3.9 PENELITIAN SECARA
UMUM: PROSES KAUNSELING YANG DIGUNAKAN DALAM MENGURUSKAN KONFLIK RUMAHTANGGA
3.9.1 Kajian Kes
Ahmad berumur 33 tahun,
seorang pengarah yang telah berkahwin dengan isterinya, Siti berumur 28 tahun,
seorang pengurus dalam jenis pekerjaan yang sama dengan suaminya tetapi berbeza
syarikat. Selama 2 tahun mereka berkahwin, mereka tidak mengalami masalah dalam
perkahwinan kerana mereka mempunyai komitmen yang kuat terhadap kerjaya dan
saling memberi sokongan kepada pasangan untuk berjaya. Dengan taraf ekonomi
yang kukuh, mereka tidak mengalami krisis kewangan.
Dalam pada kebahagiaan yang dikecapi, Siti telah mendapati bahawa dirinya
mengandung. Berita itu membuatkan dirinya teramat gembira dan tidak sabar untuk
menantikan saat paling membahagiakan iaitu kelahiran anak sulung mereka.
Perasaan gembira itu bercampur aduk dengan kebimbangan jika dirinya tidak dapat
menumpukan sepenuh perhatian kepada anak yang bakal lahir nanti. Justeru, tanpa
kebenaran daripada Ahmad maka Siti telah membuat keputusan untuk berhenti
kerja. Selain itu, tanpa disedarinya, Siti mengalami maslah kedinginan seks
sejak mendapat berita yang dirinya mengandung. Situasi ini pada dasarnya telah
mengundang konflik dalam rumahtangga mereka.
Keputusan Siti untuk
berhenti kerja tanpa kebenaran Ahmad menyebabkan Ahmad naik darah. Ahmad mula
merasa bimbang tentang kedudukan ekonomi keluarganya dan berasa tidak selesa
dengan masalah kedinginan seks isterinya serta tidak bersetuju kehadiran anak
baru yang menyekat hubungan sosial mereka serta membebankan mereka lagi.
Ketidakpuasan oleh Ahmad
tidak disampaikan dengan saluran yang betul kepada Siti. Malah dia membuat
keputusan memikulnya dengan bekerja keras lagi dalam pekerjaannya, selalu
keluar malam dan balik pada lewat malam. Tingkah lakunya tidak difahami oleh
Siti dan Siti berasa sedih serta marah. Namun begitu, Ahmad tidak
menghiraukannya dan keluar ketika isterinya mula ingin bertelingkah dengannya.
Perang dingin ini
berlanjutan selama tiga bulan. Kebimbangan Siti terhadap tingkah laku suaminya
telah menyebabkannya berprasangka bahawa Ahmad mempunyai wanita lain di luar.
Keadaan ini bertambah teruk apabila Siti mulai bimbang seandainya suaminya akan
menceraikannya dan selalu berada dalam keadaan takut, cemas, prasangka dan
sedih. Siti telah berusaha mendapatkan maklumat tentang tingkah laku suaminya
di luar dan cuba menyiasat suaminya serta memeriksa dengan rapi terhadap
pakaian, telefon bimbit dan beg duit suaminya.
Tingkah laku Siti telah
membangkitkan lagi perasaan marah Ahmad sehinggakan mereka sentiasa bergaduh dan
bertengkar. Keadaan tegang ini telah menyebabkan keadaan rumahtangga mereka
porak peranda dan tiada keharmonian lagi. Kali ini Ahmad tidak tahan lagi
bersabar, dan terus mengkritik, mengutk dan mengganggu keadaan mental Siti yang
sedang mengandungkan anak sulung mereka. Keadaan itu akhirnya diambil oleh Siti
untuk berbalas dendam dengan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri.
Akhirnya atas dasar
masih sayang menyayangi antara satu sama lain dan masih ingin mengekalkan
hubungan sebagai suami isteri maka mereka membuat keputusan untuk berjumpa
kaunselor bagi penyelesaian yang terbaik demi memulihkan perhubungan
mereka.
3.9.2 Pendekatan
Kaunseling (Individu dan Keluarga)
3.9.2.1 Pendekatan
Kaunseling Individu
Terlebih dahulu,
kaunseling individu diperkenalkan kepada kedua-dua suami isteri untuk meluahkan
segala isi hati supaya kaunselor dapat mengumpul maklumat dengan lebih
terperinci daripada kedua-dua pihak yang berkonflik. Tujuannya adalah bagi
membolehkan kaunselor bersifat adil dan saksama terhadap klien dan bukan hanya
mendengar perasaan dan pengalaman sebelah pihak sahaja. Langkah-langkah yang
digunakan dalam sesi kaunseling ialah (menggunakan pernyataan Siti sebagai
contoh):
Langkah 1: Membina
Hubungan
Dalam sesi pertama,
kaunselor akan menggunakan kemahiran melayan sama ada secara lisan atau bukan
lisan bagi membina hubungan saling mempercayai antara klien dan juga kaunselor.
Kemahiran melayan ini bertujuan meyakinkan klien untuk meluahkan perasaan
hatinya tanpa menyembunyikan sesuatu. Dalam proses ini kaunselor juga akan
membuat penstrukturan. Penstrukturan merupakan langkah pertama dalam proses
kaunseling. Ia juga ditakrifkan sebagai satu bentuk penjelasan mengenai proses
kaunseling. Penstrukturan akan membincangkan empat aspek utama iaitu
memberitahu klien tentang tujuan, tanggungjawab, pemfokusan dan limitasi
kaunseling. Antaranya meliputi tiga unsur masa, tingkah laku yang dikehendaki
tahu peranan klien dalam proses kaunseling, peranan kaunselor, kekerapan sesi/
limitasi dan menjaga etika kerahsiaan yang dicurahkan.
Langkah 2: Penerokaan
Masalah
Pada peringkat permulaan
kaunseling, langkah ini bertujuan untuk mengenal pasti masalah sebenar klien
dan memahami diri klien. Kamahiran-kemahiran seperti mendengar dengan aktif,
empati, respon lisan, meminta penjelasan dan menggalakkan klien meneruskan
cerita amat diperlukan. Dalam peringkat ini, kaunselor akan menggunakan
teknik-teknik untuk meneroka maslah klien. Antaranya:
1. Teknik membuat
parafrasa
Teknik ini digunakan
oleh kaunselor dengan menyatakan semula pernyataan klien menggunakan ayat yang
lebih ringkas tanpa menambah apa-apa idea. Sebagai contoh,
Klien: “ Setiap malam,
saya tunggu dia di rumah selepas saya balik dari tempat kerja, tetapi apa yang
saya dapat hanyalah seperti menunggu bilik kosong, katil kosong, semuanya
kosong…”
Kaunselor: “ Anda tidak
dapat tunggu dia.”
2. Teknik membias
Teknik ini seolah-olah
hampir sama dengan parafrasa, tetapi membias lebih memfokus kepada konotasi
perasaan atau emosi yang dibawa dalam sesuatu mesej yang disampaikan oleh
klien. Teknik ini digunakan untuk memahami pengalaman klien seolah-olah dari
sudut pandangan klien, menggalakkan klien meluahkan perasaan mereka dan
menyedarkan klien tentang sesuatu perasaan yang dialaminya. Antara contohnya,
Klien: “ Saya dan dia
selalu bertengkar, bergaduh tak habis-habis. Saya tak tahu apa nak buat
lagi…saya macam putus asa… saya tak tau macam mana nak buat dengan hubungan
saya…” Kaunselor: “ Anda sangat kecewa dengan pertengkaran yang tak
mendatangkan sebarang hasil dan tidak tahu pula macam mana nak memperbaiki
keadaan…”
3. Teknik merumus
Teknik ini pula
digunakan untuk menonjolkan perkara-perkara yang penting atau tema-tema yang
dibawa oleh klien semasa proses kaunseling.ia juga bertujuan untuk memudahkan usaha
memfokus permasalahan supaya kaunselor boleh memberi bantuan tanpa mencari-cari
apa masalah utama yang ingin diselesaikan klien. Contohnya,
Kaunselor: “ Dalam sesi
ini, kita telah berbincang tentang suami anda dan perbalahan yang berlaku
antara anda dengannya. Anda mengatakan anda merasa kecewa dan juga marah.
Hubungan anda dengan suami anda tidak baik..Kita juga telah membincangkan
tingkah laku atau tindakan yang telah anda jalankan terhadap suami anda.”
Selain daripada
teknk-teknik tersebut, masih terdapat pelbagai teknik yang sering digunakan
oleh kaunselr dalam usaha membuat penerokaan. Malahan teknik-teknik itu juga
akan senantiasa digunakan oleh kausnelor sepanjang proses kaunseling
berlangsung. Antara teknik yang digunakan ialah seperti menyoal (soalan
terbuka), interpretasi isi dan perasaan, melayan secara lisan dan bukan
lisan,memberikan dorongan minimum, berempati dan sebagainya.
Langkah 3: Pencapaian
matlamat
Pada peringkat
penerokaan masalah, klien dibantu untuk memahami masalahnya dengan lebih jelas
berdasarkan perspektif klien itu sendiri. Perspektif klien ini mungkin tidak
cukup luas tetapi ia merupakan tahap permulaan untuk mengendalikan masalah itu
nanti. Apa yang mustahak di sini ialah kebijaksanaan kaunselor dalam membantu
klien mendapatkan ‘celik akal’ (pemahaman kendiri yang rasional) dan berfikiran
positif.
Pada peringkat ini,
terdapat 3 perkara yang harus dilakukan oleh kaunselor iaitu membantu klien
menyusun semula semua data atau maklumat yang diperolehi pada peringkat penerokaan
masalah supaya klien dapat melihatnya dari perspektif yang lebih luas; membantu
klien untuk melihat masalah itu secara lebih objektif yang membolehkan klien
menentukan matlamat yang sewajarnya iaitu cara mengendalikan masalah dan juga
membantu klien menentukan matlamat berdasarkan pemahaman klien tentang
masalahnya. Matlamat hendaklah realistik dan wajar serta boleh dilaksanakan.
Keputusan tentang matlamat yang diambil mestilah berdasarkan nilai klien bukan
nilai kaunselor. Cotohnya,
Klien: “ Setiap hari
selepas makan, saya akan berbincang dengan suami saya tentang masalah yang kami
hadapi pada hari itu.”
Langkah 4: Pemilihan
strategi
Terdapat beberapa
strategi yang boleh diaplikasikan oleh kaunselor dalam perihal membantu klien
yang berkonflik. Strategi yang dimaksudkan di sini adalah daripada pelbagai
teori kaunseling yang telah diterima pakai oleh semua pakar dalam bidang
kaunseling dan psikologi. Antaranya:
1. Strategi Transferens
Dalam kes ini, strategi
yang dipilih ialah transferens, kerusi kosong dan penggunaan ganti nama diri.
Dalam strategi transferens yang berdasarkan Teori Keluarga Psikoanalitik, klien
akan memindahkan perasaan dan pengalaman yang dirasainya dahulu kepada
kaunselor yang bersikap neutral, objektif dan pasif.
Konsep ini meletakkan
klien dalam satu keadaan minda bahawa kaunselor sebenarnya adalah ibu bapa atau
orang yang signifikan dalam hidupnya yang lampau. Dalam proses ini, seorang
klien itu akan menghidupkan semula tanpa disedari tingkah laku patogeniknya
kepada kaunselor. Kaunselor cuba memahami curahan isi hati dan pengalaman ini
kemudiannya mentafsirkan kepada klien dan ahli keluarganya supaya benar-benar
memahami sebab-sebab mengapa ia sering bertindak secara tidak rasional. Melalui
kefahaman dan celik akal sebegini bolehlah ia berkembang dengan sewajarnya dari
segi intelektual dan emosi.
Sebagai contohnya, Siti
akan memindahkan perasaan dan pengalamannya semasa tempoh kedinginan
hubungannya dengan suami kepada kaunelor supaya kaunselor dapat membantunya
memahami dan mentafsir. Kaunselor di sini akan membantu klien untuk memahami
perasaannya di ketika itu dan bekerjasama dengan kaunselor dalam
pentafsirannya.
2. Strategi Kerusi
Kosong
Strategi kerusi kosong
yang dikemukakan oleh Teori Gestalt, membenarkan klien berpeluang berlagak
terkeluar daripada apa yang sepatutnya dan dia bersikap atau bercakap terhadap
orang lain yang digambarkan sebagai orang sedang duduk pada kerusi yang kosong.
Peranan yang dimainkan ini akan membantu klien berhubung dengan bahagian
dirinya sendiri yang mana mereka sendiri tidak sedar ataupun mungkin sengaja
menafikannya. Memainkan peranan ini juga membolehkan klien meraptaikan dirinya
dalam satu bentuk peranan baru yang akan dicubanya di luar kaunseling nanti.
Raptai ini akan menguatkan lagi keyakinan dan kepercayaan klien bahawa tingkah
lakunya yang baru itu nanti memang boleh dijalankan.
Contohnya, Siti
berpeluang meluahkan apa sahaja yang dia ingin sampaikan kepada suaminya dalam
masa inilah dia akan dibantu untuk mengetahui bahagian yang tidak sedar diri
atau dinafikan. Antaranya, dia marah terhadap suaminya yang tidak menimbangkan
perasaannya ketika suaminya balik lewat, dalam keadaan tidak sedar dia amat
cinta kepada suaminya sehingga ingin suaminya meluangkan lebih masa kepadanya.
3. Strategi Penggunaan
Ganti Nama Diri
Kaunselor juga
menggunakan strategi penggunaan ganti nama diri dalam Teori Gestalt kepada
klien, Siti. Ini kerana Siti selalu menggunakan kata dia dalam sepanjang sesi
kaunseling. Penukaran ganti nama dari ‘dia’ kepada ‘saya’ amat diperlukan untuk
membantu klien memiliki tingkah laku diri dan lebih bercakap mengenai diri dan
bukannya orang lain.
3.9.2.2 Pendekatan
Kaunseling Keluarga
Setelah kaunseling
individu, dapatlah kedua-dua pasangan memahami perasaan dan pengalaman yang
telah mereka hadapi selama ini. Mereka juga sedar akan bahagian-bahagian diri
sendiri yang tidak sedar atau sengaja dinafikan serta lebih memberi tumpuan
kepada tingkah laku atau perkara mengenai diri sendiri.
Menurut pandangan Sistem
Berorinetasi Interpersonal yang dikemukakan oleh Goldenberg (1986), kaunseling
akan lebih berkesan jika diberi fokus yang tinggi iaitu melibatkan kedua-dua
pasangan. Kognisi mengetahui adalah keperluan bagi langkah pertama untuk
mengurs semula sistem hubungan yang salah. Oleh itu, kaunselor dengan penuh
hikmahnya mempersilakan mereka (Siti dan Ahmad) menyertai kaunseling keluarga
untuk menyelesaikan masalah atau konflik rumahtangga mereka.
1. Teori Kaunseling
Keluarga Bowen
Dalam Kaunseling
Keluarga, beberapa teori digunakan untuk membantu keluarga Ahmad dan Siti dalam
menyelesaikan masalah keluarga mereka. Teori Kaunseling Keluarga Bowen adalah
salah satu teori yang digunakan, teknik rawatan yang digunkan ialah Pulang ke
rumah semula atau ‘going home’, ‘Detriangulation’, Perhubungan individu ke
individu atau ‘person to person relationship’ dan menanya soalan.
Dalam teknik rawatan
pulang ke rumah semula, kedua-dua pasangan dikehendaki pulang ke rumah semula
untuk mengenali keluarga dengan lebih rapat. Teknik ini memudahkan Siti dan
Ahmad untuk membuat proses pembezaan dan memiliki kendiri yang stabil. Sebelum
mereka pulang ke rumah, mereka telah diajar untuk banyak bertenang dan bersabar
menghadapi apa jua kemungkinan yang akan berlaku. Ini bermakna Siti dan Ahmad akan
kenal-mengenali semula antara satu sama lain dengan lebih rapat, di mana
pertengkaran dan pergaduhan mereka akan diberhentikan atau ditukarkan dengan
kesabaran dan ketenangan yang lebih.
Bagi ‘Detriangulation’
pula, melibatkan Siti dan Ahmad untuk mempunyai kontrak dan berpisah secara
emosi dari kalangan ahli keluarga. Ia beroperasi pada dua tahap. Pertama Siti
atau Ahmad akan menyelesaikan kebimbangannya mengenai keluarganya dan tidak
membuat projeksi. Kedua, membantu Siti atau Ahmad untuk tidak memberi fokus
kepada diri sendiri apabila masalah muncul dalam keluarga. Dalam hal ini, tiada
siapa yang akan dilempar-salahkan.
Perhubungan individu ke
individu, teknik ini melibatkan kedua-dua pasangan yang bercakap antara satu
sama lain mengenai diri mereka sendiri. Mereka tidak akan bercakap tentang
orang lain dan mereka tidak akan menjadi terlampau personal. Dalam keadaan ini,
Siti dan Ahmad boleh menrangkan sebab-sebab atau kenapa dia bertingkah laku
demikian, apakah perasaan dia, apa yang dia harap daripada pasangan dan
lain-lain.
Selain itu, mereka juga
boleh menanyakan soalan yang berkaitan dengan masalah akan membolehkan pasangan
meluahkan perasaan untuk sama-sama difahami oleh pihak yang lain. Contoh soalan
isteri tanya kepada suaminya, kenapa kamu selalu keluar malam tanpa memikirkan
perasaan saya? Kenapa kamu tidak sayang saya seperti dahulu? Dengan
soalan-soalan inilah dapat isteri faham jawapan kepada soalan-soalan yang tidak
ada jawapan selama ini.
2. Teori Kaunseling
Keluarga Eksperiensial
Dalam Teori Kaunseling
Keluarga Eksperiensial pula, teknik-teknik yang digunakan ialah modeling dan
mengajar kemahiran komunikasi yang jelas, kenyataan ‘saya’, menuduh atau
‘blamer’ dan pengelak atau ‘placater’.
Bagi modeling dan
mengajar kemahiran komunikasi yang jelas, dalam hal ini,beberapa teknik telah
disenaraikan. Ahli keluarga seperti Siti dan Ahmad dibawa melalui mana-mana
teknik berikut dalam keadaan yang lebih ‘exaggerated’ agar mereka akan sedar
apa yang sedang berlaku dan apakah maklumat yang telah mereka sampaikan. Dengan
ini, mereka boleh mengubah atau memilih cara komunikasi yang lebih berkesan
daripada apa yang mereka amalkan selama ini.
Kenyataan ‘saya’,
melibatkan luahan dalam bentuk yang lebih peribadi dan lebih bertanggungjawab.
Ia boleh meninggalkan keselarasan dalam proses komunikasi. Ia akan menjadi
lebih berterus-terang, tulen dan kenyataan yang sebenar dalam konteks yang
lebih sesuai. Ia adalah serupa dengan penggunaan ganti nama diri dalam Teori
Gestalt.
Menuduh adalah keadaan
di mana seseorang yang suka menuduh akan mengalihkan fokus daripada dirinya
kepada orang lain atau melepaskan dirinya daripada tanggungjawab. Manakala,
pengelak akan sentiasa melakukan perkara yang tidak berkaitan dengan apa yang
sering berlaku dalam konteks. Siti dan Ahmad yang selama ini berperanan sebagai
penuduh dan pengelak akan ditunjukkan di dalam sesi kaunseling supaya mereka
sedar lalu memilih cara komunikasi yang berkesan.
3. Teori Kaunseling
Keluarga Tingkah Laku dan Tingkah Laku Kognitif
Teori Kaunseling
Keluarga Tingkah Laku dan Tingkah Laku Kognitif, telah memberi fokus kepada
Terapi Perkahwinan, Rawatan Ketidakfungsian Seksual, Latihan Keibubapaan dan
lain-lain. Sebagai pasangan suami isteri Terapi Perkahwinan telah membantu
mereka menjalankan fungsi perkahwinan dengan lebih baik. Terdapat 4 komponen
iaitu,
1.
analisis tingkah laku
mengenai tekanan yang dihadapi oleh pasangan berdasarkan temuduga, laporan
soal-selidik dan pemerhatian tingkah laku.
2.
Mewujudkan rasa positif
yang bertimbal-balik melalui teknik ‘caring days’ dan kontrak
3.
Latihan kemahiran
komunikasi, berlatih menggunakan kenyataan ‘saya’, fokus kepada masalah kini
dan berlatih memberi maklum balas yang positif kepada pasangan
4.
Latihan menyelesaikan
masalah, melengkapkan pasangan dengan kemahiran menyelesaikan masalah yang
lebih khusus terhadap apa yang mereka perlukan, berunding dan membuat kontrak.
Rawatan Ketidakfungsian
Seksual, secara umumnya banyak memperlihatkan rawatan terhadap mengurangkan
aras kebimbangan dalam perlakuan seksual, pendidikan seks termasuk penggunaan
teknik-teknik seksual, latihan kemahiran dalam komunikasi dan kaedah mengubah
sikap dan perlakuan seksual.
Ringkasnya, kaunselor
bukan sahaja memberi rawatan ke atas pengalaman lampau tetapi tumpuan juga diberikan
kepada masalah kini dan akan datang, supaya dapat mencegah pengulangan tingkah
laku yang akan berlakunya konflik atau masalah di kalangan ahli keluarga.
Contohnya, Teori Kaunseling Keluarga Bowen telah membantu klien dalam masa
lampau manakala Teori Kaunseling Keluarga Tingkah Laku dan Tingkah Laku
Kognitif adalah membantunya dalam masalah kini atau akan datang. Di samping
itu, Teori Kaunseling Keluarga Eksperiensial digunakan untuk mengatasi masa
lampau dan kini.
3.10 KESIMPULAN
Secara umumnya dapat
dilihat peranan utama kaunselor dalam konteks intervensi masalah keluarga ialah
bertujuan untuk membantu pasangan suami isteri dan keluarga yang bermasalah
bagi mencari jalan mengeratkan hubungan kasih sayang dan kemesraan di samping
mengelakkan berlakunya kes perceraian yang membawa risiko timbulnya pelbagai
masalah. Justeru itu kaunseling dilihat sebagai salah satu terapi yang dapat
mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh pasangan suami isteri yang menghadapi
masalah dalam rumahtangga.
Namun perlu diingatkan
dan difahami di sini ialah tentang keberkesanan proses kaunseling ini tidak
harus diletakkan sewenang-wenangnya di atas tanggungjawab kausnelor seorang.
Keberkesanannya adalah sesuatu yang subjektif dan ianya memerlukan kerjasama
daripada kedua-dua pihak yang terlibat dalam sesuatu proses kaunseling iaitu
kaunselor dan klien. Perkara inilah yang perlu ditekankan secara lebih rasional
kerana komitmen klien untuk menyelesaikan masalah atau konflik yang dihadapi
adalah perkara yang amat penting. Tanpa kesedaran, kefahaman dan inisiatif
klien untuk melaksanakan sebarang bentuk usaha penyelesaian maka sudah pastinya
proses kaunseling tidak akan memberi sebarang makna. Maka dengan ini wujud
peranan kaunselor dalam membantu klien mendapatkan kefahaman tentang diri dan
situasi yang dialami.
Secara ringkasnya,
kerjasama di antara kaunselor dan klien merupakan asas keberkesanan sesuatu
sesi kaunseling dalam mencapai matlamat kaunseling tersebut. Menerusi proses
kaunseling, kaunselor akan menggunakan kemahiran memerhati yang lebih
sistematik, berfikir dengan lebih mendalam dan menumpukan perhatian kepada
maklumat-maklumat yang disampaikan oleh klien. Dengan itu, kaunselor dapat
memahami klien dan sekaligus membolehkan klien memahami dirinya.
PENUTUP
4.1 PENDAHULUAN
Dalam Bab ini, perkara
yang akan diberi tumpuan ialah rumusan keseluruhan kajian, impilkasi dan
cadangan kajian. Bab V ini merupakan bab penutup yang bertujuan untuk
membincangkan keseluruhan hasil kajian dalam kajian ini dan ia dapat memberi satu
impak yang positif kepada semua pihak ke arah penambahbaikan kualiti Unit
Perundangan Keluarga Islam di Pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat Selangor
dalam menyelesaikan konflik yang dihadapi oleh pasangan suami isteri.
4.2 RUMUSAN KESELURUHAN
KAJIAN
Kajian ini merupakan
satu kajian kes yang dilaksanakan di Unit Perundangan Keluarga (UPK), Pejabat
Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat Selangor. Dalam menjalani kehidupan
berumahtangga, setiap pasangan tidak dapat lari daripada berlakunya konflik yang
boleh mengakibatkan perceraian berlaku sekiranya tidak dapat ditangani dengan
baik. Perceraian memberikan impak yang besar kepada keluarga, anak-anak,
masyarakat dan negara. Kewujudan UPK di PAID Hulu Langat adalah salah satu
tempat untuk menyelesaikan konflik yang dihadapi oleh pasangan suami isteri
melalui pendekatan kaunseling yang diamalkan ketika sesi kaunseling dijalankan.
Walaupun perkhidmatan kaunseling ini berjalan setiap masa, namun isu perceraian
tetap meningkat. Apakah peranan kaunseling di unit ini tidak berkesan dalam
menangani konflik pasangan suami isteri. Oleh itu, kajian ini lebih menjurus
kepada peranan kaunseling yang digunakan di UPK, PAID Hulu Langat dalam
menangani konflik rumahtangga.
Justeru itu, beberapa
objektif kajian telah digariskan untuk mencapai matlamat kajian ini. Objektif
kajian ini adalah untuk mengenal pasti proses kaunseling serta perlaksanaannya
di kalangan suami isteri yang bermasalah. Di samping itu, kajian ini dibuat
untuk mengenalpasti ciri-ciri latarbelakang pegawai perunding keluarga yang
berkhidmat sebagai kaunselor dan pasangan suami isteri yang bermasalah dalam
perkahwinan yang datang mendapatkan perkhidmatan kaunseling di UPK, PAID Hulu
Langat. Selain itu kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti jenis masalah yang
menjadi punca konflik rumahtangga pasangan suami isteri dan faktor-faktor yang
mempengaruhi kejayaan proses kaunseling di UPK, PAID Hulu Langat.
Daripada dapatan kajian
yang diperolehi, satu kesimpulan umum dapat dilakukan. Dapatan kajian difokuskan
kepada peranan UPK yang meliputi tugas yang dimainkan oleh pegawai perunding
keluarga atau kaunselor, prosedur dan etika menunjukkan bahawa matlamat utama
UPK di PAID Hulu Langat adalah untuk memberikan perkhidmatan kaunseling bagi
menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pasangan suami isteri yang bermasalah
dalam rumahtangga. Dalam melaksanakan tugas ini, unit tersebut telah menubuhkan
sistem pentadbiran yang teratur dan bersistematik di samping para kaunselornya
yang telah mempraktikkan pendekatan amalan kaunseling yang khusus dan teratur
bagi menangani konflik yang dihadapi oleh klien. Pendekatan amalan kaunseling
yang digunakan adalah mengikut kepada keperluan dan matlamat klien dalam
keluarga. Setiap klien yang datang mendapatkan perkhidmatan kaunseling keluarga
di PAID Hulu Langat, kaunselor akan mendekati mereka dengan menggunakan
kemahiran kaunseling seperti kemahiran menghadapai klien, kemahiran asas
mendorong, kemahiran mendengar, kemahiran mengenalpasti masalah, kemahiran
memberi nasihat dan kemahiran membuat rumusan.
Selain itu, dapatan
kajian menunjukkan punca yang sering dihadapi oleh pasangan yang berumahtangga
hingga boleh menyebabkan berlakunya konflik dapat dibahagikan kepada empat
bahagian iaitu ekonomi, peribadi (emosi dan fizikal), seks dan sosial. Dari
sudut ekonomi, masalah kewangan sering menjadi punca utama konflik rumahtangga
seperti suami yang sengaja cuai memberi nafkah yang mencukupi, sikap isteri
yang sentiasa meminta sesuatu yang sememangnya tidak dapat diadakan oleh suami,
sikap isteri yang memeras harta suami dan jika kedua-dua suami isteri bekerja,
terdapat pula sikap berkira di anatara keduanya di dalam menguruskan ekonomi
rumahtangga. Dari segi peribadi pula iaitu emosi dan fizikal, masalah yang
sering timbul berpunca dari sikap fizikal dan emosi seseorang suami atau isteri
seperti masalah kesihatan fizikal suami isteri. Dari sudut seksual pula
lazimnya masalah ini terjadi kerana ketidakseimbangan dalam aktiviti seksual
sama ada suami atau isteri mempunyai keinginan seksual yang terlalu kuat atau
sebaliknya. Manakala dari segi aspek sosial yang seringkali mencetuskan konflik
dalam rumahtangga merangkumi hubungan sosial di kalangan ahli keluarga dan
hubungan sosial dengan orang lain.
Secara umumnya, walaupun
UPK menggunakan kemahiran kaunseling dalam perkhidmatan kaunseling keluarga di
PAID Hulu Langat, namun kajian ini mendapati kaunseling keluarga yang
dipraktikkan oleh kaunselor kepada klien tidak menggunakan sebarang teori
khusus dalam kaunseling keluarga. Pendekatan amalan kaunseling yang digunakan
oleh kaunselor di PAID Hulu Langat lebih merujuk kepada kebijaksanaan kaunselor
itu sendiri dengan menggunakan pengetahuan dan maklumat berkaitan hukum hakam
dalam perkahwinan tetapi dalam masa yang sama kaunselor juga turut menggunakan
kaedah-kaedah kaunseling secara tidak langsung bagi menangani konflik
rumahtangga.
Ringkasnya dapat
dinyatakan disini kaunseling sebagai satu profesion amat diperlukan sebagai
langkah ke arah penyelesaian masalah masa kini. Dalam konteks perkhidmatan
kaunseling, kaunselor adalah orang yang bertanggungjawab membimbing klien yang
bermasalah. Di mana dalam proses tersebut kaunselor cuba membantu klien untuk
membuat penyesuaian peribadi, sosial dan emosi agar ia dapat berfungsi dengan
lebih dinamik dan seterusnya mampu membuat persepsi masa hadapan sendiri secara
yang lebih tepat selaras dengan amalan tradisi yang berteraskan agamanya.
Kesedaran tentang peri
pentingnya perkhidmatan kaunseling bukan sahaja dirasakan di peringkat
individu. Bahkan ia telah berkembang di kalangan masyarakat termasuk suami
isteri.
Namun begitu, jangkaan
dan harapan suami isteri terhadap perkhidmatan kaunseling lebih banyak
bergantung kepada sejauhmana kefahaman mereka terhadap pengertian perkhidmatan
itu sendiri. Terutama dari aspek peranan kaunselor, penglibatan klien,
pendekatan yang digunakan dan teknik serta proses kaunseling tersebut.
Begitu juga dengan
kes-kes yang dirujukkan ke unit kaunseling kebanyakannya melibatkan pasangan
suami isteri yang bermasalah dan kes-kes yang dihadapi agak serius, sudah tentu
ia memerlukan pendekatan yang bukan hanya dapat menyelesaikan masalah mereka
tetapi apa yang penting lagi ialah pendekatan tersebut dapat menyedarkan sifat
naluri yang ada pada individu ini.
4.3 IMPLIKASI KAJIAN
Sepanjang menjalankan
kajian ini, penyelidik dapat mengenalpasti beberapa implikasi terhadap peranan
kaunseling di UPK dalam menangani konflik pasangan bermasalah dalam
rumahtangga. PAID Hulu Langat, sebuah institusi agama yang menjalankan
perkhidmatan kaunseling kepada klien atau pasangan bermasalah telah memberi
sumbangan kepada masyarakat ke arah membentuk dan melahirkan masyarakat yang
sejahtera di semua peringkat sama ada individu, keluarga, masyarakat mahupun
negara. Implikasi kajian yang dapat dikemukakan dalam kajian ini ialah:
4.3.1
Melalui perkhidmatan
kaunseling yang dijalankan, secara khususnya ia memberi kesan kepada perubahan
yang positif dalam kehidupan dalam semua aspek sama ada emosi, cara berfikir,
tingkah laku dan hubungan dengan masyarakat lain.
4.3.2
Melalui perubahan yang
dilakukan, setiap pasangan yang mengalami masalah akan berusaha menyelesaikan
konflik yang berlaku dalam rumahtangga. Mereka juga akan mengelakkan konflik
yang tercetus membawa kepada keadaan yang serius sehingga menyebabkan berlaku
perceraian. Ini kerana perceraian itu adalah perkara halal yang dibenci dalam
Islam.
4.3.3
Kesan dari pelaksanaan
kaunseling yang sistematik dan personaliti kaunselor yang baik, penerimaan
klien terhadap perkhidmatan tersebut diterima dengan baik. Secara tidak
langsung, ia mempengaruhi klien atau pasangan untuk berfikir secara positif
dalam menentukan alternatif terhadap masalahnya agar dapat diselesaikan secara
baik.
4.3.4
Prosedur yang sistematik
dalam pelaksanaan kaunseling penting bagi memastikan sesuatu kes yang diberikan
bantuan mencapai matlamat dan dapat diselesaikan dengan baik. Teknik dan
pendekatan Islam dalam sesi kaunseling adalah penting kerana kaunseling yang
dijalankan dengan cara yang dikehendaki oleh Islam akan mempengaruhi klien
membuat keputusan. Tetapi tidak dinafikan bahawa pendekatan Barat juga boleh
digunapakai sekiranya ia tidak bertentangan dengan syarak.
4.3.5
Masalah dalam
rumahtangga seringkali berpunca dari pasangan suami isteri. Oleh itu,
perkhidmatan kaunseling adalah jalan bagi membantu pasangan menangani masalah
dan mencari jalan bagi mengelakkan maslah berterusan. Ia secara tidak langsung
membawa pasangan berfikir dan menjalankan tanggungjawab dengan baik serta
membina hidup yang bahagia.
4.4 CADANGAN
Banyak usaha daripada
pelbagai aspek boleh dilakukan bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan
kekeluargaan di UPK. Tujuannya supaya kewujudan institusi ini mendapat
pengiktirafan masyarakat sebagai salah satu alternatif di dalam mencari jalan
perdamaian terhadap konflik rumahtangga yang dihadapi dan mengelakkan daripada
terus berlaku penganiayaan di dalam rumahtangga terutamanya terhadap wanita.
Kerjasama dan sokongan perlu diberikan oleh semua pihak bagi mencapai matlamat
tersebut. Ia juga bagi mengelakkan pelbagai isu dan kritikan terhadap kaunselor
seperti kurang professional, tiada kewibawaan, usia dan pengalaman yang kurang,
kelewatan kes dan sebagainya daripada terus dilemparkan.
Antara cadangan yang
dikemukakan agar dapat memberi impak kepada pelbagai pihak ialah:
1.4.1
Pejabat Agama Islam
Daerah Hulu Langat seharusnya membuat pulisiti tentang kewujudan dan fungsi
Unit Perunding Keluarga (UPK) sebagai unit yang boleh membantu menyelesaikan
permasalahan dalam rumahtangga. Ini kerana, masih terdapat pasangan yang tidak
tahu tentang kewujudan dan fungsi UPK yang memberikan perkhidmatan kaunseling
dan khidmat nasihat sekiranya berlaku konflik dalam rumahtangga.
1.4.2
Salah satu cara
mengembalikan keadaan rumahtangga yang mengalami konflik ialah dengan
mengadakan banyak program keagamaan, kekeluargaan dan konflik dalam rumahtangga
kepada pasangan yang sudah berumahtangga. Aktiviti tersebut ialah seperti
ceramah, seminar atau forum sebagai langkah dan panduan kepada mereka yang
sudah berkahwin tentang kepentingan membina dan menghidupkan keluarga bahagia
dan harmoni.
1.4.3
Pihak PAID Hulu Langat
juga boleh menyediakan teks-teks khutbah yang mengandungi nasihat ke arah
pembinaan keluarga Islam yang gemilang, cemerlang dan terbilang, perihal
tanggungjawab suami isteri, cara-cara mendidik anak-anak dan ke arah melahirkan
rumahtangga yang berlandaskan syariat Islam. Teks-teks khutbah ini perlu
diedarkan ke setiap masjid di seluruh kawasan Hulu Langat dan dibacakan oleh
Imam pada setiap hari Jumaat secara berkala sekurang-kurangnya sebulan sekali.
Diharapkan dengan cara ini, dapat menyedarkan para suami akan tanggungjawab
mereka seterusnya dapat mengelakkan berlakunya konflik rumahtangga.
1.4.4
Cadangan untuk kajian
akan datang seharusnya menggunakan kajian berbentuk kuantitatif dan kualitatif
agar dapat mengumpul lebih banyak maklumat mengenai peranan kaunseling di PAID
Hulu Langat dalam kes-kes kekeluargaan. Selain itu, penyelidik berharap kajian
yang akan datang dapat menyediakan maklumat mengenai statistik rundingcara
keluarga. Ini kerana penyelidik tidak dapat menyediakannya di atas sebab-sebab
yang tidak dapat dielakkan.
1.4.5
Mutu dan perkhidmatan
unit kaunseling perlu dipertingkatkan dengan lebih baik. Pengamal kaunseling
harus mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang kaunseling di samping
modul-modul pemulihan ke arah perkhidmatan yang bermutu pada masa akan datang.
1.4.6
Masyarakat perlu
berfikiran lebih terbuka terhadap kaunselor dan tidak melemparkan
tuduhan-tuduhan tanpa fakta-fakta yang terbukti kesahihannya. Pada masa kini
terdapat pihak-pihak tertentu yang mempertikaikan kemampuan kaunselor di dalam
menangani permasalahan yang diajukan kepadanya sehingga ada yang mendesak
supaya jawatan dan perkhidmatan ini dimansuhkan. Masyarakat diharapkan agar
dapat mengemukakan cadangan-cadangan membina untuk perkhidmatan yang lebih
berkesan dan memuaskan hati semua pihak, tidak hanya mengkritik atau membuat
pelbagai kesimpulan sendiri. Bagi klien yang hadir untuk mendapatkan
perkhidmatan pula, mereka perlu bertanggungjawab terhadap aduan yang dibuat,
sama ada mahu meneruskan prosedur ataupun memberhentikannya kerana telah ada
perubahan terhadap konflik yang dialaminya. Ia bagi tujuan penutupan fail
secara rasmi dan aduan kes tidak tertangguh. Situasi sebegini berlaku kerana
perkhidmatan yang diberikan diperolehi secara percuma, menyebabkan klien datang
dan berurusan sesuka hati mereka.
Mudah-mudahan kajian
yang lebih mendalam dapat menghasilkan keputusan yang lebih bernilai. Adalah
dicadangkan agar kajian akan datang mengkaji persepsi masyarakat mengenai
perkhidmatan kaunseling yang disediakan di UPK, PAID Hulu Langat seterusnya
memperluaskan skop kajian.
RUJUKAN
- Al-Qur’an al-Karim.
- Abdullah Fahim, Hassan
Pahmi, Abd. Latif Ibrahim, Abd. Hamid Mohd. Salleh, Mohamad Saari, Fatimah Saad
& Norkhalidah Abd Rashid. 1995. Rumahku Syurgaku. Kuala Lumpur: Bahagian
Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri.
- Abdullah Hassan &
Ainon Mohd. 1999. Kemahiran Menyelesaikan Krisis Rumahtangga. Kuala Lumpur:
Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
- Abdul Manan Mulla Bar.
1990. Kaunseling dalam Konteks Budaya Islam. Kuala Lumpur : Nurin
Enterprise.
- Abdu Rahman bin Ibrahim.
2001. Peranan Kaunseling dalam Dakwah: Kajian khusus di unit kerjaya dan
kaunseling Institut Teknologi Mara (ITM) Shah Alam. Tesis Sarjana. Akademi
Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
- Adawiyah Ismail. 2007.
Kaunseling Islam ke arah pembentukan keluarga dinamik. Shah Alam : Karisma
Publications Sdn Bhd.
- Akmala Md. Amin. 2008.
Proses Kaunseling di PAID Hulu Langat, Selangor. Temu bual. 15 Februari.
- Ali haji Yaacob. 1995.
Perkhidmatan Kaunseling: Kes di Tanah Suci. Kajang: Makruf Publisher &
Distributors.
- Al- Muslim,Abi al-
Husayn Muslim ibn al-Hajjaj. 1412H/1991. Sahih. Jil.4. Kaherah: Dar al-Fikr.
- Asmawati Baharuddin
& Norhalim Ibrahim. 1996. Peranan Ibu Bapa. Kajang: Makruf Publisher &
Distributors Sdn Bhd.
- Aziz Salleh. 1996.
Kaunseling Islam Asas, Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors
Sdn Bhd.
- Fariza Md. Sham, Siti Rugayah
Hj Tibek & Othman Hj Talib. 2006. Dakwah dan Kaunseling di Malaysia. Bangi:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Fatiyah binti Mohamed
Nor. 2007. Pendekatan Amalan Kaunseling Keluarga dalam menangani Konflik
Rumahtangga di Pejabat Agama Islam Kuala Selangor. Latihan Ilmiah. Universiti
Kebangsaan Malaysia, Bangi.
- Hassan Langgulung. 1979.
Kaunseling dalam Masyarakat Islam. Kertas kerja Seminar Kaunseling Islam,
Yayasan Dakwah Islam Malaysia, Kuala Lumpur.
- Hushim Haji Salleh.
2000. Ibu, Oktober: 49.
- Ida Hartina Ahmed
Tharbe. 2006. Memimpin kaunseling kelompok. Kuala Lumpur: PTS Professional
Publishing Sdn Bhd.
- Ishamuddin Haji Ismail.
1993. Panduan Asas Kaunselor Muslim. Kajang : Aras Mega Sdn Bhd.
- Kamal Abd. Manaf. 1995.
Kaunseling Islam Perbandingan Antara Amalan dan Teori Kaunseling Barat. Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
- Kamal Abd Manaf. 2000.
Kaunseling Islam: Satu Alternatif Baru di Malaysia. Kuala Lumpur : Utusan
Publications & Distributors Sdn Bhd.
- Kamus Dewan. 1998. Ed.
Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.
- Malik Badri. 1996.
Success With Islamic Counseling and Psychotherapy. Seminar Kebangsaan
Kaunseling Islam IV, Kuala Lumpur, 26 Ogos.
- Mizan Adiliah Ahmad
Ibrahim, Wan Mohd Fazrul Azdi Wan Razali & Hanif Osman. 2006. Kaunseling
dalam Islam. Nilai: Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Kolej Universiti Islam
Malaysia.
- Muhd Mansur Abdullah.
1984. Ke arah Sistem Tolongbantu Masa Kini: Satu Pengenalan. Kuala Lumpur :
Penerbitan Tra Tra Sdn. Bhd.
- Muhd Mansur Abdullah.
1986. Kaunseling: Teori,Proses dan Kaedah. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
- Muhd. Mansur Abdullah
& S. Nordinar Mohd Tamin. 1996. Proses Kaunseling. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.
- Raudhatuljannah bte
Sarun. 2006. Peranan Unit Kaunseling & Rundingcara dalam menangani konflik
pasangan bermasalah di Pejabat Agama Daerah Kluang Johor. Latihan Ilmiah.
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
- Rosnah Ismail. 2000.
Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan Satu Kaedah Menangani Cabaran. Kota
Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah.
- Sabariah Siron. 2005.
Teori Kaunseling & Psikoterapi. Petaling Jaya: Prentice Hall Pearson
Malaysia Sdn Bhd.
- Sapora Sipon & Wan
Anor Wan Sulaiman. 2002. Pengantar Kaunseling. Petaling Jaya: Prentice Hall.
- Sheikh Ghazali. 2006. Penyelesaian
kes-kes kekeluargaan Islam melalui manual kerja sulh. Penyt. Abdul Monir Yaacob
& Siti Shamsiah Md. Supi. Manual Undang-undang Keluarga Islam. Kuala
Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.
- Siti Fatimah Binti Hj
Abdul Ghani. 2005. Perkhidmatan Kaunseling Sebagai Satu Alternatif Dalam
Pengurusan Konflik Rumahtangga. Kertas Kerja Persidangan Kaunseling Universiti
Malaya 2005. Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya,
28-29 November.
- Siti Zalikhah Md. Nor.
1992. Kaunseling Perkahwinan Menurut Perspektif Islam. Petaling Jaya: Budaya
Ilmu Sdn Bhd.
- Tafsir Pimpinan
Ar-Rahman. 2000. Kuala Lumpur: Darul Fikir.
- Wan Abd. Kader Wan Ahmad
& Ismail Abdul Ghani. 2006. Islam dan Kaunseling: Satu Penilaian Kritikal
Terhadap Teori dan Pendekatan. Penyt. Fariza Md. Sham, Siti Rugayah Hj Tibek
& Othman Hj Talib. Dakwah dan Kaunseling di Malaysia. Bangi: Penerbit
Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Wan Hussain Azmi Abdul
Kadir. 1994. Kaunseling dan psikologi Menurut Islam. Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.
- Zainab Ismail. 2001.
Proses Kaunseling Islam di Kalangan Pasangan yang Bermasalah: Satu Kajian Kes
Di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Tesis Dr Fal.
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
- Zainon Mohamad.1991.
Memahami Erti Kaunseling. Ummi, Oktober: 34.
- Zawanah Muhammad. 1998.
Perkhidmatan Kaunseling Perkahwinan di Jabatan-jabatan Agama Islam. Tesis
Sarjana. Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
- Zulkifli bin Yusof.
1992. Bimbingan Manusia dan Agama Perspektif Bimbingan Kaunseling. Kuala
Lumpur: Arena Ilmu Sdn. Bhd.
- Zuraidah Abdul Rahman.
1994. Kaunseling dalam Pengurusan. Shah Alam : Times Books International.