinggi dalam pengabadian kepada Allah);
o adil (keberanian untuk menilai diri sendiri dan fenomena persekitaran organisasi secara tegas berasaskan ilmu yang benar dan kebijaksanaan);
o ihsan (kesempurnaan amal dari segi cara dan alat);
o sabar (keupayaan menerima cabaran dan dugaan dengan penuh kecekalan jiwa tanpa melakukan tindakan susulan yang bersifat semberono);
o syukur (kerendahan diri dalam mengiktiraf pemberian Allah);
o taat (keazaman dan kesungguhan dalam melaksanakan ketetapan Allah);
o pemurah (kepekaan dan keprihatinan terhadap kekurangan orang lain);
o pemaaf (keinsafan tertinggi terhadap kelemahan manusia);
o redha (penyerahan yang sempurna dan tawakkal kepada taqdir Ilahi);
o bercakap benar (keberanian tertinggi dalam menegakkan keadilan dan perkara ma’ruf di samping mencegah unsur-unsur yang menghancurkan maruah manusia); dan
o amanah (cekal dan berkorban dalam melaksanakan sesuatu kebaikan dan tanggungjawab tanpa sebarang niat untuk berkhianat).
vi. Bagi melahirkan budaya kerja yang cekap dan mapan, birokrasi dalam urusan perolehan teknologi dan peralatan pejabat atau latihan hendaklah dikurangkan, contohnya melalui tatacara pengurusan kewangan yang fleksibel; dan
vii. Setiap warga organisasi awam hendaklah digalakkan untuk berusaha menghayati konsep sihat yang menyeluruh yakni sihat jasmani, aqal, dan roh.

5.7 Mengukuhkan sistem dan tata kaedah latihan yang menyumbang ke arah penyuburan nilai.
Bagi membolehkan terhasilnya nilai-tambah terhadap pengurusan latihan di setiap institusi latihan awam, beberapa perkara di bawah dikemukakan untuk difikirkan secara mendalam oleh ahli-ahli lembaga pengurusan jabatan yang berkaitan:
i. Pewacanaan ilmu secara aktif melalui kuliah, ceramah, tutoran, seminar, persidangan, forum, diskusi, atau penulisan, dan konsep “pembelajaran semula” patut dijadikan satu perkara yang dibiasakan atas para peneraju latihan;
ii. Para jurulatih di mana-mana institusi latihan awam juga hendaklah ditanam dengan budaya membaca yang meluas di luar bidangnya seperti buku-buku pemikiran di samping membuat peninjauan ilmu secara kritis. Ini bagi membolehkan mereka berfungsi dengan sebaik-baiknya sebagai pengasuh aqal dan jiwa kepada para peserta kursus;
iii. Berkaitan dengan kaedah latihan, mereka mestilah berupaya menampilkan satu kaedah pengajaran yang menggabungkan kaedah empiric (kaedah kemusykilan) dan penghayatan ilmu wahyu di samping membentangkan aliran pemikiran yang pelbagai dalam subjek yang dibincangkan;
iv. Para jurulatih juga mestilah mempunyai komitmen yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyuburkan ilmu dan nilai keagamaan melalui setiap latihan yang dilaksanakan;
v. Setiap kurikulum yang dibangunkan mestilah bersifat pembangunan diri (development of manhood) dan pembaikan/pembangunan daya kerja (remedial/development of human potentiality);
vi. Para peserta kursus pula hendaklah sentiasa diasuh untuk berdialog dan sering didedahkan teknik latihan yang menekankan analisis senario yang memberi manfaat kelak kepada mereka dalam mendiagnos dan menghuraikan segala permasalahan yang berkaitan jika ianya timbul dalam organisasi masing-masing;
vii. Memastikan bahawa seluruh kegiatan kokurikulum dalam mana-mana kursus yang diadakan memberi sumbangan membina ke arah pembinaan adab dan akhlak. Oleh itu, sebarang kegiatan yang berbentuk hiburan yang membuang masa hendaklah dielakkan;
viii. Suasana keiltizaman peserta hendaklah dihidupkan dengan cara yang sihat tanpa timbulnya rasa terhina atau rasa megah di kalangan mereka. Oleh itu, penilaian terhadap peserta kursus hendaklah dilakukan dalam bentuk yang meyakinkan misalnya melalui perbahasan, kajian lapangan, projek kumpulan, penulisan dan latihan berfikir; dan
ix. Dalam perkaitan perkara di atas, modul latihan di setiap institusi latihan awam mestilah berasaskan konsep penyertaan menyeluruh di samping mengelakkan aspek persaingan tidak sihat. Oleh itu, hakikat diri dan maruah manusia, peranannya terhadap makhluk di sekitarnya, dan hakikat Penciptanya hendaklah dijadikan mesej asas setiap program latihan supaya para peserta kursus mendapat manfaat yang sebenar dan enlightened terhadap perkara yang diajarkan

Kesimpulan dan Rumusan
6.1 Kita semua patut ingat bahawa penyuburan dan pemantapan nilai, jika dilakukan tanpa kesedaran agama yang tinggi (semata-mata kerana ia merupakan tuntutan Ilahi), atau dilaksanakan sekadar untuk memenuhi laporan dan diperhebah-hebahkan, nescaya tidak akan mencapai matlamat sebenar.

6.2 Apa yang penting dalam hal ini ialah bukan organisasi per se, tetapi manusia yang menganggotainya. Oleh itu, tumpuan utama dalam aspek pemantapan nilai dan etika ini bukan semata-mata menjadikan seseorang ahli organisasi atau peserta kursus itu baik sebagai seorang pekerja tetapi baik sebagai seorang manusia yang sebenarnya yang sentiasa sedar tentang kehadiran Tuhan di sepanjang perjalanan hidupnya.

6.3 Cadangan-cadangan yang dikemukakan di atas janganlah kiranya dianggap sebagai rethoric semata-mata, tetapi diharapkan setiap cadangan tersebut dapat dihalusi dan dinilai manfaatnya.

6.4 Segala cadangan di atas dikemukakan atas kesedaran untuk melihat lahirnya semangat setiakawan di kalangan warga organisasi awam berlandaskan sifat amanah, pengorbanan serta pembelaan tanpa mengira kedudukan, warna kulit, dan agama. Pengorbanan yang sebegini patut diiktiraf walaupun pengiktirafan itu tidak dipinta.

6.5 Segala cadangan ini hendaklah dilaksanakan mengikut tertib dan keutamaan dari segi memenuhi hak atas agama, aqal, diri, keturunan (maslahah kepada generasi akan datang), dan ekonomi. Oleh itu, segala tuntutan untuk semata-mata memenuhi kepentingan peribadi yang berteraskan nafsu, memenuhi kepentingan kelompok kecil yang berkuasa, dan penampakan imej luaran sahaja, hendaklah dielakkan sebagai intipati niat dalam perencanaan cadangan ini.

6.6 Apa yang diketengahkan ini bukanlah khayalan kosong tetapi ia merupakan idea yang telahpun dilaksanakan dan diamalkan di peringkat diri peribadi dan institusi Islam yang terdahulu. Mungkin kita terperangkap dengan konsep ideal Barat yang menganggap sesuatu yang pernah berlaku pada zaman kegemilangan Islam sebenarnya tidak lagi releven dan hanya peninggalan sejarah untuk semata-mata ditatapi.

6.7 Sebagai mengakhiri kertas cadangan ini, saya menyeru diri saya sendiri dan semua peringkat pengurusan organisasi awam untuk merenung dengan sepenuh hati-budi akan syair berikut yang dinukilkan oleh seorang ulama Islam tersohor, Sheikh Abdul Samad al-Falembani (rahimullahu ‘anhu) dalam kitab terjemahannya Hidayat al-Salikin yang berbunyi sedemikian:

Seseorang, manakala hati dia,
dengan angan-angannya tertipu dia;
Dan bergaduh-gundah dengan loba akan,
kaya dunia yang bukannya tempat kaya;
Dan terkelam-kabut dengan asap jahil,
serta ‘ujub, sum’ah, takabbur, dan riya’;
Mempersidir ia akan ‘amal ‘ibadat,
Dan meng’asi melekas akan dia;
Lupa ia hari haru-hara mati,
padanya yang tidak ia bersedia.

No comments: