ARTIKEL 3
Kepintaran Emosi & Hubunganya dengan Nilai Kerja
Prof. Madya. Dr. Noriah Mohd. Ishak
Prof. Madya. Dr. Datin Siti Rahayah Ariffin
Dr. Syed Najmuddin Syed Hassan
Fakuti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia
Abstrak
Kajian ini bertujuan untuk
melihat hubungan antara kepintaran emosi dengan nilai kerja di kalangan
guru-guru sekolah menengah. Kajian berbentuk tinjauan ini melibatkan 91 orang
guru-guru yang mengajar di sekitar negeri Melaka. Data telah dikumpulkan
menggunakan dua jenis soalselidik iaitu: Soalselidik Emotional Quotient dan
Soal selidik Nilai Kerja. Data yang dikumpul dianalisis menggunakan Pearson
Correlation Product Moment untuk melihat hubungan antara kedua pembolehubah
yang dikaji. Hubungan antara kepintaran emosi dengan nilai kerja juga di lihat
di kalangan guru-guru lelaki dan perempuan serta tempoh pengalaman mengajar.
Secara umumnya dapatan kajian menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan
antara kepintaran emosi dan nilai kerja. Hubungan antara kedua pembolehubah
juga didapati signifikan di kalangan guru lelaki dan perempuan. Walau
bagaimanapun nilai pekali korelasi tersebut didapati lebih tinggi untuk
guru-guru lelaki. Korelasi yang signifikan juga di dapati wujud bagi guru-guru
yang mempunyai pengalaman tempoh mengajar yang berbeza.
A. Pengenalan
Sejak kebelakangan ini, media
massa banyak menyiarkan tentang masalah cetusan emosi (emotional outburst) yang
berlaku dalam kehidupan seharian seseorang. Cetusan emosi ini dilaporkan timbul
dalam suasana pekerjaan dan juga kehidupan peribadi. (New Straits Times, 14 Mac
2002: Berita Harian , Jun 2001). Beberapa contoh peristiwa cetusan emosi yang
berlaku dalam persekitaran pekerjaan yang telah dilaporkan oleh media massa,
umpamanya, seorang guru besar didapati telah membaling komputer dari tingkat
satu ke tingkat bawah bangunan sekolah akibat salah faham. Terdapat juga contoh
yang melibatkan perhubungan guru-pelajar, dimana seorang guru telah didapati
menampar pelajarnya yang dikatakan terlalu banyak bercakap dalam kelas.
Perbuatan beliau telah menimbulkan rasa takut pelajar untuk datang ke sekolah
(Berita Harian, Jun 2001). Peristiwa sedemikian juga telah menimbulkan kemarahan
ibubapa terhadap pihak sekolah yang kelihatan tidak dapat membendung
tingkahlaku agresif guru-guru. Persoalannya ialah, kenapa cetusan emosi ini
terjadi? Adakah ianya timbul daripada faktor persekitaran atau adakah ianya
tercetus daripada faktor peribadi seperti kebolehan seseorang mengawal emosi?.
Goleman (1995) menyatakan bahawa
seseorang yang tidak mempunyai keupayaan mengawal emosi apabila berinteraksi
dengan orang lain tidak akan berasa bermotivasi untuk menjalankan kerja dengan
baik. Mereka juga tidak boleh digolongkan kepada individu yang berjaya dalam
kerjaya masing-masing. Peristiwa-peristiwa cetusan emosi yang digambarkan,
terutama yang berlaku di tempat kerja, membawa implikasi kepada tahap
kestabilan dan kematangan emosi yang dimiliki oleh individu-individu yang
terlibat. Persoalannya, adakah tahap kestabilan emosi ini boleh diukur secara
empirikal selain daripada melihat kesannya ke atas tingkahlaku seseorang?
Adakah ianya merupakan satu bentuk kecerdasan yang boleh diukur?
Menurut Goleman (1999) kecerdasan
emosi adalah satu yang diperlukan oleh seseorang untuk berjaya dalam kerjaya.
Ianya juga berkait rapat dengan nilai kerja yang dipegang oleh seseorang dan
memberikan kesan ke atas prestasi kerja individu tersebut. Goleman (1995) telah
mengemukakan satu teori untuk menerangkan faktor-faktor yang mempengaruhi emosi
seseorang. Teori tersebut dikenali sebagai Teori Kecerdasan Emosi. Teori ini
dapat menerangkan faktor kegagalan dan kejayaan seseorang dalam kehidupan
peribadi dan kerjaya masing-masing.
Kajian Skovholt dan D’Rozario
(2000) berhubung dengan guru cemerlang dan guru lemah mendapati guru cemerlang
lebih disukai oleh pelajar. Mereka didapati mempunyai atribusi atau domain
kecerdasan emosi seperti empati dan kemahiran sosial. Kajian ini juga
menunjukkan bahawa guru-guru cemerlang tersebut juga mempunyai tahap kepintaran
interpersonal dan intrapersonal yang tinggi. Kedua-dua faktor ini merupakan
domain personal dalam teori “kecerdasan pelbagai” (multiple intelligence) yang
dicadangkan oleh Gardner (1983).
Dapatan-dapatan kajian di atas
menunjukkan salah satu nilai yang membentuk kestabilan emosi ialah kasih
sayang. Nilai penyayang adalah merupakan salah satu faktor yang disarankan
dalam nilai utama etika kerja Kementerian Pendidikan Malaysia (Kementerian
Pendidikan Malaysia 2002). Nilai penyayang ini dimaksudkan sebagai perasaan dan
perlakuan yang menunjukkan sikap memahami menghargai dan mengambil berat.
Contoh-contoh sikap tersebut adalah seperti bersifat pemaaf dan penyayang ,
tidak berdendam, tidak sombong atau meninggi diri. Seorang guru yang penyayang
juga disarankan juga untuk menghormati orang lain tanpa sebarang prasangka
buruk. Mereka juga haruslah bersifat bertimbang rasa dan mahu mengambil berat
dalam melaksanakan tugas seharian mereka. Selain itu guru-guru juga disarankan
supaya menjadikan organisasi sebagai sebuah keluarga besar yang penuh kemesraan
dan bersifat simpati dan empati dalam menjalankan tugas. Salah satu aspek
kepintaran emosi yang dicadangkan oleh Goleman (1995, 1999) ialah kemahiran
bersosial dan berempati. Ini selaras dengan nilai kerja penyayang yang
disarankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Justeru, seorang guru yang
tidak ada kemahiran berinteraksi dengan orang lain serta tidak boleh
menunjukkan sifat berempati mempunyai tahap kecerdasan emosi yang rendah.
B. Pernyataan Masalah
Profesion perguruan adalah
profesion yang tidak mempunyai pembahagian masa yang jelas antara masa bekerja
dan masa tidak bekerja. Menurut Noriah (1994) keadaan sedemikian boleh mewujudkan
tekanan kepada guru-guru. Selye (1969) menyatakan bahawa tekanan yang
berpanjangan boleh membawa kepada gangguan emosi di tahap yang berbeza-beza
daripada tahap rendah hingga ke tahap serius. Ini akan mewujudkan emosi yang
pelbagai seperti bosan, lesu, marah, kecewa dan benci (Muchinsky, 1997).
Tugas guru merupakan tugas yang
kompleks dan mencabar. Mereka bukan sahaja perlu mengajar, malah perlu
melakukan kerja-kerja pengkeranian dan pentadbiran, menjalankan aktiviti
kokurikulum dan juga melibatkan diri secara aktif dalam Persatun Ibu-Bapa dan
Guru (Noriah 1994). Disamping kerja-kerja yang dinyatakan, guru juga perlu
berinteraksi dengan pelajar-pelajar secara fizikal, dan emosi semasa proses
pengajaran dan pembelajaran (Mohd Najib 2000). Kenyataan ini disokong oleh
Newton dan Newton (2001) yang mengatakan guru perlu banyak berkomunikasi dan
berinteraksi dengan pelajar dalam kelas. Polloway, Patton dan Serna (2001) juga
mengakui kepentingan kemahiran sosial bagi guru yang mengajar dan juga melatih
pelajar dalam kemahiran sosial. Justeru, kebolehan guru berinteraksi dengan
pelajar dipengaruhi oleh keadaan emosi guru.
Contoh-contoh cetusan emosi yang
dilaporkan berlaku di kalangan guru-guru menunjukkan bahawa tahap kestabilan
emosi guru-guru tersebut tidak ditahap yang stabil. Adakah ini menunjukkan
bahawa terdapat guru-guru yang tidak mampu mengawal emosi kendiri atau adakah
wujud faktor-faktor persekitaran lain yang mengurangkan kestabilan emosi
mereka? Adakah kecerdasan emosi guru memberi kesan kepada nilai kerja mereka?
Kajian-kajian tentang kecerdasan
emosi banyak dijalankan di Barat tetapi amat kurang di Malaysia. Tinjauan
literatur yang dijalankan menunjukkan bahawa kajian berhubung dengan kecerdasan
emosi tertumpu kepada kecerdasan emosi pelajar-pelajar (Inday 2000; Noriah et
al. 2001). Hanya kajian Mohd Najib Ghaffar (2000) sahaja yang memberi tumpuan
terhadap kestabilan emosi guru sedangkan kajian-kajian di luar negara (Polloway
et al. 2001; Skovholt & D’Rozario 2000) menunjukkan kestabilan emosi guru
mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran. Kekurangan kajian kecerdasan
emosi di Malaysia terutamanya kajian ke atas guru membantutkan usaha-usaha
mengenal pasti masalah-masalah guru. Jadi, sudah tiba masanya kajian tentang
kecerdasan emosi (EQ) guru dilakukan supaya program pembaik pulih atau
intervensi dapat diadakan bila timbul masalah.
C. Teori kecerdasan emosi oleh
Goleman (1995)
Goleman (1999) menyarankan lima
faktor atribusi terhadap kecerdasan emosi. Faktor-faktor tersebut ialah: (1)
Kesedaran Kendiri (self-awareness), (2) Pengawalan Kendiri (self-regulation),
(3) self-motivation, (4) empathy dan (5) social skills. Faktor atribusi pertama
iaitu kesedaran kendiri bermaksud kebolehan seseorang untuk mengetahui perasaan
mereka dalam satu-satu situasi dan keupayaan mereka untuk memilih keutamaan
panduan dalam membuat keputusan. Seseorang yang mempunyai kesedaran kendiri
juga mempunyai penilaian yang realistik tentang keupayaan diri dan mereka
mempunyai keyakinan diri yang utuh.
Pengawalan Kendiri (Self-regulation)
dimaksudkan sebagai kebolehan mengurus emosi agar ianya memudahkan dan bukannya
mengganggu dalam menyelesaikan tugasan. Individu yang boleh mengawal diri
mereka sentiasa berhemat dan boleh menangguhkan sementara perasaan mereka untuk
memuaskan hati dalam mengejar matlamat. Individu sedemikian juga cepat pulih
daripada tekanan emosi. Individu yang mempunyai motivasi kendiri
(Self-motivation) berupaya menggunakan kehendak utama hati dalam menggerak dan
memandu arah mereka untuk mencapai tujuan.
Motivasi kendiri boleh membantu
seseorang dalam mengambil inisiatif dan bersungguh-sungguh untuk memperbaiki
diri. Individu dengan motivasi kendiri yang tinggi sentiasa tabah apabila
menghadapi masalah atau dalam keadaan kekecewaan yang tinggi.
Empati merupakan faktor atribusi
yang boleh membantu seseorang mengesan perasaan orang lain. Sifat berempati
juga membolehkan seseorang melihat atau memahami sudut pandangan orang lain
dari perspektif merekadan. Sifat ini juga boleh menjadi faktor pencetus dan penyubur
kemesraan dan keserasian dengan individu dari pelbagai latar belakang. Individu
yang mempunyai sifat empati boleh menyelami keperitan, kesusahan, kekecewaan
atau keraguan seseorang terhadap sesuatu perkara. Rogers (dalam Corey, Corey
& Callahan 1998) menyatakan bahawa seseorang yang boleh menunjukkan sifat
berempati akan lebih mudah berinteraksi dengan orang lain terutama dalam proses
membantu seseorang.
Faktor atribusi terakhir yang
dicadangkan oleh Goleman (1999) ialah kemahiran bersosial (Social Skills).
Beliau menyatakan bahawa faktor kemahiran bersosial ini membolehkan seseorang
mengurus pelbagai emosi secara efektif dalam perhubungan. Mereka juga mampu
mentafsir dengan tepat situasi sosial dan jaringannya selain daripada mahir
memujuk dan memimpin. Seseorang yang mempunyai kemahiran bersosial yang
berkesan juga mampu menjadi pakar runding yang baik disamping berkebolehan
menyelesaikan konflik untuk mewujudkan kerjasama dan semangat berpasukan
apabila bekerja dalam sesebuah organisasi.
D. Persoalan kajian
Kajian ini berpandukan kepada
tiga soalan, iaitu:
1. Apakah hubungan antara
kecerdasan emosi dengan nilai kerja guru? 2. Adakah terdapat hubungan antara
kecerdasan emosi dengan nilai kerja di kalangan guru-guru berlainan jantina? 3.
Adakah terdapat hubungan antara kecerdasan emosi dengan nilai kerja di kalangan
guru-guru yang telah berkhidmat lebih atau kurang daripada 10 tahun?
E. Metodologi
Kajian ini menggunakan kaedah
tinjauan yang mana responden menjawab dua set soal selidik. Menurut Fink (1995),
reka bentuk kajian deskriptif menghasilkan data atau maklumat tentang populasi
dan fenomena yang telah wujud. Pemerolehan data secara deskriptif dapat
dipungut pada masa yang ditentukan oleh pengkaji (Fink, 1995; Wiersma, 2000 dan
Ary, Jacobs & Razavieh, 1996). Justeru, instrumen yang dibina ini dapat
digunakan untuk mengumpul maklumat tentang kecerdasan emosi guru-guru yang
dikaji.
E.i. Sampel kajian
Sampel kajian ini adalah terdiri
daripada guru-guru MRSM. Mereka adalah terdiri daripada guru berijazah sarjana
muda dan sebahagian kecilnya berijazah sarjana. Sebahagian besar guru-guru ini
adalah berbangsa Melayu dan sebahagian kecil sahaja daripada bangsa-bangsa
lain. Mereka berkhidmat di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) sebuah badan
berkanun di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan.
Sembilan puluh satu orang guru
(lelaki=26, perempuan=65) dipilih secara rawak mudah berdasarkan senarai yang
disediakan oleh Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA. Daripada jumlah
tersebut seramai 50 orang telah berkhidmat kurang daripada 10 tahun, manaka 41
orang pula telah berkhidmat lebih atau sama dengan sepuluh tahun. Guru-guru
tersebut telah dipilih secara persampelan mudah.
E.ii. Instrumen Kajian
Kajian ini menggunakan dua set
soalselidik. Kedua-dua set soalselidik tersebut adalah seperti berikut: a. Soal
Selidik EQ b. Soal Selidik Nilai Kerja. Nilai kebolehpercayaan untuk
soalselidik Kecerdasan Emosi yang digunakan ialah 0.9145, manakala
kebolehpercayaan bagi soalselidik Nilai kerja ialah 0.8293. Untuk menentukan kesahan
muka, pandangan pakar telah digunakan.
F. Dapatan Kajian
Daripada analisis yang
dijalankan, nilai korelasi yang diperolehi adalah signifikan pada aras 0.05 (r
= 0.364, p = 0.00 < 0.05). Nilai ini menunjukkan kekuatan hubungan yang
sederhana antara kedua pembolehubah yang di kaji. Justeru, nilai kecerdasan
emosi yang tinggi akan menghasilkan nilai kerja yang tinggi. Nilai indeks
penentu (coefficient of determination) r²= 0.19. Ini bermakna 19 % varians
daripada kecerdasan emosi menyumbang kepada varians nilai kerja.
Hasil analisis untuk melihat
korelasi antara kecerdasan emosi dan nilai kerja bagi guru lelaki dan
perempuan, didapati nilai korelasi yang diperolehi bagi guru lelaki adalah
signifikan pada aras 0.05 (r = 0.388, p = 0.05 < 0.05). Nilai ini juga
menunjukkan kekuatan hubungan yang sederhana antara kedua pembolehubah yang di
kaji. Justeru, nilai kecerdasan emosi yang tinggi akan menghasilkan nilai kerja
yang tinggi bagi guru-guru tersebut. Nilai indeks penentu (coefficient of
determination) r² = 0.15. Ini bermakna 15 % varians daripada kecerdasan emosi
menyumbang kepada varians nilai kerja.
Nilai korelasi yang diperolehi
bagi guru perempuan pula adalah signifikan pada aras 0.05 (r = 0.362, p = 0.003
< 0.05). Nilai ini menunjukkan kekuatan hubungan yang sederhana antara kedua
pembolehubah yang di kaji. Justeru, nilai kecerdasan emosi yang tinggi akan
menghasilkan nilai kerja yang tinggi juga. Nilai indeks penentu (coefficient of
determination) r²= 0.13. Ini bermakna 13 % varians daripada kecerdasan emosi
menyumbang kepada varians nilai kerja.
Hasil ujian korelasi antara
kecerdasan emosi dan nilai kerja berdasarkan tempoh berkhidmat, menunjukkan
nilai korelasi yang diperolehi bagi guru-guru yang telah berkhidmat kurang
daripada sepuluh tahun adalah signifikan pada aras 0.05 (r = 0.495, p = 0.00
< 0.05). Nilai ini menunjukkan kekuatan hubungan yang sederhana tinggi
antara kedua pembolehubah yang di kaji. Justeru, nilai kecerdasan emosi yang
tinggi akan menghasilkan nilai kerja yang tinggi juga. Nilai indeks penentu
(coefficient of determination) r²= 0.25. Ini bermakna 25 % varians daripada
kecerdasan emosi menyumbang kepada varians nilai kerja. Hasil ujian juga
menunjukkan korelasi antara kecerdasan emosi dan nilai kerja bagi guru-guru
yang telah berkhidmat lebih daripada sepuluh tahun. Nilai korelasinya adalah
tidak signifikan pada aras 0.05 (r = 0.181, p = 0.257 < 0.05). Nilai indeks
penentu (coefficient of determination) r² = 0.03. Ini bermakna hanya 3 %
varians daripada kecerdasan emosi menyumbang kepada varians nilai kerja.
G. Perbincangan dan Kesimpulan
Kekuatan korelasi antara
kecerdasan emosi dan nilai kerja di kalangan guru-guru adalah tinggi mungkin
disebabkan oleh pendedahan guru-guru ini dalam menjalankan tugasan mendidik,
mentadbir dan menjalankan urusan pengajaran dan pembelajaran. Nilai kecerdasan
emosi yang tinggi telah menghasilkan nilai kerja yang tinggi juga, di mana
dapatan kajian ini menyokong kajian Skovholt dan D’Rozario (2000) dan Goleman
(1995) yang mendapati guru yang berupaya mengawal emosi akan bermotivasi untuk
menjalankan kerja dengan baik.
Dapatan kajian juga menunjukkan
kekuatan hubungan antara kecerdasan emosi dan nilai kerja bagi guru lelaki dan
perempuan adalah signifikan. Walau bagaimanapun kekuatan hubungan bagi guru
lelaki adalah lebih tinggi daripada guru perempuan. Sementara hubungan antara
kecerdasan emosi dengan nilai kerja di kalangan guru-guru yang baru berkhidmat
menunjukkan hubungan yang signifikan. Ini bermakna guru-guru yang telah lama
berkhidmat tidak semestinya menunjukkan hubungan antara kecerdasan emosi dengan
nilai kerja mereka. Guru-guru seharusnya diberi latihan untuk menunjukkan
kecerdasan emosi yang stabil untuk menghasilkan nilai kerja yang baik. Ini
adalah selaras seperti yang telah disarankan oleh ramai pengkaji seperti
Polloway et al. (2001), Skovholt dan D’Rozario (2000) dan Mohd Najib Ghaffar
(2000).
Rujukan
- Anita Anandarajah. 2002. Born loser? Think again! New Straits Times, 15 Mac:1 & 3.
- Ary, D., Jacobs, L.C. & Razavieh, A. 1996. Introduction to research in education. Ed.ke-5. Fort Worth: Harcourt Brace College Publishers.
- Ausubel, D.P. 1968. Educational psychology: a cognitive view. New York: Holt, Rhinehart and Winston, Inc.
- Brewer, C & Campbell, D. G. 1991. Rhythms of learning: creative tools for developing lifelong skills. Tucson, Arizona: Zephyr Press.
- Brown, B.L. 1999. Emotional intelligence: keeping your job. Trends and Issues Alert No. 9 (CD-ROM) ERIC 1992-Jun 2001.(24 Januari 2002)
- Coopers, C. 1999. Intelligence and abilities. London: Routledge.
- Cottone, R.R. & Tarvydas, V.M. 1998. Ethical and professional issues in counseling. Upper Saddle River, New Jersey: Merrill Prentice Hall.
- DuBois, N. F., Alverson, G.F. & Staley, R.K. 1979. Educational psychology and instructional decisions. Homewood, Illinois: The Dorsey Press.
- Elias, M.J., Zinns, J.E. Weisberg, R.P., Frey, K.S. Greenberg, M.T., Hanes, N.M., Kessler, R., Schwabb-Stone, M.E. & Shriver, T.P. 1997. Promoting social and emotional learning: guidelines for educators. Alexandria, VA: ASCD.
- Fink, A. 1995. How to design surveys. Thousand Oaks: SAGE Publications.
- Gardner, H. 1983. Frames of mind. London: St Edmundsbury Press.
- Goleman, D. 1995. Emotional intelligence. New York: Bantam Books.
- Goleman,D. 1999. Working with emotional intelligence. New York: Bantam Books.
- Goleman, D. 2001. Emotional intelligence: Issues in paradigm building. Dlm Cherniss, C. dan Goleman, D. (pnyt.) 2001. The emotionally intelligent workplace (atas talian) http://www.eiconsortium.org (28 Mac 2002).
- Gore, S. W. 2000. Enhancing students emotional intelligence and social adeptness. (CD-ROM) ERIC 1992-Jun 2001 (24 Januari 2002).
- Guru Besar mengamuk ditahan. 2000. Berita Harian, 24 Ogos.
- Guru di England hadapi beban kerja berlebihan. 2002. Utusan Malaysia, 4Januari: 3.
- Hassan Langgulung. 1991.Asas-asas pendidikan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Hussein Hj Ahmad. 1993. Pendidikan dan masyarakat: Antara dasar, reformasi dan wawasan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
- Ibu bapa enggan maaf guru denda murid. 2000. Berita Harian, 21 November.
- Johnson, K. S. 2000. Affective components in the education of the gifted. Gifted Child Today Magazine 23(4):36-40 (CD-ROM) ERIC 1992-Jun 2001 (24 Januari 2002).
- Kementerian Pendidikan Malaysia. Falsafah Pendidikan Negara.
- Kerja perguruan penting kepada pembangunan. 2001. Berita Harian, 5 Februari: 5.
- Khoo Guat Lien. 2000. Understanding how the human brain learns : A cognitive science perspective. Proceedings of the International Conference on Teaching and Learning. Bangi : Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia. hlm. 1184-1194.
- Krueger, R.A. 1994. Focus group: A practical guide for applied research. Ed. Ke-2. Thousand Oaks: SAGE Publications.
- Lamm, Z. 1978. The status of knowledge in the radical concept of education. Dlm Gress, J.R. dan Purpel, D. E. 1978. Curriculum. Berkeley, CA: McMc Cutchan Publishing Corp.
- Malaysia. 1996. Seventh Malaysia Plan 1996-2000.
- McManus, M. 1989. Troublesome behavior in the classroom. New York: Nichols Publishing Company.
- Mohd Najib Ghafar. 2000. Kestabilan emosi guru: Perbandingan antara pensyarah dan pelajar. Jurnal Teknologi 32 (E): 1-10.
- Muchinsky, P.M. 1997. Psychology applied to work. Ed. ke-5. Pacific Groove: Brooks/ Cole Publishing Company.
- Murid dakwa ditendang, dirotan empat guru. 2001. Utusan Malaysia, 2 April:12.
- New Straits Times. 2002. Texas mom convicted of murder. 14 Mac: W 6
- Newman, J. M., Albright, J., Beveridge, J., Crass, K., Harding, M., Hughes, E., Kimpton, P., Manning, R., Mc Tavish, J., Millen, S., Peters, W., Wastie, S. & Leung, V. 1998. Tensions of teaching: beyond tips to critical reflection. New York: Teachers College Press.
- Newton, D. P. dan Newton, L.D. 2001. What heads and student teachers think matter. Research in Education 66: 54-64.
- Noriah Mohd Ishak. 1994. Pola pemilihan respons menangani ketegangan dan hubungannya dan hubungannya dengan punca ketegangan di kalangan guru-guru. Tesis Sarjana.Universiti Kebangsaan Malaysia.
- O’Neil, J. 1996. On emotional intelligence: A conversation with Daniel Goleman. Educational Leadership 54(1): 6-11 (CD-ROM) PsycINFO 1999-2000 (24 Januari 2002).
- Ort , S. 1997. Reflections on observing a teacher. Dlm Duckworth, E. 1997. Teacher to teacher: learning from each other. New York : Teachers College Press.
- Perkins, D. 1995. Outsmarting IQ. New York: The Free Press.
- Polloway, E.A., Patton, J.R., & Serna, L. 2001. Strategies for teaching learners with special needs. Ed. ke-7. Upper Saddle River, New Jersey: Merrill Prentice-Hall Inc.
- Saadi, I. 2001. An attitudes to school for primary school children. Research in Education. 66: 65-75.
- Sarason, S.B. 1999. Teaching as a performing art. New York : Teachers College Press.
- Shapiro, L. E. 1997. How to raise a child with a high EQ. New York: HarperCollins Publisher.
- Skinner, B.F. 1987. Upon further reflection. Englewood Cliffs, New Jersey: Prentice-Hall, Inc.
- Skovholt,T. & D’Rozario,V. 2000. Portraits of outstanding and inadequate teachers in Singapore. Teaching and learning. 21(1):9-17.
- Sternberg, R .J. 1996. Successful intelligence . New York: Simon & Schuster.
- Stufft, W. D. 1996. Assessing your emotional IQ. Professional notes. Teaching Music 4 (1):42-43 (CD-ROM) ERIC 1992-Jun 2001 (24 Januari 2002).
- Sutarso, P. 1999. Gender differences on the emotional intelligence inventory(EQI)(marital status).Dissertation Abstract International: Section B:The Sciences and Engineering (CD-ROM) PsycINFO 1999-2000. (24 Januari 2002).
- Sutarso, T. and others.1996. Effect of gender and GPA on emotional intelligence. (CD-ROM) ERIC 1992-Jun 2001. (24 Januari 2002).
- Syed Othman Alhabshi.1995. Quality and productivity consciousness: The Islamic Approach. Dlm Syed Othman Alhabshi, Nik Mustapha Nik Hassan dan Sarina Othman (pnyt.). Quality & Productivity, hlm 9-37. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia.
- Tapia, M. 1999. The relationships of the emotional intelligence inventory.(CD-ROM) ERIC1992-Jun 2001.( 24 Januari 2002).
- Wechsler, D. 1958. The measurement and appraisal of adult intelligence. Ed. ke-4. Baltimore:The Williams and Wilkins Company.
- Weisenger, H. 2000. Emotional intelligence at work. San Francisco: Jossey-Bass.
- Wiersma, W. 2000. Research method in education: an introduction. Needham Heights: Allyn & Bacon.
- Wilks, F.1998. Intelligent emotion. London: Arrow Books.
No comments:
Post a Comment