PERANAN KAUNSELING DALAM KES-KES KEKELUARGAAN:
KAJIAN DI PEJABAT AGAMA ISLAM DAERAH HULU LANGAT SELANGOR (Bhg 1)
PENGENALAN KAUNSELING
DAN KEPENTINGANNYA
PERMASALAHAN KAJIAN
Permasalahan kajian yang
ingin dirungkai oleh penyelidik ialah perbezaan yang berlaku di antara Mazhab
Syafie dan Mazhab Hanafi dalam menentukan halal haram dalam pemakanana. Secara
umumnya, apa yang berlaku pada zaman yang serba moden dan berteknologi sekarang
ini, masyarakat kurang mengambil peduli tentang perbezaan dan percanggahan di
antara Mazhab Sunni tersebut sehingga masyarakat tidak dapat membezakan
pendapat mazhab yang mana satu mereka pegang.
Pada dasarnya, terdapat
banyak perbezaan dan percanggahan pendapat yang berlaku di kalangan Mazhah
Syafie dan Mazhab Hanafi bekenaan halal dan haram dari sudut pemakanan. Maka
dengan ini, penyelidik akan mengkaji kaedah yang diguna pakai oleh Mazhab
Syafie dan juga kaedah yang diguna pakai oleh Mazhab Hanafi seterusnya membuat
perbandingan di antara keduanya. Penyelidik juga berminat dengan tajuk ini
kerana masih belum ada sesiapa yang mengkaji dan membuat perbandingan diantara
kedua-dua mazhab ini berkenaan halal haram dari sudut pemakanan.
1.2 LATAR BELAKANG
KAJIAN
Institusi keluarga
adalah sebuah pusat yang menjadi asas pembentukan organisasi sosial yang
tersusun, aman, maju serta cemerlang dalam apa juga lapangan kehidupan.
Pembinaan institusi keluarga yang sempurna melambangkan bangsa yang aman dan
makmur. Sebaliknya keruntuhan institusi keluarga membayangkan keadaan huru-hara
dan ketidakstabilan sesebuah bangsa dan negeri itu sendiri. Oleh yang demikian
bantuan dari aspek kaunseling amat diperlukan untuk mengekalkan keutuhan
institusi keluarga.
2.1 PENDAHULUAN
Banyak telah
diperkatakan dalam media cetak dan elektronik tentang bagaimana kaunseling
seharusnya digunakan untuk menangani masalah sosial seperti keruntuhan unit
keluarga, keruntuhan institusi perkahwinan, penderaan kanak-kanak dan
sebagainya. Hal ini menyebabkan timbulnya pelbagai salah anggap, salah tafsir
dan salah penggunaan terhadap kaunseling itu sendiri. Telah timbul dalam
masyarakat kita hari ini pelbagai jenis kaunseling saperti kaunseling
perkahwinan, kaunseling keluarga dan kaunseling remaja tanpa meneliti terlebih
dahulu adakah pengendaliannya dijalankan dengan betul. Adakah aktiviti itu
dinamakan kaunseling kerana aktiviti itu melibatkan pemberian pertolongan? Bab
2 ini cuba membincangkan tentang maksud kaunseling yang diberikan oleh pakar
yang menghuraikan dan mendefinisikannya dan sejauh mana teori kaunseling Barat
mempunyai persamaan atau bercanggah dengan teori kaunseling Islam serta
kepentingan kaunseling dalam kehidupan manusia seharian terutamanya dalam bab
kekeluargaan.
2.2 DEFINISI KAUNSELING
Kaunseling adalah salah
satu proses menolong tetapi bukan merupakan aktiviti memberi nasihat sahaja.
Dalam proses menolong itu, kaunselor perlu membina satu perhubungan
professional dengan kliennya dan membimbingnya supaya menjadi lebih memahami
mengenai dirinya, kebolehannya, kemampuan dan keupayaannya.
Dalam proses ini juga
klien akan dibimbing supaya menjadi lebih peka tentang interaksi dan tindak
balas dengan masyarakat dan suasana yang mempengaruhi hidupnya. Dengan
kesedaran ini, klien akan memahami realiti hidupnya lalu bolehlah ia membuat
rancangan untuk masa depan.
Segala keputusan dan
pilihan yang klien itu buat bukanlah datang daripada kaunselor tetapi daripada
klien itu sendiri. Peranan kaunselor adalah untuk membimbing kliennya dalam
proses membuat keputusan dan pilihan.
Perkataan kaunseling
berasal daripada perkataan Inggeris iaitu coun’sel dan digunakan dengan perkataan
counseling atau counselling yang bermaksud nasihat, teguran, ingatan atau
memberitahu. Dalam Dictionary of Psychology (1991:99) menjelaskan kaunseling
ialah perbincangan dengan seseorang yang menghadapi masalah dan dinasihati oleh
seseorang sama ada dia seorang pakar atau tidak.
Manakala kaunseling
menurut Kamus Dewan ialah proses teratur yang melibatkan perbincangan yang rapi
tentang masalah yang dihadapi oleh seseorang dan usaha mengatasi atau
menyelesaikannya menerusi bimbingan dan nasihat.
Menurut Blocher
(Shertzer & Stone,1974 ), kaunseling adalah satu proses interaksi yang
menggerakkan pemahaman yang bermakna terhadap diri dan persekitaran dan
menghasilkan pembentukan atau penjelasan matlamat dan nilai terhadap perubahan
tingkah laku.
Menurut Burks dan
Stefflre (George & Cristiani, 1990) pula, kaunseling melambangkan satu
perhubungan yang professional di antara seorang kaunselor yang terlatih dengan
seorang klien. Perhubungan ini kadangkala melibatkan lebih daripada dua
individu. Ianya bertujuan membantu klien memahami dan menjelaskan pandangan
mereka terhadap ruang kehidupan dan belajar mencapai matlamat yang mereka
tentukan sendiri melalui pemilihan-pemilihan yang bermakna dan melalui
penyelesaian masalah yang berbentuk emosional atau antara individu.
Blocher (1974)
mengatakan kaunseling merupakan satu proses menolong individu supaya lebih
sedar tentang dirinya dan bagaimana ia bergerak balas kepada pengaruh-pengaruh
alam sekelilingnya. Ia menolong individu membentuk satu pengertian peribadi
bagi tingkah lakunya dan juga mengembangkan serta menjelaskan satu set matlamat
dan nilai untuk tingkah laku pada masa hadapan.
Menurut Pepinsky,
kaunseling ialah suatu proses yang membabitkan interaksi antara seorang
kaunselor dengan kliennya. Interaksi ini berlaku dalam keadaan sulit, dengan
tujuan membantu klien mengubah tingkah lakunya sehinggalah resolusi yang
diambilnya memuaskan kehendaknya. Pepinsky juga menekankan bahawa sesi hubungan
antara klien dengan kaunselor barlaku dalam suasana yang tertutup, sulit, tidak
dilihat dan didengari oleh orang lain.
Krumboltz (George &
Cristiani, 1990) mentakrifkan kaunseling merangkumi aktiviti-aktiviti yang
beretika yang dilakukan oleh seorang kaunselor dalam usaha membantu klien
melibatkan diri dengan jenis-jenis tingkah laku yang akan menghasilkan
penyelesaian kepada masalah klien.
Persatuan Kaunseling
Malaysia (PERKAMA) pula telah membantu Majlis Kaunseling Kebangsaan
mendefinisikan kaunseling dalam Rang Undang-undang Akta Kaunselor 1996 sebagai
suatu proses menolong yang sistematik berasaskan ilmu psikologi tentang manusia
agar lebih memahami diri dan persekitarannya (sumber-sumber dalaman dan luaran)
ke arah memperolehi satu keputusan untuk menyelesaikan masalah dan menyesuaikan
dirinya dengan baik.
Carls Rogers dalam
bukunya Counseling and Psychotheraphy menyebut kaunseling itu sebagai satu
proses pembetulan diri untuk berkembang secara biasa dengan pertolongan pakar
dan dapat pula menerima pengalaman yang belum pernah dirasai supaya ia dapat
disesuaikan dengan diri seseorang itu.
Huraian di atas
menjelaskan bahawa kaunseling bukan khidmat nasihat walaupun terdapat nasihat
yang diberikan. Hubungan kaunseling adalah berbentuk dua hala. Kaunselor cuba
memahami dengan mendengar dan memberikan layanan serta berinteraksi dengan
baik. Manakala klien memperihalkan masalah mereka dan cuba memahami dan
mengambil tindakan mengurus masalah tadi. Proses aksi dan reaksi antara
kaunselor dengan klien turut membantu klien mengenali diri dan persoalan yang
dihadapinya.
Dalam konteks kaunseling
Islam, keputusan atau pemilihan klien hendaklah berdasarkan kepada ajaran
al-Quran, hadis, sunnah Nabi, dan ijmak ulama’. Ini disebabkan manusia yang
bersifat lemah boleh membuat keputusan atau pilihan sendiri secara sedar dan
terbuka, tetapi tidak terkeluar daripada keredhaan Allah. Dalam melakukan
sesuatu, kita tidak boleh lupa daripada mengingati Allah. Allah yang kita
sembah dan kepada-Nyalah kita meminta hidayat dan pertolongan. Sebagaimana
firman Allah s.w.t :
Maksudnya:
“Berdoalah kamu
kepadaKu, nescayai Aku perkenankan doa permohonan kamu.”
Definisi kaunseling
mengikut perspektif Islam menurut Aziz Salleh (1996) misalnya menyatakan bahawa
kaunseling merupakan suatu khidmat perhubungan di antara seorang klien yang mempunyai
masalah psikologikal dengan seorang kaunselor terlatih untuk membantu klien
bagi mengatasi masalah yang dihadapi. Suradi Salim (1996) menyatakan kaunseling
sebagai hubungan peribadi bersemuka antara dua orang, yang seorang ialah
kaunselor dan seorang lagi ialah klien. Kaunselor, melalui hubungan dan dengan
menggunakan kemahiran khususnya menyediakan satu situasi dan suasana, apabila
klien seorang yang normal dibantu memahami atau mengetahui masa hadapannya
supaya dia boleh menggunakan sifat-sifat keperibadiannya dan potensinya dengan
cara memuaskan dirinya dan memberikan faedah kepada masyarakat dan selanjutnya
mempelajari cara-cara menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluannya pada masa
akan datang.
Dari perspektif Islam,
kaunseling keluarga merupakan proses membantu yang dilakukan oleh seorang
kaunselor terhadap ahli keluarga yang mengalami konflik. Proses kaunseling yang
terlibat masih sama dengan kaunseling individu. Namun apa yang membezakannya
ialah proses membantu ini akan mengalami beberapa tahap awal seperti kaunseling
individu bersama kedua-dua pihak yang berkonflik terlebih dahulu. Tujuannya
adalah untuk mengumpul maklumat berkenaan konflik dari perspektif diri klien
secara individu sebelum menyatukan mereka dalam satu sesi yang dipanggil
kaunseling keluarga.
2.3 TEORI KAUNSELING
ISLAM DAN BARAT
Seorang kaunselor sama
ada sedar atau tidak sedar mempunyai pendekatan yang tertentu dalam
melaksanakan kaunseling. Mereka berpegang kepada salah satu teori untuk menjadi
panduan dalam kerja-kerjanya. Teori kaunseling juga dijadikan sebagai panduan
bagi manusia memahami manusia serta keperluannya. Oleh itu teori merupakan
nilai dan kepercayaan manusia terhadap manusia sendiri dan menterjemahkan
kepada prinsip dan pendekatan yang boleh diikuti.
Kebanyakan teori
kaunseling dan psikoterapi boleh digunakan di dalam proses kaunseling keluarga
kerana institusi keluarga terdiri daripada individu atau kelompok. Teori hanya
menyediakan asas untuk sesiapa yang terlibat dalam memberi pertolongan yang sistematik
untuk dijadikan panduan. Keperluan klien, pengalaman dan personaliti akan
membantu kaunselor membina pendekatan dan teori yang sesuai untuk dipraktikkan.
Chenault (1968)
mengatakan, “teori kaunseling adalah lebih daripada sekadar hubungan antara
teori personality dengan amalan kaunsling. Namun, pendekatan-pendekatan kepada
kaunseling ini yang dikenali sebagai teori kaunseling kaunseling adalah tidak
sesuai sebagai definisi-definisi teori semasa dalam sains tingkah laku.”
Manakala Landsman (1967)
menyatakan pula bahawa teori kaunseling bukanlah semata-mata sebagai satu
cabang dunia sains tetapi ia juga mempersembahkan semacam hubungan erat antara
penggunaan teori pembelajaran itu sendiri. Wolberg (1965) menegaskan pula,
“teori-teori yang lahir daripada beratus-ratus tatacara itu adalah berdasarkan
kepada spekulasi, di mana spekulasi ini pula merupakan perniagaan layan diri.
Carkhuff (1966)
menyetujui pendapat ahli-ahli psikologi yang lain dengan mengatakan bahawa
seharusnya ada suatu pemusatan dimensi yang harus dinikmat bersama oleh
kaunseling dan proses teraputik yang mengusulkan beberapa faedah rawatan yang
boleh memberikan manfaat kepada interaksi kaunselor-klien dan sesiapa juga yang
saling berkenaan.
Antara teori-teori utama
yang sesuai untuk digunakan dalam kaunseling keluarga ialah teori tingkah laku
yang diperkenalkan oleh Skinner, teori psikoanalisis yang diperkenalkan oleh
Sigmund Freud, teori rasional emotif oleh Albert Ellis dan teori pemusatan
insan oleh Rogers. Semua teori di atas berlandaskan kepada teori yang datangnya
dari Barat.
2.3.1 Teori Tingkah laku
Kesemua teori mempunyai
matlamat untuk mengubah tingkah laku maladaptif klien kepada tingkah laku
adaptif melalui proses membina kembali struktur perhubungan di antara individu
secara berkesan. Teori ini mengubah tingkah laku klien melalui proses pembelajaran
dan latihan yang sistematik.
Masalah tingkah laku
timbul kerana faktor berikut seperti hukuman yang berlebihan, kurang peneguhan
positif dan peneguhan terhadap tingkah laku yang tidak sesuai, konflik
personaliti dan tingkah laku salah terima.
Teori tingkah laku
merupakan teori yang berorientasikan teknik. Kaunselor bebas menggunakan
mana-mana teknik yang difikirkan sesuai dengan masalah kilen . Beberapa teknik
tingkah laku adalah seperti berikut:
a) Latihan bertenang
(Relaxation Training)
Teknik ini sesuai untuk
klien yang sedang menghadapi ketegangan. Klien diajar bersantai dalam suasana
tenang dan berkeadaan pasif menegang dan mengendurkan otot-otot seluruh badan.
Klien dilatih merasai ketegangan dan kekenduran otot-otot. Latihan cara-cara menarik
dan melepaskan pernafasan juga diajar. Mereka juga dilatih membayangkan
gambaran-gambaran yang memberi ketenangan dan kerisauan mengikut mana yang
dipersetujui. Latihan-latihan dilakukan setiap hari sehingga menjadi amalan
harian.
b) Penghapusan deria
secara bersistem (Desensitiasi bersistem)
Klien diajar untuk
menghapuskan kerisauan dan tindakan mengelakkannya. Kaunselor dan klien
menganalisis perasaan risau dan takut yang dialami oleh klien dan
keadaan-keadaan yang boleh mendatangkan kerisauan atau ketakutan. Situasi
kemudiannya disusun mengikut yang paling kuat membangkitkan rasa risau di atas
sekali dan yang paling lemah di bawah sekali. Rasa risau ini kemudiannya
dipadankan dengan keadaan yang bertentangan iaitu bertenang. Klien diajar
bertenang sambil memadamkan situasi yang paling lemah dahulu dan kemudian
meningkat kepada situasi yang lebih kuat sehingga rasa risau klien dapat
diatasi.
c) Modeling
Modeling boleh digunakan
dalam pelbagai keadaan. Ianya dapat memberikan tindak balas baru dalam kemahiran
dan penampilan diri terhadap perasaan takut dan mengamalkan apa yang
dipelajari. Modeling dijalankan dengan memerhatikan tingkah laku ataupun cara
orang lain. Secara langsung, kaunselor mengajar klien tingkah laku yang ingin
dipelajari. Secara tidak langsung, modeling boleh dilaksanakan melalui filem,
video atau alat perakam. Dalam kaunseling kelompok, ahli boleh menjadi model
kepada klien. Di antara masalah yang boleh ditangani melalui kaedah modeling
ialah cara berinteraksi dengan orang lain dan masalah perhubungan suami isteri.
d) Pembentukan
Pembentukan ialah proses
melaksanakan sesuatu tingkah laku secara berperingkat-peringkat. Contohnya
pasangan suami isteri belajar bercakap dan bertindak dengan lebih erat. Suami
bermain dengan anak kecil sambil isteri memasak apabila sama-sama balik dari
bekerja. Kemudian isteri memandikan dan menyiapkan anak sambil suami mandi dan
bersiap. Selepas itu isteri pula mandi dan bersiap dan suami memberi anak
makan. Suami isteri kemudiannya makan bersama-sama dan berbual-bual.
e) Pelaziman klasik
Pelaziman klasik ialah
kaedah yang tertua dalam menangani tingkah laku bermasalah, rangsangan
digunakan dan tindak balas yang diberikan bertujuan menghasilkan peneguhan
terhadap tingkah laku yang diingini. Contohnya apabila anak mengenakan
pakaiannya dengan betul, ibu menepuk belakangnya sambil memujinya serta merta.
Pujian ini mengajar anak bahawa tingkah laku yang baru dilakukan adalah baik
dan perlu diteruskan.
f) Tunjuk ajar
Melalui kaedah ini,
kaunselor mengajar klien melakukan sesuatu untuk mendapatkan tindak balas dari
orang lain. Contohnya suami dan isteri inginkan pasangan memberikan perhatian
dan mendengar apa yang hendak dikatakan. Isteri diajar bercakap dengan suami.
Apabila isteri sedang bercakap, suami mesti melihat ke arah isteri dan
mendengarnya sehingga dia habis bercakap, barulah suami boleh menjawab.
g) Penghapusan
Penghapusan ialah proses
melenyapkan amalan peneguhan yang tidak sesuai kerana mendatangkan masalah.
Ianya melibatkan proses menurunkan kadar atau kekerapan tingkah laku dengan
cara mengalihkan peneguhan yang menggalakkan tingkah laku berlaku. Lazimnya
kaedah ini dilakukan secara gabungan dengan teknik-teknik lain supaya tingkah
laku yang dihapuskan dapat digantikan dengan tingkah laku baru yang lebih
sesuai. Bagi mengalihkan peneguhan dan menghapuskan tingkah laku yang
ditetapkan, pemimpin dan ahli lain mengambil langkah tidak endah sekiranya ahli
yang bermasalah terus mempamerkan tingkah laku itu. Ahli hanya diberi perhatian
selepas dia meninggalkan tingkah laku itu ataupun menggantikannya dengan
tingkah laku baru. Contohnya anak yang mengamuk di khalayak ramai kerana
menginginkan sesuatu permainan di kedai. Ibu dilarang membelikan permainan
tersebut dan membiarkan anak menangis. Kemudian, apabila keadaan sudah reda,
satu perjanjian boleh dibuat dengan anak sekiranyan inginkan permainan
tersebut.
h) Peneguhan positif
Dalam suasana kelompok,
ahli membantu memberi peneguhan antara satu sama lain bagi mengubah tingkah
laku yang tidak diingini. Peneguhan positif sama ada dalam bentuk lisan seperti
galakan, pujian dan lain-lain ataupun bukan lisan seperti pelukan, senyuman dan
lain-lain adalah digalakkan dalam kelompok. Peneguhan positif dalam bentuk
kebendaan seperti makanan, wang mahupun senyuman atau pujian yang boleh
meningkatkan tindakan atau tingkah laku yang diingini. Contohnya kanak-kanak di
peringkat sekolah rela melakukan sesuatu tugasan di rumah seperti mengelap
lantai apabila diberikan ganjaran wang. Orang dewasa pula biasanya akan
meningkatkan sesuatu tingkah laku apabila dipuji atau diberi senyuman.
i) Quid Pro Quo (sesuatu
untuk sesuatu)
Ungkapan bahasa Latin
ini bermaksud ‘sesuatu untuk sesuatu’. Perjanjian di antara suami isteri dalam
melaksanakan tugasan harian di rumah merupakan contoh yang sesuai menggunakan
kaedah ini. Suami mahu membasuh dan melipat kain jika isteri memasak dan
mengemas dapur. Senarai tugasan seperti ini boleh ditulis dan dilaksanakan
bersama.
j) Timbal balik
Teknik timbal balas
mengandaikan bahawa dua insan memberi peneguhan sesame sendiri yang berterusan.
Contohnya seorang isteri yang mengemas dengan teliti tetapi tidak menerima
apa-apa penghargaan dari suaminya, akan bertindak sebaliknya dan membiarkan
rumahnya berselerak.
k) Tempoh pengasingan
Pengasingan dilakukan ke
atas kanak-kanak yang tidak menunjukkan kelakuan yang sesuai dengan keadaan
pada masa ini. Pengasingan seketika (misalnya selama lima minit) bertujuan
menghapuskan kelakuan atau tindakan tersebut. Contohnya kanak-kanak yang merampas
alat permainan orang lain ketika bermain, dibawa keluar dari ruang permainan
setiap kali kelakuan ini diulangi. Kaedah ini digandingkan dengan memberi
ganjaran dalam bentuk kebendaan atau pujian jika kanak-kanak tersebut menepati
janjinya tidak mengulangi kelakuan yang tidak diingini.
l) Membentuk carta
Pembentukan carta yang
lengkap dan terperinci dilakukan oleh klien terhadap sesuatu tingkah laku yang
bermasalah. Ini bertujuan untuk mawujudkan ‘baseline’ mengenai kekerapan
berlakunya tingkah laku yang bermasalah untuk membantu memulihkannya. Contohnya
suami dan isteri diminta mencatatkan setiap pergaduhan yang berlaku antara
mereka.
2.3.2 Teori
Psikoanalisis
Teori psikonalisis
digunakan dalam kaunseling keluarga untuk menyedarkan bahawa pengalaman masa
lampau mempengaruhi diri mereka sekarang. Pengalaman ini wujud secara tidak
disedari. Halangan yang mencengkam keluarga dan ahli-ahlinya secara tidak sedar
dapat dibebaskan supaya keluarga dapat berfungsi berlandaskan kenyataan masa
kini.
Matlamat psikoanalisis
adalah untuk membentuk semula watak individu agar segala tingkah laku terpendam
di alam tidak sedar dapat dialami di alam sedar. Selain itu, teori ini
menekankan konsep id, ego dan superego yang menentukan keseimbangan diri
manusia. Matlamat kedua pula ialah mencari pengalaman masa lau bagi memandu dan
membentuk peringkat kefahaman kendiri yang diperlukan untuk membuat perubahan
perwatakan. Antara teknik kaunseling yang diperkenalkan ialah:
a) Analisis mimpi
Ahli-ahli dalam keluarga
berbincang tentang mimpi mereka untuk mengesan keperluan yang tidak /belum
dipenuhi. Contohnya seseorang ibu bermimpi selalu diketepikan mungkin ingin
didengari dan diberi penghargaan. Strategi untuk memberi perhatian dan
menghargai ibu perlu dibuat oleh keluarga seperti berbincang dengannya mengenai
percutian, memberi hadiah pada hari perayaan tertentu.
b) Riwayat keluarga
Riwayat hidup keluarga
yang diterokai dalam sesi kaunseling dapat memberi perbandingan pola interaksi
dahulu dan sekarang dalam kehidupan keluarga berkenaan. Ahli keluarga mentaksir
teknik ini sebagai keperihatinan dan penerimaan kaunselor tanpa syarat. Ini
mengukuhkan lagi kepercayaan keluarga sebagai klien terhadap kaunselor. Klien
juga diberikan celik akal mengenai riwayat mereka sendiri. Celik akal bermaksud
kesedaran atas punca masalah yang sedang dihadapi. Dengan adanya celik akal ,
ahli dapat membetulkan struktur personalitinya terutama ego supaya dapat
mengawal id dan superego supaya beroperasi dengan lebih berkesan dalam realiti
kehidupan.
c) Perkaitan bebas
Perkaitan bebas adalah
teknik apabila ahli diminta menyatakan apa sahaja yang tergambar di fikirannya
tanpa mengira sama ada ia menyakitkan, tidak logik, ataupun tidak relevan. Ahli
kelompok disuruh membuat perkaitan bebas dengan memberi mereka sesuatu isu
ataupun sekadar membuat perkaitan bebas berkaitan satu sama lain. Perkaitan
bebas sesama ahli dapat dilaksanakan selepas hubungan yang baik terbentuk di
kalangan ahli. Dalam hal ini, perkaitan bebas dilakukan dalam bulatan. Ini memberi
peluang kepada setiap ahli bagi memberi pendapatnya berkaitan setiap ahli dalam
kumpulan. Perkaitan bebas selalunya dilakukan secara spontan dan tidak
berstruktur.
2.3.3 Teori Rasional
Emotif
Kaedah Rasional Emotif
mengandaikan bahawa manusia boleh berfikir secara rasional dan tidak rasional.
Gangguan dan masalah psikologi berpunca dari pola pemikiran yang tidak betul,
tidak tepat, tidak rasional dan tidak logik. Pemikiran ini menjadi sebahagian
daripada sistem kepercayaan asas individu yang bermasalah. Pemikiran begitu
menyebabkan gangguan emosi/psikologi yang boleh menjadikan individu itu
neurotik. Fikiran yang tidak rasional ini adalah hasil daripada pengalaman,
pembelajaran dari ibu bapa, keluarga, jiran, rakan dan kebudayaan
masyarakatnya.
Selain itu, teori ini
juga melihat manusia mempunyai kecenderungan negatif seperti memusnahkan diri,
mengulangi kesalahan, mempunyai kepercayaan karut dan sebagainya. Kaunseling
dapat menyusun semula persepsi dan fikiran yang tidak rasional kepada rasional dan
logik kerana fikiran tidak rasional ini berpunca dari individu, bukan dari
peristiwa yang terjadi. Matlamat teori ini adalah untuk mencapai kesederhanaan
yang boleh dicapai daripada perkara-perkara yang tidak rasional kepada yang
rasional dan daripada yang tidak realistik kepada realistik.
Matlamat teori ini ialah
memininmakan pandangan klien yang membawa kepada kekalahan diri dan memperolehi
falsafah hidup yang lebih realistik dan toleransi. Adalah diharapakan dengan
berubahnya pemikiran, klien akan wujud dalam individu sebahagian daripada
perkara-perkara berikut: (i) minat terhadap diri sendiri dan ada kepercayaan;
(ii) minat untuk hidup bermasyarakat; dan (iii) sedia suka mengambil risiko
yang berpatutan.
Teknik-teknik yang
digunakan di dalam teori rasional emotif ini dilakukan melalui arahan dari
kaunselor :
a) Secara kognitif
Kaedah kognitif
bertujuan mengajar klien menguruskan sistem kepercayaan yang tidak rasional dan
menerima hakikat sebenar walaupun pahit.
i. Mengajar
ii. Tugasan kognitif
Kaunselor menyuruh klien
memikirkan semula kepercayaan yang ada pada dirinya dan dilihat secara tidak
rasional kepercayaan tersebut sehingga klien dapat rasionalkan pemikirannya.
Dengan cara ini, klien berupaya mengubah sistem kepercayaan yang mendatangkan
kerisauan kepada bentuk yang rasional dan boleh melenyapkan kerisauannya.
iii. Biblioterapi
Teknik biblioterapi
menggunakan bahan-bahan pendidikan seperti buku, rencana atau buletin mengenai
masalah yang sama seperti yang dihadapi klien. Ianya bertujuan menyedarkan
klien bahawa ada orang lain yang menghadapi masalah yang sama. Contohnya ibu
atau bapa tunggal dan anak-anak mereka berasa lega apabila menyedari ada orang
lain seperti mereka. Buletin dan buku panduan boleh membantu memberi panduan
kepada mereka.
iv. Deduktif
v. Menggunakan
pernyataan kendiri yang baru
Kaunseling mengajar
klien menggunakan penyataan diri yang baru dengan tujuan menghapuskan
kepercayaan diri yang tidak betul.
vi. Berdebat/ menghujah
Kaunselor mengajak klien
berdebat atau berhujah mengenai kepercayaan klien yang tidak rasional sehingga
dapat diterimanya iaitu dirasionalkan
vii. Memberikan
pendidikan dan penerangan
viii. Memberi cadangan
b) Secara emotif
Kaedah ini bertujuan
mengubah teras nilai klien dengan berbagai-bagai cara untuk menyatakan perasaan
di antara klien dengan orang yang terlibat.
i. Main peranan
ii. Modeling
iii. Pernyataan/
pendedahan kendiri
iv. Latihan
“shame-attacking”
Latihan ini digunakan
bersama dalam kaedah main peranan. Ianya memperlihatkan ahli keluarga (klien)
mengambil tindakan yang selamat tetapi sukar dan enggan dilakukan sebelumnya.
Misalnya meminta wang saku tambahan. Klien tahu bahawa tanpa wang ini dia masih
boleh terus hidup.
c) Secara tingkah laku
Teknik ini digunakan
untuk menolong klien mengubah kaedah yang tidak berdaya untuk berfungsi dan
mengganti hanya dengan usaha untuk membiasakan diri dengan cara baru. Kaunselor
mengajar klien untuk mengambil risiko dan melibatkan diri dalam aktiviti baru.
2.3.4 Teori Pemusatan
Insan
Teori pemusatan insan
pula melihat manusia mampu berkembang secara positif dan membina jika wujud
perasaan percaya mempercayai dan hormat-menghormati. Manusia memang dari mula
lagi mempunyai kecenderungan untuk berkembang peringkat demi peringkat menuju
ke arah kesempurnaan sendiri. Bagi membolehkan manusia berkembang mesti wujud
tiga perkara iaitu kekongruenan, empati beserta kefahaman yang mendalam dan
menerima tanpa syarat.
Teori pemusatan insan
menekankan pemusatan diri klien sendiri iaitu menekankan kepada sikap positif
kaunselor dan penerimaan diri. Teori ini menekankan penerimaan hakikat diri
(klien) di dalam konteks yang sedia ada. Biasanya masalah timbul apabila klien
enggan menerima hakikat dirinya yang sebenar dari segi psikologi, kekuatan
fizikal, mental, keintelektualan, kebolehan menyesuaikan diri dan berinteraksi.
Metodologi ini mengajar
dan melatih penerokaan kendiri, keterbukaan kendiri dan terhadap orang lain.
Menggerakkan diri untuk berfikir dan bertindak secara realistik. Beberapa
teknik digunakan di dalam proses kaunseling seperti teknik refleksi isi,
refleksi perasaan, peneguhan minima dan soalan terbuka.
Matlamat di dalam
kaunseling Pemusatan Insan bukanlah sekadar menyelesaikan masalah yang dihadapi
atau dialami pada masa itu, tetapi apa yang lebih diutamakan ialah tk mencapai
perasaan bebas dan sepadu bagi diri seseorang individu itu. Tujuan kaunseling
adalah untuk membantu klien di dalam proses perkembangannya supaya klien dapat
menghadapi dan mengatasi masalah masa kini dan masalah-masalah di masa hadapan.
Manakala teori
kaunseling Islam menurut pandangan Imam Ghazali lebih kepada pendekatan
berdasarkan ayat al-Quran. Firman Allah S.W.T:
Maksudnya:
“Serulah ke jalan Allah
dengan bijaksana dan peringatan yang baik, berbincanglah dengan mereka dengan
cara yang baik”.
a) Cara bijaksana
Bijaksana sama ertinya
dengan hikmah yang merangkumi keadilan, tahan marah, bersifat kenabian, menolak
kejahilan, menegakkan kebenaran, meletakkan sesuatu di tempatnya, perkataan
yang benar, mencegah berlaku kerosakan, memahami dan prihatin dengan ilmu yang
mendalam, menegakkan kebenaran dengan hujah-hujah yang jitu dan berpandukan
al-Quran.
b) Nasihat yang baik
Sesetengah ahli tafsir
menjelaskan maksud nasihat membawa makna:
• Memberi rangsangan
kepada meninggalkan perkara yang buruk.
• Memberi nasihat secara
yang meyakinkan bahawa nasihat itu untuk kebaikan dirinya.
Sesetengah ahli tafsir
menyatakan nasihat yang baik membawa makna nasihat secara yang lurus, bukan
dengan maki hamun atau herdik, kerana dengan lemah lembut ia membawa kesedaran
dan keinsafan. Ini akan membawa kepada perkara yang baik.
c) Perbincangan yang
terbaik
Maksud perbincangan yang
terbaik dengan cara tidak menyinggung peribadi, menghina dan menjatuhkan
martabat, malah merasakan kaunselor memahami dan cuba membantu menyelesaikan
masalah yang dihadapinya. Klien yang bermasalah akan sama-sama berbincang dan
meluahkan kepada kaunselor masalah sebenar. Atas bantuan kaunselor, klien
merasakan ada orang yang memandunya menyelesaikan masalahnya secara bersama.
Walau bagaimanapun
terdapat perbezaaan antara teori kaunseling Islam dan teori kaunseling Barat.
Kebanyakan teori kaunseling Barat tidak memberi penekanan sangat terhadap
aspek-aspek spiritual manusia itu. Aspek-aspek spiritual manusia sangat jelas
diterangkan dalam ayat al-Quran:
Maksudnya:
“ Dan barang siapa yang
bertaqwa kepada Allah, maka ia akan memberikan kepadanya jalan keluar (dari
kesulitan) dan akan memberinya rezeki yang tiada ia duga dari mana berasal ”
Sigmund Freud dalam
teori psikoanalisisnya lebih cenderung untuk mengkaji hal-hal yang berlaku pada
masa lampau kerana masa lampau dianggap berkaitan dengan masa kini berdasarkan
psikologi. Dalam teori ini, kaunselor harus melihat kliennya daripada tiga
aspek iaitu id, ego dan superego. Aspek ini secara amnya bermaksud setiap insan
dikuasai oleh rasa hatinya. Manusia akan bertindak berdasarkan kepada kuasa
mana yang kuat mempengaruhi dirinya. Dalam Islam kuasa yang dimaksudkan itu
ialah nafsu sama ada ingin buat baik atau sebaliknya. Berhubung dengan nafsu
manusia, ia hendaklah dilihat daripada fitrah kejadian manusia itu sendiri.
Manusia terbina daripada
dua unsur iaitu unsur rohani dan unsur jasmani. Unsur rohani manusia terdiri
daripada roh. Hakikat roh diketahui Allah sahaja, manusia hanya mengetahui
sedikit sahaja. Unsur rohani yang kedua ialah nafsu iaitu kehendak nafsu dan
perasaan. Nafsu boleh dibahagikan kepada lima iaitu nafsu amarah, nafsu
lawwamah, nafsu mutmainnah dan nafsu radhiah mardhiah.
Ketiga, hawa iaitu
kekuatan atau tenaga batiniah (hakikat) yang menjadi penggerak kepada nafsu
amarah. Nafsu amarah ini merupakan pendorong kepada manusia agar berbuat jahat.
Keempat, akal. Akal merupakan satu anugerah Allah yang berfungsi untuk
membezakan yang baik dan yang buruk.
Unsur jasmani pula ialah
unsur yang dapat dilihat atau dirasa terdiri daripada kulit, urat, darah,
tulang dan sebagainya. Unsur jasmani ini telah dijelaskan oleh Allah:
Maksudnya:
“ٍٍSesungguhnya Kami
telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan
sesuai dengan keadaannya)”
Teori beorientasi
behavioristik pula melihat manusia seperti mesin atau robot yang boleh dimanipulasi
oleh persekitaran dan menjadi mangsa kepada persekitarannya. Walaupun teori ini
tidak merujuk kepada personaliti secara langsung tetapi rujukannya kepada
perlakuan-perlakuan yang spesifik dan tidak spesifik yang dipelajari daripada
persekitaran adalah berbeza dengan pandangan Islam yang tidak menganggap
manusia itu pasif kerana manusia mempunyai akal fikiran, pengetahuan dan
kepintaran, dan manusia berupaya mencorakkan kehidupannya di dunia.
Penentu tingkah laku
manusia bagi Islam ialah akidah dan takwa kepada Tuhan bukan semata-mata
ditentukan oleh persekitaran atau proses-proses pembelajaran. Sebagaimana
firman Allah:
Maksudnya:
“ Dan tidaklah aku
jadikan jin dan manusia melainkan supaya memperhambakan diri kepada-Ku ”
Carl Rogers dalam teori
pemusatan insan pula menganggap manusia sebagai makhluk yang positif, rasional
dan sentiasa bergerak maju. Manusia cenderung ke arah penyempurnaan kendiri
sekiranya ia diberi kebebasan mengalami, memenuhi dan menyempurnakan
keperluan-keperluan asasnya. Teori Rogers ada titik persamaan dengan pandangan
Islam di mana manusia secara fitrahnya adalah baik. Manusia dianugerah Allah
s.w.t. akal yang membolehkannya menuju ke tingkat kehidupan yang lebih
sempurna.
Pandangan Rogers
terhadap manusia yang dianggapnya mempunyai kebebasan mutlak dalam menentukan
matlamat-matlamat hidupnya berbeza dengan Islam di mana manusia merupakan
makhluk ciptaan Allah S.W.T dianugerahkan akal dan mempunyai kebebasan yang
terbatas. Manusia terikat kepada perintah dan takdir Allah.
Albert Ellis pula
mengemukakan teori Terapi Rasional Emotif (RET) yang mengandaikan manusia
mempunyai potensi untuk bertindak secara rasional dan berfikiran waras. Teori
ini tidak dinafikan oleh Islam tetapi tentang fungsi akal itu agak berbeza
dengan pandangan Islam. Menurut pandangan Islam, kemampuan akal itu adalah
terbatas. Manusia tidak mampu memikirkan apa sahaja yang ingin difikirkannya.
Dalam al-Quran, Allah S.W.T menjelaskan tentang keupayaan akal manusia.
Sebagaimana firman Allah S.W.T.:
Maksudnya:
“Allah tidak menimbulkan
beban kepada seseorang itu melainkan sekadar apa yang telah Allah berikan
kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan”
Oleh itu manusia tidak
boleh bergantung kepada rasionaliti semata-mata dalam menyelesaikan masalah dan
persoalan-persoalan mengenai dirinya seperti andaian RET. Akidah dan taqwa
adalah lebih penting daripada rasionaliti.
Walaupun terdapat
perbezaan antara pandangan beberapa teori barat dengan Islam,ini bukan bermakna
bahawa keseluruhan teori-teori mengenai manusia dari barat itu ditolak.
Teori-teori ini perlu diubahsuai atau diadaptasi supaya tidak bercanggah dengan
agama yang dianuti dalam masyarakat Islam yang bertujuan mencari kesempurnaan
manusia dalam konteks kesedaran tentang kewujudan Tuhan.
2.4 TUJUAN KAUNSELING
Fungsi kaunselor dalam
proses kaunseling ialah sebagai pemandu atau penunjuk kepada klien untuk
mencari jalan membuat pemilihan yang berlandaskan al-Quran, al-Hadis dan sunah
nabi. Justeru itu, secara ringkas, di antara tujuan kaunseling boleh dilihat
seperti berikut:
1. Menyelesaikan masalah
yang dihadapi oleh seseorang klien. Kita wajib bersimpati dan menolong insan
lain yang ditimpa kesusahan. Kita sendiri memerlukan pertolongan orang lain
sekiranya kita menghadapi masalah dan buntu untuk mencari jalan
penyelesaiannya. Oleh sebab itu kita dituntut oleh agar menyayangi orang lain
seperti kita menyayangi diri kita sendiri. Seseorang yang membantu seseorang
yang lain ketika mereka dalam kesusahan akan mendapat ganjaran pahala yang
besar daripada Allah sebagaimana firman Allah s.w.t.:
Maksudnya:
“Maka sesiapa berbuat
kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) dan
sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”
2. Membantu dan memberi
kefahaman kepada klien menghadapi situasi sekitar atau cabaran-cabarannya bagi
membolehkan berlaku perubahan tingkah laku ke arah matlamat yang diingini untuk
mencapai kebebasan Allah s.w.t. untuk membuat pelbagai pilihan dalam hidup.
Manusia boleh memilih jalan baik atau sebaliknya, tetapi Allah s.w.t telah
berjanji akan memberikan ganjaran baik kepada manusia yang berbuat baik dan
begitulah sebaliknya. Bagi membantu seseorang membuat pilihan yang tepat dan
mendapat keredhaan Allah s.w.t tentulah memerlukan kaunseling, bimbingan dan
panduan yang benar dan ikhlas.
3. Membimbing klien
membuat keputusan yang bijaksana serta memahami dan bertanggungjawab secara
sedar ke atas setiap keputusan yang dibuat. Mereka disedarkan tentang risiko
dan manfaat-manfaat yang bakal diterima. Dalam proses rundingcara, klien akan
terus-menerus belajar mengenali dirinya dalam dunia yang fana ini, matlamat
hidupnya yang sebenar serta kesudahan kehidupan ini.
4. Bertindak secara
logik, waras dan atas dasar keimanan dan bukannya atas dasar hasutan nafsu atau
syaitan yang dimurkai Allah s.w.t. Apabila seseorang bertindak atas dasar
keimanan, sudah tentu tindakannya itu membahagiakan dirinya serta diredai
Allah. Oleh sebab itu, orang yang beriman sentiasa memohon agar Allah s.w.t
memberikan mereka hidayat dan sentiasa boleh membuat tindakan yang baik.
5. Membantu klien
mewujudkan perhubungan yang baik, mesra, harmoni, baik sangka dan ikhlas sesama
suami dan isteri, ibu bapa, saudara mara, sahabat handai, jiran tetangga dan
masyarakat seluruhnya. Perhubungan yang baik boleh wujud daripada sikap dan
tutur kata yang baik. Jauhilah daripada kata-kata yang boleh menimbulkan
kemarahan atau kata-kata yang kurang sedap di dengar.
6. Membentuk tabiat diri
agar sentiasa berdisiplin dengan sesiapa sahaja dan menjadikan klien sebagai
insan yang dihormati dan disukai.
Semua tujuan kaunseling
yang dinyatakan di atas itu adalah untuk melahirkan dan mewujudkan insan yang
beraspirasi tinggi, berakhlak mulia dalam mencapai kesempurnaan hidup secara
amr makruf iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan nahy munkar iaitu mencegah
melakukan kejahatan. Amr makruf dan nahy munkar adalah wajib kepada setiap
insan yang hidup.
Antara matlamat
kaunseling lain, Imam al-Ghazali menyatakan:
1.
Memperkembangkan
personaliti individu ke arah yang positif untuk menyelesaikan
kerumitan-kerumitan dengan berkesan dalam kehidupannya.
2.
Membantu individu
menyesuaikan dirinya dengan masyarakat dan menuruti masyarakat melalui
perkembangan konsep sendiri.
3.
Membekalkan
pengalaman-pengalaman baru yang dapat mewujudkan peluang-peluang kepada klien
supaya mereka memahami perbezaan diri mereka dengan kehidupan, perbezaan untuk
menimba pengalaman dengan menyatakan perasaan-perasaan mereka dan berkelakuan
dengan cara-cara yang baru untuk mendapat pengalaman tersebut. Semua pengalaman
baru ini akan dapat dirasai melalui perhubungan yang terjalin antara kaunselor
dengan kliennya.
4.
Membantu klien memahami
diri sendiri dan menyesuaikan dirinya dengan persekitaran serta orang lain.
Tegasnya matlamat kaunseling adalah untuk membentuk individu ke arah
kesempurnaan yang kemudian dapat hidup bersama-sama masyarakat dengan kehidupan
yang sederhana.
5.
Dalam Islam, matlamat
terakhir seorang insan adalah untuk berjaya menjadi khalifah Allah s.w.t. di
bumi ini dan beribadat kepada-Nya. Seseorang kaunselor mesti memahami matlamat
khusus dan yang terakhir ini.
Menurut Norazman Amat
(2004) selaku ketua kaunselor di Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, tujuan kaunseling
dijalankan:
1.
Menghasilkan perhubungan
yang produktif dan mengubah keadaan intrapsikik.
2.
Mengutamakan komunikasi
yang menghasilkan perubahan dalam perhubungan transeksional.
3.
Melakukan perawatan
hasilan dari krisis atau sintom yang mengganggu rumah tangga.
4.
Mempengaruhi pasangan untuk berubah dan
mengatasi agenda peribadi untuk kebaikan rumah tangga.
Manakala menurut Rosnah
Ismail (2000) tujuan kaunseling diadakan untuk:
1.
meningkatkan pembangunan
personal, potensi diri dan kematangan sosial klien.
2.
membolehkan klien
menjadi lebih bertanggungjawab, bebas dan mampu mengendalikan diri dalam
menentukan tingkah lakunya.
3.
menjadikan sikap dan
pemikiran klien lebih terbuka, sistematik dan mampu membuat pilihan yang sesuai
bagi dirinya.
4.
membantu klien mengatasi
gangguan emosi, mencapai kekuatan diri dan kepuasan hidup selaras dengan nilai
moral, agama dan norma masyarakat.
5.
menolong klien
menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran dan cabaran-cabaran baru.
Menurut Mizan Adiliah
(2006), matlamat kaunseling diwujudkan untuk:
1.
Mengajar klien untuk
bertanggungjawab ke atas dirinya
2.
Memperbaiki imej diri
yang negative
3.
Mengajar Klien
menyesuaikan diri dengan keadaan
4.
Mempermudah atau
menggerakkan perubahan tingkah laku
5.
Membantu klien menjadi
lebih produktif
6.
Membimbing klien mencari
dan memupuk sumber dalaman
7.
Mempertingkatkan
kemampuan klien membuat keputusan
8.
Membantu klien mengurus
masalah yang ‘belum selesai’ dalam hidupnya.
2.5 KEPENTINGAN
KAUNSELING
Perubahan teknologi yang
cepat dan pesat telah mendedahkan manusia kepada kehidupan yang semakin rumit
khasnya dalam usaha untuk menyesuaikan diri dengan perubahan. Hal inilah yang
menyebabkan terjadinya pelbagai krisis yang melibatkan emosi dan nilai lalu
menyebabkan manusia tersepit. Sesiapa yang tidak berdaya akan menjadi mangsa
kepada keadaan.
Menerusi bukunya, Future
Shock, Alvin Toffler telah membayangkan betapa hebatnya generasi kini mengalami
perubahan. Generasi yang akan datang lebih banyak mengalami perubahan dalam
masa yang lebih singkat. Mereka akan menjadi mangsa kepada pertelagahan
perkembangan mental dan fizikal. Perkembangan ini dapat dilihat dengan
meningkatnya masalah sosial di barat dan di negara-negara yang sedang
membangun. Walaupun ini merupakan petanda kegelisahan sosio-ekonomi, tetapi
yang lebih hebat tekanan jiwa dan kepercayaan terhadap keupayaan sendiri telah
berkurangan. Mereka lebih tertarik kepada jalan yang menyalahi Undang-undang.
Kaunseling amat penting
dalam kehidupan manusia kerana ia merupakan proses tolong-menolong di antara
seseorang dengan seorang yang lain. Islam mewajibkan setiap orang yang berkuasa
membantu orang yang tidak berkuasa. Setiap manusia tidak terlepas daripada
pelbagai masalah hidup. Ini disebabkan fitrah manusia sudah dijadikan oleh
Allah S.W.T sebagai makhluk yang lemah.
Hanya dengan akal
fikiran sahajalah manusia boleh mengatasi kelemahan dan menentukan baik buruk
tingkah laku seseorang. Sekiranya mereka lemah menguasai fikiran iaitu kuat
dipengaruhi oleh nafsu syaitan, maka mereka akan bertindak di atas jalan yang
dilarang oleh Allah. Sekiranya mereka bertindak dengan bijak dan dengan
keredhaan Allah S.W.T. sudah pasti mereka mendapat kejayaan di dunia dan di
akhirat. Allah S.W.T. sendiri mengakui yang manusia menghadapi pelbagai masalah
hidup sebagai percubaan dari-Nya. Sebagaimana firman Allah:
Maksudnya:
“Allah ingin memberikan
keringanan bagimu kerana manusia itu dicipta bersifat lemah”
Masalah hidup tetap
dihadapi oleh setiap makhluk kerana dunia ini penuh dengan segala ujian, cubaan
dan masalah sebagai satu cara Allah menguji iman seseorang. Manusia yang kuat
imannya akan mendapat kejayaan dan orang yang lemah imannya akan menemui
kegagalan. Justeru itu, seseorang yang didapati lemah imannya atau yang menuju
ke arah jalan yang tidak diredhai Allah, hendaklah dibantu, ditolong atau
dibimbing ke arah kejayaan atau jalan yang diredhai Allah. Orang yang sanggup
membantu orang lain yang menghadapi kesusahan akan diberikan ganjaran pahala
yang besar di akhirat kelak. Ini dapat diperhatikan daripada sabda Rasullah
s.a.w.:
من أقر عين مؤمن أقر الله
عينه يوم القيامة
Maksudnya: “ Sesiapa
yang menyejukkan mata seorang mukmin (menghilangkan kesusahannya), nescaya
Allah akan menyejukkan matanya di hari Kiamat ”
Perubahan drastik dalam
pelbagai arah dan aktiviti kemanusiaan telah menjadikan manusia itu dalam
keadaan serba kelam kabut sama ada untuk menghadapi, mengejar atau menyesuaikan
diri masing-masing dengan perubahan tersebut. Ekoran suasana yang penuh cabaran
ini, manusia sering menghadapi pelbagai masalah diri, keluarga, masyarakat,
nilai dan keagamaan.
Dalam usaha membantu
ahli masyarakat atau individu untuk menghadapi atau menyelesaikan pelbagai
cabaran dan permasalahan diri seharian, maka beberapa elemen pertolongan boleh
dijalankan. Antaranya termasuk usaha menyediakan perkhidmatan memberitahu
(information giving services), perkhidmatan memberi nasihat (advice-giving
services), perkhidmatan memberi bimbingan (guidance-giving services) dan perkhidmatan
kaunseling (counseling services ).
Setiap perkhidmatan
menolong di atas adalah berbeza dari segi kaedah, teori dan pendekatannya.
Penggunaan setiap pendekatan tersebut juga addalah berbeza mengikut keperluan
individu, suasana masalah dan “setting” perkhidmatan yang ingin diberikan.
Namun, apa yang serupa ialah semua perkhidmatan menolong termasuk kaunseling
merupakan perkara penting dalam kehidupan manusia seharian ke arah melahirkan
generasi yang sejahtera dan berkualiti.
Kepentingan kaunseling
juga berhubung rapat dengan tuntutan Agama Islam yang sentiasa mewajibkan ke
atas setiap umatnya yang mampu, berilmu dan berkemahiran untuk membantu mereka
yang lain yang memerlukan pertolongan atau bantuan. Apa yang penting dalam
proses membantu, semua pihak yang ingin membantu hendaklah membantu dengan
jujur dan ikhlas dan tidak mengeruhkan lagi keadaan yang ada. Oleh itu
kaunseling amat penting dalam menangani pasangan atau keluarga yang bermasalah
bagi mengelakkan perhubungan itu berakhir dengan perceraian. Sebagaimana sabda
Rasulullah S.A.W.:
“ Sebaik-baik manusia di
sisi ku adalah mereka yang dapat membantu dan memberi manafaat kepada manusia
yang lain.”
2.6 PERBEZAAN ANTARA
PERKHIDMATAN KAUNSELING, PSIKOTERAPI, SULH DAN NASIHAT
Dalam usaha seseorang
membantu atau memberi pertolongan kepada orang lain, terdapat lima perkhidmatan
iaitu kaunseling, psikoterapi, sulh, hisbah dan penasihatan. Jika ditinjau
sepintas lalu, kelima-lima perkhidmatan itu kelihatan sama. Walau bagaimanapun
jika ditinjau dari beberapa faktor, kelima-lima perkhidmatan itu berbeza.
2.6.1 Perkhidmatan
Kaunseling
Perkhidmatan ini
dijalankan oleh individu yang digelar kaunselor. Ia mendapat latihan khusus
dalam bidang kaunseling secara formal. Guru juga dalam konteks ini boleh dikategorikan
sebagai kaunselor kerana peranannya secara langsung sebagai pendidik atau
pembimbing.
Klien kaunseling ialah
klien normal iaitu klien yang tidak mengalami masalah atau tekanan emosi yang
berat. Masalahnya cuma berkisar di sekitar kebuntuan fikiran bagi membuat
sesuatu pilihan, keputusan dan masalah-masalah biasa. Kebuntuan fikiran itu
berkaitan dengan hal-hal yang muncul secara tiba-tiba atau secara spontan.
Sebagai contoh, klien yang sukar membuat pilihan dan keputusan sama ada ingin
terus belajar atau menerima tawaran kerja yang baik dan diminati. Kaunseling
dijalankan di tempat khas atau di tempat-tempat yang sesuai demi menjaga
rahsianya.
2.6.2 Perkhidmatan
Psikoterapi
Perkhidmatan ini
dijalankan oleh pakar atau orang yang ahli dan mahir dalam bidang kejiwaan.
Pakar ini mendapat latihan khas secara khusus dalam aspek rawatan jiwa atau
psikiataris. Perkhidmatan ini juga dijalankan oleh doktor selain daripada
“doktor jiwa”.
Klien psikoterapi
terdiri daripada individu-individu yang tertekan atau terganggu fikirannya
secara agak serius atau berat. Ketergangguan ini biasanya melibatkan konflik
emosi yang agak kronik dan kompleks. Gangguan atau tekanan emosi yang berat ini
biasanya berpunca daripada gangguan-gangguan masa lalu, masa kini dan masa hadapan
klien berkenaan. Tempat perawatan psikoterapi ini juga dijalankan di tempat
khas bagi tujuan menjaga rahsia atau implikasi-implikasi yang mungkin tidak
diingini atau pun risiko-risiko yang tidak dijangka.
2.6.3 Perkhidmatan Sulh
Perkhidmatan ini
dijalankan oleh pegawai sulh dalam mengendalikan majlis sulh. Sulh merupakan
salah satu pendekatan Islam dalam menggalakkan untuk membantu menangani konflik
antara suami dan isteri. Klien sulh terdiri daripada pihak-pihak yang bertikai
yang memerlukan kepada perdamaian.
Proses sulh ini di
jalankan di mahkamah syariah yang dibuat secara sukarela, tidak ada paksaan
atau tekanan daripada sesiapa pun. Penyelesaian secara sulh ini adalah tepat
kepada keadilan kerana kedua-dua pihak lebih mengetahui daripada apa yang
mereka sepatutnya berhak ke atas apa yang didakwa.
2.6.4 Perkhidmatan
Nasihat
Khidmat nasihat ini
boleh diberikan oleh sesiapa dan tidak semestinya perlu mendapat latihan khas
seperti kaunselor atau psikiataris. Kliennya pula bukanlah yang menghadapi
masalah jiwa tetapi lebih kepada hal-hal biasa dalam kehidupan harian. Prinsip
nasihat lebih condong kepada memberi arahan atau pemberitahuan dan bukannya
saranan yang diberikan oleh kaunselor.
Misalnya, arahan atau
pemberitahuan ibu bapa kepada anak-anak, arahan abang kepada adik, makluman
guru kepada murid dan sebagainya. Memberi nasihat boleh dibuat di mana-mana dan
pada bila-bila masa sahaja kerana mungkin hal yang hendak diberi nasihat itu
timbul secara mendadak, tiada kaitan dengan masa lalu atau masa hadapan.
2.7 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya,
kaunseling sebenarnya adalah satu proses bantuan yang dijalankan oleh kaunselor
bagi mengubah tingkah laku kliennya, membantu kliennya membuat pilihan,
keputusan dan menyelesaikan masalahnya dengan baik serta menjalinkan hubungan yang
erat sehingga klien benar-benar merasai ada orang lain dalam hidupnya yang
dapat membantu.
Tujuan kaunseling adalah
untuk membantu individu dalam membuat penyelesaian peribadi, sosial dan emosi
agar ia dapat berfungsi dengan lebih dinamik dalam alam persekitarannya.
Individu juga dibantu untuk belajar menghadapi kenyataan secara lebih berkesan.
Ini dapat dilakukan dengan menghapuskan pelbagai halangan yang menyekat
individu tersebut daripada melihat kenyataan alam persekitarannya secara yang
lebih berfaedah dan lebih penting lagi memperolehi makna daripada pengertian
tersebut sehingga membolehkan ia membuat persepsi masa depannya secara lebih
tepat.
Para kaunselor Islam
perlu berhati-hati dalam menggunakan teori-teori kaunseling yang dikemukakan
oleh pengkaji-pengkaji Barat. Setiap pendekatan teori kaunseling mempunyai
elemen-elemen seperti pandangan terhadap tabii manusia, peranan kaunselor,
matlamat kaunseling, teknik-teknik, serta kekuatan dan kelemahan teori itu.
Terdapat percanggahan yang jelas dengan Islam dari segi tabii manusia. Oleh itu
kaunselor perlu mengenepikan persoalan tersebut.
Namun begitu kaunselor
masih boleh mengamalkan teknik-teknik yang dianjurkan, selagi ianya tidak
bercanggah dengan ajaran Islam. Kaunselor muslim tidak sepatutnya mengikut
model kaunseling Barat yang jelas terkecuali daripada nilai-nilai serta
kepercayaan agama. Oleh itu pendekatan psikologi barat perlu di sesuaikan
dengan sifat semula jadi manusia menurut perspektif Islam dan juga matlamat
penciptaan manusia.
Kesimpulannya,
kaunseling amat diperlukan dalam kehidupan manusia terutamanya bagi individu
yang berkeluarga. Ini kerana terdapat pelbagai masalah dan krisis yang timbul
dalam mengharungi kehidupan berumahtangga. Oleh itu, kaunseling yang merupakan
salah satu cara perkhidmatan dapat membantu menyelesaikan sebarang krisis yang
berlaku kepada suami atau isteri dan menggalakkan pasangan kepada perdamaian.
No comments:
Post a Comment