ARTIKEL 1
MENGGALI
MASALAH KLIEN MENGGUNAKAN TEORI ROGERIEN & TERAPI REALITI
Dr. Syafrimen, M. Ed
Nova Erlina, M. Ed
ABSTRAK
Penelitian ini bertujuan untuk melihat penggunaan teori
Rogerian dan Terapi Realiti oleh calon konselor dalam menggali permasalah
klien. Secara umumnya pendekatan yang digunakan dari kedua-dua teori tersebut
adalah penerimaan positif tanpa syarat dan pemahaman melalui empati (Rogerian),
fokus pada tingkahlaku yang sedang dihadapi klien, meminta klien menilai
perlakuan sendiri, menggalakan klien membuat perencanaan untuk berubah dan
mengajak klien berdepan dengan realita (Terapi Realiti). Kaedah kajian kes
“multi-case single-site case study design” telah digunakan sebagai metodologi
kajian. Tujuh orang klien, iaitu enam orang mahasiswa S1 dan satu orang
mahasiswa S2 yang sedang belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia telah
dijadikan sebagai kajian. Rekaman sesi konseling telah dijadikan sebagai data,
dan dianalisis secara tematik menggunakan software NVivo 7. Hasil kajian
menunjukkan bahwa klien merasa senang menyampaikan permasalahan mereka melalui
kedua pendekatan tersebut. Secara umumnya klien menunjukkan perkembangan yang
positif dari sesi ke sesi yang dilakukan. Hasil penelitian didiskusikan
berdasarkan hasil-hasil penelitian sebelumnya dan juga artikel-artikel yang
berkaitan dengan kajian ini.
A. Pendahuluan
Konseling merupakan satu proses yang melibatkan hubungan dua
arah antara konselor profesional dengan individu yang memerlukan bimbingan
(Noriah, Zuria & Salleh 2005). Terdapat pelbagai teori yang diaplikasikan
untuk membantu klien dalam proses bimbingan dan konseling, antara teori yang
senantiasa mendapat perhatian di kalangan konselor adalah Psikoanalisis Freud,
Psikologi Individu Adlerian, Terapi Eksistential, Pendekatan Berpusatkan Klien
oleh Roger, Terapi Gestalt, Terapi Realiti, Rasional Emotif Terapi, Terapi
Transaksional, Terapi Asia, Terapi Elektik Teknikal dan Menggunakan Pendekatan
Islam (Sapora Sipon dan Ruhayah Hussin 2008).
Menurut Paw Eng See, Noriah dan Salleh (2008) seorang
konselor perlu memiliki berbagai teknik dan mahir dalam berbagai teori agar
dapat memberikan bimbingan yang baik kepada klien mereka, bahkan Myrick (2001)
menyatakan konselor perlu mahir mengkombinasikan berbagai teori dan teknik
tersebut semasa menjalankan sesi konseling. Justeru, pengkombinasian teori
tersebut akan lebih cepat membuka pemikiran konselor dalam mencari solusi untuk
membantu klien. Pengkombinasian teori itu juga merupakan cara yang lebih efektif
kepada konselor dalam membantu klien mereka (Paw Eng See, Noriah dan Salleh
2008).
Kejelimetan konselor dalam mengkombinasikan teori menjadikan konselor
tersebut lebih kreatif, dan klien akan merasa puas dengan bimbingan yang
diberikan (Pifalo 2005; Rogers 1996). Paw Eng See et al. (2008) tidak menafikan
terdapatnya halangan di kalangan konselor untuk menguasai dan mengaplikasikan
pelbagai teori dalam satu waktu. Bahkan terdapat pandangan yang menyatakan
ramai di kalangan konselor yang faham dengan berbagai teori tetapi mereka
membabi buta dalam penggunaan teori yang mereka fahami itu, tanpa diteliti
apakah teori itu sesuaia dengan klien ataupun sebaliknya (Muhd. Mansur 1997).
Menurut beliau terlalu sedikit konselor yang melakukan penelitian dan memprediksi
konsep dan teori yang mereka fahami sebelum digunakan dalam sesi mereka.
Terdapatnya berbagai hambatan di kalangan konselor untuk
menguasai pelbagai konsep dan teori, apa lagi mengkombinasikan kepelbagaian
teori tersebut dalam satu sesi, telah mendorong konselor untuk memahirkan diri
mereka dengan teori-teori tertentu dalam membantu klien mereka. Kebiasaannya
pemilihan teori yang menjadi unggulan konselor dipengaruhi oleh kesenangan dan
kemahiran mereka dalam menggunakan teori tersebut. Tidak jarang juga pemilihan
teori itu dipengaruhi oleh latarbelakang institusi tempat konselor tersebut
belajar. Menjadi satu kelumrahan sebuah teori yang menjadi unggulan bagi
sesebuah institusi yang menawarkan program konseling, akan menjadi unggulan
juga bagi konselor-konselor lulusan institusi itu.
Penelitian yang dilakukan
oleh Zakaria terhadap 241 orang konselor di Malaysia mendapati 50% di kalangan
konselor yang diteliti tidak menggunakan teori semasa menjalankan sesi
konseling, ini terjadi karena memang mereka kurang menguasai teori-teori
kaunseling tersebut. Penelitian beliau juga menunjukkan ramai di kalangan
mereka yang telah menyesuaikan pemahaman terhadap teori ke dalam konteks budaya
klien. Walaubagaimanapun, kajian ini tidak bermaksud untuk mendiskusikan dan
meneliti pemilihan suatu teori di kalangan konselor dalam menjalankan sesi
konseling. Namun peneliti berkeinginan untuk memaparkan penggunaan teori
Rogerian dan Terapi Realiti dalam menjajaki permasalahan klien. Secara khusus
objektif kajian ini adalah:
- Mengetahui kenyamanan klien dalam menceritakan permasalahan mereka semasa sesi kaunseling dijalankan.
- Mengetahui perkembangan klien semasa sesi kaunseling dijalankan.
B. Teori Rogerian Dan
Terapi Realiti
Carl Rogers adalah orang pertama yang memperkenalkan teori
kaunseling berpusatkan klien (client centred therapy) melalui buku pertanya
”Counselling and Psychotherapy” yang diterbitkanya pada tahun 1942. Menurut
Rogers manusia adalah makhluk yang senantiasa rasional, baik, positif, boleh
dipercayai, bertanggungjawab dan mampu mengendalikan kehidupan sendiri,
bermasyarakat, dinamis dan realistis (Sapora Sipon & Ruhayah Hissin 2008;
John Mcleod 2006; Amla, Zuriah & Salleh 2006; Rohany Nasir 2006; Corey
2005; Othman Mohammed 2005; Muhd. Mansur 1997; Suradi Salim 1996). Untuk itu
Rogers menentang pendekatan konseling yang berpusatkan konselor yang
mengandaikan bahwa kaunselor mengetahui segala sesuatu, dan bisa menolong
kliennya dalam semua bidang. Beliau juga menentang teknik-teknik dan tatacara
konseling yang berbentuk nasihat, arahan konselor, bujukan, pengajaran,
diagnosis, dan penafsiran tersendiri oleh konselor.
Rogers berpandangan bahwa klien mempunyai kemampuan untuk
memahami diri mereka, dan mampu menyelesaikan berbagai masalah yang dihadapi secara
alami, tanpa campur tangan secara langsung oleh konselor. Menurut Rogers klien
dapat menuju ke arah penentuan arah diri sendiri, jika klien tersebut
dilibatkan dalam hubungan konseling ataupun terapi. Beliau juga menyatakan
bahwa sifat-sifat peribadi dan sikap konselor serta hubungan antara
kedua-duanya adalah merupakan dua faktor penting dalam menentukan kejayaan
sesebuah proses kaunseling, tanpa harus memberikan arahan ataupun anjuran
kepada klien (Sapora Sipon & Ruhayah Hussin 2008; Othman Mohamed 2005;
Suradi Salim 1996). Konselor hanya perlu berdialog dengan klien agar dapat
dicapai gambaran yang selari antara diri ideal klien “ideal self” dengan
kenyataan sebenarnya tentang diri mereka “actual self”.
Pakar-pakar konseling telah menyimpulkan hal-hal yang
menjadi ciri utama dalam pendekatan konseling yang dicadangkan oleh Carl Rogers
tersebut, iaitu memberikan penekanan terhadap tanggungjawab klien untuk
mendapatkan kesadaran dirinya serta bergerak ke arah satu keadaan yang bisa
menguntungkan dirinya dalam keadaan yang sebenarnya. Di dalam perjalanan sesi
konselor menekankan aspek yang menggalakkan diri klien tersebut memahami
persepsi tentang dirinya dengan kenyataan yang sebenarnya. Prinsip dalam
pendekatan ini adalah penumpuan konselor pada hubungan terkini dan pengalaman
yang dicapai dalam perhubungan dengan klien. Perhubungan semasa antara konselor
klien adalah berpegang kepada prinsip menolong. Carl Rogers menyatakan bahawa
individu memerlukan hubungan dengan orang lain untuk menolong dirinya melakukan
sesuatu yang tidak dapat dilaksanakan sendiri olehnya. Terdapat beberapa
prinsip dasar yang dipegang dalam pendekatan ini iaitu; (i) Acceptance, iaitu
konselor menerima klien dengan keredaan dengan permasalahan yang dibawa oleh
klien, (ii) Congruence, iaitu keikhlasan dan keselarian antara ucapan dengan
perbuatan konselor dalam menerima klien, (iii) Understanding, iaitu konselor
dapat memahami dunia klien sebagaimana yang dirasakan oleh diri klien tersebut,
dan (iv) Nonjudgmental, iaitu konselor senantiasa objektif dan tidak memberikan
penilaian kepada klien (Sapora Sipon & Ruhayah Hussin 2008; John McLeod
2006; Amla, Zuria & Salleh 2006; Othman Mohamed 2006).
Sofyan S. Willis (2004) juga menyatakan bahwa sasaran
konseling yang dicadangkan oleh Carl Rogers adalah memberi tumpuan kepada aspek
emosi dan perasaan bukanlah aspek intelektual klien, proses konseling
menitikberatkan kepada keadaan klien, termasuk keadaan sosial psikologis masa
kini (here and now) bukanya pengalaman masa lalu, proses konseling adalah
bertujuan untuk menyesuaikan antara ideal self dengan actual self, dan peranan
aktif dalam proses konseling adalah pada klien, sedangkan konselor adalah
berperanan pasif-reflektif . Ini bermaksud konselor bukan bermakna hanya diam
mendengarkan masalah klien tetapi mesti berusaha membantu agar klien sentiasa
aktif untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri.
Satu lagi pendekatan dalam konseling yang menarik perhatian
banyak pelaksana konseling adalah pendekatan Terapi Realiti. Terapi Realiti
dikenalkan oleh William Glasser yang dilahirkan di Cleveland Ohio, California
pada tahun 1925 (Sapora Sipon & Ruhayah Hussin 2008; Ahmad Jazimin 2007).
Terapi ini adalah salah satu bentuk terapi yang agak baru dalam dunia konseling
yang diperkenalkan oleh William Glasser dalam tahun 1965 di California. Dalam
banyak aspek Terapi Realiti ini sejalan dengan terapi Keberadaan, terapi
Pemusatan Insan dan terapi Gestalt (Sapora Sipon & Ruhayah Hussin 2008;
Amla, Zuria dan Salleh 2006; Corey 2005). Terapi Realiti merujuk kepada dunia
fenomenologi klien dan memberi penekanan kepada cara yang subjektif yaitu klien
akan melihat dan merespon dengan lingkungan mereka melalui evolusi dalaman
(Sapora Sipon & Ruhayah Hussin 2008). Terapi realiti mendahulukan konsep
dan idea bahwa individu itu mempunyai tanggungjawab ke atas perlakuannya.
Terapi ini juga memberikan kemudahan serta persediaan yang bisa membangunkan
kekuatan psikologikal klien yang memerlukan layanan konseling (Othman Mohamed
2006; Glasser & Wubbolding 1995).
Pandangan lain menyatakan bahwa pendekatan ini
menitikberatkan pada bagaimana klien melihat dunia mereka dan bagaimana mereka
bertanggungjawab dengan tingkahlaku mereka (Ahmad Jazimin, Zuria, Noriah 2008;
Ahmad Jazimin 2007; Othman Mohamed 2006). Pendekatan Terapi Realiti dalam
konseling berkeyakinan bahwa klien mempunyai kemampuan tertentu untuk melakukan
sesuatu pada masa kini untuk mengubah tingkahlakunya. Selanjutnya pendekatan
ini juga yakin tentang adanya komitmen di dalam diri klien untuk merancang, dan
mengubah tindakan, seterusnya melakukan rancangan tersebut dalam bentuk
tindakan ataupun tingkahlaku. Selain dari itu pendekatan ini menolak konsep
mental illness “sakit jiwa” seperti yang dinyatakan di dalam teori Psikoanalisa
(Muhd. Mansur 1997; Amir Awang 1987).
Prosedur perubahan tingkahlaku menggunakan sistem WDEP
adalah merupakan ciri pendekatan Terapi Realiti (Ahmad Jazimin, Zuria, Noriah
2008; Ahmad Jazimin 2007; Amla, Zuria & Salleh 2006). WDEP adalah akronim
tentang strategi dalam Terapi Realiti yang digunakan oleh konselor untuk
membantu klien supaya dapat berubah kepada tingkahlaku yang lebih sesuai dengan
kehendak individu tersebut. Wubbolding & Brickell (1996) menyatakan W
merujuk kepada wants, needs and perceptions, D merujuk kepada directions and doing,
E merujuk kepada evaluation dan P merujuk kepada planning and commitment.
Seterusnya Ahmad Jazimin (2007) juga menyatakan bahawa pembinaan hubungan yang
tulen, ramah, tidak menghukum, menerima klien dengan seadanya, menggunakan
kemahiran mendengar sama ada dalam bentuk tema atau metafora, menunjukkan
empati, membuat parafrasa, fokus pada isu klien, berkongsi cerita dan
menggunakan sedikit humor dalam proses kaunseling adalah merupakan suasana
kaunseling yang wajar digunakan oleh kaunselor sebelum sistem WDEP. Selain itu
kaunselor hendaklah mengelak daripada berhujah keterlaluan, menuduh,
mengkritik, memaksa klien, tidak menghargai klien, mewujudkan ketakutan dan
mudah berputus asa.
Selain daripada sistem WDEP, beberapa ciri lain yang menjadi
teras kepada Terapi Realiti dalam proses konseling adalah; membantu klien
mencari jalan terbaik dalam rangka memenuhi keperluan untuk dipunyai, berkuasa,
merasa bebas dan senang dalam hidup. Menfokuskan kepada hal-hal yang disadari
oleh klien dan membantu klien untuk meningkatkan kesadaran itu (Amla, Zuria
& Salleh 2006; Corey 2005). Membantu klien memperjelaskan apa yang mereka
mau dalam kehidupnya, membantu klien melihat kekuatan dan kelemahan diri serta
dukungan dan halangan yang terdapat di sekelilingnya, membantu klien agar
mantap dari segi psikologis dan lebih rasional dalam berfikir dan bertindak
(Sapora Sipon & Ruhayah Hussin 2008).
Dalam proses konseling pula Terapi Realiti mewujudkan proses
hubungan yang teraputik antara konselor dengan klien, fokus kepada perlakuan
terkini klien, meminta klien menilai perlakuan sendiri, konselor menggalakan
untuk membuat perancanaan untuk perobahan, mendapatkan komitmen klien dan
konselor meminta klien untuk bersedia mematuhi syarat-syarat yang telah
disepakati, tidak membuat finalti dan tidak putus asa dengan klien. Konselor
sentiasa mengajak klien untuk berhadapan dengan realita untuk tujuan membantu
klien menilai tingkah laku mereka secara realistis. Konselor banyak menggunakan
sugesti, bersedia menerima klien tanpa syarat dan tidak terlalu banyak
mengkritik. Konselor senantiasa menggalakan klienya untuk menyampaikan semua
perasaan yang terpendam dalam hati tanpa menyembunyikan sedikitpun (Sapora
Sipon & Ruhaya Hussin 2008; Othman Mohamed 2006; Amir Awang 1987).
C. Metodologi Kajian
Kajian menggunakan rekabentuk kajian kes (multi-case
single-site case study design). Rekabentuk kajian kes ini membolehkan pengkaji
untuk meneliti pola sesuatu fenomena yang ingin dikaji (Yin 1994; Creswell
2007; Majid Konting 2005; Sidek Modh Noah 2002). Pengkaji menilai pemilihan
reka bentuk ini sangat bersesuaian memandangkan kajian ini cuba melihat pola
penggunaan sesebuah teori dalam proses kaunseling. Dalam hal ini pengkaji cuba
melihat penggunaan teori Rogers dan Terapi Realiti dalam penerokaan masalah
klien semasa proses kaunseling dilakukan oleh kaunselor pelatih. Daripada 47
orang klien yang datang meminta perkhidmatan kaunseling selama 14 minggu
ataupun bersamaan dengan 70 hari bekerja menjalankan pratikum, tujuh orang
klien (6 orang klien prempuan & 1 orang klien lelaki) telah dipilih untuk
tujuan analisis, bagi melihat penggunaan kedua-dua teori yang menjadi fokus
kajian ini. Data ketujuh-tujuh orang klien tersebut telah dikumpulkan melalui
kaedah rakaman audio selama proses kaunseling dijalankan kepada mereka. Untuk
memudahkan menyediakan laporan dapatan kajian, pengkaji telah memberikan kod K1
sehingga K7 kepada ketujuh-tujuh orang klien tersebut. Proses transkripsi telah
dilakukan terhadap semua data yang diperolehi, seterusnya dianalisis
menggunakan perisian NVIVO 7.
D. Hasil Kajian
Kajian ini melibatkan tujuh orang klien, keseluruhan klien
adalah pelajar-pelajar yang sedang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia.
Enam orang adalah pelajar Prasiswazah dan satu orang pelajar Sarjana. Satu
orang pelajar lelaki dan enam orang pelajar perempuan. Enam orang berbangsa
Melayu, satu orang daripada Indonesia. Secara umumnya permasalahan yang mereka
kongsikan adalah masalah akademik, hanya satu orang sahaja yang berkongsi
masalah lain iaitu masalah rendah diri atau kurang percaya diri bila berdepan
dengan orang lain.
Sebelum melaporkan dapatan kajian, pengkaji ingin melaporkan
proses kaunseling yang dilakukan selama pratikum dijalankan. Pengkaji telah
mempraktekan proses kaunseling yang dicadangkan oleh Amla, Zuria dan Salleh
(2006) iaitu dimulakan dengan pembinaan hubungan (mesra, memberi perhatian,
menerima & menstruktur), mendapatkan maklumat (mendengar & bertanya
soalan), meluaskan Penerokaan (meminta penjelasan, menilai pelbagai alternatif,
mengambil keputusan (membuat rumusan & memilih alternatif dan penamatan dan
tindakan susulan (menilai keberkesanan pilihan dan tindakan). Selanjutnya
kemahiran asas kaunseling telah digunakan terlebih dahulu bagi setiap sesi
sebelum menggunakan pendekaran Rogerian dan Terapi Realiti yang menjadi fokus
kajian ini.
Kemahiran asas kaunseling yang digunakan oleh kaunselor
pelatih untuk membantu klien sepanjang pratikum dijalankan, iaitu diawali
dengan menggunakan;
- kemahiran mendengar iaitu kaunselor cuba mendengar dengan teliti dan menumpukan seluruh perhatian kepada perkara-perkara yang dikongsikan oleh klien,
- empati iaitu kaunselor pelatih cuba memahami emosi, perasaan serta bahasa bukan lisan klien semasa klien sedang berkongsikan masalah yang sedang dihadapinya,
- membuat refleksi, kanselor pelatih cuba menyebutkan semula apa yang telah diperkatakan oleh klien dalam rangkaian kata yang pendek bagi menunjukkan kepada klien bahawa kaunselor pelatih sedang bersama-sama dengan dirinya untuk membantu permasalahan yang sedang dihadapi,
- penggunaan sepi sejenak, di dalam perjalanan sesi kaunselor pelatih cuba untuk dian sekita bagi memberikan ruang kepada klien dan juga kaunselor pelatih untuk memikirkan perkara yang telah berlaku dan apa tindakan setrusnya yang akan dilakukan,
- penjelasan dan memparafrasa, meminta klien untuk memberikan penjelasan semula tentang perkara yang mereka kongsikan dan apakah yang dimaksudkan oleh klien sebenarnya,
- menyoal dan konfrantasi, kaunselor pelatih berusaha meberikan soalan-soalan yang dapat mencungkil maklumat yang mandalam lagi dari[ada klien, dan
- merumuskan, iaitu kaunselor pelatih cuba merumuskan semula dalam bahasa yang mudah difahami oleh klien tentang perkara yang tdihadapi dan tindakan-tindakan seterusnya yang akan diambil oleh klien.
Selanjutnya barulah kaunselor meneruskan penerokaan masalah
klien menggunakan pendekatan Rogerian dan Terapi Realiti. Kedua-dua pendekatan
ini telah digabungkan dalam meneroka masalah klien yang datang meminta
perkhidmatan kaunselor pelatih. Bagaimanapun, kaunselor pelatih tidak dapat
menggunakan secara berstruktur kedua-kedua pendekatan tersebut, memandangkan
perjalanan sesi hanya lebih kurang 30 sehingga 45 minit. Namun, kaunselor
pelatih telah memilih pendekatan yang dirasa lebih bersesuian untuk digunakan
daripada kedua-dua pendekatan berkenaan. Secara berstruktur pendekatan
kaunseling oleh Rogers adalah penerimaan positif tanpa syarat, kongruen
(ikhlas), dan pemahaman empati. Terapi Realiti pula adalah membina hubungan
yang teraputik, fokus pada tingkahlaku semasa klien, meminta klien melinai
perlakuan sendiri, menggalakan klien membuat perancangan untuk perubahan,
membuat komitmen dengan klien, dan mengajak klien berdepan dengan realiti.
(i) Keselesaan Klien
Dalam Meluahkan Permasalahan
Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, kaunselor pelatih
tidak dapat menggunakan secara keseluruhan pendekatan yang ditawarkan oleh
kedua-dua teori berkenaan. Namun kaunselor pelatih telah memilih pendekatan-pendekatan
yang dirasakan lebih bersesuaian untuk menerokai masalah klien berkenaan.
Secara umumnya pendekatan yang digunakan daripada kedua-dua teori tersebut
adalah penerimaan positif tanpa syarat dan pemahaman empati (Rogerian), fokus
pada tingkahlaku semasa klien, meminta klien menilai perlakuan sendiri,
menggalakn klien membuat perancangan untuk perubahan dan mengajak klien
berdepan dengan reality (Terapi Realiti).
Daripada tujuh sesi yang dijalankan kepada tujuh orang klien
yang datang berjumpa kaunselor pelatih, didapati mereka sangat selesa untuk
meluahkan permasalahan mereka dengan menggunakan kemahiran asas kaunseling dan
dilanjutkan dengan penerokaan yang lebih mendalam menggunakan pendekatan
Rogerian dan Terapi Realiti. Sebagai contoh kaunselor menggunakan pendekatan
penerimaan positif terhadap permasalahan klien yang tidak seberapa yakin dengan
diri sendiri untuk menyampaikan idea ataupun berdepan dengan orang lain,
seperti ditunjukan pada petikan berikut ini:
...Setakat Ini K5 tahu tak apa yang menyebabkan K5 menjadi
tidak berani itu? selama ini apa yang pernah K5 lakukan untuk mengelak daripada
perkara tersebut?
Dengan penerimaan positif yang ditunjukkan oleh kaunselor,
klien dengan rasa selesa menceritakan permasalahan mereka, seperti jawapan yang
diberikan oleh klien berikut ini;
Sekarang ini saya ingin mencubalah, macam tugasan yang perlu
dibentangkan... terpaksa juga kan dan masa itulah untuk menambah keyakinan
(K5).
Perkara yang sama juga dilakukan oleh kaunselor pelatih
kepada klien K3 yang menghadapi permasahan rendah diri yang keterlaluan apabila
berdepan dengan orang lain, seperti petikan di bawah ini:
Jadi secara umumnya K3 punya masalah tidak percaya
diri...merasa rendah diri yang sebenarnya K3 sendiri tidak tahu kenapa perkara
itu boleh berlaku?
Dengan rasa selamat dan tanpa ragu-ragu klien telah
memberikan jawapan secara bebas dan jujur tentang diri mereka;
Sebenarnya saya sentiasa memikirkan benda ini... sebab dia
semenjak saya kecil lagi, kalau hilangpun sekejap sahaja..lepas tu datang lagi.
Kadang-kadang kita sedang borak-borak tiba-tiba benda tu datang. apabila benda
tu datang jadi mencacatkan suasana. Apabila benda itu datang saya tidak boleh
nak pandang bertentang mata dengan orang, jadi tunduk... muka saya berobah.
Sayapun tidak tahu apa punca dia (K3).
Seterusnya penerimaan kaunselor terhadap klien dengan
pemahaman empati pula juga memberikan keselesaan kepada klien untuk meluahkan
permasalahan yang sedang dihadapi oleh klien. Klien telah menghadapi
permasalahan ketidaksesuaian bidang yang didapatkan di Universiti dengan diri
yang sebenar. Klien sangat berminat untuk menjadi seorang guru namun ketika
mengikuti ujian saringan untuk mendapatkan tempat, klien tidak berjaya
mendapatkan tempat tersebut. Dengan pemahaman penuh empati kaunselor pelatih
cuba mengutarakan soalan untuk mencungkil permasalahan klien berkenaan, seperti
pada petikan berikut ini:
... Jadi maknanya minat K2 untuk jadi Cikgu belum hilanglah?
Sekarang K2 ambik bidang ekonomi, menurut K2 sesuai tak dengan minat K2 pilihan
yang sekarang ini?
Soalan kaunselor tersebut telah memberikan keselesaan kepada
klien untuk berkongsi perasaan yang bermain di dalam kepala mereka, seperti
yang ditunjukan pada petikan jawapan klien di bawah ini:
Sesuai juga sebab saya memang suka bidang ekonomi ini tapi
saya minat mengajarlah, kalau boleh saya nak mengajar subjek ekonomi (K2).
Penerokaan kaunselor pelatih menggunakan pendekatan Terapi
Realiti mempercepatkan lagi klien untuk dapat celik akal apabila kaunselor
pelatih cuba membawa klien fokus dengan tingkahlaku semasa, seperti petikan di
bawah ini;
Dalam keadaan malas itu, selama ini apa yang K4 lakukan
untuk mengelakan diri rasa malas itu?
Dengan rasa selesa klien telah memberikan respon, seperti
berikut ini;
Kadang-kadang saya paksa juga diri saya yntuk buat tapi
kadang bila benda tu macam susah nak buat kan, kita banyak berfikir...bila
bercampur dengan perasaan malas itu kita tidak boleh nak fikir nak buat benda
itu, kita kena tinggalkan. Kadang-kadang saya teruskan, kadang saya tinggalkan.
Bila saya teruskan nampak jugalah hasilnya (K4).
Perkara yang sama juga dilakukan oleh kaunselor pelatih
dengan klien K6 yang merasa agak tertekan dengan jatuhnya PNGK keran terlalu
sibuk dengan kegiatan persatuan di dalam kampus, sehingga tidak dapat
memberikan tumpuan kepada pelajaran sepenuhnya, seperti petikan di bawah ini:
Jadi cerita K6 tadi, K6 risaulah kerana PNGK K6 jatuh &
tidak sesuai dengan yang K6 inginkan? Di sebalik itu K6 dapat mengenal pasti
bahawa ini disebabkan oleh kerana K6 tidak dapat menyeimbangkan antara
persatuan yang K6 ikuti dengan penumpuan kepada pelajaran. Sepanjang K6
belajar, persatuan apa kira-kira yang menyebabkan PNGK K6 jadi turun?
Gaya penerokaan kaunselor pelatih yang memberikan tumpuan
kepada tingkahlaku semasa klien dapat membuka minda klien tentang pengaruh
kegiatan persatuan terhadap PNGKnya, seperti yang dinyatakan klien berikut ini;
Satu saya tengok, yang saya perasan lepas habis kelas sahaja
saya terus buat kerja persatuan, lepas itu dah tidak belajar lagi, tengah malam
tidak belajar, macam buat kerjapun sikit-sikit sahaja. Hari berikutnyapun macam
itu juga, macam belajar itu amat kurang. Lepas tu buatpun hanya sekedar sahaja,
siapkan tutorial, siapkan tugasan itu sahaja. Jadi saya rasa memang silaplah
(K6).
Pendekatan kaunselor pelatih mengajak klien berdepan dengan
realiti menjadikan klien lebih dapat menerima diri mereka dan pada masa yang
sama mereka berusaha memikirkan jalan keluar daripada permasalahan yang mereka
hadapi, seperti yang ditunjukkan pada petikan kaunseling dibawah ini:
Menurut K5 kawan-kawan di dalam kelas itu ada perasaan yang
sama tak dengan K5?
Pendekatan sedemikian menjadikan klien lebih yakin dengan
diri dan tindakan yang akan dilakukan:
Saya fikir pasti ada... Semester ini memang banyak yang kena
bentang kat depan, insya Allah saya akan cubalah dengan sebaik yang mungkin
(K5).
Perkara yang sama juga dilakukan oleh kaunselor pelatih
kepada klien K7 yang merasa tertekan dan marah dengan sikap ahli kumpulan yang
kurang bertanggungjawab dengan tugasan yang diberikan untuk menjayakan sebuah
projek kumpulan yang diberikan oleh pensyarah. Kaunselor pelatih berusaha
mengajak klien berhadapan dengan realiti, seperti petikan di bawah ini:
Menurut K7 sesuai tak K7 marah dengan kawan-kawan K7?
Klien dapat melihat dengan pandangan yang jernih ke dalam
dirinya apabila kaunselor dapat mengajak klien berdepan dengan realiti, seperti
yang dinyatakan pada petikan klien di bawah ini:
Saya nampak hikmahnya lah, kita marah itu kena fikir dulu
sebelum kita cakap...lepas itu banyak belajar macamana nak deal dengan orang,
cara komunikasi... banyak bendalah yang saya dapatkan (K7).
Selanjutnya cara kaunselor pelatih menggunakan pendekatan
meminta klien membina tingkahlaku sendiri telah dapat memberikan celik akal dan
membuka minda klien tersebut untuk memikirkan sendiri apakah yang sepatutnya
mereka lakukan untuk tindakan seterusnya dengan berlakunya permasalahan yang
dihadapi sekarang ini, seperti petikan proses kaunseling di bawah ini;
Bila kawan-kawan tak dapat buat kerja sesuai dengan
sepatutnya apa yang telah K7 lakukan untuk memperbaikinya?
Dengan rasa penuh percaya diri klien dapat membina
tingkahlaku sendiri untuk membantu menyelesaikan masalah yang sedang
dihadapinya, seperti ditunjukan pada petikan di bawah ini;
Kita dah buat pembahagian tugas sesuai dengan job
masing-masing tapi tidak berjalan... kadang-kadang dia orang selalu mengajak
saya untuk buat kerja mereka, kita ada kerja lain nak buat kan. Sebagai ketua
saya akan cuba lebih tegas lagi dan menggunakan pendekatan komukasi yang lebih
baik, serta cuba meminta pengalaman kepada orang-orang yang lebih senior
macamana nak selesaikan permaslahan ini...(K7).
Pendekatan yang sama juga digunakan oleh kaunselor pelatih
kepada klien K6 supaya dapat memikirkan dan membina tingkahlaku sendiri untuk
mencari jalan penyelesain permasalahan mereka, seperti petikan proses
kaunseling di bawah ini:
Menurut K6 apa yang boleh K6 buat supaya hal tersebut tidak
berlaku lagi?
Petikan di bawah ini adalah perkongsian oleh K6 tentang
tindakan yang akan dilakukan untuk keluar daripada permasalahan yang sedang dia
hadapi:
Itulah sekarang nak cari jalan penyelesain yang paling baik
macamana cara penyelesaian agar saya boleh buat kedua-duanya sekali, bukan
sahaja belajar saya juga nak berorganisasi, dalam masa yang sama pelajaran
tidak ditinggalkan. Kemudian boleh berkawan dengan siapa sahaja. Bial time
ibadat kita boleh juga.... masksudnya kita bioleh buat semualah ... (K6).
Kaunselor pelatih cuba mengukuhkan lagi tentang tindakan yang
akan diambil oleh klien K6 tersebut, seperti petikan di bawah ini:
Jadi maknanya K6 sekarang ini merasa bersalahlah ... tapi K6
ingin kalau boleh ikutlah dalam persatuan tersebut sebab banyak juga pengalaman
yang boleh K6 dapatkan melalui perstauan? Sekarang K6 dah nampak
permasalahanya... apa kira-kira jalan penyelesaian yang akan K6 lakukan
sekarang?
Dengan rasa yakin klien menyatakan beberapa tindakan yang
akan dilakukannya, seperti petikan di bawah ini:
Satu yang nampak adalah kena buang perasaan malas, nak
cubalah insya Allah tapi kadang-kadang sifat yang bertangguh-tangguh ini yang
menyebabkan jadi seperti ini. Bila muncul masalah saya cuba juga melawan... di
mana silapnya ini... kenapa saya jadi macam ini... lepas itu buat kerjalah
jangan bertangguh-tangguh kemudian di samping itu usaha disertai dengan
tawakal... selepas ini saya akan cuba buatlah...(K6).
Petikan-petikan di atas menggambarkan cara penerokaan yang
dilakukan oleh kaunselor pelatih dan keselesaan klien untuk meluahkan
permasalahan mereka. Dapatan di atas juga meaparkan telah memaparkan beberapa
teknik yang dilakukan oleh kaunselor pelatih supaya klien dapat berdepan dengan
realiti dan tindakan yang sepatutnya mereka lakukan agar dapat keluar daripada
permasalahan yang menghimpit dirinya. Pengkaji mendapati dengan teknik-teknik
dan pendekatan yang dicadangkan oleh Rogers dan Terapi Realiti telah memberikan
kesan yang positif kepada klien untuk dapat lebih cepat celik akal dalam
mencari jalan keluar permsalahan yang sedang mereka hadapi.
Setiap proses kaunseling adalah mengharapkan hasil yang
positif dan dapat memberikan perkembangan yang baik kepada klien. Paling tidak
sepanjang proses kaunseling berjalan kaunselor dapat memerhatikan kedaan klien
dengan proses kaunseing yang sedang dijalankan, sama ada membawa kebaikan
kepada klien ataupun sebaliknya menjadikan klien bertambah keliru ataupun
bertambah panik dengan permasalahan yang sedang mereka hadapi. Sepanjang proses kaunseling dilakukan selama 14 minggu
pratikum berjalan, dapatan kajian menunjukkan secara umumnya klien didapati
menunjukkan perkembangan yang positif dari sesi-sesi kaunseling yang
dijalankan. Perkara ini dapat dilihat daripada perkongsian klien semasa
perjalanan sesi dengan mereka. Seperti yang dikongsikan oleh klien K4 yang
menyatakan bahawa dia merasa nyaman menceritakan permasalahanya dengan
kaunselor kerana kaunselor memberikan tumpuan yang penuh kepada permasalahan
yang sedang dia kongsikan, seperti petikan di bawah ini;
Saya nampak ok, sebab kaunselor memberikan tumpuan
sepenuhnya kepada saya... kalau kaunselor tidak berikan tumpuan tentunya saya
malas nak bercakap dengan Puan kan. Saya nampak sesi ini berjalan dengan oklah
(K4).
Klien juga menyatakan bahawa proses kaunseling yang
dijalankan telah dapat merobah tanggapan dirinya terhadap proses kaunseling
yang sebenar, selama ini klien beranggapan bahawa kaunseling adalah untuk
orang-orang yang bermasalah, namun selepas sesi kaunseling dilakukan klien
menyatakan bahawa kaunseling sebenarnya merupakan wadah yang selesa kepada
individu untuk berkongsi, seperti petikan berikut ini:
Tanggapan saya berobahlah tentang kaunseling, saya dapat
melihat bahawa kaunseling bukan hanya untuk orang-orang yeng bemasalah, saya merasakan
sangat bagus untuk menaikan semangat kita balik dalam nak meneruskan kehidupan
keseharian, untuk motivation dan keyakinan diri (K7).
Klien K7 juga menceritakan pengalaman mereka bahawa
sebenarnya dirinya tidak pernah menceritakan masalahnya kepada orang lain,
klien menyatakan bahawa dirinya bukan hanya sekedar mendapat tempat untuk
meluahkan perasaan dengan selamat dan selesa, malah perkongsianyang dilakukan
telah memberikan semangat baru kepada dirinya untuk meneruskan kehidupanya
sebagai seorang pelajar di Universiti.
Contohnya macam hari ini kan, sebenarnya saya tidak pernah
berceritapun masalah ini dengan sesiapa kan, lebih banyak simpan sahaja. Macam
saya cerita dengan Puan tadi ... adalah rasa semangatlah... kalau lepas ini
pensyarah suruh buat bisnis lagi rasanya semangatlah nak buat. Tidak adalah
rasa tak nak buat (K7).
Selepas sesi kaunseling dijalankan secara umumnya klien
dapat melihat dirinya secara lebih terbuka dan memberikan tumpuan kepada
tindakan-tindakan yang sepatunya diambil untuk menyelesaikan masalahnya
sendiri:
Maknanya saya kena berikan tumpuan kepada mana-mana tugasan
yang perlu diselesaikan dulu. Nampaknya semua bergantung pada diri sendiri sama
ada kita nak ubah diri atau tidak. Macam keyakinan diri tadi, kita lebih kenal
dengan diri kita, kita tidak boleh ikut dengan apa yang orang lakukan, ... Saya
nampaklah jalan penyelesainya... Untuk keyakinan diri bercakap dengan orang
saya kena lebih banyak bercakaplah, ...may be saya tidak perlu bersembang
benda-benda yang merepek-repek kan. Pengurusan masa bergantung pada saya juga
kan, sama ada saya nak buat benda yang berfaedah tau benda yang tidak berfaedah
itu terpulang pada diri sendiri (K4).
Klien K4 juga menyatakan bahawa dirinya merasa senang dan
tidak takut lagi berhadapan dengan permasalahan yang dihadapi. K4 menyatakan
bahawa dirinya merasa senang dan selesa selapas dapat berkongsi dengan
kaunselor, seperti perkongsian di bawah ini:
Saya rasa dah tidak takut, saya rasa macam senang, selesa
saya dapat bercakap dengan kaunselor, saya tidak ada malu, saya boleh bercakap
saya boleh luahkan apa saya rasa, maca selesalah.
E. Perbincangan Dan Kesimpulan
Rogers berpandangan bahawa setiap individu perlu kepada need
for positive regard, iaitu keperluan asas untuk ingin rapat dengan orang lain,
keinginan untuk dihargai, diterima dan rasa cinta daripada orang lain.
Selanjutnya Rogers lebih melihat kepada masa sekarang, menurut beliau
sememangnya masa lampau mempengaruhi cara individu melihat masa sekarangnya,
namun secara umumnya individu lebih fokus kepada masa sekarang bukanya masa
lampau. Bagi beliau apabila seorang kaunselor dapat mewujudkan need for
positive regard dengan klien dan mampu membuka minda klien untuk dapat berdepan
dengan masa sekarang maka akan membuahkan hasil yang positif kepada klien
tersebut (Schultz, Duane 1991). Rogers dalam Amla, Zuria & Salleh (2006)
menyatakan bahawa sesebuah sesi kaunseling dan terapi dianggap berjaya apabia
seorang kaunselor dapat mewujudkan hubungan yang teraputik dan klien
menunjukkan rasa tanggungjawab dan celik akal untuk dapat keluar daripada
permasalahan sendiri. Kajian Patricia (tanpa tahun) yang bertajuk Walk And
Talk: An Intervention For Behaviorally Challenged Youths yang dilakukan kepada
lapan orang pelajar di Canada mendapati bahawa intervensi yang teraputik
menggunakan teknik Rogerian telah menunjukkan manfaat yang positif kepada
pelajar di Canada.
Dapatan kajian ini telah menunjukkan penggunaan pendekatan
Rogerian dan Terapi Realiti telah memberikan kesan yang positif dalam membantu
klien. Hasil kajian juga menunjukkan pendekatan tersebut telah dapat memberikan
celik akal kepada klien untuk dapat berdepan dengan realiti diri sendiri dan
boleh merancang tingkahlaku baru agar mereka tidak terlalu hanyut dengan
permasalahan yang dihadapi. Dapatan ini selari dengan pandangan Palmatier
(1998) yang menyatakan bahawa pendekatan Terapi Realiti sememangnya efektif
bagi kaunselor untuk mengajak klien berdepan reality kehidupan mereka.
Pandangan tersebut dikukuhkan lagi oleh Yarbrough & Thompson (2002) yang
menyatakan Reality therapy are popular, short-term, counseling interventions
school counselors use in counseling students for a variety of problems. Ahmad
Jazimin, Zuria & Noriah (2008) juga mendapati bahawa kaunselor-kaunselor di
Malaysia mengakui kesesuaian pendekatan tersebut dalam membantu klien, namun
terdapat kekangan bagi mereka untuk menggunakan pendekatan berkenaan kerana
kurang mempunyai kemahiran dalam menggunakan pendekatan tersebut. Menurut
mereka sememangnya diperlukan latihan khusus kepada kaunselor untuk dapat mahir
dengan pendekatan ini. Ini selari dengan pandangan Zakaria (2007) yang
menyatakan bahawa kaunselor di Malaysia sememangnya perlu mempertingkatkan lagi
pengetahuan dan kemahiran mereka, serta mereka perlu meluangkan masa untuk
sentiasa dapat praktis menggunakan pelbagai pendekatan di dalam sesi (Zuria
2005).
F. Rumusan
Kematangan dan kemahiran kaunselor dalam sesebuah pendekatan
kaunseling sememangnya dapat membantu klien dengan berkesan. Akan menjadi lebih
baik lagi apabila kaunselor dapat meramu dan menggabungkan kepelbagaian
pendekatan yang mereka fahami itu dalam satu masa sesi kaunseling secara
bersamaan. Kemahiran kaunselor sedemikian akan meberikan keyakinan kepada klien
untuk berkongsi pelbagai permasahan yang mungkin mereka hadapi, kerana dirinya
merasa yakin akan mendapat perkhidmatan yang berkesan daripada kaunselor yang
membantu dirinya.
Rujukan
- Ahmad Jazimin Jusoh. 2007. Aplikasi terapi realiti dalam sesi kaunseling. Kertas kerja yang dibentangkan pada bengkel kaunseling sekolah kebangsaan pada Oktober 2007. Anjuran USIM, UKM, Kementerian Pelajaran Malaysia dan PERKAMA.
- Ahmad Jazimin Jusoh, Zuria Mahmud, Noriah Mohd Ishak. 2008. The patterns of reality therapy usage among malaysian counsellors. International Journal of Reality Therapy, vol.28, hlm. 1-12.
- Amir Awang. 1987. Teori dan amalan psikoterapi, Ed. Ke-1. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia.
- Amla Salleh, Zuria Mahmud & Salleh Amat. 2006. Bimbingan dan kaunseling sekolah. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Corey, G. 2005. Theory and practice of counseling & Psychotherapy, 7th. Australia: Thomson Brooks/Cole.
- Creswell, J. W. 2007. Research design: qualitative & quantitative approaches. Thousand Oaks California: SAGE Publications.
- Glasser, W. Wubbolding, R.E. 1995. Reality therapy. Dlm. Current Psychotherapies, Fifth Edition, hlm. 293-321, sunt. R. J. Corsini & D. Wedding. Itasca: III: F. E Peacock.
- Majid Konting, M. 2005. Kaedah penyelidikan pendidikan. Kuala umpur; Dewan Bahasa dan Pustaka.
- McLeod, J. 2006. Pengatar konseling teori dan studi kasus. Terj. A.K. Anwar. Jakarta: Kencana Prenada Media Group.
- Myrick, R. D. 2001. Bimbingan dan kaunseling perkembangan: Pendekatan yang praktis. Terj. Zuraidah Abd. Rahman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Muhd. Mansur, A. 1997. Kaunseling teori, proses dan kaedah. Ed.2. Selangor: Fajar bakti Sdn. Bhd.
- Noriah Mohd. Ishak, Zuria Mahmud & Salleh Amat. 2005. Hubungan dual di kalangan kaunselor: satu kajian kes. Jurnal PERKAMA, vol. 11, hlm. 37-60. Kuala Lumpur: Persatuan Kaunseling Malaysia.
- Otman Mohamed. 2005. Prinsip psikoterapi dan pengurusan dalam kaunseling. Ed. Ke- 2. Serdang: Univirsiti Putera Malaysia.
- Pafilo, W. B. 2005. Art based therapy in the treatment of eating disorder, Eating disorder, vol. 12, hlm. 1107-1111.
- Palmatier, L.L. 1998. Crisis counseling for a quality school community:Applying William Glasser's choice theory. United States of America: Taylor and Francis.
- Paw Eng See, Noriah Mohd Ishak & Salleh Amat. 2008. Lukisan sebagai proses diagnosis dan intervensi rawatan dalam sesi kaunseling. Jurnal PERKAMA, vol.14. hlm. 1-22. Kuala Lumpur: Persatuan Kaunseling Malaysia.
- Rohany Nasir. 2006. Pendekatan dan peranan kaunselor dalam intervensi krisis. Dlm Rohany Nasir & Fatimah Omar. (pnyt.). Kesejahteraan manusia perspektif psikologi. Hlm. 195-206. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Sapora Sipon & Ruhaya Hussin. 2008. Teori kaunseling dan psikoterapi. Negeri Sembilan: Universiti Sains Islam Malaysia.
- Schultz, D. 1991. Psikologi pertumbuhan: model-model keperibadian sehat. Jogjakarta: Kanisius.
- Sidek Mohd. Noah. 2002. Reka bentuk penyelidikan faslafah, teori dan praktis. Selangor: Universiti Putera Malaysia.
- Suradi Salim. 1996. Bimbingan dan kaunseling. Kuala Lumpur: Utusan Publication and Distribution Sdn Bhd.
- Yarbrough, Jamie L., Thompson, Charles L. 2002. Using Single-Participant Research To Assess Counseling Approaches on Children's Off-Task Behavior. Professional School Counseling. Vol. 5.
- Zakaria Mohamad. 2007. Pola pengetahuan, kefahaman dan penggunaan teori di kalangan kaunselor di Malaysia. Tesis Dr. Falsafah, Fakuiti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
- Zuria Mahmud. 2005. Keperluan kaunselor sekolah menjalankan sesi kaunseling. Kertas kerja Persidangan Kaunseling Universiti Malaya. Anjuran Jabatan Pendidikan dan Kaunseling dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Fakuiti Pendidikan, Universiti Malaya, 28-29 November.
No comments:
Post a Comment